Hamba Allah?

Sering kali saudara kita mendengar kalimah ini. Ada di antara kita yang kalau menderma atau bersedekah (khususnya dalam program iftar, wakaf atau moreh) menggunakan perkataan ini sebagai kata nama dirinya untuk tujuan menyembunyikan identitinya sebagai salah seorang individu penderma dan penyumbang.

Sama ada kita yang menderma atau bersedekah ini nak letak nama kita atau hanya menulis ‘Hamba Allah’ atau tak mahu tulis langsung adalah terpulang kepada diri kita sendiri. Menderma sama ada secara terbuka atau secara tertutup bukanlah persoalannya, tetapi derma, sedekah atau wakaf yang kita lakukan itu menjadi pahala di sisi Allah bergantung kepada niat kita masing-masing.

Jika amalan itu semata-mata kerana Allah, maka Allah akan membalasnya, sebaliknya jika amalan itu untuk tujuan menunjuk-nunjuk, maka Allah tidak akan menerimanya walau amalan itu dipuji atau disanjung manusia.

Saudara, kita semua mengaku bahawa kita adalah Hamba Allah. Allah adalah Tuhan dan kita hanyalah hambanya. Lantaran itu saudara, pernahkah kita berfikir tentang takrifan atau pendefinisian perkataan Hamba Allah. Ini kerana, jika kita merenung akan makna perkataan ini, maka terdapat dua persoalan yang timbul. Pertama, benarkah kita benar-benar memahami kalimah ini dalam erti kata yang sebenarnya? Keduanya, apakah kita hari ini sudah berperanan sebagai Hamba Allah?

Perkataan hamba saudara, merujuk kepada seseorang yang dimiliki dan dikuasai. Seorang hamba akan sahaja menurut apa-apa sahaja perintah dan suruhan tuannya. Zaman dahulu, golongan hamba diperdagangkan dan diperlelongkan kerana mempunyai harga dan nilai tertentu. Bahkan saudara, golongan hamba ini boleh dipersetubuhi oleh tuannya tanpa sebarang ikatan pernikahan. Begitulah realiti kehidupan hamba. Mereka tidak setaraf dengan manusia-manusia merdeka yang lain. Mereka tidak bebas dan tertakluk kepada perintah tuannya yang ada yang baik dan ada yang jahat.

Namun begitu, episod luka kehidupan hamba ini sudah tidak ada di zaman moden hari ini. Adapun orang gaji yang berkerja di rumah itu bukanlah hamba. Mereka adalah pekerja dan tuan rumah itu adalah majikannya. Orang gaji diberi gaji untuk membuat kerja-kerja rumah. Mereka bukanlah hamba yang boleh diperlakukan sesuka hati kita. (Jangan salah faham ya).

Saudara, apabila kita mengaku bahawa kita adalah Hamba Allah. Maka, sudah menjadi satu tanggungjawab sebagai hambaNya untuk kita berusaha sedaya upaya menunaikan perintah dan suruhanNya di samping berusaha sedaya mampu untuk meninggalkan larangan dan tegahanNya. Kita perlu ingat, suruhan dan larangan Allah adalah baik untuk kita. Buat apa yang disuruh, peroleh ganjaran manakala tinggalkan apa yang dilarang adalah kesejahteraan untuk kita semua. Bagi Hamba Allah, ajaran dan syariat Islamlah yang terbaik berbanding ajaran-ajaran lain.

“Dan orang-orang yang menjauhi taghut (iaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, mereka pantas mendapat berita gembira, sebab itu sampaikanlah khabar gembira itu kepada hamba-hambaKu, (iaitu) mereka yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang memiliki akal sihat”.(surah az-zumar 39:17-18).

Semua orang boleh kata dia adalah Hamba Allah, tetapi betulkah kita Hamba Allah jika masih ada di antara hamba-hamba Allah ini yang meluluskan perkara yang diharamkan Allah, hanya membisu seolah meredhai dengan perkara yang ditegah Allah, takut kepada kecaman manusia melebihi takut kepada azab Allah, sanggup menakut-nakutkan orang lain tentang agama Allah, sesuka hati buat kemungkaran sana sini sedangkan Allah murka dengan kemungkran dan kemaksiatan?

Seharusnya, kita sebagai Hamba Allah, jangan sesekali memandang rendah atau memperlekehkan kemampuan syariat Allah. Ini kerana, syariat Allah untuk sekalian manusia beriman bukan untuk merumitkan kehidupan kita, tetapi untuk meringankan dan menyelesaikan segala bebanan dan kerumitan yang ada dalam kehidupan ini.

“Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada (agama)Nya, maka Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan kurniaNya (syurga) dan menunjukkan mereka jalan yang lurus kepadaNya”.(surah An-Nisa’ 4:175).

Sebab itu saudara, selagi mana syariat Allah gagal dilaksanakan dalam masyarakat, maka selagi itulah tidak akan selesai segala krisis dan masalah yang ada pada hari ini biarpun kita memiliki ribuan cerdik pandai. Oleh hal demikian saudara, siapakah yang boleh diharapkan untuk merealisasikan segala syariat Allah ini dalam urusan pemerintahan, ekonomi, pendidikan, politik, kekeluargaan, kemasyarakatan?

Jawabnya, kitalah saudara yang mengaku sebagai Hamba Allah.

Tidak kiralah sama ada kita adalah pemimpin, pelajar, ibubapa, guru, professor, penyelidik, ketua polis, ketua hakim atau sesiapa sekalipun, kita semua ada peranan dan tanggungjawab kita sebagai Hamba Allah untuk dilaksanakan dalam ruang lingkup kemampuan masing-masing.

Oleh itu, seharusnya gunakanlah kedudukan kita hari ini untuk memenangkan Islam dan kebenaran bukannya hanya berdiam diri dan membiarkan sahaja kemungkaran berleluasa di sana sini kerana seorang Hamba Allah akan senantiasa yakin dengan kemenangan dan kemampuan Islam seperti mana yang dijanjikan oleh Allah azza wa jalla.

Akhir bicara saudara, Allah taala tidak akan tanya apakah Islam yang kita yakin dan perjuangkan ini peroleh kemenangan atau tidak, tetapi yang ditanya, apakah sumbangan kita untuk kemenangan Islam? Sebagai Hamba Allah, bersediakah kita dengan jawapannya?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s