Pengadil Kena Adil

Sekarang ini saudara sedang hangat dengan keberlasungan kejohanan piala dunia bola sepak. Sudah pasti ramai peminat-peminat bola sepak tidak akan melepaskan peluang ini untuk mengikuti semua perlawanannya walaupun Malaysia tidak tersenarai pun dalam kejohanan tersebut. Aku ada juga mengikuti beberapa perlawanan sebelum ini tetapi di rumahlah itu pun bukan semua perlawanan aku tonton.

Secara spesifiknya, tiada negara yang aku minat atau yang menjadi favourite dalam piala dunia ini. Cuma, berdasarkan pengamatan aku (bukan professional pun), antara negara yang boleh merangkul piala dunia kali ini kemungkinan Brazil atau Argentina berdasarkan permainan dan pencapaian mereka di peringkat kumpulan dan pusingan kedua.

Apa pun, setiap kali kejohanan berprestij ini berlangsung, biasanya akan ada beberapa kontroversi yang berlaku. Pada edisi kali ini, kontroversi itu berlaku melibatkan pengadil atau refree yang boleh dipertikaikan mutu pengadilannya. Ianya jelas dapat dilihat dalam perlawanan ‘panas’ antara England dan Germany. Apa yang berlaku, saudara sudah pun sedia maklum.

Waktu itu, cubaan Frank Lampard yang terpampar pada skrin besar memperlihatkan bola sudah pun melepasi garisan gol. Tetapi malangnya, jaringan itu tidak disahkan oleh pengadil Jorge Larrionda tatkala pasukan  England waktu itu sedang terdesak memburu gol penyamaan. Begitu juga dengan jaringan gol oleh Carlos Tevez, seorang penyerang Argentina yang diterima jaringannya oleh pengadil sedangkan dia jelas berada pada kedudukan ofsaid dalam perlawanan antara Argentina menentang Mexico itu.

Saudara, ternyata situasi di atas telah mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain, peminat dan penyokong kedua-dua pasukan tersebut khususnya England. Saudara boleh lihat sendiri dalam akhbar ataupun internet tentang ekspresi kemarahan dan ketidakpuashatian mereka. Lantaran itu, Presiden FIFA, Sepp Blatter memohon maaf kepada pasukan England dan Mexico ekoran dua insiden yang memalukan itu. Beliau juga melahirkan kekesalan dengan berkata:

“Secara peribadi, saya berasa kesal. Ketika melihat bukti (ulang tayang), ia jelas membuktikan kesilapan daripada pengadil.”(utusan online)

Begitulah saudara, akibat kecuaian dan kealpaan pengadil, ia mengundang cemuhan dan ejekan akibat kegagalannya menjalankan peranan untuk mengadili perlawanan dengan baik. Baiklah, itu cerita tentang bola sepak dan pengadilnya di Afrika Selatan. Sekarang kita ke Malaysia pula, aku nak cerita tentang satu lagi kisah pengadil. Pengadil ini besar peranannya. Tanpa dia saudara, kita tidak dapat memilih mahupun mengundi sesiapa untuk membentuk sebuah pemerintahan.

Pengadil yang dimaksudkan itu ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tugas mereka bukan untuk umum tarikh hari raya, tetapi menguruskan sebuah pilihanraya untuk memberi hak kepada rakyat bagi memilih pemimpin atau parti yang mereka mahukan menurut lunas-lunas demokrasi. Jesteru, sebagai pengadil dalam sistem pilihanraya, sudah pastilah mereka perlu bersih, telus dan adil dalam mengendalikan sesuatu pilihanraya tanpa merelakan diri mereka diperalatkan oleh pihak yang memegang kuasa.

Pada aku, kalau SPR mahu rakyat mempunyai persepsi yang baik terhadapnya, sikap adil dan tidak berpihak itulah rahsianya. Hari ini, heboh dalam media-media utama berkenaan nisbah 1:40 yang dikemukakan oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno. Mereka mendakwa bahawa orang muda yang mendaftar sebagai pengundi adalah dengan nisbah seoarang melayu berbanding 40 bukan melayu. Sama ada angka atau nisbah yang dikemukakan ini tepat atau tidak, ia memerlukan penjelasan daripada pihak SPR. Walaubagaimanapun, aku secara peribadi berpandangan bahawa isu nisbah pengundi mengikut kaum ini tidak menjadi isu sekiranya SPR menerima saranan sesetengah pihak sebelum ini yang mahukan pendaftaran sebagai pengundi dilakukan secara automatik kepada anak muda yang mencapai umur 21 tahun.

Jangan jadikan alasan untuk tidak melakukannya atas sebab kononnya tidak mahu menggangu hak rakyat sama ada hendak menjadi pengundi ataupun tidak. Ini kerana, bagi aku, kita daftar sahaja nama mereka. Selepas itu, sama ada mereka mahu keluar mengundi atau tidak, itu terpulanglah kepada mereka. Yang penting, pihak SPR, kerajaan, NGO mahupun parti-parti politik kena pandailah untuk ajak golongan ini keluar mengundi dengan suntikan kesedaran.

Seterusnya, sebagai pengadil yang perlu adil, SPR juga perlu menimbang semula antara tuntutan pihak BERSIH satu ketika dahulu yang mahukan penggunaan dakwat hitam bagi mencegah kehadiran pengundi hantu, penghapusan sebahagian undi pos yang dilihat keberangkaliannya boleh dieksploitasi, daftar pemilih yang telus dan menyakinkan dan seterusnya akses maklumat yang sama rata antara parti politik yang bertanding tanpa melihat ia parti kerajaan atau pembangkang. Selain itu, SPR juga perlu tegas dalam menangani salah laku semasa pilihanraya khusunya melibatkan sogokan dan beli undi di samping membenarkan badan bebas seperti MAFREL untuk memantau perjalanan setiap kali pilihanraya.

Akhir sekali, semua ini bukan untuk menyusahkan SPR, tetapi untuk berkongsi tentang bagaimana untuk dilihat adil dan saksama dalam pengurusan sesuatu pilihanraya. Aku bukanlah pandai sangat untuk mengajar SPR tentang itu dan ini, tetapi anggaplah ia sebagai luahan hati dari seorang pengundi muda yang mahu melihat sistem pilihanraya di negaranya adil, telus dan boleh dipercayai. Barulah rakyat puas hati.

Tak Mungkin Lupa II

Saudara, usaha untuk mewujudkan politik baru seperti yang aku sebutkan sebelum ini adalah dengan menonjolkan dan melaksanakan Islam dalam kepimpinanan. Ini kerana, Islam itu sendiri mempunyai nilai-nilai sejagat yang universal sifatnya. Islam tidak bersifat perkauman. Islam adalah untuk semua. Oleh kerana itu, hadirnya Islam adalah sebagai rahmatan lil a’lamin iaitu rahmat keseluruh alam.

Secara ringkasnya, ajaran Islam bukan sahaja memberi kesan positif kepada orang yang beriman, bahkan turut memberi kesan positif kepada orang yang tidak beriman. Dunia ini pun, kalau diurus dan ditadbir dengan berpandukan ajaran Islam akan turut menerima kesan positif itu.

Sebab apa saudara?

Sebab Islam adalah agama fitrah. Bila sebut fitrah, maknanya ia sesuai dan padan dengan kehendak dan keperluan oleh jiwa setiap manusia ke arah kebaikan. Sebagai contoh, Islam mengharamkan judi. Bila dikaji sebab apa judi ini boleh jadi haram. Sudah tentu kerana keburukan dan kemudharatan yang tercerna melalui apa sahaja aktiviti berbentuk perjudian. Lantaran itu, hari ini saudara jangan terkejut apabila ada orang bukan Islam turut menentang perjudian kerana akal dan hati mereka juga merasakan judi bukanlah sesuatu yang baik.

Contoh seterusnya, berkenaan dengan sistem perbankan Islam. Aku masih teringat tatkala menunggu proses permohonan membuka akaun di Bank Islam di Taman Melawati, kelihatan seorang makcik berbangsa cina sedang berurusan di kaunter. Terdetik di hati aku, “Biar betul makcik cina ni. Aku yang dah Islam ni pun baru nak buka akaun. Dia yang tak Islam, yakin untuk memilih sistem bank cara Islam yang tidak menindas”.

Maka, dari sini kita akan mendapati Islam sebenarnya tidak mustahil akan disokong oleh bangsa lain walaupun bangsa itu tidak Islam. Inilah saudara yang dikatakan fitrah. Yang pentingnya ialah, persefahaman yang nak kita bina di dalam hubungan antara kaum. Dengan menonjolkan Islam yang sebenar terhadap mereka, sedikit sebanyak boleh membina persepsi yang baik mereka terhadap Islam.

Dengan keyakinan itu saudara, kita mahu bila kita sebut tentang memerangi rasuah, menolak kezaliman dan penindasan, mengutamakan kebajikan dan keadilan, berhemah mengurus khazanah negara, mengangkat institusi ilmu, bersungguh memulihkan sistem kehakiman, memperkukuhkan demokrasi serta menghormati kebebasan bersuara, kita semua mahu melihat Islamlah pilihan dan harapannya.

Oleh itu saudara, di kala ini setelah 50 tahun lebih kita merdeka, orang melayu dengan pelbagai keistimewaannya itu hingga ke hari ini masih ketinggalan. Apa punca dan faktor kesemua kegagalan ini saudara?

Untuk mencari jawapannya, kita orang melayu, orang Islam perlu sama-sama ikhlaskan diri untuk menganalisis secara jujur akan perlaksanaan agenda melayu dan agenda islam selama ini. Seterusnya saudara, buka pintu berfikir bagi mencari jalan penyelesaiannya secara tuntas dengan kembali semula kepada Al-Quran dan As-Sunnah, rujukan agung umat Islam. Sebagai penutup, izinkan aku melontarkan satu persoalan untuk saudara fikirkan sama;

“Apakah kemunduran orang melayu yang dilihat hari ini hasil khianat kaum lain atau khianat dalam diam sebilangan  kaum melayu itu sendiri?”

Tak Mungkin Lupa I

Saudara, perlembagaan negara kita Malaysia berbeza dengan mana-mana perlembagaan yang ada di dunia ini. Meskipun perlembagaan ini digubal dengan kerjasama penjajah British seperti mana yang dilakukan di beberapa buah negara komanwel yang lain, namun ia tetap mempunyai kelainannya.

Ini kerana, menurut Prof Dr Abdul Aziz Bari, seorang professor undang-undang dari UIAM  menjelaskan bahawa berbezanya Perlembagaan Persekutuan dengan mana-mana perlembagaan yang ada di dunia adalah disebabkan perbezaan sejarah yang melatari sesebuah negara. Pendek kata, lain latar sejarahnya, lain pula pengisian perlembagaannya.

Di dalam perlembagaan persekutuan saudara, terdapat beberapa perkara atau artikel yang dilindungi dan dipertahankan setelah kita mencapai permuafakatan melalui kontrak sosial.

Antara perkara tersebut adalah:

  • Kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
  • Kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
  • Hak keistimewaan orang melayu atau bumiputera
  • Kedudukan raja-raja melayu sebagai raja beperlembagaan

Sebelum perkara-perkara ini disepakati saudara, sudah tentu ianya mempunyai sebab dan hujahnya yang tersendiri mengikut apa yang telah tercatit dan terpahat di dalam sejarah sebelum itu. Tidak dapat dinafikan bahawa memang orang melayu dan bumiputera yang lain adalah penduduk asal tanah air ini.

Penjajahan British di Tanah Melayu telah meninggalkan pelbagai kesan termasuklah kemasukan beramai-ramai orang-orang cina dan india ke Tanah Melayu untuk dijadikan tenaga kerja di lombong dan estet yang diusahakan British waktu itu. Ini menyebabkan, polar penduduk di tanah melayu berubah daripada uniracial kepada multiracial.

Keadaan ini sudah pasti saudara mempunyai pro dan kontranya yang perlu difahami. Jesteru, sebelum kemerdekaan dicapai, mahu atau tidak, satu kata sepakat perlu diusahakan. Waktu itu, orang melayu jelas menentang sebarang pemberian kerakyatan kepada mana-mana imigran secara jus soli.

Namun, di atas sikap toleransi orang melayu, maka akhirnya orang cina dan india diterima sebagai warganegara memandangkan mereka juga mempunyai peranan dan sumbangan terhadap pembangunan negara yang sukar juga untuk dinafikan. Jadinya saudara, sebagai imbalan terhadap keterbukaan orang melayu itu, maka orang cina dan india yang menjadi warganegara perlu mengiktiraf dan seterusnya menghormati perkara-perkara yang disebutkan tadi  sebagai isu kepentingan melayu.

Isu kepentingan melayu ini begitu seronok dinyanyikan oleh sesetengah pihak yang mendakwa ianya semakin terhakis terutamanya di era pasca PRU 2008. Benarkah terhakis? Saudara boleh melihat dan menilainya sendiri.

Bagi akulah, kalau nak pertahankan perjanjian kontrak sosial ini tiadalah salahnya sebab kita menyokongnya atas dasar ianya merupakan perjanjian atau persefahaman bersama berteraskan latar sejarah. Adapun banyak keistimewaan yang diperolehi oleh orang melayu, ianya tidak boleh dijadikan alasan atau sebab untuk tidak melakukan keadilan lantas mengabaikan kebajikan kepada kaum lain. Islam yang ada pada orang melayu melarang menzalimi hak orang lain walaupun dia berbeza dengan kita (rujuk Surah Al-Maidah 5:8) apatah lagi mengambil kesempatan atas nama melayu untuk mencuri harta rakyat melalui korupsi dan kroninisme.

Saudara, apabila kepentingan melayu dan islam ini dilindungi dalam perlembagaan, maka secara tidak langsung ia menjadi isu dan tanggungjawab seluruh warganegara Malaysia tanpa mengira sesiapapun. Secara mudahnya, selagi mana perlembagaan itu terus dipertahankan oleh mana-mana pihak, selagi itulah kepentingan yang ada itu akan dilindungi.

Sebab itu, aku secara peribadi berpendapat bahawa usahlah dimainkan lagi lagu politik lama dengan sentimen perkauman sempit semata-mata untuk meraih sokongan. Apa yang pemimpin politik perlu ada ialah kebijaksanaan untuk membina masa depan politik baru yang lebih matang dalam memelihara kepentingan semua pihak dalam negara. Bagi aku, hendak jaga melayu, cina, india, iban, kadazan bukan dengan perkauman, tetapi dengan persefahaman.

Jesteru, pemimpin melayu, pemimpin Islam hari ini perlu bersedia untuk melakar serta merealisasikan satu persekitaran politik baru, politik masa depan rakyat Malaysia.

 

 

Di Sebalik Pokok Itu

Aku sepanjang cuti semester ini menjalani latihan industri buat kali kedua, tetapi kali ini di Pejabat Pertanian Gombak/Petaling yang terletak di Gombak Setia iaitu lebih kurang 15 minit daripada rumah aku. Pejabat Pertanian ini bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pertanian di kedua-dua buah daerah tersebut.

Dengan keluasan tanah yang ada, diusahakan di dalamnya tanaman cili dan terung secara fertigasi, penjagaan anak-anak pokok dalam polybag seperti pokok cempedak, rambutan, durian, mangga, kedondong dan sebagainya untuk dijual atau dibekalkan kepada petani kecil.

Di samping itu saudara, di sini juga terdapat rumah cendawan, tapak semaian dan sebuah ‘plant house’. Setiap hari sabtu pula, dianjurkan pasar minggu (seperti konsep pasar tani) untuk memberi peluang kepada petani dan pengusaha setempat memasarkan hasil dan produk mereka.

Tatkala bercerita tentang pokok-pokok ini saudara, suka untuk aku memetik sepotong hadith Rasulullah saw berkenaan dengan sejenis pokok. Pokok ini telah pun dianggap istimewa oleh bangsa dan agama yahudi. Walaupun puak yahudi ini tidak mengiktiraf Nabi Muhammad saw sebagai rasul utusan Allah, tetapi dalam tak iktiraf itu, senyap-senyap mereka percaya dan menyakini khabar yang diungkapkan oleh Rasulullah saw. Hadith yang dimaksudkan itu berbunyi:

“Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: “Wahai muslim, Wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya”, kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi”.

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadith ini, kalau yahudi waktu itu datang menyorok di belakang pokok mangga, rambutan atau belimbing seperti mana yang ada di tempat aku praktikal ini, sudah pasti pokok itu akan bersuara. Tetapi, jika dia berselindung disebalik pokok Gharqad, maka pokok itu akan membisu tidak bersuara. Sebab itu saudara, dalam kalangan yahudi, pokok ini begitu istimewa buat mereka.

Saudara, hadith ini bukan untuk kita umat Islam mengetahui dan mengenali pokok yang namanya Gharqad itu semata-mata, tetapi untuk kita sama-sama berfikir dan melihat sama akan peranan pokok tersebut. Ya, kalau kita melihat daripada perspektif ini, di depan mata kita, kita akan mendapati bahawa adanya kumpulan manusia, kerajaan atau negara yang mempunyai peranan yang sama seperti pokok Gharqad. Apa dia perananya? Membisu dan melindungi kejahatan serta kepentingan puak yahudi zionis ini.

Aku tertarik dengan tulisan Ustaz Nasarudin Tantawi yang menyatakan bahawa;

“Gharqad ialah nama pokok yang melindungi Yahudi dan menyelamatkannya dari ummat Islam . Dalam dunia ada kerajaan atau negara yang melindungi dan membela Yahudi dari dikecam oleh ummat Islam . Tentunya nama kerajaan atau negara itu ialah Kerajaan Gharqad atau negara Gharqad .”

Oleh itu saudara, kewujudan kerajaan Gharqad atau Negara Gharqad ini amatlah dikesali apabila ianya turut dipelopori oleh sebilangan Negara Islam yang menjadi anggota di dalam OIC. Kebanyakan rakyat di seluruh dunia tanpa mengira fahaman agama dan bangsa mengutuk sekeras-kerasnya penindasan terhadap rakyat Palestin selama ini dan yang terbaru mengecam serangan zionis terhadap konvoi kapal misi kemanusiaan anjuran pertubuhan NGO dari seluruh dunia termasuklah dari Malaysia.

Ternyata rakyat memang ramai yang membantah, tetapi tidak kepada sebilangan pemimpin atau kerajaan. Hal ini didedahkan sendiri oleh Tun Mahathir Mohamad melalui Mingguan Malaysia (6 Jun 2010) dengan menyatakan;

“Ramai yang tidak suka dan tidak bersetuju dengan cara Israel ini. Tetapi perasaan mereka itu hanyalah atas dasar sebagai individu atau rakyat dan bukannya sebagai kerajaan. Sedangkan di pihak kerajaan pula mereka takut jika tindakan mereka itu akan dibalas dengan serangan oleh sekutu Israel”

Apabila beliau ditanya tentang langkah penyelesaian umat Islam terhadap isu Palestin, antaranya beliau menjawab:

“Kita pernah mengambil tindakan sebegini suatu ketika dulu (menghentikan bekalan minyak kepada AS sekiranya terus menyokong Israel), tetapi apabila AS mengancam akan menyerang , tindakan itu ditarik balik. Ini kerana masing-masing (negara) mahu hidup senang lenang. Mereka sudah menjadi kaya-raya dan tidak berminat untuk berkorban”

Di sini saudara, kita dapat lihat kelemahan kepimpinan umat Islam hari ini. Seandainya, kelemahan ini tidak ditangani untuk masa yang akan datang, barangkali umat Islam akan terus gagal untuk menghentikan keganasan zionis laknatullah. Sebagai penutup saudara, menurut Tuan Guru Haji Hadi Awang, terdapat 4 rukun yahudi yang telah dipinda yang menjadi sebab tindakan ganas mereka iaitu:

  1. Menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia.
  2. Berhasrat mendirikan Haikal Sulaiman dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa
  3. Mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.
  4. Menunggu kedatangan al-Maseh. Al-Maseh (Dajjal) ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia.

Politik di Masjid

Masjid adalah sebuah institusi ibadah, tarbiyah, dan juga pusat aktiviti umat Islam. Pada zaman Rasulullah saw, masjid digunakan sepenuhnya sebagai sebuah institusi yang berfungsi untuk mengurus hal ehwal ummah dan negara. Pendek kata saudara, masjid pada waktu itu berjaya diangkat dan dimartabatkan sebagai pusat komuniti dan masyarakat.

Bila kita bicara bahawa masjid dimanfaatkan untuk tujuan pemerintahan dan masyarakat, mahu tidak mahu,  masjid akan dikaitkan dengan hal ehwal politik. Sama ada saudara setuju atau tidak, itulah faktanya, itulah sejarahnya.

Ini kerana, ketika Yusuf Al-Qaradhawi ditanya tentang hubung kait antara masjid dan politik, antaranya beliau menyatakan;

Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik.

Beliau menghurai serba sedikit tentang peranan masjid dengan menambah;

“Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’…”

Dengan itu, beliau menambah lagi;

Masjid didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan. Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan.

Walaubagaimanapun, beliau menasihati dengan menyebut bahawa;

Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian. Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan.


Saudara, sebagai rakyat biasa, setelah membaca fatwa ulama besar yang juga penerima  Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H/2009M ini, aku berpendirian bahawa tidak salah untuk membawa dan membincangkan isu semasa tentang apa sahaja selagi ia tidak keterlaluan melampaui sempadan agama. Kita sebagai rakyat di bawah harus berlapang dada menerima maklumat dan menilai perbincangan tersebut secara positif walaupun kadang kala isu yang dibangkitkan dalam kuliah atau tazkirah itu mencucuk hidung ‘pemerintah’.

Bukankah saudara, tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab seluruh muslim tidak kira lelaki atau perempuan (rujuk surah At-Taubah 9:71) dan Nabi saw juga pernah berpesan:

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman

(Hadith Riwayat Muslim)

Pada aku lagi, sungguhpun politik dibenarkan untuk dibicarakan di dalam masjid, tetapi politik yang dimaksudkan itu adalah politik yang ikut Islam, yang ikut syariat. Adapun politik yang jelas bertentangan dengan Islam (politik sekular ala Micheavelli), maka politik jenis inilah yang tidak dibolehkan dibawa ke dalam masjid. Masjid untuk perkara berhubung dengan agama, politik yang tak dihubungkan dengan agama, amatlah tidak patut dibincangkan di masjid.

Hari ini saudara, heboh Satu Malaysia tentang isu judi bola. Siapa yang luluskan judi bola ini? Saudara sudah maklum siapakah gerangannya. Di dalam ajaran Islam sudah terang lagi bersuluh, judi diharamkan. Cuma, apa yang paling mengejutkan, judi bola ini bukan sahaja ditentang oleh orang Islam, tetapi turut ditentang oleh sebilangan orang-orang bukan Islam. Persoalannya, jika ada orang Islam yang sokong judi bola atau apa sahaja bentuk perjudian, wajar atau tidak para ustaz dan pendakwah bawa isu ini untuk dibincangkan di masjid?