Himpunan ‘Haram’ vs ISA

Lawan bagi adil adalah zalim. Dalam agama Islam, umatnya dituntut supaya tidak terjebak dengan unsur-unsur kezaliman. Kita bukan sahaja diharamkan untuk melakukan kezaliman, bahkan kita juga diseru untuk tidak cenderung yakni membantu, menyokong, merestui dan bersubahat dengan kezaliman (rujuk Tafsir Pimpinan ar-Rahman)

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, sehingga kamu tidak akan diberi pertolongan”.( surah Hud11;113).

Apa makna zalim saudara?

Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Kalimah sesuatu itu pula boleh dikaitkan dengan pelbagai perkara. Secara analoginya, apakah patut untuk kita mengisi air ke dalam tangki minyak motosikal sebagai alternatif  kepada minyak petrol? Sudah pasti saudara, ianya bukan sesuatu yang seharusnya dilakukan. Jika hendak juga dipertahankan kaedah itu, maka akan punah jahanamlah motosikal kita. Daripada hendak berjimat membawa kepada kerugian besar.

-isa-haram-or-halal

Begitulah sedikit gambaran kepada pengertian zalim. Barangkali kita merasakan apa yang kita lakukan itu adalah untuk kebaikan semua, tetapi malangnya, ia sebenarnya menggangu atau menceroboh hak orang lain. Hak yang sepatutnya dihormati, tetapi kita gagal meletakan hak itu pada tempatnya dengan menafikan hak orang tersebut.

Oleh itu, akan timbul satu persoalan saudara. Apakah panduan atau indicator kita dalam menentukan sesuatu perkara itu baik atau sebaliknya.? Mungkin, pada kita baik tetapi betulkah ia benar-benar baik?

Sebagai muslim saudara, kita punyai prinsip yang harus kita pertahankan sebagai tanda ketaatan kita kepada Rabbul Jalil dan juga sebagai kesetiaan kita terhadap agenda Islah yang dibawa Nabi saw kepada umatnya.

mansuhkan-isa

Sebab itu, kita berbeza dengan fahaman Humanism. Bagi mereka, apa sahaja yang mereka fikirkan baik, maka ia akan diiktiraf sebagai baik. Oleh hal demikian, mereka boleh mengatakan bahawa, menjual maruah dengan mengkomersialkan tubuh badan bagi tujuan pemasaran adalah baik sebenarnya, kerana ia adalah untuk meningkatkan jualan dan melipat gandakan keuntungan.

Bagi kita, penentuan sesuatu itu baik atau sebaliknya adalah terletak pada lembaran wahyu Al-Quran dan risalah hadith nabi saw. Inilah rujukan agung umat Islam dalam mengharungi bahtera kehidupan. Kita tidak akan sesat atau karam apabila bersama dengan panduan ini. Matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Jangan disebabkan keuntungan dunia yang sedikit, kita menolak hukum haram dan halal yang telah ditetapkan di dalam Islam.

serang!!

Menyentuh tentang isu perhimpunan memansuhkan ISA baru-baru ini, ramai jugalah ahli politik mahupun cerdik pandai yang tampil memberi pandangan dan justifikasi tentang perhimpunan tersebut sama ada mereka menyokong atau tidak. Pihak penganjur perhimpunan iaitu GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) tetap dengan pendirian mereka untuk membuang akta drakonian tersebut atas sebab bertentangan dengan hak asasi manusia dan tidak menepati ruh syariat Islam.

Bagi pihak kerajaan pula, mereka tetap bertegas dengan kalimah HARAM merujuk kepada perbuatan berhimpun tanpa permit. Maknanya, permitlah pengukur halal haram sesuatu perhimpunan walaupun aman. Jadi, yang mana yang betul ini. ISA itu yang HARAM ke atau berhimpun itu yang HARAM. Adakah ISA itu lebih haram berbanding berhimpun secara haram atau himpunan haram itu lebih haram daripada ISA. Maka yang pening nanti saudara, adalah rakyat.

berbaris

Oleh sebab itu saudara, aku secara peribadi berpandangan bahawa pihak mufti atau Majlis Fatwa Kebangsaan harus mengambil satu tindakan yang konkrit dalam mengatasi dilemma dan kemelut ini. Mereka perlu bangkit dengan mempunyai pendirian jelas bagi menyelesaikan isu ini secara tuntas tanpa menyebelahi mana-mana pihak. Rujukan mereka dalam menentukan sama ada ISA itu Zalim atau tidak atau menganjur dan menyertai sebarang perhimpunan itu dibolehkan atau tidak, sudah pastilah bersandarkan hukum ISLAM.

Kalau ISA itu benar-benar zalim, maka katakanlah zalim dan perlu dimansuhkan. Dan kalau berhimpun itu dibolehkan sebagai langkah akhir dalam menyatakan bantahan, maka katakanlah ianya dibolehkan. Kita amat mengharapkan supaya institusi ulama kita berani dan tegas dalam menegakkan yang hak dan meruntuhkan yang bathil. Dengan ini saudara, mereka seterusnya akan menjadi penyelesai masalah ummah yang kian resah diulit mehnah dan cabaran. Jesteru, pastikan agama ini jangan dibiarkan berkurung di atas kerusi empuk di bilik berhawa dingin sedangkan  ummah kepanasan menitiskan peluh kejahilan .

Leave a comment