Tahniah Mesir!

Tahniah. Itulah ucapan dari seluruh dunia kepada rakyat Mesir yang berjaya menyingkirkan regim zalim Hosni Mubarak. Angin kebangkitan itu lahir dari ledakan jiwa anak-anak muda di sana yang ternyata sudah mual dengan kerakusan dan keangkuhan pemimpin mereka. Setelah 18 hari berhimpun, regim yang disangkakan berkuasa mutlak itu akhirnya lari senyap-senyap menyembunyikan diri.

Peristiwa di Mesir ini saudara punyai kaitannya dengan perubahan yang berlaku di Tunisia sebelum ini. Menurut Tariq Ramadhan di dalam satu temuramah, beliau menyatakan:

“Ben Ali’s regime was powerful too. You ask me if something similar to like Tunisia could happen in Egypt? I would not exclude this. I have heard that they want to organize large demonstrations”.


Ternyata saudara, rakyat Mesir khususnya anak-anak muda telah menggerakkan seluruh kudrat dan upaya mereka untuk menjatuhkan diktator yang telah memerintah hampir 30 tahun itu. Mereka berhimpun bukan untuk merampas kuasa, bukan juga kerana gila kuasa, tetapi mereka bangkit dari diam yang lama demi meraih kemerdekaan negara mereka daripada pemerintah yang menindas. Rasuah, salah guna kuasa, guna polis halang suara rakyat, tangkap dan penjarakan aktivis pembangkang (Ikhwanul Muslimin), angkuh tanpa pedulikan rintihan rakyat dan tidak demokratik merupakan kebrobrokan regim selama mereka memerintah. Hari ini saudara, rakyat telah bersuara, dengan suara lantang membingitkan telinga sang pemerintah yang rebah terkulai.

Benarlah kata orang, suara rakyat, suara keramat.

Saudara, antara persoalan besar yang sering dibahaskan berkenaan dengan kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir ini adalah mengapa rakyat di sana tidak memilih jalan demokrasi untuk menjatuhkan regim pemerintah? Apakah dengan berhimpun dan berdemonstrasi merupakan pilihan terakhir mereka dalam menamatkan riwayat politik sang pemerintah?

Jika saudara mengikuti perkembangan di Mesir, ternyata ramai pemerhati menggesa supaya demokrasi dikembalikan kepada rakyatnya. Perkara ini menjadi petanda bahawa demokrasi yang kononnya telah wujud di Mesir sebelum ini adalah demokrasi yang tempang. Ketempangan perjalanan demokrasi yang tidak diperbaiki itu mengakibatkan rakyat sudah hilang kenyakinan lantas mengambil keputusan untuk menjatuhkan regim melalui jalanraya bukannya pilihanraya. Sebab itu, Tariq Ramadhan menekankan bahawa:

“The system in Egypt is corrupt, there is no democracy and the difficulty for the next election is posed by Mubarak’s role and his son’s succession, and not just that. The problem is posed by powerful and influential people and the whole authoritarian system that is supporting this regime”.

Apabila hak rakyat untuk menikmati kebebasan untuk bersuara, kebebasan untuk berhimpun, kebebasan untuk berpartisipasi dalam politik dan kebebasan media dan universiti dari cengkaman pemerintah dihalang dan dinafikan, maka rakyat akan bangkit menentang walau tanpa disuruh. Lantaran itu saudara, demokrasi yang diamalkan di negara kita ini perlukan pembaikan dari masa ke semasa. Hanya yang angkuh seperti Ben Ali dan Hosni Mubarak sahaja yang tidak akan menghiraukannya.

Secara amnya, Islam mewajibkan pemerintah bersikap terbuka kepada rakyat bagi melahirkan pendapat mereka. Jika saudara mengimbas pada zaman khalifah ar-Rasyidin dahulu, saidina Umar al-Khattab pernah ditegur oleh seorang wanita dalam isu meletakan mahar perkahwinan. Teguran itu diterima saidina Umar al-Khattab dengan hati yang terbuka.

Bagaimana rakyat mahu menerima seseorang pemimpin seandainya pemimpin tersebut angkuh tidak mengendahkan pendirian rakyat terbanyak. Dr David Burns dalam buku 25 Ways to Win with People (2005) menjelaskan bahawa:

“What most people really want is to be listened to, respected and understood. The moment people see that they are being understood, they become more motivated to understand your point of view.”

Walaubagaimana pun saudara, sistem demokrasi barat yang diamalkan di seluruh dunia kini sememangnya tidak terlepas daripada kritikan dan kelemahan. Sebab itu, kita mahukan supaya sistem demokrasi ini dipandu oleh Islam untuk tujuan pembaikan. Ini kerana terdapat beberapa elemen di dalam demokrasi yang punyai persamaan dengan Islam dari sudut pemerintahan. Ramai juga sarjana Islam yang mengaitkan demokrasi sebagai jasa daripada tamadun Islam terhadap sistem politik barat.

Antara persamaannya yang aku ambil dari buku Islam dan Demokrasi (2007) adalah:

  • Menolak diktator (kisah penentangan kezaliman pemerintah oleh para nabi as)
  • Permesyuaratan (konsep syura yang memang dituntut dalam Islam)
  • Kebebasan bersuara (kisah Rasulullah mendengar pandangan para sahabat, kisah Umar al-Khattab dalam isu mahar)
  • Hisbah (penilaian terhadap tadbir urus memang telah diamalkan oleh khilafah Islam)
  • Pilihanraya (pemilihan pemimpin setelah mendapat pandangan umum)
  • Pendapat majoriti (dalam soal memilih imam solat jemaah, soal memilih pendapat jumhur dalam ijtihad)

Demikianlah saudara, beberapa perkara yang aku sempat ulas di sini. Diharapkan angin perubahan yang diperjuangkan di Tunisia dan Mesir hari ini bertiup menyapa kita di sini. Demokrasi dalam Islam hanyalah sebagai alat untuk sebuah proses perubahan. Kalau di Malaysia, demokrasinya perlu dipulihkan ketempangannya manakala di UniSZA (tempat aku belajar) demokrasinya perlu diraikan tanpa sebarang prejudis.

“Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan kaum muslimin, lalu dia melantik seseorang. Pada hal dia dapati ada di dalam golongan itu seseorang yang lebih layak daripadanya bagi kaum muslimin, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya”

(Hadith Riwayat Al-Hakim)

 

1 Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s