Ikon Tragedi Memali

Sebut sahaja Memali, sudah pasti saudara, kita akan teringatkan satu peristiwa berdarah yang pernah berlaku di sana. Memali adalah sebuah perkampungan kecil yang terletak di dalam daerah Baling, Kedah. Walaupun sewaktu peristiwa ini berlaku, aku masih belum wujud di alam fana ini, tetapi melalui pembacaan aku serba sedikit tentang sejarah gerakan politik Islam di tanah air, telah menemukan aku dengan realiti di sebalik peristiwa ini.

Sebelum ini saudara, kisah memali ini mempunyai dua versi. Satu versi daripada media pro-parti kerajaan (yang tak berapa boleh percaya) dan satu lagi versi adalah daripada mulut penduduk kampung Memali yang rata-ratanya terlibat secara langsung dengan peristiwa ini. Mereka menyaksikan sendiri susur galur terjadinya peristiwa tersebut.

Di sini aku tidak mahu mengulas panjang akan detik-detik cemas penduduk kampung ketika dikepung dan diserang polis di dalam operasi yang dinamakan OPS HAPUS, tetapi cukuplah untuk aku menukilkan akan keperibadian seorang ikon penting di dalam peristiwa ini iaitu As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya. Sebagai anak muda, kenalkah kita akan individu ini? Mengapa dia begitu penting bagi pihak polis dan kerajaan untuk menahannya di bawah ISA?

Saudara, beliau merupakan pendakwah yang bukan sahaja memiliki tauliah mengajar di Selangor dan Kedah, bahkan pernah muncul memberi ceramah di radio dan televisyen. Antara pengajian yang beliau ajarkan kepada masyarakat adalah Feqah, Tauhid, Tafsir dan Tasawwuf termasuklah kitab Mustika Hadith yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri.

Ketika di bangku sekolah menengah, beliau pernah menjadi johan pidato peringkat negeri Kedah dan Perlis serta pernah menjadi ketua pelajar di sekolahnya. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Akademi Islam Nilam Puri, Kelantan sebelum ke Darul Ulum di Deoband, India pada tahun 1968. Sewaktu di India, beliau sempat mengkaji pertubuhan gerakan Islam yang dipimpin oleh Maulana Maududi iaitu Jamiat Islami tatkala menyaksikan pertembungan panjang antara Hindu dan Islam di India.

Kemudian, beliau melanjutkan pengajiannya ke Universiti Al-Azhar di Mesir. Di sana, beliau berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah di samping berkesempatan bertalaqi dengan ulama-ulama besar Mesir. Setelah itu, beliau yang amat mencintai ilmu dan dakwah menyambung pelajarannya ke Libya di benua Afrika. Beliau memperolehi biasiswa daripada kerajaan Libya dan diterima masuk ke Maahad Dakwah di Tripoli sebelum meraih Ijazah Dakwah Tertinggi. Di Libya, beliau sempat mengunjungi tokoh besar Ikhwan Muslimin iaitu Sheikh Abu Salam.

Apabila pulang ke Malaysia, beliau pernah berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Exco WAMY dan ada kalanya menjadi penterjemah kepada delegasi Arab yang datang ke Malaysia. Beliau pernah beberapa kali ke luar negara bagi menghadiri program WAMY. Setelah melepaskan jawatannya di Pusat Islam, beliau pulang ke Baling untuk menjadi aktivis dakwah sepenuh masa. Di Kedah, beliau memimpin ABIM di Baling dan juga tonggak utama Dewan Pemuda PAS Kedah.

Di dalam PAS, beliau adalah Pengerusi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kedah yang aktif dalam melaksanakan program tamrin, usrah, mukhaiyyam, daurah dan rehlah kepada Dewan Pemuda PAS Kedah. Beliau pernah juga menjadi calon PAS di Dun Bayu dalam PRU 1978 dan kalah tipis dengan majoriti kurang daripada 400 undi sedangkan sebelum itu Umno pernah menang dengan majoriti lebih 2 ribu undi. Ketika berada di Baling juga beliau mengasaskan sebuah institusi sekolah agama yang dikenali dengan nama Madrasah Islahiah Diniah hasil kekentalan semangat beliau dalam menegakkan kefahaman Islam kepada masyarakat.

Demikianlah saudara antara latar belakang beliau yang dapat aku kongsikan. Ternyata, berkat usaha dan doa beliau dalam dakwah menggamit hati masyarakat untuk berguru dan belajar dengan beliau. Ceramah mahupun kuliah beliau pasti mengundang ramai pendengar yang cintakan ilmu-ilmu Islam. Walaubagaimanapun saudara, kelancaran perjalanan dakwah ini secara fitrahnya pasti dihalang dengan kejelekan rasa dengki manusia. Beliau yang siang malam menyumbang bakti untuk Islam tiba-tiba dilabelkan sebagai pemecah belah masyarakat dan mengajar ajaran sesat.

Beliau tersenarai di antara mereka yang perlu ditahan di bawah ISA. Ternyata, untuk menahannya, bukanlah sesuatu perkara yang mudah sehingga memaksa polis menggunakan kekerasan sehingga membunuh. Walau apa pun saudara, timbul tanda tanya, benarkah Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya boleh mengancam keselamatan negara?

Mereka bukanlah Komunis yang memiliki kekuatan senjata untuk menggulingkan kerajaan. Kelantangan Ibrahim Libya mengkritik kerajaan adalah pada dasar pemerintahan yang tidak mengikut acuan Islam dan ianya melalui proses demokrasi yang sah. Adapun beliau dituduh sebagai pembawa ajaran sesat, di mana buktinya. Berdasarkan latar pendidikan beliau, seharusnya beliau di ajak berunding dan berbincang terlebih dahulu dengan mana-mana ulama kerajaan atau mufti sebelum sebarang fatwa boleh dikeluarkan. Tetapi malangnya, semua ini tidak berlaku. Mereka dikepung dan diserang oleh pihak polis untuk menahan mereka atas perkara yang mereka tidak lakukan dan tidak diberikan keadilan untuk dibicarakan seandainya mereka berjaya ditahan.

Pertempuran berdarah pada pagi 19 Nov 1985 itu berakhir dengan 12 penduduk kampung terkorban termasuk Ibrahim Libya yang ditembak dan beliau menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan isterinya, Solehah. Adapun anggota polis yang terkorban adalah seramai tiga orang, yang mana misteri kematiannya belum terungkai kerana kerajaan sehingga hari ini masih merahsiakan dengan senjata apa mereka terbunuh. Setelah itu, pihak polis menahan seramai 110 orang  untuk dipenjarakan dan 36 orang yang lain ditahan di bawah ISA.

Peristiwa hitam yang berlaku ini bukanlah pertama kali berlaku di dunia kerana sebelum Ustaz Ibrahim Libya, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, ikon gerakan Ikhwan Mesir juga dibunuh regim pemerintah kerana Islam yang diperjuangkan, Sayyid Qutub juga syahid di tali gantung kerana mempertahankan Islam dan ramai lagi aktivis-aktivis Islam yang gugur, dipenjara dan disiksa bukannya di tangan kuffar, tetapi di tangan penguasa yang mengaku Islam.

 

1 Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s