Pemasyhuran Diiringi Takbir

Pada 4 haribulan Syawal 1431H yang lalu telah menyaksikan satu detik bersejarah bagi rakyat Kelantan secara umumnya apabila Tuanku Muhammad Faris Petra telah dimahsyurkan sebagai Sultan Negeri Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya Tuanku Ismail Petra. Yang menariknya saudara, pemasyhuran tersebut diiringi dengan laungan takbir membesarkan Illahi.

Keperibadian Tuanku Muhammad Faris Petra yang selepas ini akan menggunakan gelaran nama sebagai Sultan Muhammad V yang merendah diri dan hidup beragama sudah diketahui umum oleh rakyat jelata yang pernah bersama baginda di dalam beberapa program sebelum ini. Pernah satu ketika saudara, baginda tuanku sendiri menjadi Imam ketika mengetuai solat hajat berjemaah di stadium memohon kesembuhan ayahandanya yang sedang gering.

Baginda tuanku juga selalu dilihat hanya berjubah dan berkopiah putih ketika menghadiri program-program agama mahupun program ‘turun padang’ baginda. Jarang sekali kita dapat melihat kerabat DiRaja yang mengenakan pakaian ‘tok lebai’ seperti ini. Selain itu, Baginda juga merupakan pemimpin yang gemar mendampingi rakyat untuk menyelami suka duka rakyat di bawah. Baginda pernah membelanjakan sebahagian duit elaunnya untuk digunakan bagi membeli lembu-lembu dan disedekahkan untuk masjid-masjid. Baginda berpesan agar disimpan untuknya seekor untuk baginda menyembelihnya sendiri untuk rakyatnya.

Baginda tidak kekok untuk duduk bersila tatkala mendengar rintihan seorang ibu tunggal yang uzur dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika baginda menziarahi keluarga tersebut di Bachok. Baginda menghulurkan sumbangan peribadi dan memberikan kata-kata perangsang kepada tiga orang anak ibu tunggal tersebut untuk berjaya dalam pelajaran.

Baginda yang diputerakan pada 6 Okt 1969 mendapat pendidikan awal di Kota Bahru dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989. Baginda seterusnya melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Demikianlah saudara serba sedikit gambaran tentang keperibadian Sultan Kelantan yang baru ini. Walauapapun, sama-samalah kita berdoa agar Baginda Tuanku bersama-sama dengan Tok Guru Nik Aziz dapat memimpin negeri dan rakyat ke arah menjadikan Kelantan sebagai ‘baldatun thoiyibbatun wa rabbul ghafur’ (negeri yang makmur yang mendapat keampunan Allah).

Saudara, berkaitan dengan pemerintahan beraja ini, aku ingin berkongsi berkenaan dengan tulisan Dr Mujahid Yusof di dalam buku Wajah Baru Politik Malaysia (2009). Beliau memetik satu frasa yang diambil daripada buku Melayu Islam Beraja (2003) yang menyatakan:

“Islam telah mengubah corak pemerintahan yang berpusat dan berpaksikan kepada raja dengan sistem yang berpusat dan berpaksikan syariah, yang mana raja bertindak sebagai penaung kepada sistem ini. Dalam hal ini Islam bukan sahaja memberikan legitimasi agama kepada Raja-raja Melayu, malahan tafsiran tersiratnya ialah menjurus raja-raja ini supaya mengamalkan Islam dalam diri dan pemerintahannya atas kedudukan raja sebagai ‘bayangan Allah di muka bumi’…”

Sebab itu saudara, dalam kalangan orang melayu, institusi raja terus dihormati sebagai simbol Islam dan bangsa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai ketua agama. Adapun kepada seluruh rakyat Malaysia secara umumnya, raja adalah lambang ketaatan kepada Negara dan lambang keharmonian pelbagai kaum kerana raja merupakan ketua negara yakni raja kepada semua rakyat.

Lantaran itu, Dr Mujahid di dalam tulisannya lagi berpendapat bahawa perlunya pelaksanaan beberapa langkah dalam memaknai lambang penting ini. Secara ringkas antaranya:

-Perlunya rakyat menghayati institusi ini sebagai lambang agama Islam, simbol keperibadian melayu dan simbol perpaduan dan keharmonian seluruh rakyat Malaysia.

-Raja boleh berperanan melalui pandangan intelektual terhadap sesuatu masalah dan seterusnya memberi saranan dan cadangan kepada legislative, eksekutif dan mahkamah.

-Raja boleh merapatkan jurang antara istana dan rakyat melalui kemesraan dan menyelami keperitan rakyat di bawah.

-Raja harus meneliti kuasa yang diperuntukan kepada mereka bagi memainkan peranan dalam memenangkan kemelut politik yang berlaku yang menyentuh soal perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

-Raja perlu menjadi contoh kepada penjelmaan kehidupan cara Islam dan akhlak terpuji supaya kesederhanaan di sebalik kedudukan yang dimiliki akan melahirkan rasa kasih rakyat kepada raja.

Sesungguhnya saudara, gandingan antara raja dan ulama yang memimpin Kelantan hari ini mengingatkan kita akan keakraban Sultan Zainal Abidin III bersama ulama terkenal, Tokku Paloh ketika sama-sama memimpin Terengganu daripada tunduk terhadap penjajahan Barat demi mempertahankan kedudukan Islam dan kedaulatan negeri yang diperintahnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s