Pengadil Kena Adil

Sekarang ini saudara sedang hangat dengan keberlasungan kejohanan piala dunia bola sepak. Sudah pasti ramai peminat-peminat bola sepak tidak akan melepaskan peluang ini untuk mengikuti semua perlawanannya walaupun Malaysia tidak tersenarai pun dalam kejohanan tersebut. Aku ada juga mengikuti beberapa perlawanan sebelum ini tetapi di rumahlah itu pun bukan semua perlawanan aku tonton.

Secara spesifiknya, tiada negara yang aku minat atau yang menjadi favourite dalam piala dunia ini. Cuma, berdasarkan pengamatan aku (bukan professional pun), antara negara yang boleh merangkul piala dunia kali ini kemungkinan Brazil atau Argentina berdasarkan permainan dan pencapaian mereka di peringkat kumpulan dan pusingan kedua.

Apa pun, setiap kali kejohanan berprestij ini berlangsung, biasanya akan ada beberapa kontroversi yang berlaku. Pada edisi kali ini, kontroversi itu berlaku melibatkan pengadil atau refree yang boleh dipertikaikan mutu pengadilannya. Ianya jelas dapat dilihat dalam perlawanan ‘panas’ antara England dan Germany. Apa yang berlaku, saudara sudah pun sedia maklum.

Waktu itu, cubaan Frank Lampard yang terpampar pada skrin besar memperlihatkan bola sudah pun melepasi garisan gol. Tetapi malangnya, jaringan itu tidak disahkan oleh pengadil Jorge Larrionda tatkala pasukan  England waktu itu sedang terdesak memburu gol penyamaan. Begitu juga dengan jaringan gol oleh Carlos Tevez, seorang penyerang Argentina yang diterima jaringannya oleh pengadil sedangkan dia jelas berada pada kedudukan ofsaid dalam perlawanan antara Argentina menentang Mexico itu.

Saudara, ternyata situasi di atas telah mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain, peminat dan penyokong kedua-dua pasukan tersebut khususnya England. Saudara boleh lihat sendiri dalam akhbar ataupun internet tentang ekspresi kemarahan dan ketidakpuashatian mereka. Lantaran itu, Presiden FIFA, Sepp Blatter memohon maaf kepada pasukan England dan Mexico ekoran dua insiden yang memalukan itu. Beliau juga melahirkan kekesalan dengan berkata:

“Secara peribadi, saya berasa kesal. Ketika melihat bukti (ulang tayang), ia jelas membuktikan kesilapan daripada pengadil.”(utusan online)

Begitulah saudara, akibat kecuaian dan kealpaan pengadil, ia mengundang cemuhan dan ejekan akibat kegagalannya menjalankan peranan untuk mengadili perlawanan dengan baik. Baiklah, itu cerita tentang bola sepak dan pengadilnya di Afrika Selatan. Sekarang kita ke Malaysia pula, aku nak cerita tentang satu lagi kisah pengadil. Pengadil ini besar peranannya. Tanpa dia saudara, kita tidak dapat memilih mahupun mengundi sesiapa untuk membentuk sebuah pemerintahan.

Pengadil yang dimaksudkan itu ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tugas mereka bukan untuk umum tarikh hari raya, tetapi menguruskan sebuah pilihanraya untuk memberi hak kepada rakyat bagi memilih pemimpin atau parti yang mereka mahukan menurut lunas-lunas demokrasi. Jesteru, sebagai pengadil dalam sistem pilihanraya, sudah pastilah mereka perlu bersih, telus dan adil dalam mengendalikan sesuatu pilihanraya tanpa merelakan diri mereka diperalatkan oleh pihak yang memegang kuasa.

Pada aku, kalau SPR mahu rakyat mempunyai persepsi yang baik terhadapnya, sikap adil dan tidak berpihak itulah rahsianya. Hari ini, heboh dalam media-media utama berkenaan nisbah 1:40 yang dikemukakan oleh Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno. Mereka mendakwa bahawa orang muda yang mendaftar sebagai pengundi adalah dengan nisbah seoarang melayu berbanding 40 bukan melayu. Sama ada angka atau nisbah yang dikemukakan ini tepat atau tidak, ia memerlukan penjelasan daripada pihak SPR. Walaubagaimanapun, aku secara peribadi berpandangan bahawa isu nisbah pengundi mengikut kaum ini tidak menjadi isu sekiranya SPR menerima saranan sesetengah pihak sebelum ini yang mahukan pendaftaran sebagai pengundi dilakukan secara automatik kepada anak muda yang mencapai umur 21 tahun.

Jangan jadikan alasan untuk tidak melakukannya atas sebab kononnya tidak mahu menggangu hak rakyat sama ada hendak menjadi pengundi ataupun tidak. Ini kerana, bagi aku, kita daftar sahaja nama mereka. Selepas itu, sama ada mereka mahu keluar mengundi atau tidak, itu terpulanglah kepada mereka. Yang penting, pihak SPR, kerajaan, NGO mahupun parti-parti politik kena pandailah untuk ajak golongan ini keluar mengundi dengan suntikan kesedaran.

Seterusnya, sebagai pengadil yang perlu adil, SPR juga perlu menimbang semula antara tuntutan pihak BERSIH satu ketika dahulu yang mahukan penggunaan dakwat hitam bagi mencegah kehadiran pengundi hantu, penghapusan sebahagian undi pos yang dilihat keberangkaliannya boleh dieksploitasi, daftar pemilih yang telus dan menyakinkan dan seterusnya akses maklumat yang sama rata antara parti politik yang bertanding tanpa melihat ia parti kerajaan atau pembangkang. Selain itu, SPR juga perlu tegas dalam menangani salah laku semasa pilihanraya khusunya melibatkan sogokan dan beli undi di samping membenarkan badan bebas seperti MAFREL untuk memantau perjalanan setiap kali pilihanraya.

Akhir sekali, semua ini bukan untuk menyusahkan SPR, tetapi untuk berkongsi tentang bagaimana untuk dilihat adil dan saksama dalam pengurusan sesuatu pilihanraya. Aku bukanlah pandai sangat untuk mengajar SPR tentang itu dan ini, tetapi anggaplah ia sebagai luahan hati dari seorang pengundi muda yang mahu melihat sistem pilihanraya di negaranya adil, telus dan boleh dipercayai. Barulah rakyat puas hati.

2 Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s