Pengalaman Di SPA

Kali ini saudara, aku ingin berkongsi serba sedikit pengalaman menghadiri temuduga di SPA atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (bukan SPA Kecantikan ye). Agak terkejut jugalah bila mana mendapat surat panggilan temuduga pada bulan Disember tahun lepas. Orang kata, bukan senang hendak mendapat peluang seperti ini. Jadi, aku mengambil peluang itu untuk merasa bagaimana bertemuduga di sektor awam. Mana tahu ‘kot-kot’ ada rezeki di sana.

Jawatan yang ditemuduga itu ialah Pegawai Pertanian G41 (kalau ikut SBPA gred permulaannya G1-1). Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, terdapat 50 kekosongan tempat jawatan tersebut dengan 619 calon dipanggil untuk temuduga daripada 4680 bilangan permohonan. Cubalah saudara bayangkan berapakah kebarangkalian untuk berjaya menjawat jawatan tersebut.

Jadi saudara, hendak menghadiri temuduga seperti ini sudah pasti ada persiapannya. Alang-alang sudah dipanggil temuduga, kenapa tidak kita persiapkan diri kita dengan beberapa maklumat tentang skop dan tugasan jawatan yang dipohon. Maka, aku pun mencarilah segala maklumat tentang Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, SPA, dan sebagainya. Aku turut menjejaki beberapa blog dan forum yang berkonsi tentang pengalaman mereka ketika bertemuduga.

Dalam pencarian tersebut, antara tema soalan temuduga di sektor awam banyak berkisar tentang hal ehwal kerajaan dan program-programnya. Jadi mereka nasihatkan supaya kita ambil tahu khususnya yang melibatkan isu-isu semasa. Soalan-soalan tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran juga katanya turut ditanya. Jadi aku pun mentelaahlah serba sedikit isu-isu tersebut seperti 1 Malaysia, ETP, NKEA, GTP, NKRA dan yang seangkatan dengannya. Pada pendapat aku, memang dari sudut perancangannya ada kebaikan program-program itu, tetapi berjaya atau tidak sesuatu program itu bergantung kepada pelaksanaannya. Seperti juga DEB, satu dasar afirmatif yang baik dalam membantu bumiputera, namun jika ianya hanya menguntungkan sekelompok kecil bumiputera dalam pelaksanaanya, maka ia akan gagal memberi manfaat kepada sebahagian besar bumiputera yang lain. Nahtijahnya, kelompok bumiputeralah yang paling ramai miskin di tanah air sendiri.

Soalan Yang Ditanya

Berbalik kepada cerita temuduga. Aku dipanggil untuk bertemuduga di SPA Kuala Lumpur di Jalan Cenderasari. Lokasi kompleks temuduga SPA KL ini agak tersorok dan dikelilingi dengan kehijauan yang masih utuh di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Pada mulanya, aku pun tidak tahu di mana letaknya Jalan Cenderasari (tidak pernah dengar pun), namun dengan bantuan Cik Garmin, lokasinya berjaya ditemui di kawasan yang agak berbukit.

Pada pagi itu, tidak sampai 20 orang yang hadir bertemuduga. Hanya dua bilik sahaja yang digunakan yang masing-masing terdiri daripada dua orang pegawai sebagai panel penemuduga. Seorang pegawai mewakili pihak SPA dan seorang lagi mewakili pihak Jabatan Pertanian. Sementara menunggu giliran, aku sempat berkenalan dengan dua orang calon. Seorang daripadanya adalah ‘fresh garduate’ macam aku tetapi dari UITM Shah Alam manakala seorang lagi adalah graduan UPM tahun 2007 yang berbangsa cina. Kami berbual-bual tentang bidang pengajian masing-masing di samping pengalaman calon cina dari UPM tersebut yang katanya sudah “tidak tahan maa” berkerja di Sime Darby Plantation.

Saudara pasti ingin tahu apakah bentuk atau tema soalan-soalan yang ditanya bukan? InsyaAllah aku akan kongsikan sebahagian soalan-soalan yang aku masih ingat yang mungkin boleh membantu saudara pembaca sekalian dalam menghadapi temuduga dengan SPA. Antara soalan-soalan itu ialah:

  • Dari mana datangnya nama Batu Caves? (sebab aku duduk di Gombak, dekat Batu Caves)
  • Minat sukan apa?
  • Siapa penjaga gol ketiga skuad kebangsaan?
  • Bagaimana awak mahu jadikan sektor pertanian ini diminati sepertimana orang minat sukan bola sepak?Boleh anda beritahu kami tentang isu-isu semasa yang awak tahu?
  • Hari ini banyak badan-badan yang dahulunya di bawah kerajaan tetapi akhirnya diswastakan seperti telekom dan konsesi air. Boleh atau tidak sekiranya jabatan pertanian ini diswastakan?
  • Kebanyakan sektor perladangan (plantation) yang melibatkan kelapa sawit dan getah mampu dilaksanakan dalam skala yang besar, mengapa perkara yang sama tidak berlaku terhadap bidang pertanian?
  • Anda minat keusahawanan? Mengapa tidak memilih bidang keusahawanan?
  • Apa yang anda tahu tentang pertanian jitu (precision agriculture)?
  • Bagaimana anda boleh melaksanakan konsep pertanian jitu ini untuk para petani?

Demikianlah saudara bentuk soalan-soalan yang ditanya. Alhamdulillah, kesemua soalan aku jelaskan jawapannya mengikut apa yang aku faham dan tahu.. Kedua-dua panel temuduga dilihat hanya senyum dan mengangguk-anggukkan kepala (tidak tahulah, angguk itu tanda setuju atau sebaliknya). Cuma soalan penjaga gol ketiga skuad kebangsaan itu yang aku tidak tahu namanya. Yang aku ingat, Khairul Fahmi dan Sharbinee sahaja. Terus terang saja kepada mereka.

Dua Kali Tangguh

Setiap temuduga, pasti ada keputusannya. Jika dilihat pada surat panggilan temuduga, tarikh keputusannya jatuh pada 23 Januari 2012. Aku pun tidak tahu, bagaimana mereka boleh ‘setting’ tarikh tersebut sebagai tarikh keputusan kerana hari tersebut adalah cuti umum sempena Tahun Baru Cina. Ternyata, bila disemak di portal SPA, tiada sebarang keputusan diumumkan. Kemudian, dalam minggu yang sama, mereka mengumumkan penangguhan kerana keputusan temuduga hanya akan dikeluarkan selewat-selewatnya atau pada 17 Febuari 2012 (Jumaat).

Maka, hari demi harilah aku menanti keputusannya. Tatkala tiba tarikh 17 Febuari, sekali lagi mereka memberitahu bahawa keputusan temuduga ditangguhkan. Kali ini, ditangguhkan dengan selewat-lewatnya atau pada 24 Febuari 2012 (Jumaat). Pelik juga. Barangkali sukar sangat ‘kot’ hendak memilih Pegawai Pertanian sehingga terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali sehingga lewat sebulan daripada tarikh asal keluar keputusan. Ternyata, keputusan tersebut diumumkan.

Keputusannya: “Dukacita anda tidak berjaya dalam urusan ini”. Alhamdulillah, mungkin bukan rezeki aku untuk terpilih. Sungguhpun demikian, aku kembali kepada hasrat yang asal untuk menyambung pengajian di Fakulti Pertanian, UPM. Ini pun rezeki juga. Tambahan pula, sekali lagi pengajian aku kali ini akan ditaja sepenuhnya oleh dana awam. Sekianlah dulu saudara sebahagian pengalaman aku bertemuduga di SPA.

“Dan sesungguhnya Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik,” (Surah al-Hajj 22:58)

5 Comments

  1. Betol tu…Sebaik-baik pemberi rezeki itu adalah ALLAH..mungkin aku belum dapat rezeki lagi..dah memohon sejak penghujung sem 6 Diploma (2006) sampailah sekarang (2012) jangan kata nak dapat jawatan,panggil temuduga pun tidak. Tak tau la kat mana silapnya…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s