Rasulullah & Sains

Riuh satu Malaysia tatkala mendengar sebilangan umat melayu Islam yang berkokok mempertahankan upacara perarakan sempena Maulidurasul. Seolah-olahnya, tak lengkap sambutan kalau tidak berarak.

Pada aku saudara, isu nak berarak ke, tak mau berarak ke, itu semua isu kecil. Tak menjejaskan Islam pun. Tetapi, isu yang lebih penting untuk kita bicara ialah isu umat yang semakin hari semakin melupakan Nabi SAW. Melupakan ajaran dan sunnah yang ditinggalkan kepada kita.

Kita sebagai muslim, pasti tahu bahawa perutusan Nabi SAW kepada kita oleh Allah SWT adalah sebagai rahmat (rujuk surah Al-Anbiya 21:107). Rahmat itu bukan sahaja menguntungkan kita sebagai muslim, bahkan memberi faedah kepada manusia lain dan seluruh isi alam sama ada di bumi mahupun di langit. Itulah rahmat ISLAM. Rahmat untuk semua.

Jadi saudara, apakah kita hari ini benar2 memahami Islam yang diperjuangkan oleh Nabi SAW ini?

Jawabnya, tepuklah dada tanyalah Iman kita.

Baiklah saudara, sempena maulidurasul ini, aku ingin berkongsi sesuatu tentang kisah Nabi SAW yang punyai kaitan dengan ilmu Sains. Ilmu yang kita belajar hari ini.

Barangkali di luar sana ada beranggapan bahawa Sains itu adalah ilmu secular. Sebab apa? Sebab ia dijadikan pendidikan yang paling utama di Barat. yang sememangnya menolak agama. Sungguhpun begitu saudara, aku berpendirian bahawa Sains bukanlah ilmu secular kerana perkara yang berkaitan sains ini banyak dibicarakan di dalam Al-Quran dan hadith bahkan usaha mencetuskan ilmu ini secara meluas pernah berlaku dalam tamadun Islam. Cuma, dalam konteks hari ini, Sains yang kita belajar di sekolah dulu macam di barat, iaitu tidak menghubungkan kaitannya dengan agama, dengan Islam.

Kalau saudara ingin melanjutkan perbahasan tentang Sains & Islam, maka aku sarankan saudara menelaah buku-buku karya Dr Danial Zainal Abidin seperti Quran Saintifik, karya penulis Harun Yahya dan buku The Bible, The Quran and Science oleh Dr.Maurice Burcaille.

Saudara, pernah satu ketika dahulu, Nabi SAW menegur tindakan para sahabat yang mengacukkan pohon-pohon tamar tanaman mereka (apa yang dibuat para sahabat ini adalah salah satu teknik di dalam ‘Plant Breeding’). Maka, para sahabat pun berhenti daripada mengacukan pohon2 itu demi menghormati Nabi SAW.

Kemudian, didapati bahawa produktiviti pohon2 tamar itu tidak banyak seperti sebelum ini. Hal ini diadukan kepada Nabi SAW dan baginda menyuruh supaya para sahabat tadi meneruskan semula teknik mengacuk seperti yang diamalkan sebelumnya, kerana terbukti bahawa teknik mengacuk pohon tamar itu lebih berproduktiviti. Lantas Nabi SAW bersabda “Kamu lebih tahu mengenai urusan dunia kamu”. Kisah ini berpandukan Hadith Riwayat Imam Muslim.

Apa yang kita dapat fahami saudara, Nabi SAW mengiktiraf sebarang penemuan serta kajian (thesis) yang diputuskan melalui pengamatan (observation) serta bukti (evidence) yang sahih. Dengan kata lain, Nabi SAW tidak menolak ilmu Sains yang punyai asasnya di sudut duniawi.

Secara tidak langsung, ini mengambarkan kepada kita bahawa, Islam amat mementingkan bukti dan dalil. Sebelum kita memutuskan sesuatu perkara, kita perlu melihat kepada bukti dan dalil yang ada dan bukannya berdasarkan sentimen, emosi dan taklid buta semata-mata. Jelaslah saudara, disiplin ilmu Islam yang amat mementingkan bukti dan dalil sebagai keutamaan turut dipraktiskan oleh para saintis dalam mengesahkan kajian sains mereka.

Sebelum ini, aku juga pernah terfikir, apakah ilmu Bioteknologi Pertanian yang aku sedang belajar sekarang ini menepati ajaran Islam? Apakah kita boleh mengubah ciri2 (traits) sesuatu tanaman, buahan, ternakan atau sayuran yang telah pun dicipta sempurna oleh Allah? Apakah bidang ini bertentangan dengan kehendak Allah?

Tidak bolehkah kita menghasilkan lembu yang banyak daging dan susunya? Mangga yang manis dan tebal isinya? Kelapa sawit yang banyak minyaknya? Getah yang tinggi kandungan lateksnya? Udang putih yang tahan penyakit? atau Ubi gadong yang tidak lagi bertoksik?

Persoalan ini akhirnya terjawab melalui kisah hadith yang disebut tadi yang mana para ulama mengambil pendekatan mengharuskan aplikasi bioteknologi ini selagi mana ia tidak memudaratkan manusia dan ia digunakan sebagai alat untuk memberi faedah kepada manusia khususnya dalam usaha meningkatkan produktiviti dan mutu hasil pertanian tersebut.

Ya saudara, Sains hanyalah alat untuk menceritakan proses-proses alam yang berjalan mengikut sunnatullah atau ketetapan yang Allah beri kepada setiap sesuatu yang diciptakanNya. Itulah bukti kekuasaan Allah bagi mereka yang mahu berfikir.

Apa Dia HACCP?

Satu tabiat aku saudara, aku kalau ikut abah pergi pasaraya, sambil2 pilih barang-barang yang hendak dibeli, aku selalunya gemar melihat maklumat tentang sesuatu produk. Yang biasa aku tengok logo halalnya, tarikh luput, pengeluar dan pembuat produk itu dan juga kalau rajin, baca sedikit tentang info nutrisinya.

Dan apabila kita selalu meneliti, maka kita akan perasan bahawa ada juga sesetengah produk itu mendapat logo pengiktirafan sijil GMP (Good Manufacturing Practice). Tetapi saudara, ada satu lagi logo pengiktirafan yang sebilangan kecil produk sahaja yang ada iaitu HACCP.

Jadi, benda apakah HACCP ini?

Maka, bagi mendapatkan jawapan, suatu hari aku pernah bertanya kepada seorang penuntut dalam jurusan teknologi makanan di UDM. Jesteru, jawab dia dalam” sms”:

*“…Hazard Analysis Critical Control Point. npe?.”

Aku tanya lagi, untuk apa benda HACCP ini?

Jawabnya lagi:

*“Mcm nk kwal mutu sstu mkanan r. Dr segi kualiti. Slmat ke x pengguna nk mkn mknan 2. Haccp ni dlakukn dlm process nk jdkn mknan 2.cre kbrshan, nk hlangkn microb cm 2. Kne kwl suhu…”

Aku mengajukan lagi persoalan, apakah susah nak mendapatkannya.

Dia menjawab:

*”Nk dpt haccp ni ssh la. Kne pastikn klang 2 m’cpai piawaian yg dorg ttpkn. Cm klang yakult r. Tmpt process sstu produk, para pekerja.suma kne b’sih dr hbuk, microb2.cm gitu ler yg teman tau…”


Tapi aku masih mahu bertanya, kalau begitu ketat cara pemprosesan produk semata-mata nak mempastikan produk yang dihasilkan itu selamat dan bersih, apakah produk yang tak melepasi haccp ini tidak selamat?

Lalu dia menerangkan lagi:

*“Bkn x slmat ler. Ni tman nk kabo. Ssh bebenor nk dptkn haccp ni, syrkt2 besar yg da tech cggh, da pkr2 nyer.cm yakult 2. Bru ler dpt. 2 pn bru je dorg dpt. Nk cpai piawaian kualiti yg phak haccp ttpkn. Gak ssh ler. Mknan yg xda haccp 2 x smstinya x slamat. Lau x, rmi ler org keracunan…”

Oklah saudara, kita dah dapatkan sedikit gambaran apa yang berkaitan dengan HACCP ini. Apapun, kita sebagai pengguna mesti ambil tahu dan perihatin dalam isu kepenggunaan ini. Sebab, kalau kita lihat hari ini bermacam-macam kes keracunan, pemalsuan logo halal, maklumat nutrisi atau kandungan makanan yang mengelirukan dan sebagainya berlaku. Jadi, sebagai pengguna mahu atau tidak, kita kena faham hak kita sebagai pengguna.

Saudara, aku pernah juga  membaca Buku Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang berkenaan dengan produk Halal dan Haram. Bagi aku, buku ini sekurang-kurangnya membuka mata dan persepsi kita terhadap apa sebenarnya yang terkandung dalam produk yang didakwa halal itu. Benarkah ianya benar-benar halal menurut syariat? Maka buku tersebut boleh menjawabnya.

Selain halal, kebersihan juga perlu dititik beratkan dalam pemprosesan sesuatu makanan. Sebab itu Islam mengajar kita supaya mencari rezeki yang “Halalan Thoiyibba” yakni yang halal dan baik. Baik dari segi kebersihannya, kandungannya, kualiti dan mutunya.

Bercerita tentang makanan ini saudara, jangan kita tahu makan saja, tetapi alangkah baiknya, kalau sambil2 makan tu tak salah kiranya kita merenung dan memikirkan akan asal usul makanan itu sebelum ia sampai kepada kita. Bukankah Allah menyuruh kita melihat dan berfikir tentang apa yang ada di sebalik makanan yang menjadi rezeki kita itu?(rujuk surah ‘Abasa 80:24) Melalui makanan, manusia kenal akan Tuhannya.

Sebagai kesimpulan, disini aku nyatakan antara kebaikan HACCP terhadap industri makanan dalam Negara kita yang aku ambil dari laman web Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antaranya:

  • Mengurangkan kekerapan pemeriksaan kawalan ke atas premis dan sampel makanan.
  • Memperkukuhkan lagi jaminan keselamatan makanan yang dihasilkan oleh sesebuah premis makanan.
  • Memenuhi keperluan dan kehendak global dalam isu ‘food safety’.
  • Mempromosikan penerimaan produk makanan yang dihasilkan di bawah sistem HACCP sama ada dalam Negara atau luar Negara.
  • Memperkukuhkan potensi pasaran bagi produk yang mendapat pengiktirafan HACCP.

(*di ambil secara terus dari sms)

Orang Muda Geng Masjid

Azan maghrib berkumandang. Aku bergegas untuk mensiapkan diri bagi menyahut seruan yang sayup-sayup bergema dari surau berhampiran.

Tatkala aku melewati di pinggir padang bola berdekatan, kelihatan sekumpulan anak-anak muda (yang tua daripada aku pun ada) berkumpul dalam halaqah(macam usrah jer hehe) berehat sambil berbual-bual dengan rakan seperjuangan yang lain.

Saat itu saudara, terlintas di benak fikiranku, tidak terdetikkah di dalam jiwa muda mereka, satu perasaan, satu desakan, (satu Malaysia hehe), untuk menyahut panggilan hayya a’la solah…

Kalau kaki tadi begitu lancar dan gagah untuk membawa, mengelecek dan mem’passing’ bola ketika bermain, mengapa kaki yang sama tidak digunakan bagi mengorak langkah menuju ke masjid?

Satu kerugian saudara.

Mana tidak rugi, badan fizikal anak muda ini boleh dikerah dan berstamina untuk bermain tetapi badan fizikal yang sama tidak dikerah dan disedarkan akan penjanaan kekuatan spiritual, kekuatan dalaman.

Nak menunding jari, ya, semua pihak salah dan mesti bertanggungjawab. Tetapi sedarkah kita bahawa dalam masyarakat kita hari ini, wujud atau tidak program memperkasakan institusi masjid atau surau untuk golongan belia dan remaja? Ada atau tidak satu mekanisma untuk menggalakan para belia remaja kita mendampingi masjid?

Alhamdulillah, sejak belakangan ini, hampir setiap masjid dan surau di Selangor diimarahkan dengan pelbagai program ilmu dan tarbiyah. Sungguhpun begitu, sambutan dari golongan belia remaja amatlah kurang memuaskan.

Oleh itu saudara, aku ingin berkongsi serba sedikit cadangan aku sebagai sebahagian dari golongan belia ramaja ini.

Alangkah baiknya jikalau pihak masjid atau surau membuka satu ruang kepada golongan belia ramaja ini bagi menganggotai struktur organisasi masjid. Ini boleh dijadikan satu platform yang baik untuk mereka memberi sedikit cetusan idea dalam mencari pendekatan bagi pelaksanaan program khususnya melibatkan golongan belia.

Paling tidak pun mereka ini boleh dimanfaatkan bagi menguruskan laman web atau blog kepunyaan masjid sebagai satu cara interaksi masjid dengan komuniti. Nak canggih lagi, kita gunakan facebook untuk menarik minat golongan belia di tempat kita untuk mereka mengetahui program2 masjid dan seterusnya menarik minat mereka menyertai program dianjurkan.

Seterusnya, satu kelab boleh ditubuhkan yang mana ahli di dalam kelab ini akan menjadi agen-agen masjid. Bukan menjadi agen perisikan, tetapi menjadi agen penyampai maklumat kepada rakan-rakan sebaya mereka. Sebagai contoh, jikalau agen itu masih bersekolah, dia boleh gunakan platform di sekolahnya untuk mewar-warkan segala aktiviti dan program masjid.

Agen-agen ini juga akan diserap untuk bermain bola atau apa sahaja bersama anak-anak muda yang lain setiap petang. Dalam masa bermain, agen ini akan mengajak rakan mereka sebagai contoh untuk membantu jemaah menguruskan aktiviti penyembelihan dan agihan lembu korban. Satu pendekatan baik untuk belia ini duduk di dalam program masjid. (tidaklah hanya dimonopoli oleh golongan berumur saje kan).

Kelab ini juga diberi peranan untuk mengelolakan pelbagai jenis sukan atau aktiviti luar yang hanya melibatkan golongan belia. Boleh sekiranya pihak masjid nak anjurkan pertandingan futsal atau apa sahaja tetapi pendaftarannya dan penyampaian hadiahnya hendaklah dilakukan di masjid. Bagi mereka yang minat menonton bola, daripada mereka melepak di kedai-kedai mamak, tidak salah kiranya pihak masjid buat tayangan bola+jamuan secara percuma, tetapi perlu diselitkan sekali program Qiamulail ringkas dan solat jemaah subuh beramai-ramai.

Tidak lengkap seandainya masjid tidak disertai oleh mereka yang kini bergelar mahasiswa. Sekali-sekala mereka pulang, apa salah kiranya dibuat satu program khusus untuk anak-anak yang masih bersekolah untuk didedahkan tentang suasana dan pengalaman mahasiswa ini sebelum dan ketika mereka di alam kampus. Mereka boleh berkongsi tentang apa sahaja berkaitan dengan alam kampus dan akademik (tak pernah lagi jumpa program ni kat masjid kan). Selain itu saudara, barangkali mahasiswa ini punyai idea atau fikrah, kita boleh manfaatkan mereka untuk berkongsi dengan para jemaah dalam tazkirah khas.

Sekadar itulah yang aku sempat fikirkan saudara. Bagi aku, usaha memperkasakan masjid ini, harus juga dilibatkan golongan belia remaja untuk diberi peranan sewajarnya. Sudah pasti, saudara juga mempunyai cadangan yang lain dalam mencari pendekatan yang sesuai untuk menarik minat golongan belia remaja ke masjid atau surau.

Bukankah saudara, di dalam Hadith, Nabi saw pernah mengkhabarkan antara golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak antaranya ialah anak muda yang hatinya terikat dengan masjid Allah.

Apa pun saudara, berkongsilah dan hebahkan kepada mereka yang bertanggungjawab untuk dipertimbangkan. Semua ini dibuat untuk menyelamatkan anak muda yang mungkin agak terleka di luar sana. Bersama kita menjadikan masjid dan surau di tempat kita sebagai tempat berkumpulnya anak-anak muda. InsyaALLAH…

Depa buat kelakar

AMARAN: Diingatkan bahawa perkara di bawah ini tiada kena mengena dengan mana-mana pihak sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan, anggaplah ia sebagai satu kebetulan.

Kes pertama:

Dilaporkan pada suatu hari bahawa, depa baru sedar yang dua enjin jet hilang. Macam mana boleh hilang? Hanya tuhan saja yang tahu. Cuma setakat ini, seorang sarjan telah dituduh mencuri.. Kalau dua biji telur ayam yang hilang, mungkin kita pun tak perasan, tapi sebesar-besar enjin jet itu, macam tak logik baru hari ini, depa perasan ianya hilang hehe.

Kes kedua:

Pernah jugalah kita dengar kan, depa beli kapal selam. Nak beli kapal selam, bagi kita takpe lah sebab demi pertahanan Negara. Yang kita ragui hanyalah komisennya, macam tak percaya banyak macam itu. Oklah, depa kata semua dah ikut prosedur, Cuma nak sebut kat sini, takde satu pun antara kita nak terpikir untuk buat lawak, beli kapal selam tapi tak boleh nak menyelam. Baik beli rakit hehe.

Kes ketiga:

Meletup bom di satu tempat. Ingatkan letupkan bukit sebab nak bina rumah, tapi yang meletup jasad manusia. Apalah dosa manusia itu hanya tuhan saja yang tahu. Mulanya, kita rasa kes itu kes kecil, tapi bila disiasat, nampaknya macam kes besar. Lepas tu bicara kat mahkamah. Bicara punye bicara, akhirnya terperangkaplah dua pembunuh misteri yang jangan kata muka, mata depa pun kita tak dapat lihat. Tak tau lah kelakar ke tak sebab depa didapati bersalah membunuh dengan tanpa sebab2 mengapa depa membunuh. Saje2 bunuh kot hehe.

Kes keempat:

Kes ni kes lelaki. Kes orang muda lawan orang tua. Orang muda mengaku diperkosa oleh orang tua. Orang tua macam biasalah, nafikan 100%. Maka perbicaraan pun berlaku. Tiada satu pun media yang tak melaporkan. Hingga jenama seluar dalam pun jadi tajuk berita. Yang lawaknya, DNA pemangsa ada pada mangsa. Tapi, 4 doktor kata takde sebarang penetrasi. Macam mana ni? Tak payah fikirlah, ini kan cita lawak hehe.

Kes kelima:

Dalam negara ada negeri. Maka, riuh rendahlah di sebuah negeri miskin, mana tidaknya, perut bumi negeri depa membawa pulangan berbilion ringgit. Tetapi, depa tak dapat apa yang sepatutnya depa dapat. Sebab apa tak dapat? Kita pun pelik. Ya lah orang yang buat akta royalti itu pun dah mengaku yang negerinya layak dapat. Yang kelakarnya, negeri itu tak patut dapat sebab katanya hasil perut bumi itu bertindih dengan negara jiran. Boleh terima ke orang negeri miskin itu, sebab, kalau benar negerinya tak layak, sebab apa negaranya baham semacam hasil itu tiap-tiap tahun hehe…

Kes keenam:

Kali ni media pulak. Tak tau lah. Barangkali nak tukar imej kot. Kalau perasanlah, pernah satu ketika seorang tok guru tua sebut ‘jangan sokong A sebab A Islam Plastik’. Entah macam mana, media ini melaporkan dengan menulis ‘jangan sokong A sebab A Islam sesat macam di Palestin’. Tak faham atau buat2 tak faham tiadalah diketahui. Media yang sama, kecoh lapornya orang ini amik cuti sebab nak lepas jawatan, tapi sebenarnya orang ini amik cuti sebab nak jumpa doktor. Nak lagi nampak kelakar, semua media ada gambar payung biru beserta logonya, tapi ada satu media ini, ada gambar payung biru tapi ‘delete’ logonya. Kenapa? Tanyalah depa hehe..

Tulisan ini tak berniat nak kenakan sape-sape. Siapalah diri ini kan nak komen yang itu dan nak komen yang ini. Tetapi, anggaplah tulisan ini saudara sebagai ajakan untuk berfikir walau dalam keadaan berjenaka. Segala yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu juga adalah kehendakNya tetapi berpunca dari kesalahan kita juga.

AMARAN: Sekali lagi diingatkan bahawa perkara di atas ini tiada kena mengena dengan mana-mana pihak sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Jika ada persamaan, anggaplah ia sebagai satu kebetulan. Sekian hehe…