Rasuah bukan masalah?

“Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni,”

Kata-kata ini saudara keluar dari mulut seorang pemimpin lama tetapi telah diangkat semula. Secara peribadi, kita tidak berdendam apa-apa dengannya apatah lagi bermusuh. Cuma, apabila kenyataan seumpama ini dikeluarkan, maka kita tidak boleh membenarkannya memandangkan yang bercakap itu adalah orang melayu yang Islam.

Kita diajar oleh Islam supaya jangan bermusuh dengan sesiapa hatta kepada mana-mana pesalah maksiat sekalipun. Yang diajar ialah kita bermusuh dengan kesalahan atau maksiat yang orang itu lakukan. Adapun berkenaan dengan rasuah, sama ada mengundang masalah atau tidak kepada individu tertentu, ianya jelas haram seperti haramnya orang melayu makan babi.

Mereka yang makan rasuah samalah dengan mereka yang makan nasi lemak berlaukkan babi bakar. Saudara, mungkin nampak kasar bahasa aku gunakan, tetapi itulah realitinya. Kita sebagai muslim, kita tidak makan babi bukan kerana babi itu kotor, makan tahi atau mukanya tak comel, tetapi kita tak makan babi kerana Allah taala telah haramkannya ke atas diri kita.

Samalah dengan rasuah, kita menentang keras rasuah bukan kerana kita dengki dengan kekayaan dan kemewahan mereka yang pelahap wang rasuah, tetapi kerana kita telah dikhabarkan oleh Rasulullah saw bahawa Allah taala haramkan rasuah dan melaknat pemberi dan penerima rasuah. Firman Allah taala:

“Dan janganlah kamu makan harta di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu (member rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui salahnya.”

(surah al-Baqarah 2:188)

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As r.a. Rasulullah saw bersabda:

Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

(Hadith Riwayat Abu Daud)

Pelik juga saudara, bagaimana dia mampu berhujah sedemikian rupa demi mempertahankan kesalahannya yang lampau. Oleh kerana atas dunia ini bukan dia seorang sahaja yang rasuah, maka ia bukanlah suatu masalah yang besar. Sebab, orang lain pun buat juga. Kalau itulah mentaliti kita saudara, maknanya kalau perompak masuk merompak rumah kita, ia bukanlah suatu masalah yang besar. Tidak perlulah kita susahkan diri beratur buat laporan polis sekaligus tidak perlu susahkan pihak polis untuk memburu perompak. Alasannya mudah, bukan rumah kita sahaja yang dimasuki perompak, rumah ketua polis pun pernah masuk perompak. Di negara lain pun lebih banyak kes rompakan yang berlaku. Jadi apa masalahnya?

Apapun saudara, aku secara peribadi memandang rasuah ini sebagai dosa. Apabila ianya adalah dosa di sisi Allah swt. Maknanya, ia bakal membawa keburukan. Keburukan itu boleh jadi menimpanya di dunia atau ditangguhkan untuk dibalas di akhirat kelak.

Bolehkah saudara bayangkan, setiap tahun menurut Ketua Audit Negara, kira-kira RM28 billion ringgit wang negara kita lesap kerana rasuah dan penyelewengan. Jumlah 28 billion ini bukan sedikit saudara. Ia mampu dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang lebih bermanfaat kepada rakyat. Dengan wang sebanyak ini, berapa ramai rakan-rakan kita yang PTPTN akan mendapat tawaran biasiswa untuk pengajian mereka, berapa banyak sekolah boleh didirikan, berapa banyak rumah kos rendah boleh diberikan kepada golongan fakir, berapa ramai anak-anak yatim dan OKU yang boleh dibantu? Dan yang lebih penting mampu menampung subsidi rakyat yang bernilai kira-kira RM11 billion setahun.

Ya, barangkali bagi pemimpin sombong dan angkuh, ini semua tidak penting untuk difikirkan. Yang penting, perut dan bawah perut mereka selesa. Mereka mungkin dengan lagaknya akan berkata;

“Orang susah di bawah tu, pandai-pandailah cari kerja, pandai-pandailah cari makan. Allah taala tidak akan ubah suatu kaum melainkan kaum itu mengubah dirinya sendiri. Jadi kena berusaha!”

Inilah saudara, modal air liur mereka yang pelahap rasuah terhadap golongan marhaen yang memerlukan. Sedangkan mereka tidak tahu bahawa, perut kenyang mereka dan keluarga mereka, rumah dan kereta mewah mereka, pakaian mahal mereka, bahkan kain kapan mereka nanti pun terkandung wang dan harta yang menjadi hak si miskin dan si fakir. Wang yang yang sepatutnya menjadi hak golongan marhaen, akhirnya habis dijilat golongan pelahap rasuah ini. Tak malu ke?

Saudara, satu Malaysia tahu akan pendedahan ketua audit negara saban tahun. Tetapi itulah, sekadar mendedahkan. Mungkin adalah beberapa orang yang disoal siasat dan dihadapkan ke mahkamah, namun ianya dilihat sekadar melepas batuk ditangga. Ikan-ikan bilis dicekup tetapi jerung-jerung besar bebas berkeliaran untuk melahap sebanyak mungkin harta negara, harta rakyat. Lantaran itu, ketidaksungguhan pemerintah dalam soal ini telah membentuk satu persepsi bahawa rasuah di negara ini seolah-olah mahu dilindungi.

Ini belum termasuk kes stadium runtuh, komisen kapal selam, isu PKFZ, isu Sukhoi, isu VK lingam korek-korek, dan banyak lagi yang tidak tahu di mana kesudahannya. Antara punca kejatuhan Ben Ali dan Hosni Mubarak, selain daripada ruang lingkup demokrasi yang ditutup, rasuah dan penyelewengan juga menyumbang kepada faktor kejatuhan mereka. Pemimpin dan keluarganya bersedap-sedap, sedangkan rakyat dibawah dibiar derita dan sengsara.

Atas sebab itu saudara, sudah semestinya kita perlu menjadikan rasuah sebagai musuh nombor satu negara bukannya dadah. Ini kerana, sehebat mana pun polis yang kita ada, belum tentu masalah dadah mampu diselesaikan seandainya polis atau penguatkuasa juga dari jenis pelahap wang rasuah.

Kadang-kadang terfikir juga kita, pasukan polis kita mampu mengenal pasti mayat Altantuya yang mati dibom dan yang lebih mengagumkan mayat Sosilawati bersama 3 orang yang lain mampu dikesan sedangkan mereka telah dibakar dan dibuang abunya ke sungai. Namun, dalam kes dadah, dah bertahun-tahun operasi dijalankan, tauke-tauke besar dadah masih belum berjaya ditangkap. Apakah ia masih dianggap tidak ada masalah?

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s