Menghayati Peristiwa Badar

Alhamdulillah saudara, kita masih lagi dipertemukan untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat ini. Sedar tak sedar saudara, ketika post ini ditulis, kita telah pun berada pada hari ke 17 Ramadhan 1431H. Tarikh penting 17 Ramadhan ini pasti mengingatkan kita akan hari yang disebut sebagai Nuzul Al-Quran, iaitu hari yang mana Al-Quran mula diturunkan.

Selain itu, 17 Ramadhan juga mengingatkan kita akan detik kemenangan umat Islam terhadap golongan musyrikin tatkala kita mengimbau peristiwa Perang Badar yang cukup bermakna dan bersejarah itu. Mana tidaknya saudara, bagaimana jumlah tentera Islam yang sekitar 313 atau 314 orang mampu menumbangkan tentera kuffar seramai 1000 orang. Sudah tentu ianya mempunyai rahsia dan kehebatan yang perlu disingkap oleh kita hari ini.

Kebetulan saudara, tahun ini 17 Ramadhan jatuh pada hari Jumaat yang pada hari Jumaat ini jugalah peperangan itu tercetus. Maknanya, kini sudah 1429 tahun perang itu terjadi yang mana ianya berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Saudara, ketika di Madinah, Rasulullah saw telah mengarahkan supaya para sahabat keluar menyekat rombongan dagangan Quraisy dari Syam yang sedang menuju ke Mekah. Sekatan ini bukanlah untuk mengajak berperang, tetapi menuntut hak umat Islam Mekah yang dirampas ketika penghijrahan ke Madinah.

Walaubagaimanapun, perancangan umat Islam ini diketahui oleh Abu Sufyan yang mengetuai rombongan dagangan tersebut dengan memintas ikut jalan lain. Tetapi, berdasarkan risikan tentera Islam yang dipimpin Rasulullah saw, pihak Quraisy musyrikin telah pun menghantar 1000 kekuatan tentera untuk melindungi rombongan dagangan mereka yang membawa maksud untuk berperang dengan umat Islam.

Tatkala berhadapan dengan saat genting itu saudara, Rasulullah saw mengadakan mesyuarat bersama para sahabat untuk menghadapi tentangan musyrikin ini. Di dalam mesyuarat tersebut, wakil Muhajirin, Miqdad bin Amru berkata;

“Ya Rasulullah, teruskan apa yang Allah perlihatkan kepadamu dan kami akan bersamamu. Pergilah engkau dan tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami akan bersama kamu sebagai para pejuang

Setelah itu, golongan Ansar yang menyedari Rasulullah saw mengharapkan sesuatu respons daripada mereka, bingkas bangun menyatakan pendirian mereka melalui Saad bin Muaz. Antaranya dia berkata;

“Sesungguhnya kami akan tetap tabah menjalani peperangan, kami akan tetap benar sewaktu berhadapan dengan musuh, mudah-mudahan Allah swt memperlihatkan kepada engkau tentang pendirian kami yang boleh menenangkan hati dan menyejukan mata engkau.”

Pendirian umat Islam ini berbeza dengan golongan yahudi pada zaman anbiya terdahulu yang menolak ajakan jihad oleh nabi mereka seperti mana yang diceritakan di dalam Al-Quran. Saudara, ketika berada di dalam perjalanan, Rasulullah saw telah berhenti di suatu telaga kecil yang ada di Badar. Namun seorang sahabat bernama Al Habbab bin Al Munzir bertanya kepada Rasulullah sama ada tempat itu dipilih Allah atau dipilih oleh Rasulullah saw sendiri. Maka, Rasulullah saw menjawab, ia adalah pilihannya sendiri. Jadi, Al Habbab mencadangkan supaya lokasi kem tentera Islam ditukar ke tempat lain yang berdekatan dengan sumber air. Ini kerana, tentera Islam boleh menyekat pengaliran air yang ada di Badar kepada tentera musyrikin.

Maka, Rasulullah saw dan para sahabat yang lain bersetuju dengan cadangan tersebut. Daripada kisah ini, ia menunjukkan kepada kita bahawa Nabi saw sebagai pemimpin bersikap sangat terbuka terhadap apa-apa cadangan daripada para sahabat untuk kebaikan bersama. Ia juga menunjukkan kepada kita akan pentingnya perancangan dan strategi untuk mencapai apa-apa kejayaan dan kemenangan. Setelah itu, Saad bin Muaz pula tampil untuk mencadangkan supaya dibinakan sebuah pondok kecil di belakang barisan tentera Islam untuk Rasulullah saw. Ini kerana, strategi ini membolehkan sekiranya ada apa-apa berlaku terhadap tentera Islam, sekurang-kurangnya Rasulullah masih terselamat dan dapat lagi berjumpa dengan kaum muslimin di Madinah.

Cadangan ini tidak dibantah oleh Nabi saw menunjukkan kepada kita bahawa perlindungan dan kawalan keselamatan terhadap pemimpin tidak salah. Ini kerana, pemimpin yang benar dan soleh yang memimpin sesuatu perjuangan perlu dipertahankan bagi mempastikan perjuangan itu dapat diteruskan. Walaubagaimanapun, apakah ianya bermaksud Rasulullah saw goyang kaki tidak berbuat apa-apa? Jawapannya tidak, kerana tatkala kedua-dua tentera sedang berhadap-hadapan, Rasulullah saw turun padang mengatur dan menyusun barisan tentera Islam disamping memberi perangsang untuk terus berjuang.

Kemudian, Rasulullah saw pulang ke pondoknya dengan diiringi oleh Abu Bakar As-Siddiq. Di sanalah, Rasulullah saw tidak henti-henti berdoa dan bermunajat kepada Allah sehinggakan Abu Bakar berkata;

“Cukuplah Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah akan menunaikan janji-janjinya kepada engkau,”

Dengan bantuan Allah melalui para malaikatNya di samping kekentalan semangat jihad tentera Islam, maka Perang Badar menjadi milik Islam. Di dalam peperangan ini, lebih kurang 14 tentera Islam gugur syahid manakala 70 tentera musyrikin terkorban termasuklah ketua kaum mereka iaitu Abu Jahal. Di sini saudara, kita dapat melihat bahawa, walaupun pelbagai usaha, perancangan dan strategi di atur dalam gerak kerja peperangan itu, kita tidak boleh lupa kepada Allah. Setelah berusaha, Rasulullah saw hendak mengajar kepada kita supaya berdoa, pohonlah bantuan kepada Allah kerana kita hanya mampu merancang, tetapi Allah yang menetukan segalanya.

Demikianlah saudara serba sedikit kisah Badar Kubra yang dapat aku kongsikan untuk renungan bersama. Mudah-mudahan kita mengambil pengajaran sebagai persediaan dalam mengharungi bahtera kehidupan yang semakin mencabar dan tidak menentu pukulan ujian gelombangnya. InsyaAllah.

ISLAM: Pencetus Idea Kemerdekaan Negara

Sesungguhnya saudara, Islam merupakan agama dan cara hidup yang membebaskan sekalian manusia daripada menjadi hamba kepada manusia lain, kepada hawa nafsu, kepada pangkat kedudukan mahupun kepada harta benda. Islam ajar umatnya supaya tunduk dan patuh hanya kepada Allah swt yang telah menciptakan kita.

Saudara, bila kita bicara soal kemerdekaan, pasti ianya dikaitkan dengan perjuangan orang-oarang terdahulu dalam menuntut kemerdekaan dan kebebasan tanah air kita ini. Sejarah kemerdekaan yang dipelajari dan didedahkan kepada kita hari ini tidak begitu menyeluruh skopnya. Ianya dilihat hanya tertumpu dan terfokus kepada gerakan kemerdekaan yang dikaitkan dengan jasa pemimpin UMNO sahaja. Adapun sejarah panjang yang melibatkan penglibatan para alim ulama dalam menghadapi penjajahan yang begitu lama tempohnya itu seakan cuba diselindungkan dan ditenggelamkan.

Memang tidak dinafikan ada diceritakan di dalam buku teks sejarah tentang kebangkitan orang melayu menentang penjajah seperti perjuangan Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Gajah, Datok Bahaman, Mat Kilau dan ramai lagi. Tetapi saudara, timbul juga pada fikiran kita, apakah faktor utama yang mendorong kebangkitan pahlawan dan rakyat pada waktu itu?

Dari manakah hadirnya sentimen anti kepada penjajah pada waktu itu? Siapakah yang sebenarnya membentuk kesedaran rakyat untuk tidak tunduk kepada penjajah? Berdasarkan persoalan ini, kalau aku nak ulas dan bahas satu per satu, memang panjang saudara, tetapi cukuplah untuk aku mendedahkan sedikit tentang sejarah gerakan ulama dalam proses menuntut kemerdekaan tanah air kita. Yang selebihnya, saudara boleh buat pembacaan sendiri.

Saudara, penentangan terhadap penjajahan di Melaka dan negeri-negeri melayu yang lain daripada kuasa Portugis, Belanda dan Siam begitu hebat dan rancak di bawah pimpinan para ulama. Oleh kerana tempoh penentangan ini begitu panjang, ia telah menyebabkan peranan ulama dalam mendidik ummah agak terjejas sedikit yang seterusnya memberi kesan terhadap kelahiran ulama-ulama muda sebagai pewaris. Selain itu, terdapat juga ulama yang berjuang ini berakhir dengan mati dibunuh dan dibuang negeri.

Jesteru, bagi memastikan kelangsungan kelahiran ulama-ulama ini, mereka telah mengatur perancangan antaranya berhijrah ke Mekah pada akhir abad ke-17. Perlu diingatkan bahawa, penghijrahan ini bukan kerana lari kerana takut untuk berjuang, tetapi sebagai ‘long-term strategy’ dalam menghadapi kuffar di tanah air. Maka ringkas cerita, strategi ini membuahkan hasil apabila lahirnya ramai ulama-ulama melayu yang dikaderkan di Mekah antaranya Sheikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani. Selain itu, ulama-ulama melayu ini juga menggunakan kesempatan ketika ibdah haji untuk berkumpul dan meniupkan semangat anti-penjajah kepada orang melayu yang datang mengerjakan haji.

Sebab itu saudara, di Indonesia, penjajah Belanda berasa hairan mengapa setiap kali umat Islam ke Mekah mengerjakan haji, penentangan rakyat terhadap mereka semakin kuat. Lantaran itu, mereka mengutuskan Snouk Hurgronje untuk menyamar sebagai muslim bagi mengkaji peranan haji dalam membentuk ‘political awareness’ orang melayu pada tahun 1884. Ternyata saudara, di dalam kajiannya, Hurgronje mendapati peranan ulama melayu seperti Sheikh Ahmad al-Fathani inilah yang bertanggungjawab mempengaruhi jemaah haji dan para pelajar melayu di Mekah dalam membebaskan tanah air masing-masing.

Berdasarkan kajian tersebut, Hurgronje telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk ‘De Atjeher’ yang mana laporan itu menyebut supaya ulama diasingkan daripada rakyat dan perlu untuk melahirkan ulama ampu yang memisahkan antara agama dan politik bagi mematahkan gerakan penentangan. Saudara, ketika di Mekah, selain daripada mengkaderkan ulama-ulama ‘reformis melayu, Sheikh Ahmad al-Fathani juga pernah mengirimkan surat-surat perjuangan kepada Sultan Zainal Abidin III (1323H) di Terengganu dan Sultan Mansur Kelantan (1891) supaya tidak mudah tunduk terhadap tekanan penjajah. Selain itu, beliau juga dijadikan rujukan oleh Sultan Pattani, Kedah, Johor, Riau-Lingga, Deli, Langkat, Pontianak dan Sambas.

Selain itu saudara, Syeikh Ahmad al-Fathani juga telah menyusun gerakan kemerdekaan melalui pertubuhan organisasi untuk orang melayu, memindahkan kiblat pendidikan orang melayu serta melalui kitab-kitab karya beliau khususnya kitab Ad-Daulah al-Aliyah at-Turkiyah al-Usmaniyah (1886) yang berkisar tentang kedudukan kerajaan Uthmaniyah sebagai khalifah Islam pada ketika itu.

Pada tahun 1873, beliau telah menubuhkan persatuan yang dinamakan sebagai Jam’iyatul Fathaniyah. Kesan pengaruh persatuan ini telah menyebabkan tertubuh pula Jam’iyatul Rusyidiyah yang melahirkan tokoh seperti Syed Sheikh al-Hadi. Kemudian, Kiyai Hashim iaitu salah seorang anak murid Syeikh Ahmad al-Fathani menubuhkan pula Nadhatul Ulama di Indonesia pada tahun 1926. Seorang lagi anak muridnya iaitu Tok Kenali telah menubuhkan MAIK yang berperanan besar melahirkan generasi pejuang melalui sekolah MAIK atau dikenali sebagai Maahad Muhammadi.

Setelah melihat perkembangan positif di Mesir terhadap usaha menentang penjajah, beliau telah menghantar anak-anak muridnya untuk mendalami ilmu di sana dan seterusnya bertanggungjawab memperkenalkan anak-anak muridnya itu dengan pejuang-pejuang reformis seperti Sheikh Muhammad Abduh yang terkenal sebagai pemikir pembaharuan Islam yang menuntut umat Islam berjuang untuk kemerdekaan melalui risalah al-Imam. Di tanah melayu pula, anak muridnya seperti Haji Mat Hassan Munas atau Tok Janggut melancarkan gerakan jihad ke atas British pada tahun 1915.

Selain itu saudara, Sheikh Ahmad al-Fathani yang memiliki hubungan rapat dengan Sultan Zainal Abidin III serta Tokku Paloh telah menyemarakan lagi penentangan penjajah di Terengganu apabila anak murid Tokku Paloh iaitu Abdul Rahman Limbong mengetuai pemberontakan terhadap penjajah. Di Pahang pula, kebangkitan rakyat masih mempunyai pengaruh Sheikh Ahmad dan Tokku Paloh yang mana kedua-dua tokoh ulama melayu ini berjaya mempengaruhi Sultan untuk tidak tunduk terhadap tekanan penjajah yang seterusnya secara tidak langsung mencetus kesedaran jihad Tok Gajah, Datok Bahaman dan Mat Kilau ketika mendapat perlindungan daripada kerajaan Terengganu.

Demikianlah saudara serba sedikit gambaran sumbangan ulama dalam mencetus kesedaran dan seterusnya menggerakan proses awal menuntut kemerdekaan dalam kalangan orang melayu. Walaubagaimanapun saudara, sehebat mana pun seseorang ulama melayu itu, dia tidak akan jadi hebat seperti mana yang kita tahu tanpa adanya Islam sebagai pencorak pemikiran dan tindakan mereka. Sebab itu, bagi aku, titik permulaan sejarah kemerdekaan negara ini sebenarnya bermula dengan benih kesedaran yang dicetuskan oleh ulama yang mendalami ajaran Islam demi menegakkan sebuah Daulah Islamiyah. AllahuAkhbar!

Pengundi Muda

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SPR sehingga Mac yang lalu saudara, terdapat sekurang-kurangnya 1.9 juta orang melayu yang layak mengundi tetapi belum berdaftar. Jumlah ini merupakan 43% daripada 4.3 juta pengundi yang masih belum berdaftar. Bagi kaum lain, seramai 1.7 juta masih belum berbuat demikian iaitu 30.6% daripadanya adalah orang cina dan 9.3% adalah orang india.

Isu pendaftaran pengundi baru ini menjadi begitu penting dan panas tatkala semua parti-parti politik berlumba-lumba dalam membuat persiapan menghadapi PRU-13 yang katanya akan dilakukan secara mengejut. Terkejut atau buat-buat terkejut adalah fenomena biasa dalam amalan demokrasi di Malaysia.

 

Maka saudara, kita akan melihat setiap parti politik sudah mula dengan semangatnya menggerakkan jentera masing-masing untuk menarik orang muda untuk daftar mengundi. Bukankah senang kalau kesemua 4.3 juta yang liat ini didaftarkan secara automatik? dan bagi aku, tak perlulah rasanya wang rakyat dibazirkan untuk upah RM1 ke, RM10 ke untuk setiap pengundi yang mendaftar. (entahlah, macam manalah mereka berfikir).

Saudara, sedar atau tidak, rupa-rupanya golongan muda atau belia hari ini merupakan penentu kepada pembentukan kerajaan dalam PRU-13 yang akan datang seperti mana yang diakui ramai pihak. Sama ada BN akan tumbang atau PR akan ambil alih, penentunya pada pengundi muda dan baru. Berkenaan dengan pengundi baru, menurut Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, beliau mengatakan;

“Mendaftar sebagai pengundi dan aktif dalam politik adalah dua perkara yang berbeza. Justeru parti-parti politik kini perlu mendekati golongan ini supaya aktif dalam politik kerana dari situlah, komitmen mereka untuk keluar mengundi akan timbul.” (mStar online).

Sebab itu, semua nampaknya beria-ia mahu tunjuk baik, tunjuk perihatin, tunjuk mesra khususnya kepada golongan muda. Walaubagaimanapun, apakah golongan ini akan mudah terpengaruh dengan politik ampu, politik ugut, politik munafik dan politik murahan sebilangan pemimpin yang dilihat hari ini?

Oleh itu saudara, berdasarkan pandangan Prof Madya Dr.Ahmad Nizammuddin Sulaiman, pensyarah Sains Sosial di UKM, beliau mengakui bahawa perkembangan politik semasa banyak mempengaruhi keputusan politik golongan muda;

“Orang muda hari ini berfikiran lebih kritis dalam isu-isu seperti hak asasi, keterbukaan dalam pemerintahan, kerajaan yang bebas daripada rasuah dan isu ISA yang menjadi faktor kepada perubahan tersebut.”

Beliau menambah lagi;

“Mereka lebih bersemangat dan lantang bersuara memperjuangkan hak mereka. Mereka banyak menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil dan Gerakan Mansuh ISA , jadi ini dilihat sebagai satu perubahan daripada aspek pemikiran mereka.” (mStar online)

Ternyatalah saudara, landskap politik baru yang mula tercetus dan berkembang hari ini tidak sama dengan suasana politik lapuk zaman kuno dahulu. Kalau dulu, orang mudah terpengaruh dengan pelbagai dakyah dan propaganda media arus perdana, tetapi keadaan itu hari ini sudah jauh berubah. Orang semakin cerdik untuk menilai setiap isu yang cuba untuk disensasikan denagn publisiti murahan. Ini kerana, berdasarkan kajian Merdeka Centre seperti yang dilaporkan oleh Malaysian Insider, 57% orang melayu serta 58% orang Cina didapati sudah tidak percaya dengan media arus perdana yang ada hari ini.

Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau berpandangan bahawa;

“Pengundi muda kini lebih berpandangan terbuka dan membina dan mereka tidak menilai sesuatu isu berdasarkan ideologi politik. Sokongan mereka mudah berubah atau bertindak kepada situasi pada bila-bila masa. Mereka tidak lagi berpegang kepada kata-kata atau janji ahli politik tetapi sebaliknya menilai bagaimana parti-parti berkenaan menangani pelbagai isu.” (BHarian online)

Oleh hal demikian saudara, bagi mereka yang memperjuangkan politik baru yang lebih matang, lebih terbuka dan tidak jumud sudah pasti boleh menghela nafas panjang sedikit tatkala mendengar perkembangan ini. Walaubagaimanapun saudara, masih banyak perkara yang perlu diusahakan dalam memupuk politik demokrasi yang berintegriti dan berhikmah, bukannya sempit dan terkebelakang.

Di sini saudara, aku terfikir juga, jika orang muda amat sangat diperlukan dalam kerangka politik semasa dan kesannya terhadap pembentukan politik baru, soalnya kenapa masih ada sesetengah pihak yang seakan fobia jika mahasiswa terlibat dengan politik? Bukankah para mahasiswa juga adalah bakal pengundi muda yang akan memilih kerajaan yang akan datang?

Pada aku, keputusan untuk seseorang mahasiswa itu terlibat dalam politik atau tidak adalah menjadi keputusan peribadi mahasiswa tersebut. Ya saudara, memang ada pro dan kontranya, tetapi peluang ini akan menjadi satu platform buat mereka menerima pendedahan terhadap kematangan berpolitik dengan ilmu dan idealisma sebagai prinsip perjuangannya. Akhir bicara, janganlah berimaginasi terlalu negatif terhadap keupayaan mahasiswa kerana keberadaan mereka sebagai penggerak masyarakat dan pelapis kepimpinan masa depan negara harus disantuni oleh semua pihak.

Niat Yang Ikhlas

Dalam ramai-ramai orang yang beriman, hanya sedikit sahaja yang gemar menuntut ilmu. Dalam kalangan orang yang menuntut ilmu itu pula, hanya sebahagian sahaja yang benar-benar mengamalkannya dan dalam kalangan orang yang beramal tadi hanya sebilangan sahaja yang betul-betul ikhlas.

Demikianlah saudara antara kata-kata renungan yang selalu kita dengar, yang aku pasti bukan tujuannya untuk membeza-bezakan antara seorang muslim dengan muslim yang lain, tetapi ungkapan itu disampaikan untuk kita berfikir dan bermuhasabah sejenak.

Saudara, jika benar kita mengaku beriman, apakah kita sudah melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan yang begitu luas untuk kita terokai? Jika benar kita kata kita sudah ada sedikit ilmu di dada, apakah ianya sudah diamalkan dan dipraktikan? dan jika benar kita sudah yakin yang kita sudah beramal, apakah ianya benar-benar lahir dari hati yang ikhlas.

Bercakap tentang hati yang ikhlas ini saudara, al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah pernah menyatakan bahawa;

“Amal tanpa keikhlasan umpama seperti musafir yang mengisi kantungnya dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat.”

Fudhail Bin Iyadh ketika menjelaskan tentang ayat dalam surah al-Mulk 67:ayat 2, beliau antaranya mengungkapkan bahawa;

“Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”

Ternyata, ikhlas merupakan kunci utama di dalam penerimaan sesuatu ibadah atau amalan oleh Allah swt. Jika kita ikhlas dan sungguh-sungguh melakukan amalan yang seiring dengan syariat itu, maka Allah swt pasti akan menerimanya walaupun amalan itu hanya kecil pada pandangan manusia. Walaubagaimanapun, bagi melahirkan sifat ikhlas ini saudara, ia bermula dengan niat di dalam hati.

Ini kerana, jika salah niatnya, maka rosak amalannya nanti. Lantaran itu, Nabi saw telah meninggalkan pesanan  kepada kita berkenaan dengan  kepentingan niat ini.

“Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya itu kerana Allah dan rasulnya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasulnnya. Sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang akan didapatinya atau kerana perempuan yang akan dikahwininya, maka hijrahnya adalah bergantung kepada tujuan dia berhijrah.” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Berkenaan dengan sebab hadith ini dikeluarkan saudara, Al-Imam an-Nawawi menyebut antaranya;

“Sesungguhnya telah datang bahawa sebab keluarnya hadits ini adalah tentang seorang lelaki yang berhijrah hanya untuk menikahi seorang wanita yang bernama Ummu Qois maka dia pun dipanggil dengan panggilan Muhajir Ummu Qois (orang yang berhijrah kerana Ummu Qois)”.

Berdasarkan hadith ini saudara, ia jelas memberikan gambaran kepada kita akan hubungkait niat dan keikhlasan. Jika seseorang itu mempunyai niat melakukan sesuatu ibadat atau perkerjaan semata-mata ikhlas kerana Allah, maka insyaallah ada lah bahagian pahala untuknya. Tetapi, seandainya dia melakukannya kerana orang lain, hendak menunjuk atau hendak dapatkan pujian dan sanjungan, maka dia akan gagal untuk peroleh pahala dan ganjaran di sisi Allah walaupun penat dan lelah melaksanakannya.

Sebab itu saudara, Saidina Umar al-Khattab pernah menemui Muaz bin Jabal yang ketika itu sedang menangis di sisi makam Rasullullah saw. Lantas, Umar bertanya kepada Muaz;

“Apakah yang membuatkan kamu menangis?”

Lalu, Muaz menjawab;

“Aku menangis kerana telah mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘Sesungguhnya riya’ yang sedikit adalah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, sesungguhnya dia telah berperang dengan Allah. Allah mengasihi orang-orang yang baik dan bertaqwa yang tidak dikenali. Apabila mereka hilang, orang tidak mencarinya dan apabila mereka ada, mereka tidak dipanggil dan dikenali. Hati-hati adalah lampu petunjuk, mereka keluar dari setiap tanah berdebu yang gelap.”

Demikianlah saudara, bercucuran air mata sahabat tatkala mengenangkan pesanan Nabi saw kerana takut kalau-kalau amalnya tidak ikhlas dan hanya untuk menunjuk-nunjuk (riya’). Ini kerana, orang yang ikhlas adalah orang yang boleh diumpamakan seperti akar tunjang.  Walaupun tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dilihat pada pandangan mata, namun ia memberi manfaat untuk pokok itu tegak dan hidup tinggi.

Semoga segala amalan kita sama ada di bulan Ramadhan ini mahupun di bulan-bulan yang mendatang diterima di sisi Allah dan sentiasa ditempatkan kita di bawah naungan rahmat dan keberkatanNya. Amin.

Puasa Untuk Takwa

Alhamdulillah saudara, tahun ini sekali lagi kita masih diberi peluang oleh Allah swt untuk berada di bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Pada bulan ini, ia berbeza dengan bulan-bulan lain kerana kita umat Islam diwajibkan untuk beribadah puasa selama sebulan. Di dalam ibadah puasa itu pula, kita bukan sahaja perlu menahan dari lapar dan dahaga, malahan perlu juga menjaga diri daripada perkara membatalkan puasa.

Selain itu, antara kelainan yang boleh diperhatikan di bulan Ramadhan ialah kehadiran ramai jemaah yang entah dari mana memenuhi saf-saf solat di masjid atau surau yang sebelum ini saudara sepi seolah tiada berpenghuni. Ini gara-gara adanya solat terawih yang disunatkan dalam penghidupan malam Ramadhan. Kewujudan Bazar Ramadhan atau Bazar Iftar, memeriahkan lagi aktiviti ekonomi umat Islam dengan jualan beraneka juadah pembuka selera yang kalau diikutkan nafsu semua benda hendak dibelinya.

Walauapapun suasana yang ada di bulan ini saudara, kita mesti sentiasa fokus untuk mencapai objektif dan sasaran yang telah digariskan dalam pengibadahan puasa ini.

Apakah objektif dan sasarannya?

Objektifnya adalah seperti mana yang dilakarkankan di dalam kitab Al-quran iaitu untuk mencapai darjat takwa.

“Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagai mana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudahan kamu bertakwa” (surah AlBaqarah 2:183).

Saudara, kalimah takwa bukanlah kalimah yang asing bagi kita. Ia selalu diulang sebut setiap kali tok khatib membacakan khutbah saban minggu. Persoalannya, mengapa seruan takwa ini begitu penting sehinggakan perlu diulang peringatannya? Barangkali amalan menuju takwa itulah yang agaknya begitu asing dengan kita. Nauzubillah.

Saudara, takwa kalau dirujuk akan pengertiannya itu membawa maksud takut kepada Allah, ia akan mendorong seseorang itu meninggalkan segala perkara yang dilarang disamping berusaha melaksanakan segala hal yang diperintahkan oleh Allah swt.  Hal ini seperti mana yang diungkapkan oleh khalifah Islam Umar Abdul Aziz tatkala berbicara tentang takwa:

“Ketakwaan kepada Allah bukan sekadar dengan berpuasa di siang hari, solat malam, dan menggabungkan antara keduanya. Akan tetapi hakikat ketakwaan kepada Allah adalah meninggalkan segala yang diharamkan Allah dan melaksanakan segala yang diwajibkan Allah”.

Ternyata saudara, hadirnya Ramadhan bukan untuk mengajar kita sekadar untuk berlapar dan dahaga, tetapi wawasanya lebih daripada itu, puasa sebenarnya mahu mendidik kita supaya memantapkan lagi ketaatan kita sebagai hamba Allah dalam mengejar perkara yang makruf dan mengelak perkara yang mungkar. Allah taala mahu mentarbiyah kita untuk dekat kepadaNya melalui peluang hadirnya kita di madrasah Ramadhan ini.

Kalau saudara renungkan, di siang Ramadhan, kita sanggup berlapar dan dahaga walau perut kita berkeroncong dan tekak kering kehausan sungguhpun kita mampu untuk makan dan minum disaat itu. Tetapi, kita tinggalkan makan minum tersebut sebab ingin melengkapkan puasa sehingga waktu berbuka. Ini bermakna saudara, kita sebenarnya berkeupayaan untuk memanifestasikan taat kita kepada Allah dengan meninggalkan makan minum yang menjadi laranganNya waktu itu.

Ya, mungkin orang lain tidak tahu kalau kita makan dan minum waktu itu, akan tetapi, terdetik di hati kecil kita bahawa Allah taala mengetahui segalanya walau kita cuba untuk menyembunyikannya. Di sini kita akan mendapati bahawa, rupanya beginilah caranya bagaimana Islam mendidik penganutnya untuk merasakan diri mereka sentiasa dilihat oleh Allah swt. Hal ini seterusnya akan melahirkan rasa takwa sebagai motivasi diri untuk meninggalkan dosa dan maksiat.

Barangkali ada yang mengatakan, mungkin kita rasa lebih ringan dan bersemangat untuk beribadah kepada Allah kerana pada bulan ini syaitan ditiadakan atau dibelenggu kekuatannya untuk menggoda. Ya, memang ada benarnya saudara, tetapi lupakah kita akan dialog antara Allah swt dan iblis di dalam Al-Quran yang mana iblis tidak berkeupayaan untuk menggoda manusia yang siap siaga untuk taat sepenuhnya kepada Allah, yang tergoda hanyalah manusia yang mengikuti jejak langkahnya.

“Sesungguhnya kamu (iblis) tidak kuasa atas hamba-hambaKu, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang-orang yang sesat” (surah AlHijr 15:42).

Jika kita faham saudara, sudah pasti Ramadhan yang hadir bakal melahirkan insan-insan yang bertakwa jika kena penghayatan dan cara pengibadahannya. Jika dia sebagai mahasiswa atau sebagai anak muda, sudah pasti takwa yang ada padanya tidak menjerumuskannya ke lembah maksiat dan kehinaan. Jika dia sebagai ibu bapa bertakwa, pasti dia akan benar-benar mendidik iman dirinya serta anak-anaknya sebaik mungkin kerana takut kalau Allah soal di akhirat kelak.

Jika dia sebagai pemimpin, takwa dijiwanya menyebabkan dia tidak tergamak untuk khianat hak rakyat, rasuah, zalim dan menipu kerana sedar Allah memerhati tindak- tanduknya. Jika dia sebagai seorang ulama, ilmuan dan intelektual yang bertakwa, sudah pasti dia akan takut untuk tidak berkata benar di atas kapasiti dirinya yang memiliki ilmu dan jika dia sebagai sesiapapun, pastinya benih takwa yang wujud dalam dirinya akan mendorongnya berfikir sebelum sebarang keputusan diambil kerana mengetahui bahawa Allah taala akan menghitung setiap pilihan yang dilakukan.

Akhir bicara saudara, aku mengajak diri yang kerdil ini dan diri saudara semua untuk sama-sama memanfaatkan bulan Ramadhan ini sebagai platform untuk kita bermuhasabah diri, dan seterusnya merangka agenda-agenda penting untuk sentiasa berusaha menanamkan benih takwa di kebun hati, kerana hasilnya nanti boleh dituai sebagai bekalan disepanjang perjalanan hidup ini. Bukankah takwa adalah sebaik-baik bekalan?

“Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepadaKu wahai orang yang mempunyai akal yang sihat ” (surah AlBaqarah 2:197).