Pembangkang di Kampus

Rasulullah saw pernah meninggalkan satu pesanan kepada kita saudara. Baginda saw bersabda:

Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim

(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Memahami maksud hadith ini akan membawa kita kepada satu ‘consensus’ iaitu menuntut ilmu menurut ajaran Islam adalah wajib. Ini bermakna, tidak kira sama ada muslim itu kanak-kanak, remaja, belia, dewasa atau veteran sekalipun mestilah memahami tanggungjawabnya sebagai muslim untuk menimba ilmu.

Kewajipan menuntut ilmu di setiap peringkat umur ini saudara menggambarkan satu gagasan besar Islam untuk menjadikan umatnya sebagai umat contoh yang membudayakan ilmu sebagai “life-long learning” iaitu pembelajaran sepanjang masa. Kepesatan dunia dalam teknologi maklumat sekarang ini memudahkan lagi proses asimilasi ilmu itu ke dalam diri kita.

Mana-mana tamadun dunia yang terbina, tidak akan terbina dengan sendirinya tanpa terlebih dahulu masyarakat yang mendiaminya memiliki ilmu. Sebab itu saudara, kemunculan bangsa Arab yang dahulunya dianggap jahiliyah, akhirnya berjaya menjadi sebahagian daripada peneraju pembentukan tamadun Islam yang hebat.

Pencetusnya?

Sudah pasti Rasulullah saw yang membawa Islam pada waktu itu. Islam yang dibawa Rasulullah saw bukan sahaja diterima oleh Arab dalam amalan ritual semata, malah Islam itu difahami dan dihayati mencakupi seluruh aspek kehidupan termasuklah dalam soal meneroka ilmu. Lantaran itu, umat Islam pada era kegemilangan tersebut tidak mensia-siakan ajaran yang difahami itu untuk terus belajar, mengkaji dan mengamalkannya.

Jesteru, bagi kita saudara yang bergelar mahasiswa haruslah memahami bahawa tujuan kita menuntut ilmu hari ini bukan untuk mendapat keputusan baik sahaja tetapi lebih daripada itu adalah untuk belajar sesuatu yang mampu membantu kita selepas ini. Universiti dengan segala bahan ilmu yang terkandung di dalamnya seharusnya diakses sebaik mungkin oleh kita untuk belajar. Belajar ilmu agama, belajar bersukan, belajar bertukar pendapat, belajar berpartisipasi, belajar mengurus, belajar pengalaman orang, belajar menganalisis isu dan bukan hanya sekadar belajar subjek di dalam bilik kuliah semata.

Universiti bukannya kilang yang hendak melahirkan robot bertopengkan manusia, tetapi sebagai institusi yang hendak melahirkan manusia yang bukan sahaja kompeten dalam pengkhususan yang diambil, malah memiliki ‘soft skills’ dan keperibadian yang tinggi. Aku secara peribadi saudara percaya dengan apa yang disebutkan sebagai pendidikan dalam berpartisipasi. Ini kerana, apabila kita melibatkan diri di dalam sesuatu program atau aktiviti, maka di sana kita akan mendapat pendedahan. Dengan pendedahan inilah saudara, kita akan belajar secara tidak langsung.

Lantaran itu saudara, tidakkah pelik seandainya mahasiswa di sesetengah universiti tidak digalakkan untuk bersaing bagi merebut tempat dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kononnya, kalau berlaku persaingan, nanti akan menimbulkan perbalahan dan perpecahan. Kalau alasan ini diberikan kepada murid sekolah, barangkali mereka setuju. Tetapi, kalau ditujukan kepada seorang mahasiswa, ianya bukan alasan tetapi bahan untuk ditertawakan. Mana tidaknya saudara, berapa banyak di universiti di dunia hari ini yang menggalakkan mahasiswanya membentuk dua atau lebih kumpulan untuk menawarkan diri masing-masing bagi menunaikan amanah sebagai wakil kepada mahasiswa. Tiada masalah pun.

Bukan apa saudara, bagi akulah, adalah penting untuk mana-mana universiti memiliki barisan pro-aspirasi yang kuat dan pro-mahasiswa yang mantap. Masing-masing akan bersaing untuk memberi tawaran yang terbaik dalam memperjuangkan hak mahasiswa. Persaingan sihat ini seterusnya akan mendedahkan kepada mereka yang bertanding dengan politik cara demokrasi dalam mengemukakan agenda perancangan mereka masing-masing. Di sini, mereka akan berjuang berdasarkan prinsip dan idealisma yang mereka yakini.

Bagi pemilih pula (macam aku), kita akan melihat, mendengar, menganalisis dan menilai individu atau kumpulan yang bertanding ini untuk dipilih melalui sistem pilihan raya kampus yang wajib telus dan bersih. Lagi menarik seandainya, perjalanan pilihan raya itu diuruskan sendiri oleh mahasiswa. Aku sebagai seorang mahasiswa yakin bahawa rakan-rakan kita yang akan bertanding nanti akan memastikan mereka bertanding dengan kekuatan hujah, komitmen dan penuh berhikmah.

Apa pun saudara, sistem pilihan raya kampus ini tidak lain tidak bukan adalah untuk memilih pemimpin dalam kalangan kita. Pemimpin yang dipilih pula sewajarnya membela hak kita sebagai mahasiswa bukannya nanti salahkan mahasiswa untuk pertahankan pihak lain. Sudah hampir empat tahun aku belajar di UniSZA, namun untuk melihat suasana seumpama ini masih belum kesampaian (ada pembangkang). Dengan penuh harapan, aku harap sebelum meninggalkan universiti ini, adalah perubahannya nanti untuk pemilihan kali ini. Sekian dulu saudara dari aku yang menulis sekadar berkongsi.

“A successful person finds the right place for himself, but a successful leader finds the right place for others.”

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s