Gempa Demi Gempa

Kalau saudara perasan, kebelakangan ini terlalu kerap kita mendengar berita-berita berkaitan dengan kejadian gempa bumi yang melanda dunia. Hampir setiap bulan, ada sahaja kejadian gempa bumi (earthquake) sama ada berskala kecil, sederhana mahupun yang besar.

Berikutan itu, aku cuba senaraikan antara peristiwa-peristiwa gempa bumi (tak semua la) yang berlaku di seluruh dunia dari bulan Januari 2010 hingga tarikh post ini ditulis:

Januari

12-01-10 Gempa bumi  berukuran 6.9 skala richter melanda Haiti

20-01-10 Gempa bumi berukuran 5.8 skala Ritcher telah berlaku di kepulauan Cayman

25-01-10 Gegaran kecil dilaporkan dirasai di Batu Niah dan Suai di Sarawak berikutan gempa bumi berskala rendah, 3.2 skala Richter.

31-01-10 Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.3 pada skala Richter dikesan di selatan Sumatera.

Febuari

07-02-10 Satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter berlaku di barat daya kepulauan Ryukyu, Jepun.

09-02-10 Gempa bumi dengan kekuatan 5.7 pada skala Richter menggegarkan selatan Mexico berhampiran pantai Oaxaca.

26-02-10 Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter berlaku di wilayah Filipina kira-kira 161km ke tenggara Davao.

28-02-10 Satu gempa bumi sederhana, 5.7 skala richter, jauh di banjaran gunung Hindu Kush menggegarkan beberapa bahagian di Pakistan dan Afghanistan.

Mac

04-03-10 Gempa bumi dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter yang menggegarkan Taiwan hari ini menyebabkan 11 orang tercedera.

14-03-10 Satu gempa bumi sederhana berukuran 5.8 pada skala Richter telah berlaku di pantai timur pulau Honshu, Jepun.

15-03-10 Satu lagi gempa bumi besar yang berukuran 6.0 pada skala Richter menggegarkan bumi Chile hari ini

25-03-10 Satu gempa bumi 5.1 pada skala Richter menggegar wilayah Elazig, di timur Turki

April

05-04-10 Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala 100 lagi cedera apabila gempa bumi berukuran 7.2 pada skala Richter melanda kawasan sempadan Mexico-California

07-04-10 Satu gempa bumi kuat berukuran 7.7 pada skala Richter berlaku di Sinabang, Aceh pada pukul 5.15 pagi ini

19-04-10 KABUL: A magnitude 5.3 earthquake struck in mountains north of Afghanistan’s capital early Monday, killing at least seven people and injuring 30, officials said.

26-04-10 TAIPEI – A 6.9 magnitude quake struck in an ocean area north of the Philippines on Monday and was felt throughout Taiwan

Untuk makluman saudara, maklumat di atas aku kutip dari portal Utusan Online, The Star Online dan Berita Harian Online. Saudara, mengikut buku Pembuktian Bahawa Semua Tanda-Tanda Kecil Kiamat Sudah Terjadi (2004) pada muka surat 141 memetik hadith Nabi saw yang bermaksud:

“Menjelang hari kiamat akan terjadi kematian missal dan tahun-tahun gempa bumi.”

[Hadith dalam riwayat yang sahih pada Musnad Ahmad (4:104) begitu juga halnya bagi Abu Ya’li Al-Mousuli dan Ad-Darami]

Demikianlah , bagaimana baginda nabi saw telah pun mengkhabarkan kepada kita perihal tanda-tanda kecil kiamat. Perkara yang dinyatakan itu sudah pun terjadi tatkala ianya berlaku di hadapan kepala mata kita sendiri di akhir zaman ini. Subhanallah.

Negara kita, Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman gempa bumi ini walaupun berada di luar lingkaran api pasifik. Ini kerana, menurut Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata;

“Sebelum ini ada beberapa kes negara yang tidak berada di dalam lingkaran berkenaan menerima kesan gempa bumi. Kesan gempa bumi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti tsunami atau gegaran muka bumi,” (Utusan Online, 17Jan2010)

Sebagai penutup, semoga gempa demi gempa yang berlaku ini saudara bukan sahaja menggegarkan bumi tetapi juga menggemparkan hati-hati kita untuk terus ingat,  tunduk dan patuh akan suruhanNya dan meninggalkan tegahanNya (InsyaAllah). Janganlah kita melihat gempa bumi ini dari sudut pandangan atheis yang hanya melihat sebagai fenomena alam sahaja. Tetapi, renungkanlah dengan mata hati.

Setelah DiRevolusi Hijau

Alhamdulillah saudara, hampir setiap hari kita di Malaysia boleh memakan produk ini. Sebilangan orang, kalau tidak memakannya dalam sehari, rasa tak lengkap hidupnya. Teruk macam mana pun, dia tetap kena makan walaupun sedikit (produk apa ni?).

Produk yang aku maksudkan adalah produk tanaman padi yang disebut beras sebelum dinanak dan nasi setelah siap untuk disuap.

Untuk pengetahuan saudara, padi merupakan tanaman bijirin kedua terbesar (kira-kira 20% pengeluaran bijirin dunia) yang dihasilkan selepas bijirin gandum. Ia merupakan makanan ruji utama kepada kira-kira 50% penduduk dunia yang mana, hampir 90% daripada  pengeluaran (production) dan penggunaannya (consumption) adalah dari benua Asia. Ini kerana, per capita consumption di Asia sahaja adalah kira-kira 45 kg  berbanding world average:27 kg dan US:9 kg.

Antara negara-negara pengeluar padi utama dunia adalah China, India, Indonesia dan juga Bangladesh. Pengeluaran padi dari negara-negara ini mewakili lebih daripada 70% pengeluaran padi dunia yang mana 36% daripadanya adalah dari negara China

Setelah berlakunya revolusi hijau (Green Revolution) sekitar tahun 1960 hingga 1970 di Asia, ia telah banyak mempengaruhi pola pengeluaran padi di dunia. Antara pengeluar padi utama di Asia termasuklah Vietnam, Thailand, Jepun dan juga Burma yang menyumbang kira-kira 12% pengeluaran padi dunia. Selain di Asia saudara, padi turut ditanam di US, Itali, Sepanyol, Mesir, Australia dan beberapa negara di barat Afrika.

Negara jiran kita, Thailand merupakan pengeksport beras utama dunia iaitu kira-kira 25%  daripada jumlah eksport beras dunia diikuti oleh US. Selain itu, negara Vietnam, Pakistan, China, Australia, Burma, Itali, India dan Uruguay juga adalah negara pengeksport utama beras. Negara kita 1 Malaysia, tak masuk senarai pun sebab jangan kata nak eksport, pengeluaran beras dalam negara pun belum cukup untuk penuhi permintaan (local demand) yang mana kita terpaksa mengimport pula kira-kira 40% bekalan beras negara dari luar.

Saudara, mengapa isu pengeluaran dan bekalan makanan ruji ini penting di dalam sesebuah negara?

Jawabnya, isu ini boleh meletus menjadi isu yang sangat besar tatkala kerajaan di sesebuah Negara gagal membekalkannya kepada rakyat (boleh berlaku food riot atau rusuhan makanan). Sebab itu, di beberapa buah negara seperti Jepun, mereka mengklasifikasikan makanan ruji mereka sebagai food security. Satu terma yang digunakan sebagai gambaran tentang jaminan keselamatan untuk rakyat mendapat jaminan akses terhadap bahan makanan utama.

Untuk itu, mengikut Robert Thomas Malthus, beliau menyatakan “population growth and the potential for population to increase rapidly, are often faster than the food supply available to them”

Maknanya saudara, apabila populasi penduduk meningkat, maka selalunya peningkatan itu tidak seiring dengan peningkatan bekalan makanan. Jesteru, amatlah penting untuk kita membuat persiapan untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran padi atau beras dalam egara ini. Kita perlu belajar beberapa pendekatan yang diguna Negara lain dalam meningkatkan pegeluarannya. Sampai bila kita mahu terus bergantung kepada negara pengeluar lain sedangkan kita punyai cukup keupayaan dan berpotensi untuk melonjakkan pengeluarannya?

Perkara ini ada munasabahnya saudara, kerana masalah global terhadap peningkatan harga dan kekurangan bekalan makanan kini disifatkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) sebagai ‘the silent tsunami’ kerana telah menyebabkan sekurang-kurangnya 850 juta penduduk dunia kelaparan dan kebuluran hari ini (tak sedar pun kan). Pernah juga saudara, Bank Pembangunan Asia (ADB) di Singapura mengeluarkan kenyataan bahawa era harga murah makanan sudah pun berlalu. Perkara ini cukup menginsafkan kita. Apakah krisis bekalan serta kenaikan harga komoditi makanan berpunca daripada sikap rakus manusia yang tamak dan tidak tahu bersyukur atau disebabkan oleh faktor perubahan cuaca semata? (rujuk surah Ar-Rum 30:41)

Saudara, seperti yang disebutkan tadi, revolusi hijau telah membawa kesan yang besar dalam peningkatan pengeluaran padi. Sebelum dilaksanakan ke atas tanaman padi, ia telah terlebih dahulu dilaksanakan ke atas penanaman gandum sehingga Dr Norman Borlaug, seorang agronomist dari Amerika menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1970 di atas usaha beliau menghasilkan baka gandum yang berproduktiviti. Bayangkan saudara, baka gandum yang dihasilkannya itu berupaya menjadikan Mexico pada waktu itu sebagai Negara pengeksport utama gandum. Beliau  pernah berkata: “I have worked with the production of more and better wheat for feeding the hungry world”. Menggambarkan kesungguhan beliau dalam memberi jasa demi penduduk dunia.

Kemudiannya, kaedah yang digunakan Norman Borloug ini diadaptasi untuk tanaman padi oleh negara Filipina melalui IRRI pada tahun 1960. Hasilnya saudara, pengeluaran padi di Asia dapat ditingkatkan dua kali ganda antara tahun 1970 hingga tahun 1995 tatkala populasi penduduk bertambah sebanyak 60%.

Demikianlah saudara sedikit sebanyak kisah tentang revolusi hijau. Satu revolusi dalam sektor pertanian yang melibatkan proses penambahbaikan baka tanaman, amalan agronomi yang praktikal dan penggunaan teknologi yang membantu mengangkat pertanian sebagai sektor yang strategik dan penting untuk pembangunan rakyat dan negara.

Walaubagaimanapun saudara, kesemua pencapaian yang dilihat tadi tidak akan terhasil dan tidak akan ke mana tanpa satu faktor yang sering dilupakan manusia iaitu faktor Maha Pemurah Allah kepada seluruh makhlukNya. Tidakkah kesemua yang berlaku ini saudara adalah dibawah kehendak rahmatNya. Ia sebenarnya menuntut kita berfikir dan merenungkan akan segala nikmatNya itu.(rujuk Surah Al-Hajj 22:63-64).

Dalam Pertemuan Itu

Pertemuan dan perpisahan adalah lumrah dalam kehidupan seseorang insan. Pertemuan itu saudara ada kalanya terjadi atau tercipta tanpa kita sedari. Begitu juga dengan perpisahan yang mungkin berlaku tanpa kita menduganya.

Memanglah desakan hati kita mahukan pertemuan itu dikekalkan tanpa perlu perpisahan sebab ada orang kata, mengapa harus bertemu seandainya nanti harus berpisah. Tetapi jika kita merenung seketika saudara, bukankah itu semua asam garam dalam kehidupan. Ya, kehidupan yang diibaratkan sebagai roda, kekadangnya di atas dan kekadangnya di bawah.

Contoh paling mudah adalah putaran zaman kebangkitan dan kegemilangan Islam. Memang sebagai muslim sejati kita mengharapkan supaya tamadun Islam itu kekal gemilang dan gah memerintah dunia. Sebab apa saudara? sebab kita yakin hanya Islam model terbaik dalam membangunkan manusia dan peradaban. Tetapi keindahan tamadunnya yang kita impi dan rindu itu ditakdirkan oleh Allah jatuh rebah dan hilang semangatnya hari ini. Nak salahkan siapa saudara? Takdir?

Jawabnya kita perlu mengkoreksi diri kita dan belajar daripada kesilapan. Barangkali apa yang berlaku itu mempunyai hikmah yang kadang kala kita sukar untuk memahaminya. Dalam pada itu saudara, demi mengembalikan semula kegemilangan Islam itu, seharusnya kita mengatur strategi dan bersiap dengan kekuatan yang ada dalam diri kita.

Untuk mencapai tujuan itu, kita tidak memerlukan sosok tubuh individu yang sama untuk mengangkat martabat Islam. Kita tak perlukan Umar Abdul Aziz, Salehuddin Al Ayyubi atau Sultan Muhammad Al-Fateh kerana kesemua mereka sudah pergi meninggalkan kita untuk bertemu dengan Allah swt.

Yang kita perlukan saudara adalah anak muda Islam yang ada jati diri, keperibadian akhlak dan roh semangat perjuangan seperti individu dan tokoh yang disebutkan tadi. Secara mudahnya, sebagai contoh, kalau dulu Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayyubi yang membuka Al-Quds, hari ini kita memerlukan generasi baru Islam untuk menjayakan matlamat ini. Matlamat yang sama tetapi orangnya dan usahanya berbeza.

Kembali kepada hal pertemuan tadi, setiap pertemuan dan persahabatan yang terjalin, kita perlu pertahankannya atas dasar tarbiyah (Islam & Iman) dan kasih sayang. Ini kerana, method inilah diaplikasikan oleh baginda Rasulullah saw ketika mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin di Madinah. Perlu diingat saudara, tiada sebarang paksaan yang dipaksakan dalam ikatan pertemuan tersebut. Apa yang terjadi, ia berlaku dengan kasih-sayang dan kerelaan hati masing-masing.

Sekali lagi, Nabi saw tidak paksa, tetapi Nabi saw berjaya melembutkan hati umat Islam dengan tarbiyah dan menyemainya dengan kasih sayang ukhwah fillah. Umat Islam Ansar dan Muhajirin waktu itu menerimanya dengan penuh kerelaan.

Begitu juga saudara dengan perpisahan, semua orang tidak inginkan perpisahan termasuklah saidina Umar Al-Khattab yang tidak boleh menerima berita kewafatan Rasulullah saw. Beliau sambil menghunus pedang melarang sesiapa pun mengatakan bahawa Muhammad sudah wafat. Mujurlah ada saidina Abu Bakar As-Siddiq, dengan tenang memujuk “ Siapa yang menyembah Muhammad, maka kini Muhammad sudah wafat. Dan siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah tetap hidup tidak mati”. Lantas Abu Bakar membacakan sepotong ayat Quran (rujuk Surah ali-Imran 3:144)

Mendengarkan itu, lalu sedarlah Umar bahawa Rasulullah saw telah pun pergi meninggalkan dunia ini. Bertapa sakit dan sedihnya para sahabat melalui detik perpisahan itu. Meskipun begitu, kisah sini mengajar kita supaya belajar menerima dan meredhai sesuatu perpisahan itu. Bukankah saudara, tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di mahsyar kelak antaranya adalah mereka yang bertemu & berpisah kerana Allah s.w.t.

Akhir bicara saudara, kesimpulannya, dalam setiap garis pertemuan itu, bakal wujud di dalamnya saat perpisahan yang tidak diketahui bila dan di mana pula garis noktahnya (apakah maut yang akan memisahkannya). Hanya Allah yang mengetahui dan satu-satunya tempat untuk kita berserah segalanya setelah menjaga pertemuan yang tidak dipaksakan itu. Ingatlah, kita hanya mampu merancang tetapi perancangan Allah adalah lebih baik (wallahu khairun makirin).

“YA ALLAH, SEANDAINYA PERTEMUAN KAMI INI PERTEMUAN YANG MENDEKATKAN DIRI KAMI KEPADA MU, MAKA KAMI REDHA YA ALLAH, TETAPI JIKA ENGKAU MENGKEHENDAKI PERPISAHAN ANTARA KAMI, MAKA KAMI POHON AGAR ENGKAU DAMAIKANLAH HATI KAMI DENGAN KETENTUAN MU ITU”

F + A + I

Saudara, Islam adalah agama yang bersifat menyeluruh (syumul) dan komprehensif ajarannya. Ia memenuhi desakan fitrah manusia yang dahagakan petunjuk dan bimbingan.

Islam tidak seperti agama lain, Islam sesuai dan relevan untuk semua tanpa mengira zaman, tempat, usia, jantina mahupun warna kulit. Tatkala melihatkan akan ciri-ciri ini saudara, pendek kata, Islam adalah agama pembina tamadun manusia. Sebuah tamadun yang berupaya merentasi zaman dan melangkaui tembok perkauman.

Kesemuanya ini bertitik tolak daripada ajaran Islam itu sendiri yang menekankan soal ilmu dan aplikasinya. Buktinya saudara, wahyu pertama yang diterima Nabi saw adalah ayat-ayat yang berbicara tentang ilmu dan dalam masa yang sama Nabi saw juga menganjurkan umatnya mencari ilmu sebagai pembelajaran sepanjang hayat (life- long learning).

Secara prinsipnya saudara, ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu akliah (acquired knowledge). Ilmu wahyu adalah ilmu yang berkaitan hal-hal akidah, syariat dan akhlak manakala ilmu akliah berkaitan dengan ilmu sains, matematik, politik, ekonomi dan sebagainya. Oleh kerana menuntut ilmu itu fardhu (wajib) kepada setiap muslim, maka ilmu wahyu diletakkan bertaraf ilmu fardhu ain manakala ilmu akliah diklasifikasikan sebagai ilmu fardhu kifayah.

Menurut buku Dilema Melayu Islam (2008), dengan memiliki ilmu fardhu ain manusia akan menjadi baik manakala dengan ilmu fardhu kifayah manusia menjadi cerdik. Kedua-duanya sama penting kerana manusia cerdik tetapi tidak baik dia akan menipu manakala manusia baik tetapi tidak cerdik dia akan mudah ditipu. Jadi, untuk mengelak daripada menipu dan ditipu saudara, kita wajib memiliki kedua-dua ilmu ini. Persoalannya, apakah proses yang diperlukan untuk mendapatkannya?

Di sini Al-quran menjelaskan bahawa proses mendapatkan ilmu-ilmu tersebut adalah melalui proses Zikir dan Fikir (rujuk surah Ali-Imran 3:191).

Zikir merangkumi aspek membaca, memahami dan melaksanakan ayat-ayat maqruah (Al-quran & Hadith) manakala Fikir meliputi proses melihat, merenung dan berfikir tentang ayat-ayat manzurah (alam ciptaan Allah).

Oleh sebab itu, melalui proses fikir, manusia akan menjadi berpengetahuan (jadi manusia cerdik) dan  pakar tentang alam dan seterusnya dapat menguasainya sebagai khalifah muka bumi untuk mengurus dan membangunkannya. Dalam pada itu, tanggungjawab kekhalifahan itu perlu disusuli dengan proses zikir. Ini kerana, menurut Pak Natsir, kita tidak boleh membangun sambil meroboh. Maknanya, fikir manusia sebagai khalifah perlu dipimpin oleh zikirnya sebagai hamba Allah swt (jadi manusia baik). Dengan menjadi hamba Allah, manusia mampu mengaplikasikan upaya fikirnya untuk membangun bukannya membinasakan atau merobohnya.

Ketiadaan gabungan proses Fikir dan Zikir inilah menyebabkan umat Islam pada hari ini lemah daya saingnya, zalim pemimpinnya, berkrisis identiti anak mudanya, meningkat rasuah negaranya dan hanya mampu berperanan sebagai consumer bukan lagi producer. Berbicara tentang khalifah, satu lagi saudara yang aku nak kongsi adalah berkaitan dengan ‘Khalifah Circle’.

Hal ini ada juga disebut dalam buku Murabbi Cinta. Saudara, menurut formula Khalifah Circle, nak Berjaya, nak cemerlang kita perlu memenuhi dua prinsip yang utama iaitu pandangan alam yang tepat dan yang kedua, hukum pembelajaran. Pandangan alam yang tepat bermaksud kita perlu tahu apa misi dan matlamat kita diciptakan. Bukan untuk saja-saja bahkan kita juga diberi peranan untuk bebas memilih dua jalan (syurga atau neraka) berdasarkan matlamat yang digariskan. Jika kita tahu apa sebab kita diciptakan, kita akan faham dan kenal Allah sebagai tuhan dan kita sebagai hambanya.

Hukum pembelajaran bermaksud setiap sesuatu yang dilakukan (baik atau buruk) ada ganjaran dan hukumannya. Perkara baik yang diberi ganjaran akan menjadi tabiat manakala perkara buruk yang diberi hukuman adalah cara untuk mengelak daripada manjadi kebiasaan. Ada yang berpendapat, jika kita hanya pandai menghukum tanpa mendidik, maka manusia akan cari jalan untuk mengelak daripada dihukum. Sebab itu saudara, tarbiyah dan didikan sangat penting supaya manusia faham mengapa perlu buat baik dan kenapa perlu tinggalkan kemungkaran.

Kedua-dua prinsip ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada proses zikir dan fikir yang telah dibincangkan sebelum ini. Jadi saudara, apa kaitan semuanya ini dengan FAI?

Bagi akulah, proses Zikir dan Fikir ini adalah satu formula kehidupan yang diajar dalam ajaran Islam. Sebab itu aku (sesuka hatinya) menamakannya sebagai FAI iaitu Formula Ajaran Islam. Akhir bicara, dengan memahami FAI ini, maka saudara sudah setapak menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

(FAI disini tiada kaitan dengan sesiapa, jika ada anggaplah ia sebagai satu kebetulan sahaja hehe).

Isu Apco & Mahasiswa

Baru-baru ini saudara, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi penjelasan panjang lebar di Dewan Rakyat (boleh tonton klip video di blognya sendiri) tentang dakwaan beliau berkenaan dengan perkaitan antara Apco Worldwide, Satu Malaysia serta One Israel.

Sebelum ini saudara, pihak Apco telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menafikan penglibatan mereka dalam perencanaan konsep Satu Malaysia yang dikatakan menyamai dengan One Israel.

Sama ada Satu Malaysia merupakan cedokan daripada One Israel atau ianya benar-benar merupakan satu kebetulan, menuntut suatu penjelasan yang tuntas dari pihak kerajaan. Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri perlu menjawab segala persoalan yang dilemparkan oleh ketua pembangkang supaya rakyat di bawah tidak terkeliru mahupun dikelirukan.

Sesungguhnya saudara, dengan mengambil sikap mendiamkan diri sahaja sebenarnya, adalah sikap yang tidak wajar sama sekali apatah lagi jika ia melibatkan entiti konsultan asing yang jelas punyai kaitan dengan orang yahudi yang pernah bekerja untuk kerajaan zionis, sebuah kerajaan haram di Palestin.

Antara persoalan yang dikemukakan oleh Anwar Ibrahim (yang bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) adalah;

  • Segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO
  • Apa skop tugasannya
  • Jumlah peruntukannya,
  • Setiap penasihat yang terbabit;
  • Peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan

Kewajaran persoalan ini dikemukakan adalah berdasarkan kepada jawapan menteri yang berbunyi;

“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. ”

Saudara, ada orang kata, tatkala mahasiswa berbicara tentang soal ini, soal orang politik, mereka akan kata mahasiswa berpolitik atau diperalat untuk kepentingan politik. Baiklah, kalau itulah kata mereka saudara, boleh atau tidak kalau kita berfikir ke depan sedikit. Melihat isu ini bukan dengan mata politik tetapi dengan mata patriotik.

Ya, kita tidak kira melayu, cina, india, iban, kadazan sama ada Islam atau tidak adalah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kestabilan tanah air kita ini daripada sebarang bentuk pencerobohan kuasa asing. Negara ini negara merdeka, negara hukum yang perlu dipelihara sebaiknya.

Sebab itu saudara, isu Apco ini perlu dipandang serius kerana seperti yang disebut tadi, ia didalangi oleh mereka yang pernah berkhidmat taat setia di bawah kerajaan zionis yang terdiri daripada bekas duta dan pegawai perisikannya. Apakah kita sanggup menyerahkan atau berkongsi rahsia dan maklumat Negara dengan orang2 seperti ini. Harap perkara ini tidak terjadi. Sepekara lagi saudara, kalau betul mahu lantik penasihat atau konsultan, apakah tidak ada penasihat lain di dunia ini untuk kita melantik Apco yang jelas dalam sejarahnya pernah berkhidmat dengan ramai pemimpin diktator bagi memulihkan imej diktatornya dan, bukankah ia satu tamparan hebat kepada dunia islam apabila kita memberi kepercayaan kepada entiti yang ditunjangi oleh mereka yang siang malam membelasah dan membunuh saudara kita di Palestin.

Sebagai mahasiswa yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik, dalam kita menghadapi isu ini atau apa sahaja isu sekalipun, adalah baik sekiranya kita meneliti dengan baik hujah kedua-dua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang bagi mencari kebenaran dan jawapan melalui akses maklumat yang ada disekeliling kita. Mudah cerita, kalau baca utusan online, baca juga harakahdaily. Kalau tengok RTM atau TV3, tengok juga bahan ceramah online pakatan pembangkang (barulah cerdik namanya).

Anggaplah apa yang datang dari mahasiswa bukanlah mewakili mana-mana pihak, tetapi kami mohon supaya suara kami didengari dan dihormati. Mengkritik sesuatu bukannya nak tunjuk kami ini mahu tunjuk pandai, tetapi mahu menunjukan keperihatinan kami terhadap isu-isu kepentingan dalam negara. (Dato’ Saifuddin Abdullah pasti setuju dengan aku ni hehe..).

Akhir sekali, di sini saudara, aku selitkan sepotong ayat Al-Quran berkaitan dengan perangai yahudi dulu, kini dan selamanya untuk renungan bersama;

Maksudnya:“Dan orang-orang yahudi dan nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya). Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah,” (Surah Al-Baqarah 2:120)