Selesema Babi Mengganas !!!

Sehingga setakat artikel ini ditulis saudara, wabak selesema babi ini sudah pun menyebabkan 149 nyawa terkorban di Mexico. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah pun mengeluarkan amaran wabak ini dari tahap 3 kepada tahap 4. Ini menggambarkan keseriusan wabak ini walaupun menurut Keiji Fukuda iaitu Pemangku Penolong Pengarah Besar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar WHO mendakwa bahawa keadaan wabak itu masih boleh dikawal.

Sekali lagi penduduk dunia dikerumuni rasa takut akibat penyebaran wabak ini seperti yang mereka rasai ketika wabak selesema burung dan SARS. Kalau wabak selesema burung dibawa oleh virus H5N1, maka selesema babi ini dibawa oleh virus H1N1. Apa yang menarik ialah virus merbahaya ini mempunyai kandungan genetic atau DNA daripada manusia, burung dan babi itu sendiri. Maknanya apa saudara? (xde maknanya kan).

swine-flu-virus

Ini membawa makna virus ini bukan sekadar mampu menyerang babi dan anak-beranaknya, bahkan boleh juga tumpang menyerang burung dan manusia. Dahsyat tak ? walaubagaimanapun, menurut Jabatan Verterinar Malaysia, mereka mendakwa sudah pun mempunyai vaksin yang sesuai untuk mencegah wabak ini daripada menular di Malaysia.(harap-harap macam tu lah)

sakit ke pakcik?

Apa yang nak aku kongsikan ialah, menurut buku Quran Saintifik , Dr Danial Zainal Abidin, beliau mendedahkan beberapa fakta dan hujah tentang kerasionalan pengharaman babi dalam Islam.

Berikut adalah di antara fakta-fakta tersebut:

1. Pengharaman babi jelas dalam Islam seperti mana yang dirakamkan dalam Al-Quran (surah al-Baqarah 2:173). Umat Islam ditegah memakan babi dan segala produknya secara mutlak kecuali apabila darurat.

2. Babi menjadi punca pelbagai penyakit, sebagai contoh penyakit leptospirosis yang boleh membawa maut. Penyakit ini menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang (rujuk www.mrmcmed.org/pigs.html).

3. Alix Fano, pengarang buku terkenal Lethal Laws-Animal Testing, Human Health and Environmental Policy merangkap Pengarah Medical Research Modernisation Committee mengesahkan babi mampu mengubah virus-virus yang menyerangnya menjadi lebih berbahaya.

don't go there

4. Prof Robin Weiss, seorang pakar dalam bidang virus dari Institut Kajian Kanser London, mengatakan bahawa, “Babi mempunyai banyak kuman virus. Salah satu masalah yang perlu kita hadapi adalah babi mempunyai kuman retrovirus yang dapat menjangkiti manusia. Ia tidak dapat dibuang dari babi kerana ia dibawa oleh DNAnya. Retrovirus ini adalah daripada keluarga yang sama dengan virus HIV”.

5. The Detroit News Online pada 20 Oktober 1998 melaporkan bahawa pakar-pakar sains yang dipimpin oleh Dr Yoshihiro Kawaoka dari Universiti Wisconsin bersepakat menganggap babi sebagai ‘mixing vessel’ atau takungan yang mampu mangubah kuman kepada bentuk yang berbahaya. Mengikut kajian mereka, virus binatang yang biasanya tidak menjangkiti manusia tiba-tiba bertukar menjadi virus yang merbahaya yang mampu menyerang manusia selepas memasuki sel-sel babi.

virus-flu-bird-lungs-5002

6. Pada bulan Ogos 2004, China telah mengumumkan penemuan virus penyebab selesema burung iaitu daripada jenis virus H5N1yang didapati dalam babi. Dalam masa yang sama, WHO juga telah mengarahkan negara-negara yang diserang wabak ini memantau babi-babi.

7. Prof Malik Peiris, seorang pakar dalam bidang mikrobiologi di Universiti Hong Kong pernah berkata, “ Jika anda mengambil virus daripada manusia dan memasukannya ke dalam ayam atau burung, ia tidak akan membiak. Demikian juga jika anda memasukkan virus burung ke dalam manusia, ia juga tidak akan membiak. Sebaliknya, jika kedua-dua virus ini anda masukkan ke dalam babi ia akan membiak dengan mudah sekali. Jesteru, lahirlah pandangan yang menyatakan bahawa babi adalah takungan kepada virus daripada manusia dan burung sehingga melahirkan virus baru yang membunuh. (The Sydney Morning Herald pada 31 Julai 2004)

flu-shot1

Ternyata di sini saudara, realitinya banyak keburukan yang didapati dari seekor babi berbanding kebaikan. Barangkali ada yang bertanya, “kalau banyak negatifnya, kenapa Allah ciptakan juga babi ini?”. Sebenarnya, itu terpulanglah kepada Allah untuk Dia menciptakan, menghidupkan atau mematikan sesuatu. Lagipun kewujudan benda haram macam babi ini adalah untuk menguji manusia beriman sama ada ikut atau tidak hukum halal dan haram seperti yang telah ditetapkan.

di kala senja

Bercakap soal halal dan haram ini khususnya bab makan, hakikatnya saudara terlalu banyak perkara yang halal lagi baik(halalan thoyyiba) yang ada atas muka bumi ini. Kalaupun haram hanyalah secebis sahaja. Kalau kita orang melayu muslim memang sensitif dengan babi dek kerana diharamkan oleh Islam, persoalannya sensitifkah kita terhadap isu-isu rasuah, salah guna kuasa, menzalimi orang tanpa bicara, lulus lessen judi & nombor ekor (kononnya untuk bangunkan ekonomi), mengamalkan riba dalam pinjaman, arak yang berleluasa jualannya, tidak menutup aurat, pergaulan bebas tanpa sempadan, mencuri dan merompak harta orang, rampas tanah dan hak rakyat, membunuh tanpa hak, memperlekeh hukum Islam (dan banyak lagi nak disebutkan) yang juga merupakan perkara haram dalam Islam. Bersama kita renungkan…

Advertisements

Coretan di Sebuah Perhentian

Baru-baru ini saudara, aku berkesempatan untuk bercuti ke Pulau Perhentian, Terengganu. Bertolak dari jeti Kuala Besut ke Pulau Perhentian dengan menaiki bot laju berkuasa 400 kuasa kuda mengambil masa selama 30 minit. Untuk pengetahuan, ini merupakan pengalaman buat pertama kalinya aku ke sebuah pulau.

sl382777

Ketika di atas bot, terpampang di depan mata lautan yang meluas. Jelas terasa kerdil diri ini tika berada ditengah-tengahnya. Kalaulah terjatuh ni, alamat tenggelam terus aku (sejak kecil tak tau berenang). Walauapapun, laut ini mengingatkan aku tentang satu ayat dalam Al-Quran yang bermaksud “Katakanlah wahai Muhammad, seandainya laut adalah dakwat untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, nescaya dakwat itu akan habis sebelum sempat kalimat-kalimat itu habis ditulis meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula) ” (Surah Al-Kahfi 18:109).

sl3827901

Saudara, ini menunjukkan bertapa luasnya ilmu Allah swt kalau nak dibandingkan dengan makhluk-makhlukNya. Subhanallah…cukup luas ilmu Allah, tetapi mengapa masih ada manusia yang meragui ajaran, peraturan dan hukum Allah dan sesuka hati menolaknya. Katanya tak sesuai lah, ketinggalan zaman lah, tak adil lah seolah-olah dia lebih cerdik daripada Allah. Dalam tafsir ibnu kathir, dari Ar-Rabi’ bin Anas menyatakan perbandingan ilmu pengetahuan antara seluruh manusia dan ilmu pengetahuan Allah adalah seperti setitik air dari seluruh lautan.

sl382814

Selepas sampai di jeti, macam biasalah pergi cari tempat penginapan. ‘Style’ chalet tempat aku menginap ni mereka tutup elektrik sepanjang hari kecuali pada waktu malam (ni lebih dari earth hour ni hehe). Jadinya kalau duduk kat bilik terasa panas la wei. Berpeluh-peluh. Tapi ini baru dunia syeikh…teringat pula kisah di padang mahsyar yang akan dipenuhi umat manusia sambil dibanjiri dengan peluh manusia. Segala penderitaan akan dilalui kecuali 7 golongan yang mendapat naungan Allah swt pada waktu tu. Mereka ialah:

1. pemimpin yang adil,

2. pemuda yang hatinya berpaut pada masjid,

3. orang yang bertemu dan berpisah kerana Allah,

4. orang yang memberi sedekah dengan tangan kanannya tetapi tangan kirinya tidak tahu,

5. orang yang menangis kerana Allah terkenangkan dosa yang lalu,

6. lelaki yang digoda tetapi menolak dengan meyatakan “aku takut Allah”, dan

7. pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

sl382811

Setelah itu, aku dan teman-teman lain duduk2 tepi pantai. Merasai kesegaran tiupan bayu diiringi dengan deruan ombak yang menghempas pantai. Wah syahdunya…tika ini terngiang-ngiang di telingaku akan satu ceramah oleh saifulislam yang menyebut perihal kejadian ombak. Katanya,

Bagaimana datangnya ombak? sudah tentu bila adanya angin,

Bagaimana angin ini terbentuk? Sudah tentu akibat perbezaan suhu dan tekanan haba,

Dari mana pula haba ini? Pastilah daripada matahari,

Macam mana matahari ini terjadi? Disebabkan oleh pengumpulan gas-gas helium, hydrogen dsb.

Dari mana datangnya gas-gas tersebut? Jawabnya dari Allah lah syeikh’ (dah tak leh nak jawab).

Betul lah kata Pak Hamka, ‘pangkal akal adalah agama’. Ini membawa arti, akan sampai satu tahap manusia tidak bisa mengetahui apa di sebalik sesuatu penciptaan melainkan Allah sahaja mengetahui rahsianya.

sl382804

Waktu malam pula, kelihatan ribuan dan mungkin jutaan bintang menhiasi hamparan langit. Bayangkanlah, para pedagang zaman dulu hanya menjadikan buruj-buruj ini sebagai kompas semulajadi ketika belayar di tengah-tengah laut. Berhubung dengan ini, dalam surah (an-Nahl 16: 16) Allah berfirman, “Dan Dia ciptakan tanda-tanda (penunjuk jalan). Dan dengan bintang-bintang itulah mereka mendapat petunjuk”.

Keesokan harinya saudara, aktiviti ‘snorkling’ dijalankan. Hehe… ni ‘first time’ aku ber’snorkling’, walaupun sekejap je dalam laut, ‘at least’ nanti bila orang tanya“kau join tak?” Aku akan jawab “mestilah join”. (fobia dgn air masih menghantui walau ada jacket renang huhu…).

sl382817

Ketika ‘snorkling’, kita akan nampak hidupan yang menginap di dalamnya walau tak semua boleh dilihat. Di sekitar pengairan Pulau Perhentian ini terdapat habitat penyu dan yu selain ikan-ikan laut yang lain. Air bagi hidupan tersebut sangat penting kerana di situlah habitat mereka. Tanpa air, mereka tak mampu untuk hidup. Begitu juga dengan kita, air merupakan instrumen penting untuk kita hidup. Pakar-pakar biologi juga bersepakat menyatakan air adalah asas kepada kehidupan (Quran Saintifik, Dr. Danial Zainal Abidin). Firman Allah swt bermaksud “Dan daripada air kami jadikan segala sesuatu yang hidup.” (surah al-anbiyak21:30).

Begitulah sedikit coretan pengalaman di Pulau Perhentian untuk dikongsi bersama. Mudahan ada manfaatnya, InsyaAllah…

Kau Seorang Pelayu

(untuk mereka yang seagama dan sebangsa denganku)

Bicara kau terkadang dusta

Semuanya pasti akan dibenar

Kerna mengampu atau terpaksa

Semuanya di bawah engkau

Siang malam asyik melaung

Jeritnya mahu bela bangsa, agama

Mengaku pendekar, laksamana

Tapi watak apakah ini

Bila mana bahasa kau ragui

Islam diperbuat kosmetik

Hak istimewa entah hak siapa

Raja kau peralat

Untuk bangsa, untuk agama?

Entah…tidak tahu…

Dengan sendiri menjadi keliru

Tapi…

Di sini jiwa mula berputik

Tekad dengan sekuntum ingatan

Darah mengalir jangan ditumpahkan

Dengan keris pusaka dahulu

Dedaun muafakat jangan kau bakar

Dengan kayu api perkauman

Sebaliknya…

Jika benar sayangi bangsa,

Jadilah pejuang bahasa sejati

Pastikan Islam dihayati diteladani

Pertahankan hak tanpa menafi

Nilai ketuanan bersama

Sanjungi Raja memayungi rakyat

Jika tidak…

Usah lagi kau berdrama

Berlakon di pentas rakyat

Kerna mereka akan tahu

Kau seorang pelayu

Yang layukan pepohonan maruah bangsa

Blok M, Kampus Kusza (15 April 09)

Benarkah orang kita malas?

Malas adalah salah satu sikap yang negatif. Saudara, apa punca malas? Puncanya ialah apabila seseorang itu tidak melihat kepentingan sesuatu perkara yang perlu dilakukan. Dia rasa benda tu tak penting, maka malaslah jawapannya. Aku sendiri tak nafikan kadang kala timbul juga rasa malas ni (terutama bila nak siapkan ‘lab report’). Astaghfirullah…minta Allah kuatkan semangat kita untuk melawannya.

Aku ada terbaca dalam satu buku tajuknya ‘Petani dan Persoalan Agraria’ (Dr. Wan Hashim,UKM) yang ada mengupas isu malas ini. Beliau tidak setuju dengan pandangan beberapa pemikir barat yang sememangnya ‘western centric’ yang sesedap hati melabelkan orang melayu sebagai pemalas. Katanya, sikap pemalas inilah menjadi punca kemiskinan dan kemunduran orang melayu yang rata-ratanya adalah petani.

nelayan balik

Tidak kurang juga di kalangan orang tempatan yang berjawatan yang mengkritik serta memandang rendah dan hina terhadap golongan petani miskin. Golongan ini menurut Frantz Fanon dipanggil sebagai ‘black skin with white mask’. Kulit sama warna dan sebangsa dengan petani tapi cara fikir dan hidup macam orang barat (seperti JAHA dalam filem Budak Kelantan). Golongan ini mentang-mentanglah dah ada jawatan yang sedap-sedap, tetapi sombong dan angkuh bahkan memperlekehkan golongan petani yang miskin yang dianggap malas.

Kalau satu masa dahulu golongan petani ini berdemostrasi dan tunjuk perasaan kepada kerajaan kerana dah tak tahan dengan derita dan sengsara kehidupan mereka, maka cepat-cepat golongan yang sebangsa dengan petani ini tanpa segan silu menembak dan menyembur gas pemedih mata. Kalau petani miskin ini meneroka tanah baru setelah puluhan tahun memohon, maka akan ada pegawai yang sebangsa dengan petani ini akan arahkan rumah-rumah dirobohkan dan dihalau dari penempatan tersebut. Sedangkan, sudah menjadi hak asasi bagi rakyat untuk mendapatkan tanah apatah lagi golongan petani miskin yang benar-benar memerlukan tanah walaupun  hanya sekangkang kera. Semua ini akan dan terus berlaku apabila kurangnya kesedaran akan keperitan hidup si miskin yang terlantar.

petani lama


Berbalik pada persoalan malas, isu ini dah pun dikupas dan dijawab oleh Syed Hussein Al-Attas dalam karya beliau yang bertajuk ‘The Myth of The Lazy Native’. Tapi apa yang nak disebut di sini saudara, golongan kapitalis-kolonial barat dan kroni-kroninya di zaman penjajahan dulu tak habis-habis mengaitkan keengganan orang melayu bekerja di estet adalah berpunca dari faktor malas.

Kita nak jawab. Bagitahu pada puak-puak ni, keengganan orang melayu bekerja di estet disebabkan oleh keadaan pekerjaan yang tak ubah seperti tahanan perang dan hamba tawanan, gaji yang terlalu murah dan tempat kerja yang berisiko. Dilaporkan pada akhir abad ke-19, sebanyak 20% migrant cina dan india yang diimport mati akibat malaria di estet-estet milik puak kolonial. Buat apa orang melayu bersusah payah nak kerja estet sedangkan kerja pertanian di kampong lebih terjamin waktu itu. Sedar atau tidak saudara, siapa yang berperanan besar memastikan padi-padi ditanam, ikan-ikan ditangkap dan lembu, kambing diternak kalau tidak orang melayu. Kalau orang melayu jenis pemalas, akibatnya mati kebulurlah para pegawai kolonial dan pekerja estet mereka yang “rajin” itu.

petani

Brien Parkinson, salah seorang penulis Barat, lagi teruk. Ada ke patut dia kaitkan kemunduran orang melayu berpunca daripada agama Islam. Yang ni lagi aku angin. Kita nak tanya pada dia, kenapa ramai di kalangan orang Islam yang jadi hartawan dan jutawan? Apakah masih menjadi salah Islam apabila ramai rakyat di India, Filipina, Thailand, Burma pada waktu tu yang juga miskin melarat? Adatlah dalam mana-mana Negara sekalipun kalau ada yang kaya, pasti ada yang miskin.

Negara sosialis seperti China, Russia, Cuba, Vietnam dan Poland, para petani mereka tidak lagi dipandang rendah bahkan mendapat tempat istimewa dalam masyarakat. Mereka berjaya menggulingkan orde pemerintah yang selama ini menghina dan memeras tenaga mereka dengan cara revolusi senjata. Dalam konteks Negara kita yang mendukung semangat Demokrasi, tak perlulah angkat senjata untuk satu perubahan, tetapi yang perlu diangkat ialah agenda perubahan minda atau ‘mind revolution’ yang mana kita mahu merevolusikan sikap dan persepsi komuniti yang memandang negatif dan sepi terhadap petani dan bangsa sendiri.

you-can-change

Bagi pemerintah, golongan elit dan pegawai atasan, jangan kamu sombong dan mengherdik petani miskin kerana kamu mesti ingat kalaulah seluruh petani ini memboikot untuk tidak bertani, silap hari bulan kamu pula akan masuk kampung merintih dan merayu minta sesuap nasi dan lauk untuk dimakan. Bagi graduan yang masih mengangur pula, jangan malu untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian. Cuba kita tanamkan sikap yang positif untuk sama berkerja membangunkan sektor ini.

3d world

Zaman dulu, golongan petanilah orang disebalik tadbir yang kuat kerjanya dan bertungkus-lumus menghasilkan produk pertanian dan makanan buat memenuhi keperluan mereka dan orang lain . Untuk itu saudara, orang melayu generasi yang lalu telah buktikan bahawa mereka bukan bangsa pemalas seperti yang didakwa. Jadi, bagaimana pula dengan generasi sekarang?

21 Sudah

Alhamdulillah, kini dengan izin Allah aku diberi peluang untuk mencapai ke usia ini. Sedar tak sedar rupanya dah 21 tahun aku hidup atas dunia ini. Kalau nak direnungkan kembali, apa yer yang dah aku buat selama ini dan kalau nak fikir (kalau rajin) apa pula idea perancangan untuk masa depan (boleh daftar mengundi dah lepas ni hehe…).

Dalam Islam, masa adalah nyawa (7 Formula Individu Cemerlang, Dr Danial Zainal Abidin). Apa tidaknya, masa kita di dunia fana ni saudara, bergantung kepada selama mana nyawa ini masih bercantum dengan jasad. Ringkasnya, tak der nyawa tak der la masa kita di sini. Lagipun, nyawa tak boleh diganti, begitu juga dengan masa.

nyawa-nyawa-ikan

Apa guna nyawa ini saudara?

Kurnian nyawa atau roh ini pada manusia adalah berbeza dengan nyawa pada makhluk lain seperti binatang . Kita dihidupkan dengan agenda dan matlamat yang telah ditetapkan. Hadirnya kita atas muka bumi ni tidak hanya untuk makan, tidur, kahwin, dan sebagainya tetapi punyai beban tanggungjawab yang jauh lebih besar untuk dipikul.

Pernahkah kita berfikir sejenak tentang 3 persoalan ini (BUKAN soalan exam nii): Pertama,dari mana kita datang? kedua, untuk apa kita datang? dan ketiga, ke mana kita selepas ini? Menjawab semua persoalan ini penting kerana setiap jawapan tersebut akan membawa kita kepada hakikat sebuah kehidupan.

470055329l

Soalnya, di manakah jawapan bagi persoalan2 di atas? Kalau itu soalan SPM, jawapannya boleh tanya lembaga peperiksaan…kalau soalan ‘final exam’ (tak lama lagi), jawapannya pada pensyarah…kalau soalan tadi, jawabnya kena rujuk kepada Tuan yang menciptakan kita, Allah swt melalui Islam yang diturunkan.

Dalam konteks kita sebagai Mahasiswa, setelah menginsafi akan peranan kita yang sebenarnya sebagai manusia, sudah pasti kita mahukan yang terbaik bagi mengisi waktu dan masa yang ada. Aku melihat keberadaan kita dalam institusi pengajian tinggi ini seharusnya mampu membuka minda kita untuk berhadapan dengan realiti semasa. Status sebagai Mahasiswa tidak sama dengan taraf budak sekolah. Mahasiswa sebaiknya perlu diberi sepenuhnya ruang untuk mereka berfikir, menganalisis dan bertindak di bawah kapasiti ilmu dan sikap yang rasional.

knowledge

Jika datang kepada kita sesuatu isu (tak kira la isu politik ke, ekonomi ke,fikrah agama ke,) budaya berfikir dan menganalisis tadi perlu disuburkan untuk diterjemahkan melalui tindakan. Bukannya dihalang, diugut dan dipaksa untuk mengikut sebelah pihak sahaja (jadi pak turut semata-mata). Jika berlaku perselisihan atau bangkangan, maka kita buka pintu perbincangan dan berhujahlah dengan baik. Jika kita bercakap soal ilmu demi faedah insan, soalnya, ilmu yang bagaimana yang beri faedah kepada insan? Jawabnya saudara, ilmu yang diamalkan dan yang dibudayakan.

dare

Berguni-guni ilmu kita pikul dari bilik kuliah, ada atau tidak secebis daripadanya kita manfaatkan untuk masyarakat di luar sana?

“Kejujuran adalah kebenaran,

Keraguan adalah kebatilan,

Rasa malu adalah benteng,

Ilmu adalah hujah dan

Diam adalah hikmah…”

(La Tahzan, Dr Aidh Abdullah Al-Qarni)