Kau Selalu Ada

Perasan atau tidak saudara, adakalanya ada sesuatu yang telah berlaku di hadapan mata kita. Namun, sesuatu yang kita lihat, yang kita nampak itu tidak menimpa atau melibatkan kita. Seolah-olahnya ada sesuatu yang menyekat dan menghalangi kita daripada terlibat dengan perkara tersebut.

Apa yang aku sebut di sini mempunyai kaitan dengan aku bila aku imbas kembali peristiwa yang pernah aku lihat di hadapan mata. Kejadian yang aku lihat itu menyebabkan aku bermonolog sendirian, mengerakan lidah yang kelu, untuk seungkap lafaz cinta dan rindu tatkala mengenangkan bertapa kasihNya terhadapku.

Pernah satu ketika, aku hendak pulang ke rumah untuk rehat tengah hari. Seperti biasalah, setiap hari, tepat jam 1 petang, aku akan pulang sekejap untuk santapan tengah hari dan bersolat zohor. Tetapi hari itu, ketika aku hendak menghidupkan enjin motor, tiba-tiba En Soib, salah seorang pembantu pertanian di tempat aku praktikal, memanggil aku untuk masuk ke rumahnya. Lantas, aku bergegaslah menemuinya (Mana tahu kot-kot dia nak ajak makan kan hehe). Setelah aku berada di rumahnya, dia menunjukkan aku sampel-sampel sayur seperti terung, timun dan kacang panjang yang diambil daripada petani untuk dianalisis.

Sayur-sayur ini menurutnya hendak dihantar ke Makmal Lembaga Racun Makhluk Perosak yang terletak di Kuala Lumpur. Dia ingin mengajak aku dan rakan praktikal yang lain untuk pergi ke sana melihat makmal tersebut. Secara ringkas, dia tunjukkan beberapa borang untuk diisi sebelum ke sana pada jam 3 petang nanti. Sebelum aku pulang, dia memberikan sedikit sayur-sayur yang ada untuk dibawa ke rumah. (selamat ke sayur-sayur ni? InsyaAllah hehe)

Dalam perjalanan pulang itu, kenderaan-kenderaan di hadapan aku bergerak perlahan. Jarang jalan yang aku lalui itu sesak seperti ini. Aku pun menyelit-nyelit kereta-kereta yang ada. Rupa-rupanya saudara, ada sebuah proton Waja terbabas ke sebelah kiri jalan merempuh papan tanda yang ada di situ. Waktu itu, aku lihat pemandu sudah tidak ada disitu, mungkin telah dibawa ke hospital atau klinik. Yang ada cuma kereta tersebut disamping orang ramai yang menolong mengalihkan kereta yang kemalangan itu.

Aku merasakan kemungkinan kemalangan itu berlaku kira-kira 15 atau 20 minit yang lalu. Ya Allah, kalaulah En Soib tak panggil aku ke rumahnya tadi, barangkali aku dapat melihat kemalangan itu atau nauzubillah turut terlibat sama memandangkan kereta itu terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Subhanallah,” aku bermonolog sendirian.

Demikianlah saudara, sebuah renungan yang barangkali kita jarang memikirkannya. Mungkin kita melihat sesuatu tetapi kita tidak kaitkan dengan diri kita. Bagi aku, kuasa yang menghalangi atau melengahkan aku waktu itu adalah kuasa dan kehendak Allah swt. Dia selalu ada disamping kita saudara (rujuk surah al-hadid 57:4) .

Allah tidak pernah membiarkan kita sendirian mengharungi kehidupan ini. Maha Pengasih Allah yang telah menganugerahkan Islam yang sempurna kepada kita sebagai panduan dalam mengharungi cabaran dan dugaan hidup (rujuk surah al-maidah 5:3). Allah azza wajalla mengutuskan rasul sebagai role model untuk kita ikuti sekiranya kita mengimpikan kebahagiaan dunia dan akhirat (rujuk surah al-ahzab 33:21). Allah taala juga bersedia mengabulkan doa-doa kita saudara tatkala kita memohon dan merayu sesuatu kepadaNya (rujuk surah al-baqarah 2:186).

Kehidupan yang kita lalui ini seperti yang selalu kita dengar, merupakan sebuah pengembaraan. Adat di dalam mana-mana pengembaraan, sudah tentu kita akan berhenti seketika di suatu tempat sebelum menyambung pengembaraan kita seterusnya. Berhenti kita di suatu tempat bukan sahaja untuk berehat semata-mata, tetapi kita dikehendaki mengumpulkan sebanyak mungkin bekalan. Bekalan ini pula terlalu penting memandangkan pengembaraan tersebut tidak diketahui di mana tamatnya. Tetapi hati kecil kita berkeyakinan, di hujung pengembaraan ini akan ditemui sebuah daerah yang tidak pernah dilihat, dirasai sebelum ini. Dan untuk ke daerah itu saudara, kita dikurniakan dengan peta panduan yang cukup lengkap agar tidak sesat di tengah jalan.

Selain itu, kehidupan juga boleh dikaitkan sebagai pementasan cerita seperti mana dalam lirik lagu Aku Mahu Pulang. Apa katanya:

“Aku manusia pelakon cerita

Dipementasan alam ciptaanNya

Bukan sengaja melanggar arahan

Kadang terlupa watak dan peranan

Aku manusia”

Ada benarnya saudara. Secara analogi, kita adalah pelakon yang membawa watak manusia di bawah arahan Maha Kuasa. Scene filemnyaadalah dunia yang sementara ini. Adapun skripnya, adalah Al-Quran dan As-sunnah yang diwariskan itu. Jurukamera dan jururekodnya adalah para malaikat yang setia di sisi. Jurumake-up artisnya adalah keluhuran akhlak yang tinggi harganya. Semuanya akan berkerjasama untuk menjayakan filem kehidupan kita ini. Tetapi, mungkinkah berjaya filem ini, seandainya pelakon tersebut meninggalkan skrip yang tersedia itu?

Mudah-mudahan Allah membimbing kita dengan taufik dan hidayahNya untuk terus berpegang dengan skripNya itu bagi menjamin kejayaan shooting filem kehidupan ini. Amin…

Kawan : Teman : Sahabat

Kawan, teman dan sahabat adalah tiga perkataan yang mempunyai persamaan atau sinonim dari sudut maksudnya. Kalau saudara merujuk Kamus Dewan, ternyata kamus tersebut tidak memperincikan apakah perbezaan di antara ketiga-tiga perkataan ini.

Namun, di dalam kehidupan kita seharian, pastinya dalam jalinan hubungan kita dengan masyarakat selama ini akan menemukan kita dengan perbezaan di antara tiga perkataan tersebut. Yang sama mungkin makna atau maksudnya tetapi yang menyebabkan perbezaan adalah dari sudut darjah hubungan dan ikatannya.

Kawan tidak serupa dengan teman dan teman juga tidak sama dengan sahabat walaupun ketiga-tiganya adalah orang yang sama dan serupa seperti kita. Tetapi, dari sudut yang mendalam, saudara akan merasai bahawa sahabat adalah kawan dan teman kita tetapi tidak semua kawan dan teman kita adalah sahabat.

Lantaran itu, aku cuba buat sedikit research dan pencarian (macam buat Final Year Project pulak) untuk mengenal pasti apakah nisbah perbezaan di antara ketiga-tiga perkataan tadi. Tempat carian, sudah tentu di internetlah sebab aku yakin akan ada orang lain yang turut membahaskan isu ini mengikut pandangan dan pengalaman mereka.

Setelah mencari dan menelaah sedikit sebanyak blog-blog yang menulis tentang perkara ini, maka secara ringkasnya aku boleh menyimpulkan bahawa rata-rata mereka berpendirian dan berpendapat:

Kawan = boleh didapati di mana-mana, tidak teguh hubungannya, hanya bersifat luaran, paling ramai.

Teman = hubungan rapat, lebih teguh berbanding kawan, dipercayai dan boleh dijadikan tempat berkongsi suka, duka, masalah, pendapat sehingga dalam satu keadaan boleh jadi sahabat

Sahabat = hubungan terlalu rapat dan akrab berbanding teman, sangat teguh sehingga semua masalah boleh dikongsi bersama, paling sukar untuk ditemui, setia, perihatin dan sanggup berkorban kerana persahabatan.

Saudara, demikianlah nisbah perbezaan yang dapat digambarkan di sini. Apa pun ia masih terserah kepada saudara untuk membezakanya.

Di kesempatan ini, aku ingin berkongsi tentang pengorbanan tiga orang sahabat ketika berada dalam Perang Yarmuk. Waktu itu, tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Al-Walid berhadapan dengan tentera Rom. Pertempuran antara kerajaan Islam dengan Rom ini berlaku pada zaman pemerintahan saidina Abu Bakar As-Siddiq yang berakhir dengan kemenangan tentera Islam. Di dalam pertempuran tersebut, seramai 120 ribu tentera Rom terkorban manakala tentera Islam yang gugur syahid pula seramai 3 ribu orang.

Dalam kalangan 3 ribu tentera inilah terdapat 3 orang sahabat yang disebutkan tadi. Kisah ini saudara dikhabarkan oleh seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abu Jahim bin Huzaifah. Ketika perang itu berlaku, Abu Jahim sedang mencari saudara sepupunya yang berada di baris hadapan dengan membawa sebekas air. Rupa-rupanya, saudara sepupunya itu sedang terbaring berlumuran darah. Lantas, Abu Jahim mendekatinya untuk memberi sedikit air tatkala melihatkan sepupunya itu mengerang kesakitan. Belum sempat Abu Jahim memberikannya air, tiba-tiba terdengar teriakan,

“Berikan aku air!air!”.

Mendengarkan teriakan itu, lantas sepupunya itu memberi isyarat agar Abu Jahim memberi air itu kepada lelaki yang berteriak tadi terlebih dahulu. Tanpa berlengah, Abu Jahim menghampiri lelaki tersebut dan ternyata lelaki yang sedang merintih tadi adalah Hasyim B Abilas, kenalan Abu Jahim.

Belum pun sempat Abu Jahim memberikannya air, terdengar lagi suara lelaki lain yang juga mengerang kesakitan dan meminta air. Kali ini, Hasyim memberi isyarat agar air itu diberikan terlebih dahulu kepada lelaki berkenaan kerana mungkin dia lebih memerlukan. Ketika Abu Jahim menghampiri lelaki yang mengerang tadi, tanpa diduga lelaki itu telah pun syahid menghembuskan nafas terakhir. Setelah itu,  Abu Jahim berpatah balik bertemu dengan Hasyim, namun sedihnya, dengan takdir Allah, Hasyim yang dikenalinya itu juga telah pun syahid.

Lantas, Abu Jahim bergegas pula menghampiri saudara sepupunya tadi, namun kesedihan berombak lagi di hati Abu Jahim tatkala melihat sepupunya itu turut gugur syahid. Begitulah saudara, perasaan ukhwah dan mahabbah terhadap teman dan sahabat seperjuangan telah menyebabkan mereka saling berkorban antara satu sama lain walaupun mereka juga dalam keadaan susah dan amat memerlukan pertolongan pada saat itu.

Di sini saudara, ada sepotong hadith yang bermaksud:

“Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku(Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku(Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah)”[Riwayat Ahmad]

Mudah-mudahan dengan hadith ini, bersama-samalah kita merenung, menghayati dan seterusnya bermuhasabah untuk bertanya pada diri sendiri: Apakah kita sudah melakukan yang terbaik sebagai seorang kawan, teman mahupun sahabat?