sabar deh…

“Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang SABAR”

(Surah Al-Baqarah 2:153)”

Saudara, seperti yang dijanjikan, kali ini aku ingin berbicara soal sabar. Saudara mungkin lebih arif dari aku tentang segunung kisah-kisah sabar tatkala kita melihat dan  mengungkapkan lembaran sejarah  yang pernah terpahat sebelum ini.

Sabar dalam menuntut ilmu, sabar ketika berdakwah, sabar dalam memimpin, sabar terhadap keluarga, jiran dan masyarakat, sabar menghadapi ujian dan kesusahan dan pelbagai lagi bentuk sabar (tak kurang juga kisah orang-orang yang tak sabar).

Aku tidak mahu menyebut mana-mana kisah atau cerita yang bertemakan kesabaran kerana barangkali mungkin kisah sabar itu juga pernah terjadi pada diri kita sendiri sebelum ini tetapi dalam bentuk yang lain. Oleh hal demikian, di sini aku hanya ingin mengutarakan mutiara-mutiara kata yang ditinggalkan oleh para sarjana Islam berkenaan dengan sabar.

Meskipun hidup ini walau bagaimana keadaannya, kita sebagai hamba Allah pasti perlu berusaha untuk melaksanakan segala perintah Allah seikhlas mungkin dan diiringi dengan keutuhan jiwa untuk menjauhkan diri daripada laranganNya.

Jesteru, Al-imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam Miftahu Daar As-Saadah (Kunci Kebahagiaan) pernah menyatakan;

“Jadi, ada hikmahnya Allah SWT di balik ujian dan cubaan yang ditimpakan kepada para nabi, rasul, dan hamba-hamba-Nya yang beriman. Hanya saja hikmah itu tidak terjangkau oleh akal manusia. Bukankah orang-orang yang mencapai kedudukan (maqam) tinggi dan cita-cita yang mulia hanya mencapai itu semua melalui jambatan ujian dan cobaan? Demikianlah ketinggian itu. Jika kamu ingin mendapatkannya, maka menyeberanglah ke sana melalui jambatan kesusahan.”

Apa yang dapat difahami, jarang sekali kita mendengar kisah mereka yang berjaya tidak kira apa bidangnya, berjaya tanpa perlu melalui dan menghadapi liku-liku kesusahan dan kepayahan. Walaubagaimanapun, semua ujian ini ada hikmah disebaliknya dan mampu untuk dihadapi sebenarnya.

Saudara, kadang kala terdetik dalam hati kita untuk melakukan sesuatu kebaikan. Dalam masa yang sama, kebaikan yang diusahakan itu ada kalanya diselubungi dengan pelbagai cubaan dan kekangan. Maka, di sinilah Al-imam Al-Ghazali ketika menulis surat kepada Nizamuddin Fakhrul Mulk (wazir Saljuk), beliau menyatakan;

“Tidak satu pun saat yang telah lalu boleh dikembalikan, kerana dalam perbendaharaan Allah jumlah nafas bagianmu sudah tertentu dan tidak boleh ditambah. Ketika kehidupan telah berakhir, tidak ada lagi lalu-lintas ruhaniah yang mungkin kau peroleh. Karena itu, apa yang engkau kerjakan, kerjakanlah sekarang.”

Untuk pengetahuan saudara, kandungan surat tersebut merupakan ringkasan daripada kitab Ihya Ulumuddin karya beliau.

Hidup di dunia ini hanyalah sekali. Hidup sekali inilah diperlukan oleh kita untuk hidup di akhirat nanti. Kalau baik amalnya di dunia dulu, maka baik jugalah hidupnya di akhirat. Sebab itu, benda yang baik janganlah ditangguh perlaksanaannya dan jika sudah dilaksanakan maka ia perlu disusuli dengan kesabaran.

Hindarilah saudara sikap terburu-buru dan gelojoh. Ini kerana, menurut Dr. Aidh Al-Qarni di dalam kitab beliau, La Tahzan (Don’t Be Sad) menyatakan;

“Emosi yang tak terkendali hanya akan melelahkan, menyakitkan, dan meresahkan diri sendiri. Sebab, ketika marah, misalnya, maka kemarahannya akan meluap dan sulit dikendalikan. Dan itu akan membuat seluruh tubuhnya gemetar, mudah memaki siapa saja, seluruh isi hatinya tertumpah ruah, nafasnya tersengal-sengal, dan ia akan cenderung bertindak sekehendak nafsunya.”

Maka, penawar bagi sikap di atas menurut Dr. Aidh adalah dengan mengawal emosi dan bersikap rasional;

“Barangsiapa mampu menguasai emosinya, mengendalikan akalnya dan menimbang segalanya dengan benar, maka ia akan melihat kebenaran, akan tahu jalan yang lurus dan akan menemukan hakikat”

Oleh itu, jelaslah kepada kita saudara, formula paling berkesan dalam membantu kita menjalani cabaran hidup ini sebenarnya, wujud dalam diri kita sendiri. Apa yang perlu dibuat ialah berusaha menjelmakannya supaya nanti kita dapat merasai akan nikmat hidup  ber’ujian’ dan ber’dugaan’.

“Sesungguhnya ilmu itu didapati hanya dengan belajar, dan kesabaran itu diperoleh hanya dengan latihan.”

Advertisements

Ujian Sakit

Ada orang kata, ketika sakit barulah kita tahu akan nikmat sihat. Bila kita kesempitan barulah kita menyedari akan nikmat keluasan masa yang ada. Bila kita keseorangan, ketika itu baru disedari akan nikmat hidup berteman.

Saudara, kadang kala kita jarang terfikirkan tentang nikmat yang diberi oleh Allah swt kepada kita. Kita sering lupa dan alpa dengan bermacam nikmat yang dikurniakan tatkala ingin mengejar kemewahan dunia semata. Dalam Islam, kita tidak disuruh untuk meninggalkan atau melupakan dunia seperti mana firman Allah yang bermaksud:

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”

(surah Al-Qasas 28:77)

Jelaslah saudara, dunia perlu dicari dan akhirat pun perlu dicari. Mencari dunia bukan untuk melupakan akhirat dan mencari akhirat bukan bermakna melupakan dunia. Yang perlu kita fahami ialah bukan persoalan dunia yang menjadi masalah tetapi soal dosa.

Apabila kita gagal menghubungkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat, maka di situlah menjadi punca segala kerosakan dan kebobrokan. Manusia yang hidup tanpa panduan akan hidup sesuka hati dia tanpa mempedulikan soal dosa dan pahala. Seolah-olahnya kehidupan di dunia ini adalah segalanya.

Kalau dia rasa nak rasuah, dia akan rasuah untuk komisen ratusan juta. Kalau dia nak bunuh orang, dia akan upah untuk membunuh. Kalau dia syok mengumpat dan fitnah orang, habis semua orang jadi mangsa. Kalau nak zalimi orang dengan kuasa yang ada, yang jadi hak pun akan dinafikanya.

Banyak lagilah perangai manusia yang tak sedar diri ni dek kerana lupa bahawa segala yang dilakukannya sepanjang hidup bakal dihitung oleh Allah di akhirat nanti. Firman Allah yang bermaksud:

“Pada hari ini, kami tutup mulut mereka, tangan mereka akan berkata kepada kami, dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.”

(surah Yasin36: 65)

Berbalik kepada isu nikmat tadi, ternyata Allah taala itu Maha Pemurah dan Maha Penyayang kerana terus menerus mengurniakan pelbagai macam nikmat sama ada kita sedar mahupun tidak. Tetapi, ada kalanya Allah taala menarik sedikit nikmat tersebut sebagai contoh dengan memberikan kita sakit seketika.

Kesakitan itu bukan bermakna Allah taala membenci kita, sebaliknya sakit itu sebenarnya adalah sebagai satu ujian bagi membuka minda dan hati kita untuk mengkoreksi diri dan seterusnya menginsafi bertapa kerdilnya kita di dunia ini.

Ingatlah saudara, kalau sakit itu adalah ujian untuk membawa kita kepada erti kesabaran dan keinsafan maka, nikmat pula adalah ujian untuk mengajak kita ke arah makna kesyukuran dan ketundukan.