Mahukan Yang Berintegriti

Ramai juga saudara yang kurang bersetuju dengan rancangan untuk membina Menara Warisan yang bernilai RM 5 billion. Menara yang disebut bakal memiliki ketinggian 100 tingkat ini dikatakan bukan cadangan kerajaan tetapi cadangan PNB. Tak kiralah saudara, sesiapa pun yang punya cadangan, ia tetap akan guna wang rakyat sebagai dana untuk projek mega ini.

Dalam keadaan ekonomi sekarang yang kurang memberangsangkan, ditambah pula dengan beban hutang negara yang semakin meningkat, ternyata mereka menggunakan alasan membina bangunan ini sebagai cara untuk merancakkan aktiviti ekonomi.

Benar atau tidak saudara, kita perlu melihat semula pengalaman sebelum ini. Sebagai contoh, ketika ini saudara, Malaysia dikatakan mengalami penurunan dari segi kemasukan pelaburan asing atau disebut sebagai FDI yang mana ianya merosot sebanyak 81%. Lebih memeranjatkan saudara, jika dahulu negara kita digelar sebagai Harimau Ekonomi Asia, ternyata hari ini, kita jauh ketinggalan berbanding pencapaian pretasi pelaburan negara-negara jiran kita seperti Thailand dan Indonesia.

Apa punca yang menyebabkan kemerosotan pretasi pelaburan ini? Apakah kerana kita tidak ada menara yang tinggi-tinggi untuk merancakkan ekonomi?

Saudara, kita sudah punyai menara KLCC. Projek mega KLCC ini dibina dalam keadaan ekonomi negara dalam keadaan yang baik. Pesaing kita dalam ekonomi ketika itu adalah Singapura, Jepun dan Korea. Orang kata kalau nak banding dengan Thailand, Indonesia, Filipina tak padanlah kerana kita berada jauh lebih baik.

Untuk pengetahuan saudara, pembinaan menara KLCC pada tahun 1990-an telah menelan kos sebanyak RM 6 billion. Jumlah kos ini tidak termasuk kos pengambilan tanah sebanyak RM 900 juta, taman KLCC RM 200 juta dan dewan Filharmonik Petronas RM 500 juta. Bila siap saudara, kena tampung maintenance pula sebanyak RM 250 juta setahun. Selain itu, banyak lagi wang-wang rakyat disalurkan untuk kelangsungan projek-projek mega sebelum ini yang kebanyakannya dibina pada zaman Tun Mahathir.

Terfikir juga saudara, tatkala terkenangkan berbilion wang rakyat digunakan, apakah kita ada membuat analisis secara jujur tentang kejayaan atau kegagalan dasar projek mega ini dalam sumbangannya terhadap pengukuhan ekonomi negara?

Jika jawapannya hanyalah kegagalan dan kerugian, maka amat tidak wajarlah projek mega menara 100 tingkat ini dicadangkan. Lebih baik RM 5 billion itu digunakan untuk meningkatkan kemudahan dan taraf hidup rakyat. Kalau kita membinanya juga atas dasar mahu mencari kemegahan dan nama. Aku rasa, tiada gunanya kemegahan itu sekiranya ekonomi kita terus merudum dan rakyat hidup semakin tersepit. Adakah kita merestui corak ekonomi yang bertemakan ‘biar papa kedana, asal nampak bergaya’?.

Saudara, kekayaan hasil bumi negara kita ini seharusnya diuruskan secara cekap dan penuh beramanah agar kekayaan itu dapat diagihkan dan dinikmati oleh sekalian rakyat. Sebarang keputusan dalam hal pengurusan ekonomi tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa memperhalusi terlebih dahulu justifikasinya terhadap keadaan semasa dan kesannya di masa hadapan. Kekayaan negara ini bukanlah untuk diboroskan dengan perkara-perkara yang tidak menguntungkan rakyat dan negara, tetapi untuk diurus dengan penuh rasa tanggungjawab  kerana takut kelak akan dipersoalkan oleh Allah swt.

Firman Allah swt:

“ Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian” (Surah Al- Furqan 25:67).

Saudara, berkenaan dengan isu pembelanjaan dalam negara, aku tertarik dengan Laporan Ketua Audit Negara 2009 baru-baru ini yang mendedahkan bahawa hutang negara berada pada tahap tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM 362.39 billion mencakupi 53.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sekiranya pengurusan ekonomi dibuat dengan cara berhemah, mungkin jumlah hutang negara ini tidak sampai pada tahap tersebut. Ini kerana, punca kepada peningkatan itu tidak lain tidak bukan adalah berpunca daripada penyelewengan dan ketirisan yang terus berlaku dari tahun ke tahun seperti mana yang didedahkan di dalam laporannya. Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara juga menyebut bahawa kita sudah rugi kira-kira RM 10 billion setahun akibat rasuah dan ketirisan manakala laporan Morgan Stanley menyebut negara kita kerugian USD 100 billion sejak tahun 80-an hingga kini akibat amalan rasuah dan penyelewengan.

Ternyata saudara, saban tahun wang rakyat lesap entah ke mana tanpa rakyat mengetahui siapakah penyangaknya yang sebenar. Sampai bila kita mahu begini saudara. Bagi aku, sudah tiba masanya untuk rakyat khususnya generasi muda untuk bangun menyelamatkan tanah air ini daripada mereka yang lemah dan hilang kredibiliti dalam membanteras gejala penyelewengan ini.

Biarpun pelbagai rentak dan irama berkumandang setiap hari yang menyanyikan lagu-lagu perubahan melalui MEB, NKRA, ETP dan sebagainya, namun tiada maknanya kesemuanya itu kalau sekumpulan pelaksananya sudah terbukti sudah hilang unsur integritinya. Ini kerana saudara, bagi aku, integriti merupakan kunci utama di dalam sesuatu usaha pencerahan ekonomi. Hebat macam mana pun dasar ekonominya, ia akan gagal tanpa adanya integriti. Percayalah.

1 Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s