Politik di Masjid

Masjid adalah sebuah institusi ibadah, tarbiyah, dan juga pusat aktiviti umat Islam. Pada zaman Rasulullah saw, masjid digunakan sepenuhnya sebagai sebuah institusi yang berfungsi untuk mengurus hal ehwal ummah dan negara. Pendek kata saudara, masjid pada waktu itu berjaya diangkat dan dimartabatkan sebagai pusat komuniti dan masyarakat.

Bila kita bicara bahawa masjid dimanfaatkan untuk tujuan pemerintahan dan masyarakat, mahu tidak mahu,  masjid akan dikaitkan dengan hal ehwal politik. Sama ada saudara setuju atau tidak, itulah faktanya, itulah sejarahnya.

Ini kerana, ketika Yusuf Al-Qaradhawi ditanya tentang hubung kait antara masjid dan politik, antaranya beliau menyatakan;

Di dalam kehidupan Rasulullah (s.a.w.) tidak ada pemisahan di antara urusan agama (mengikut istilah orang sekarang) dan politik. Baginda tidak mempunyai satu tempat yang lain bagi politik dan permasalahannya selain daripada masjid. Masjid di zaman Rasulullah (s.a.w.) adalah markaz dakwah dan politik.

Beliau menghurai serba sedikit tentang peranan masjid dengan menambah;

“Melalui masjidlah manusia mempelajari kebenaran, kebaikan, kelebihan di dalam seluruh kehidupan mereka, samada dari segi kerohanian, kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Hal ini dikenali sebagai ‘an-nasiihah’…”

Dengan itu, beliau menambah lagi;

Masjid didirikan untuk meneguhkan syariat Allah bukan untuk meyokong polisi mana-mana kerajaan. Ketika kerajaan bercanggah dengan syariat Allah, maka masjid mesti berada di saf syariat, bukan di saf kerajaan.

Walaubagaimanapun, beliau menasihati dengan menyebut bahawa;

Yang ditegah ialah menyebut nama-nama orang tertentu dan pendetailan secara terperinci untuk mencerca, menjatuhkan maruah dan memaki hamun. Perkara seumpama ini tidak harus dilakukan di atas mimbar dan tidak harus juga mimbar dipergunakan untuk tujuan memburukkan nama orang dan untuk tujuan fanatik kepartian. Tetapi mimbar boleh digunakan untuk menyebut segala perkara yang melanggar syariat, walaupun ia merupakan polisi kerajaan.


Saudara, sebagai rakyat biasa, setelah membaca fatwa ulama besar yang juga penerima  Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H/2009M ini, aku berpendirian bahawa tidak salah untuk membawa dan membincangkan isu semasa tentang apa sahaja selagi ia tidak keterlaluan melampaui sempadan agama. Kita sebagai rakyat di bawah harus berlapang dada menerima maklumat dan menilai perbincangan tersebut secara positif walaupun kadang kala isu yang dibangkitkan dalam kuliah atau tazkirah itu mencucuk hidung ‘pemerintah’.

Bukankah saudara, tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab seluruh muslim tidak kira lelaki atau perempuan (rujuk surah At-Taubah 9:71) dan Nabi saw juga pernah berpesan:

Sesiapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya (mencegah dan menghentikannya) dengan tangannya. Jika dia tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya. Jika dia masih tidak mampu (maka ubahlah) dengan hatinya (dengan membencinya), yang sedemikian adalah selemah-lemah iman

(Hadith Riwayat Muslim)

Pada aku lagi, sungguhpun politik dibenarkan untuk dibicarakan di dalam masjid, tetapi politik yang dimaksudkan itu adalah politik yang ikut Islam, yang ikut syariat. Adapun politik yang jelas bertentangan dengan Islam (politik sekular ala Micheavelli), maka politik jenis inilah yang tidak dibolehkan dibawa ke dalam masjid. Masjid untuk perkara berhubung dengan agama, politik yang tak dihubungkan dengan agama, amatlah tidak patut dibincangkan di masjid.

Hari ini saudara, heboh Satu Malaysia tentang isu judi bola. Siapa yang luluskan judi bola ini? Saudara sudah maklum siapakah gerangannya. Di dalam ajaran Islam sudah terang lagi bersuluh, judi diharamkan. Cuma, apa yang paling mengejutkan, judi bola ini bukan sahaja ditentang oleh orang Islam, tetapi turut ditentang oleh sebilangan orang-orang bukan Islam. Persoalannya, jika ada orang Islam yang sokong judi bola atau apa sahaja bentuk perjudian, wajar atau tidak para ustaz dan pendakwah bawa isu ini untuk dibincangkan di masjid?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s