Minta Baik Semuanya

Waktu terluang ini saudara InsyaAllah, aku akan berkongsi tentang satu perkara berkenaan dengan hidup kita sebagai seorang muslim. Seperti yang selalu disebut, kita ini adalah hamba Allah yang diciptakan bukan untuk saja-saja tanpa tujuan, tetapi untuk beribadah kepadaNya (rujuk surah Adz-Zariyat 51:56).

Beribadah di sini tidak terhad kepada solat, zakat, puasa atau haji semata-mata, tetapi saudara, ibadah kepadaNya itu merangkumi seluruh aspek dan elemen dalam kehidupan kita. Mudah cerita, seharusnya kita sebagai hamba Allah menjadikan seluruh kehidupan kita ini sebagai satu ibadah. Ya saudara, hidup sebagai satu ibadah.

Ini kerana, ianya boleh direalisasikan apabila segala tindakan serta perbuatan kita berlandaskan kepada dua aspek penting iaitu: 1) Bertepatan dengan syariat dan 2) Dilakukan dengan ikhlas kerana Allah. Jika kita faham ini saudara bermakna selagi mana kita belajar, berkawan, bernikah, berkerja, bertani, berpolitik, bermuamalat, bersukan dan sebagainya akan diterima sebagai ibadah setelah ianya benar-benar memenuhi dua aspek yang disebutkan tadi.

Sebab itu, berdasarkan pemahaman ini saudara, umat Islam terdahulu cukup kental dan hebat dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran. Mereka cukup yakin dengan apa yang ada pada mereka, sebab mereka tahu, apa yang mereka buat itu hanyalah sebagai ibadah kepada Allah bukannya untuk tujuan duniawi yang bersifat materialistik semata-mata. Bahkan, mereka juga yakin bahawa Allah swt akan bersama-sama mereka dan mereka tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran dan memerangi kefasadan.

Sebagai contoh saudara, sebelum perang Qadisiyah, Rub’ii bin Amir ketika berbicara dengan seorang panglima perang dari Parsi iaitu Rustam, beliau dengan tegas menyatakan kepada Rustam bahawa;

“Allah mengutus kami mengeluarkan sesiapa yang dekehendakiNya daripada kesempitan dunia kepada keluasanNya dan daripada kesesatan agama kepada keadilan Islam dan diutusnya kami dengan agamaNya untuk disampaikan kepada makhlukNya”


Mendengarkan kata-kata itu, Rustam berasa kagum lantas bertanya, “Apakah kamu adalah pemimpin mereka?”. Lalu Rub’ii menjawab; “Tidak, sebaliknya orang-orang Islam adalah umpama satu jasad, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain”. Rustam kembali kepada pembesar-pembesar Parsi yang bersamanya lalu bertanya; “Adakah kamu semua pernah mendengar kalimah yang lebih hebat dan jelas seperti itu?”.

Hal yang sama pernah terjadi kepada Jaafar bin Abi Talib ketika penghijrahan umat Islam ke Habsyah. Waktu itu, beliau terpaksa mengadap Raja Najasyi. Oleh kerana itu, sebagai penghormatan, beliau diperintahkan untuk sujud kepada raja tersebut. Maka tanpa rasa takut, beliau menyatakan “Kami tidak sujud melainkan kepada Allah,”. Saudara, akidah tetap terpelihara dan mantap tidak kira di mana pun sebagai tanda pengabdian diri kepada Allah.

Oleh kerana itu saudara, kita sebagai muslim perlu sentiasa berusaha dan berdoa supaya iman dan islam yang ada pada diri kita ini akan terus terpelihara. Ingatlah, hidup kita ini bukan sahaja untuk dunia bahkan yang lebih penting adalah untuk hidup di akhirat kelak. Untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat itu jawapannya ialah dengan mengIBADAHkan hidup kita ini.

Menyentuh berkenaan dengan kebaikan (hasanah) di dunia dan akhirat ini, di dalam buku 7 Formula Individu Cemerlang, karya Dr Danial Zainal Abidin, beliau memetik satu cerita tentang pertanyaan Imam Qatadah kepada Anas bin Malik. Imam Qatadah bertanya, “Apakah doa yang selalu di baca oleh Nabi saw?”. Anas menjawab, “Doa itu adalah robbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah wa qina azabannar,” (iaitu doa di dalam surah Al-Baqarah 2:201).


Menurut Tafsir Ibnu Kathir, hasanah di dunia itu merangkumi kesejahteraan, rumah yang selesa, pasangan hidup yang mendamaikan, murah rezeki, ilmu yang bermanfaat, amalan soleh, kenderaan yang baik dan seumpamanya. Manakala, hasanah di akhirat itu yang paling tinggi daripadanya adalah ganjaran Syurga.

Akhir sekali, semoga saudara dan kita semua sentiasa mendapat kebaikan dan keberkatan daripada Allah swt dan adapun keburukan atau dugaan yang menimpa, anggaplah ia sebagai ujian dan tanda sayang Allah kepada kita sebagai hambaNya yang beriman dan yang mengharapkan syurgaNya (rujuk surah Al-Baqarah 2:214).

Advertisements

Hadiah Hati

Setiap manusia baik lelaki atau wanita, tua atau muda, kaya atau miskin, kesemuanya memiliki hati, tidak terkecuali walau seorang pun. Peranan hati pada diri manusia adalah unik. Bertapa hebatnya Allah taala menciptakan hati ini yang membolehkan kita mempunyai perasaan dan keinginan.

Saudara, kalau kita bahas, di mana letaknya hati. Confirm orang melayu dan orang putih (inggeris) akan berbalah. Mana tidaknya, hati itu bagi orang melayu letaknya di hati (liver) sedangkan hati bagi orang putih adalah heart (jantung). Mana satu yang betul?

Tak usahlah difikirkan sangat saudara. Sama ada hati atau heart, dalam bahasa Arab ia merujuk kepada perkataan kalb. Jadi, dari sini, melayu atau inggeris, masing-masing faham bahawa hati atau heart adalah kalb. Kalb atau kulub ini pula letaknya di dalam dada (rujuk surah Al-Hajj 22:46).

Menyentuh mengenai hati, baginda Rasulullah saw pernah bersabda di dalam sebuah hadith sahih yang dikhabarkan daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer r.a. Antaranya, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud;

“Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging.Yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah kalb (hati)”.
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Demikianlah uniknya hati saudara. Ia umpama raja kepada seluruh jasad kita. Seperti yang selalu diungkapkan orang, “kalau rajanya (pemimpinnya) baik, maka rakyat dalam negeri itu juga akan baik”. Begitu halnya dengan hati. Ia adalah penentu baik buruk seseorang.

Di dalam buku Insan Ingatlah (2006), Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan bahawa petunjuk  dan peringatan Allah umpama air yang akan menyuburkan tanaman. Air hanya akan mendatangkan faedah kepada tanah yang subur, jika air disiram pada batu pejal pasti ia tidak akan mendatangkan sebarang kesan. Sebab itu hati yang keras bagaikan batu pejal itu tidak mungkin dapat manfaat daripada petunjuk dan peringatan wahyu Allah.

Cabaran besar yang perlu dihadapi oleh para anbiya dalam menyampaikan risalah dakwah adalah untuk melembutkan hati-hati manusia. Hanya hati yang lembut akan akur dengan kebenaran wahyu Allah. Manusia yang keras hatinya (yang mungkin keras daripada batu pejal) seperti Abu Jahal, Abu lahab, Qarun, Firaun dan sebagainya mana mungkin dapat menerimanya. Oleh kerana itu, kunci untuk memenangi dan melembutkan hati seseorang itu perlu diketahui.

Untuk itu saudara, Nabi saw telah pun menunjukkan kepada kita salah satu daripada kunci-kunci melembutkan hati manusia antaranya melalui ketinggian akhlak baginda saw. Pernah satu hari, selepas kewafatan Nabi saw, Abu Bakar As-Siddiq pergi berjumpa dengan anaknya Siti Aisyah yang juga isteri Rasulullah saw. Abu Bakar bertanya apakah perkara yang sering dilakukan Rasulullah yang aku tak pernah lakukannya lagi.

Lalu Siti Aisyah menjawab, selalunya setiap pagi Rasullullah saw pergi ke hujung pasar untuk memberi makan kepada seorang pengemis buta yahudi. Mendengarkan perkara itu, lantas keesokan harinya Abu Bakar pergi ke tempat yang dimaksudkan itu. Ringkas cerita, ketika Abu Bakar di sana, pengemis buta itu asyik memburuk-burukkan Rasulullah. Dalam pada masa yang sama, pengemis itu juga perasan bahawa orang yang memberi dia makan hari ini bukan seperti orang yang selalunya. (yang mana Nabi saw haluskan dulu roti sebelum disuapkan kepadanya).

Menitis air mata Abu Bakar. Lantas, dia mengkhabarkan bahawa dia bukanlah orang yang selalu mendatangi pengemis itu, tetapi orang yang selalu itu adalah Rasulullah saw. Tercengang seketika pengemis buta itu dan tatkala itu jugalah, baru dia sedar akan kesilapannya selama ini. Dengan izin Allah, pengemis buta yahudi itu mengucap memeluk Islam kerana terharu dengan akhlak Rasulullah saw.

Imam Hassan Al-Banna turut menggunakan pendekatan lembut dalam mertarbiyah hati anak-anaknya. Seperti dalam buku Cinta di Rumah Hassan Al-Banna (2008), anaknya (Ir Roja) pernah berkata “Kami begitu menyayangi ayah…sangat menyayanginya. Kami mentaati keinginannya kerana kami sayang kepadanya, bukan kerana kami takut kepadanya. Sehinggakan setiap ayah pergi, kami akan merasa kehilangannya.”

Saudara, seandainya kita dapat kunci kelembutan hati itu, maka menurut buku 25 Ways To Win with People (2005), John C.Maxwell menjelaskan bahawa “Once you have found a key to a person’s heart, you must act with integrity, because you have been entrusted with something of great value.”

Sebagai kesimpulannya saudara, hati ini bagi aku adalah pemberian hadiah yang cukup bermakna daripada Allah taala (selain daripada nikmat Iman dan Islam) apatah lagi jika hadiah hati ini masih berupaya dilembutkan untuk terus menghayati dan memahami agamaNya. Oleh itu saudara, bersamalah kita belajar untuk menghargainya seperti mana kita menghargai hadiah dari orang tersayang bahkan lebih daripada itu lagi.