Saya Orang Malaysia-Kasyah

Kasyah: Assalamualaikum

Pakcik JKK: Waalaikumussalam warahmatullah..Awak Kasyah ke dik?

Kasyah: Ya..saya Kasyah

Pakcik JKK: Oh..pakcik tengok macam orang putih tadi

Kasyah: Haha..saya memang orang Malaysia

Pakcik JKK: Orang Malaysia ye, takpe, takpe…

Dalam pejalanan pulang ke Terengganu tempoh hari saudara, aku dihidangkan dengan sebuah filem yang bertajuk Lagenda Budak Setan di dalam bas Ekspress SP Bumi. Di sini rasanya, tidak perlulah untuk aku ceritakan kesemua plot penceritaannya yang berkisarkan kisah cinta budak nakal dengan seorang awek tercekik cicak itu, tetapi banyak-banyak scene yang ditonton (ada scene yang tidak berapa sesuai dengan norma kesopanan melayu dan kesusilaan Islam), tetapi aku lebih tertarik dengan skrip yang tertera di atas.

Ternyata Kasyah memperkenalkan dirinya sebagai orang Malaysia, bukannya sebagai orang melayu.Walaupun, rambutnya ber’style’ orang barat, tetapi dia tetap orang Malaysia. Sebab apa Kasyah lebih selesa menyebut dia sebagai orang Malaysia, tetapi bukannya melayu, hanya Kasyah saja yang tahu.

Sekiranya Kasyah ini seorang pemimpin politik di Malaysia, nescaya kenyataannya itu akan menimbulkan polemik. Ya, polemik tentang mana yang perlu didahulukan. Melayu dahulukah atau Malaysia dahulu. Ada orang mahukan melayu dahulu bagi membuktikan bertapa melayunya dia dan ada orang yang mahu Malaysia dahulu untuk menunjukkan bukan ‘racist’ya dia. Bagi kita orang awam saudara, tidak kiralah yang mana perlu didahulukan, kerana hakikatnya kita tetap orang Melayu, orang Islam dan orang Malaysia. Tak perlu bergaduh.

Saudara, aku orang Melayu, sebab itu adalah keturunan aku. Walau di mana pun aku, aku tetap orang melayu. Melayu tidak boleh jadi Arab walau dia hidup dan mati di tanah Arab. Begitulah dengan bangsa lain. Aku juga adalah orang Islam, sebab itu adalah agama dan cara hidup aku. Selagi mana aku mempertahankan akidah suci ini, aku tetap orang Islam. Aku adalah orang Malaysia, sebab di negara inilah tanah tempat aku dilahirkan. Walaupun lahirnya aku di bumi Darul Naim, ia tetap sebahagian daripada Malaysia yang tidak boleh disisihkan.

Saudara, apabila kita menjadi sebahagian daripada masyarakat Melayu, Islam dan Malaysia, kita kena tahu dan kenal akan jati diri kita. Kita perlu tahu apa peranan kita. Kita kena faham hikmah Allah taala menjadikan kita sebagai orang Melayu, Islam dan Malaysia. Jesteru, dalam penulisan kali ini, aku dengan merendah diri mengajak diri ini dan saudara sekalian untuk merenung dan bermuhasabah tentang saranan aku sebagai orang Melayu, orang Islam dan orang Malaysia.

Orang Melayu : kita perlu bangkit saudara, sampai bila kita mahu terus ketinggalan. Islam yang ada dalam dada kita, perlu untuk kita amalkan kerana di situ letaknya kemuliaan kita sebagai ummah. Mana pergi maruah bangsa kita kalau siang malam terpampang bangsa kitalah ‘hero’ segala jenayah moral dan sosial. Ayuh saudara, kita kembali kepada cara Islam. Bangunlah, jangan melayu terus layu dengan hiburan yang lalai dan memualkan, kita perlu kuat perkasa dengan ilmu dan akhlak. Keluarkanlah  diri kita daripada belenggu politik emosi dan sentimen kepada politik ilmu dan rasional. Melayu miskin dan daif perlu dibantu, bukannya dirompak saban tahun disebalik kalimah keramat ketuanan melayu. Kita melayu, kita harus berani berubah, berani berfikir, berani berhujah, berani memilih, jangan hanya kaku dan terkulai untuk selamanya ditipu kerana melayu punyai keluhuran akal dan hati untuk mengerti.

Orang Islam: kita perlu punyai impian dan hasrat saudara, untuk melihat keluarga kita, rakan kita, masyarakat kita dan negara kita tunduk dengan hukum Allah. Hukum Allah dalam seluruh aspek kehidupan kita. Hayatilah perjuangan Rasulullah, baginda tidak pernah putus asa walau ancaman dan serangan datang dari setiap penjuru, hanya berbekalkan keyakinan dan kebenaran, itulah kekuatan kita saudara. Tolonglah faham, umat Islam tidak akan ke mana-mana dengan fahaman sekular, tetapi Islam akan dipandang tinggi dengan ketegasan kita mempertahankan prinsip Islam. Kita adalah KhairaUmmah, kita adalah contoh ikutan, kita adalah harapan dunia, kita adalah penyelesai masalah ummah tatkala kita kembali kepada dua wasiat agung Rasulullah saw. Kepada pemimpin Islam dan pejuang Islam, teruskanlah berjuang. Kita tonjolkan Islam yang kita yakini dan terangkan Islam yang sekian lama disalah fahami. Biarpun diluar sana mereka tak setuju negara Islam, mereka tak terima syariat Islam, jangan sekali-kali kita berundur untuk tidak menerapkan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan dan pemerintahan kerana, lambat laun mereka akan tahu, mereka akan mengerti hakikat keindahan Islam. Ingatlah, hati manusia tidak buta untuk melihatnya.

Orang Malaysia: kita perlu patriotik saudara. Patriotik kita bukan hanya dengan kibar jalur gemilang dan nyanyi Negaraku sahaja. Tetapi patriotik kita adalah sayangnya kita kepada tanah air ini. Saudara, tidak kira melayu, cina, india, iban mahupun kadazan, kita perlu sayang negara ini. Kita kena sayangkan kekayaan yang melimpah di negara ini daripada disalah urus oleh mereka yang rakus. Kita mesti takut untuk melihat saban tahun berbilion wang rakyat tiris dan bocor kepada orang tertentu. Mana hak si miskin tatkala bermegah dengan projek mega. Kita perlu bangkit untuk angkat maruah negara kita. Jangan berulang, dunia tertawakan kita tatkala kapal selam tak menyelam, jet tak terbang sebab enjinnya dicuri. Apa jadi dengan pretasi ekonomi kita, sistem kehakiman dan polis kita, pelaksanaan dasar Islam dalam negara, media massa kita, sistem pilihanraya negara kita, mahasiswa dan universiti kita. Sampai bila kita perlu menanti transformasinya tanpa berani untuk kita mereformasikannya? Buktikan saudara, bertapa sayangnya saudara kepada negara Malaysia ini kerana isu pokoknya bukan isu perkauman tetapi isu keadilan dan ketelusan.

Demikianlah saudara, antara cetusan peribadi yang terbit daripada keluhan hati aku yang hanyalah bertujuan untuk sama-sama merenung dan berfikir. Aku percaya, saudara juga ada pandangan sendiri.

“Dan Dialah Allah (yang berhak disembah), sama ada di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan dan juga mengetahui apa yang kamu usahakan.” (Al-An’aam 6:3)

Menanti atau Mencari

Keadaannya cukup gelap dan gelita, mata yang celik pun seolah-olah buta tidak nampak apa yang ada di sekeliling. Jari-jemari meraba-raba dengan penuh ketidakpastian. Hendak duduk diam, rimas dan lemas pula menyelubungi diri. Mahu bergerak, ke mana pula hendak dilangkahkan kaki dan kalau cuba bersuara, malangnya tidak siapa pula yang mendengarkannya.

Begitulah saudara gambaran keadaan, seandainya kita terkurung di dalam sebuah bilik yang gelap dan yang jauh terpencil. Gelapnya dengan tanpa sebarang sinaran cahaya yang menembusi. Panik, takut dan menggelabah adalah tindakan spontan yang muncul tanpa dipaksa. Sama ada hendak menanti sahaja pertolongan atau memulakan usaha untuk keluar dari kegelapan yang mendekam itu merupakan satu dilema.

Kalau kita berada dalam kondisi itu, sudah pasti saudara demi untuk menyelamatkan diri, kita akan berusaha sedaya upaya kita untuk keluar daripada kurungan tersebut. Kita akan gunakan apa cara sekalipun asalkan boleh bebas daripadanya. Tetapi saudara, seandainya yang terkurung dalam kegelapan itu adalah hati kita. Bagaimana?

Apakah kita ada berusaha bagi diberikan sinaran hidayah kepada hati kita itu atau membiarkan sahaja hati itu terkontang-kanting menanti cahaya petunjuk dari Tuhan?

Lantaran itu saudara, aku ingin berkongsi berkenaan dengan kisah bagaimana saidina Umar al-Khattab berjaya merubah hati bencinya terhadap Islam kepada hati suci yang tunduk kepada Tuhan. Daripada seseorang yang amat memusuhi Islam kepada seseorang yang terpahat dalam lembaran sirah sebagai individu yang hebat mempertahankan Islam.

Tetapi, sebelum peristiwa saidina Umar memeluk Islam, Nabi saw pernah berdoa kepada Allah swt. Apa doanya.

Ya Allah perteguhkanlah Islam dengan salah satu dari dua orang yang paling Engkau cintai, dengan Umar bin Khattab atau dengan Umar bin Hisyam (Abu Jahal).” (Hadith Riwayat Tirmizi)

Baiklah saudara, berbalik kepada kisah saidina Umar, beliau pada suatu hari berjalan-jalan di kota sambil mencari-cari siapakah gerangannya Muhammad. Niatnya tidak lain tidak bukan adalah untuk membunuh Nabi saw yang didakwanya sebagai pembawa ajaran sesat dan mahu pecah belahkan masyarakat Arab Quraisy yang mewarisi agama nenek moyang mereka.

Pencariannya terhenti tatkala beliau diberitahu bahawa adiknya bersama suami telah menjadi sebahagian daripada pengikut Nabi Saw. Jesteru, beliau terus menuju ke rumah adiknya untuk mendapatkan kepastian. Apabila beliau menghampiri rumah tersebut, beliau terdengar suara orang sedang membaca (mengaji) sesuatu. Lalu beliau menjerkah dan bertindak kasar terhadap adiknya dan juga kepada iparnya.

Pendek cerita saudara, dia meminta supaya diserahkan lembaran ayat Al-Quran yang dibaca mereka berdua tadi. Pada mulanya, adiknya enggan memberinya. Akhirnya, adiknya akur dan memberi syarat kepada saidina Umar. Beliau hanya boleh memegang lembaran Al-Quran hanya selepas beliau bersuci.

Lantaran itu, saidina Umar tanpa membuang masa bersuci dan meminta supaya beliau melihat dan membacanya. Apa yang beliau baca saudara. Antaranya;

“Taha, Kami tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar engkau menjadi susah, melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah swt), diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi, (yaitu) Yang Maha Pengasih, yang bersemayam di atas ‘Arasy” (Surah Taha 20:1-5)

Dalam penceritaan yang lain, beliau membaca pada ayat:

“Sungguh Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati Aku” (Surah Taha 20:14)

Tatkala saidina Umar membaca ayat-ayat tersebut, tersentuh hatinya dan terus terbuka untuk memeluk Islam. Beliau menyatakan;

“Alangkah baik dan indahnya kalimah-kalimah ini. Tunjukkan kepadaku di mana Muhammad berada, aku akan datang padanya demi Islam.”

Maka akhirnya, mengucaplah saidina Umar dengan dua kalimah syahadah sebagai ikrar dan persaksian bahawa dirinya adalah Muslim serta pengikut ajaran Nabi Muhammad Saw. Saudara, apa yang mahu dinukilkan ialah tentang usaha yang Saidina Umar lakukan ketika meminta Al-Quran daripada adiknya. Ternyata, saidina Umar akur dengan arahan adiknya untuk bersuci terlebih dahulu sebelum boleh melihat dan membaca Al-Quran.

Rasa ingin tahu saidina Umar itu menggagahkan dirinya untuk menundukan amarahnya kerana kasihan dan terpegun melihat kesungguhan adiknya mempertahankan akidah yang diimani. Adiknya menyatakan: “Wahai musuh Allah, engkau pukul kami kerana kami mengEsa kan Allah. Engkau boleh buat sesuka hatimu. Sekalipun engkau bunuh kami, kami  tetap mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah, yang akan membersihkan dunia ini dari sebarang kezaliman dan penindasan.”


Dengan usaha saudara, ternyata saidina Umar menemui hidayah dan petunjuk daripada Allah swt berkat doa Nabi Saw. Realitinya, hidayah itu tidak akan datang bergolek begitu sahaja meskipun kita berdoa banyak mana sekalipun tanpa berusaha untuk mencarinya. Kisah-kisah pengalaman sahabat lain seperti Salman Al-Farisi atau tokoh pada zaman moden ini seperti Yusof Islam dalam mencari cahaya Islam adalah bermula dengan usaha yang dilakukan.

Oleh itu, bagi mereka yang sering beralasan “belum dapat hidayah lagi” ketika ia diajak berbuat baik, ayuh saudara, kita hijrahkan diri kita supaya berusaha membebaskan hati dan jiwa kita ini daripada samar kegelapan kepada cahaya menuju keluasan rahmat Illahi.