Dengan Islam Selamanya

Sebagai muslim, kita mengakui bahawa Allah taala adalah Tuhan kita. Tuhan yang Maha Esa yang telah menciptakan diri kita ini dan juga segala apa yang ada di langit dan di bumi. Sejak kecil kita telah diasuh dan dididik untuk mengenal Allah taala dan memahami, hanya Allah sahajalah tempat kita bergantung serta menyerah diri.

Rasulullah saw ketika menyampaikan amanat terakhir ketika Haji Widak, telah berpesan kepada kita umat Islam supaya tetap teguh dan istiqamah dengan agama Islam. Rasulullah saw memberi jaminan bahawa kita tidak akan sesekali tersesat selagi mana kita berpegang kepada dua perkara iaitu:

Al-Quran dan As-Sunnah


Jesteru, sebagai umat Rasulullah saw sudah pasti kita perlu menyahut pengisian amanat ini. Al-Quran dan As-sunnah mesti dijadikan sebagai panduan paling utama di dalam seluruh agenda dan program kehidupan kita seharian. Mudah-mudahan dengan itu kita tidak tersesat dari jalanNya.

Hari ini saudara heboh di negara kita tentang isu berkaitan penggunaan kalimah Allah dan penerbitan Bible berbahasa melayu oleh penganut kristian. Walaupun isu ini ada pro dan kontranya. Namun di sini aku hanya sekadar mengemukakan beberapa terjemahan ayat Al-Quran supaya kita dapat merenung dan memahami isu ini dengan teliti.

Di dalam Al-Quran, Allah taala telah menjelaskan akan kedudukanNya sebagai Tuhan yang seharusnya manusia beriman kepadaNya sebagaimana firmanNya yang bermaksud;

“Katakanlah! Mengapa kamu menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak boleh memberi mudarat kepadamu dan tidak juga boleh memberi manfaat. Dan Allah lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (surah al-Maidah 5:76)

“Katakanlah (Muhammad) aku hanya diperintahkan untuk menyembah Allah dan tidak menyekutukan sesuatu dengan Dia. Hanya kepadaNya aku seru (manusia) dan hanya kepadaNya aku kembali”. (surah al-Ra’du 13:36)

Di dalam ayat-ayat yang lain, Allah taala juga telah menggambarkan bagaimana sikap dan pendirian golongan nasrani dan yahudi terhadap Allah yang jelas tersasar daripada ajaran Islam yang dibawa oleh para rasul utusanNya. Hal ini dapat dilihat sebagaimana firmanNya yang bermaksud;

“Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata; ‘Sesungguhnya Allah adalah al-Masih putera Maryam’. Padahal al-Masih sendiri berkata, ‘Hai Bani Israel, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu’. Sesungguhnya orang yang menyekutukan sesuatu dengan Allah, maka pasti Dia akan mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka. Tiada bagi orang zalim seorang penolong pun”. (surah al-Maidah 5:72)

“Sesungguhnya kafirlah orang yang berkata, ‘Bahawa Allah adalah salah seorang daripada yang tiga’. Padahal tidak sekali-kali ada Tuhan selain Allah yang Maha Esa. Jika mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka katakan itu, pasti orang kafir di antara mereka ditimpa seksaan yang pedih”. (surah al-Maidah 5:73)

“Orang Yahudi berkata, ‘Uzair itu anak Allah’ dan orang Nasrani berkata, ‘Al-Masih (Nabi Isa as) itu anak Allah’. Demikian itulah ucapan mereka dengan mulut mereka. Mereka meniru percakapan orang kafir yang terdahulu. Dilaknati Allah lah mereka bagaimana mereka sampai berpaling..”. (surah at-Taubah 9:30)

Ternyata saudara, golongan kafir yahudi dan nasrani telah menyimpang kepercayaannya daripada apa yang kita yakini tentang Allah. Sungguhpun begitu, timbul satu persoalan besar saudara, apakah kita memiliki suatu hak eksklusif untuk menyekat keyakinan mereka yang sedemikian rupa?

“Tidak ada paksaan dalam (menganuti) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas (perbedaan) antara jalan yang benar dengan jalan yang sesat..” (surah al-Baqarah 2:256)

“Katakanlah: wahai orang kafir, aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu dan untukku agamaku”. (surah al-Kafirun 109:1-6)

Sementara menunggu ulama-ulama dan sarjana-sarjana Islam berbincang dan berdialog tentang isu ini, adalah penting untuk kita umat Islam memahami bahawa sampai bila-bila kerja dakwah perlu diteruskan kerana perjuangan ini tiada penghujungnya. Ianya perlu digerakkan dari masa ke semasa berdasarkan keupayaan masing-masing.

Lantaran itu saudara, umat Islam seharusnya sedar dan bangkit, bukan untuk bergaduh dengan mereka, tetapi bangkit untuk terus berjuang mempertahankan akidah Islam yang suci ini dengan memperkasakan program-program tarbiyah. Majukan institusi masjid sebagai institusi ilmu dan masyarakat, bangunkan ummah ini dengan didikan Al-Quran dan As-Sunnah serta jadikan para alim ulama sebagai tempat rujukan dan penasihat kita. Pemantapan iman individu muslim adalah berkait rapat dengan ilmu, kefahaman dan keyakinannya terhadap ajaran Islam.

Tatkala iman sudah mantap saudara, InsyaAllah akan lahirlah masyarakat Islam yang memiliki kekentalan dalam mempertahankan akidah tauhid ini seperti mana yang dimiliki oleh para pemuda Ashabul-Kahfi. Allah taala berfirman;

“Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) kisah mereka yang hak. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka dan kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu mereka berkata, Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami tidak menyeru Tuhan selain Dia”. (surah al-Kahfi 18:13-14)

Akhir bicara, sama-samalah kita doa dan ushakan supaya perjalanan dakwah ini akan terus berjalan sehingga ke penghujung hayat dunia ini. Contohilah akhlak dan tatakelola yang telah ditunjukkan Rasulullah saw dalam berdakwah kepada masyarakat. Mudahan, dengan Islam, kita dapat mengajak manusia kembali kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa.

“Serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, serta berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang telah mengetahui tentang siapa yang lebih tersesat di jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk”. (surah an-Nahl 16:125).

Advertisements

Duit Rakyat

Dalam pemerhatian aku, ramai juga pemimpin merasakan seolah-olahnya segala dana dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat adalah jasa parti mereka. Sebab itu tidak hairanlah, mereka berjanji dan luluskan projek itu dan projek ini yang kemudiannya pacak papan tanda mengaku projek itu projek parti mereka.

Jika benar projek itu menggunakan tabung atau dana parti mereka, memang tidak salahlah. Tiada siapa pun yang akan bantah. Namun dari apa yang aku tahu, projek itu dibina adalah daripada wang saku kerajaan. Dari mana kerajaan dapat wang saku, sudah tentu dari rakyat yang membayar cukai. Sebab itu saudara, aku tidak hairan kalau mereka boleh bina sekolah, universiti, jalan raya, lebuhraya, jambatan, stadium dan sebagainya kerana sesiapapun yang memerintah pasti boleh membinanya. Bina dengan duit rakyat.

Hendak menilai kepimpinan atau pemerintah seseorang atau sesuatu parti, bukan terletak kepada siapa yang boleh buat sekolah, jalan raya, jambatan dan sebagainya. Tetapi saudara, penilaian itu haruslah menjurus kepada sejauh mana seseorang atau sesuatu parti boleh diberi kepercayaan untuk mengurus duit rakyat dalam sesuatu projek dengan telus, jujur dan berhemah. Kita mahu pilih mereka yang ada idea dan agenda yang paling baik untuk rakyat dalam mengurus negara ini. Kita tidak mahu saudara, pengurusan duit rakyat yang diguna untuk bina stadium tapi runtuh, bina jambatan tapi retak, bina masjid tapi bocor, beli kapal selam tapi tak boleh menyelam.

Oleh hal demikian, sebagai rakyat kita perlu sedar bahawa segala laporan kebocoran, penyelewengan dan ketirisan yang wujud dalam Laporan Ketua Audit Negara saban tahun perlu dipandang serius. Ini kerana, ia melibatkan soal pengurusan duit rakyat yang tidak telus dan amanah. Seperti yang dilaporkan saudara, setiap tahun, secara purata sebanyak RM28 bilion duit rakyat lesap akibat kebocoran dan ketirisan dalam projek kerajaan.

Ini baru satu contoh mudah saudara. Banyak lagi bentuk-bentuk penyelewengan yang berlaku yang saudara boleh ketahui melalui laporan-laporan yang lain. Awal tahun ini, sebuah badan bebas iaitu Global Financial Integrity (GFI) melaporkan bahawa sebanyak RM888 bilion wang haram telah dibawa keluar dari Malaysia daripada tahun 2000-2008. Ada orang pertikai laporan ini. Tapi bagi aku saudara, sama ada benar atau tidak, pihak berwajib WAJIB siasat. Mana tahu, boleh jadi ia melibatkan duit rakyat.

Saudara, dalam mengurus ekonomi, ia mestilah berlandaskan kepada dua prinsip utama iaitu keadilan dan kebajikan. Ini bertepatan dengan gesaan Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan ihsan (berbuat kebajikan)”.(surah an-Nahl 16:90)

Lantaran itu saudara, dalam Islam kita punyai contoh para pemimpin silam yang berjaya mengurus negara dan masyarakat dengan memenuhi dua prinsip ini. Sebagai satu contoh Umar Abdul Aziz, yang terkenal sebagai seorang pemimpin yang begitu teliti dalam soal mengurus duit rakyat. Pernah diriwayatkan bahawa, ketika beliau sedang membuat tugasan kerajaan di dalam sebuah bilik, tiba-tiba datang anaknya mengetuk pintu. Lalu dia membenarkan anaknya itu masuk sambil memadamkan lampu yang dipasang.

Anaknya bertanya;

Mengapa ayahanda memadamkan lampu itu?

Lalu si ayah ini menjawab;

Nyalaan lampu ini adalah untuk tugasanku berkaitan dengan rakyat, adapun kamu datang kerana hal keluarga, maka tiada hak untuk lampu ini dipasang.

Demikianlah saudara gambaran sikap seseorang pemimpin yang begitu sensitif dan amanah dengan hak rakyat. Kita perlu sedar saudara, sikap yang digambarkan tadi adalah cerminan kemurniaan ajaran Islam. Islam telah mengajar kita supaya menghormati hak orang lain dengan berlaku adil dan tahu yang mana halal dan yang mana haram.

Ibnu Khaldun (1332-1406) ketika dilantik sebagai hakim, pernah menyatakan bahawa rasuah boleh berpunca daripada sikap ghairah untuk hidup bermewah-mewah dalam kalangan kumpulan yang memegang kuasa. Wang An Shi (1021-1086), seorang tokoh ekonomi Dinasti Song pernah menyebut bahawa rasuah berpunca dari dua perkara iaitu ‘bad laws’ dan ‘bad men’. Benarlah saudara, masalah rasuah memang sebenarnya bertitik tolak daripada faktor manusia. Seharusnya, manusia yang tamak, boros dan berkepentingan tidak layak untuk diangkat sebagai pemimpin. Sebaliknya, pemimpin yang berakhlak dan tahu halal haram seharusnya dipilih dan dilantik.

Ini kerana saudara, hendak membanteras barah rasuah dalam pemerintahan dan masyarakat bukannya boleh dibanteras sehari dua. Tetapi, ianya memerlukan suatu ‘political will’ yang berterusan dan dibantu dengan penguatkuasaan yang menyeluruh. Seandainya tiada dua elemen ini, janganlah saudara mengharap suatu transformasi untuk membawa negara ini keluar dari kemelut rasuah dan penyelewengan.

“Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah, dan bersamalah kamu dengan orang-orang yang benar”. (surah at-Taubah 9:119)

Ke Mana Cinta Kita

Bilakah kali pertama saudara mendengar kalimah cinta? Dari lagu? Dari drama? Dari filem? Atau dari pengalaman seseorang? Kalau tanya aku, aku sendiri pun tak pasti bila sebenarnya kali pertama aku mendengar kalimah ini.

Bila bicara tentang cinta maka banyaklah kisah-kisah atau cerita-cerita yang berkaitan dengannya. Ada yang ke arah positif dan ada juga ke arah yang negatif. Cinta tidak mampu dipisahkan daripada kamus hidup seseorang manusia sebab itu adalah fitrah semulajadi yang Allah taala jadikan. Oleh hal demikian, pernahkah saudara tahu bahawa cinta juga disebut dan dibicarakan di dalam Al-Quran.

Aku percaya, ramai orang sudah khatam Al-Quran, tetapi tidak ramai yang menyedari kisah-kisah cinta dalam Al-Quran. Pembelajaran Al-Quran kita hanya sekadar membaca sampai khatam, namun tidak pula menjurus ke arah pemantapan kefahaman Al-Quran. Sebab itu, bila ditanya dari mana kita tahu tentang cinta, maka Al-Quran selalunya bukan jawapan ‘favourite’ yang akan dijawab.

Di dalam Al-Quran, ada banyak wajah cinta Allah kepada hamba-hambaNya. Antara hamba-hamba Allah yang mendapat cintaNya adalah mereka yang bertakwa, yang berbuat kebaikan, yang bertaubat, yang mempasrahkan diri, yang sabar dan yang berlaku adil serta mereka yang membuat kebaikan lainnya. Di samping itu, Al-Quran juga menekankan juga akan golongan yang tidak dicintai Allah antaranya; mereka yang zalim, yang kafir dan munafik, yang melakukan kerosakan, yang sombong dan ingkar, para pemboros, mereka yang khianat dan pelaku kejahatan yang lain.

Saudara, cinta Allah kepada kita adalah dalam bentuk keredhaanNya kepada kita di dunia mahupun akhirat, sedangkan cinta kita kepada Allah adalah dalam bentuk penta’dziman (keagungan) kepadaNya yang diinterpretasikan dalam bentuk ketaatan dan rasa tunduk kita kepada Allah. Oleh sebab itu, Allah taala telah mewahyukan kepada Rasulullah saw suatu pesanan untuk dikhabarkan kepada kita.

“Katakanlah (Muhammad); Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad); Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir”. (surah ali-Imran 3:31-32)

Ayat ini saudara jelas menyatakan bahawa kalau kita hendak mencintai Allah, maka kita kena ikut Al-Quran dan As-Sunnah yang Rasulullah saw bawa kepada kita. Sekali kita mencintai Allah, maka Allah juga akan mencintai dan mengasihi kita. Ia tidak seperti cinta kepada manusia, adakala berbalas, adakalanya hanya sekadar bertepuk sebelah tangan.

Al-Quran juga telah merakamkan beberapa kisah cinta yang dialami oleh para kekasih Allah. Dalam Al-Quran kita akan terjumpa tentang kisah cinta antara seorang ayah (Yaakub as) kepada anaknya (Yusuf as), cinta antara ibu (ibu Musa as) kepada puteranya (Musa as), cinta antara seorang ibu (Asiyah) terhadap anak angkatnya (Musa as), kisah cinta seorang wanita terhadap pemuda tampan (Yusuf as), cinta seorang gadis (anak Syu’aib as) kepada pemuda gagah (Musa as), kisah cinta seorang ratu (Balqis) dengan seorang raja (Sulaiman as) dan cinta seorang wanita (Maryam) kepada Tuhannya.

Sesuai dengan kedudukan Al-Quran sebagai panduan manusia. Ia juga memberi dan membimbing kita untuk mengenal akan perihal penyalahgunaan nikmat cinta yang Allah taala kurniakan. Antaranya saudara:

1) Cinta kepada duniawi semata.

“Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan kehidupan akhirat.” (surah al-Qiyamah 75:20-21)

2) Cinta kepada harta benda secara berlebihan.

“Dan kamu memakan harta pusaka dengan cara mencampur adukan (yang halal dan yang haram). Dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.” (surah al-Fajr 89:19-20)

“Sesungguhnya manusia itu sangat ingkar tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan (sendiri) keingkarannya. Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta.” (surah al-‘Adiat 100:6-8)

3) Terlalu cinta kepada keinginan dan perkara lain sehingga melupakan Allah.

“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perdagangan yang kamu khuatir kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah memberikan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik”. (surah at-Taubah 9:24)

4) Cinta kepada sesuatu yang sebenarnya buruk baginya

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. (surah al-Baqarah 2:216)

5) Suka kepada suatu kumpulan manusia yang sebenarnya mahu merosakannya

“Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudaratan bagimu. Meraka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah kami terangkan kepadamu ayat-ayat kami jika kamu memahaminya”. (surah ali-Imran 3:118-120)

6) Cinta terhadap nafsu syahwat

“Sesungguhnya hawa nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan..” (surah Yusuf 12:53)

Akhir bicara, manfaatkanlah rasa cinta yang hadir dalam diri saudara untuk mencari rahmat dan keredhaanNya tatkala mengharungi samudera kehidupan ini.  Mudahan-mudahan dengan itu saudara, kita nanti akan digolongkan dalam kalangan mereka yang mendapat cinta dan kasih sayang Allah. Selamat bercinta.

Bila Alam Berbicara

Jepun telah dikejutkan dengan satu gempa bumi berukuran 8.9 skala ritcher yang sekali gus membawa kepada kejadian tsunami dengan ketinggian 10 meter. Walaupun angka korban tidak seteruk peristiwa tsunami di Acheh, namun bahaya tetap menghantui penduduk di Jepun tatkala loji nuklearnya meletup dan dikatakan boleh membawa kepada ancaman bahaya radiasi.

Sugguh menakutkan jika difikirkan akan kesan buruk pencemaran radiasi ini saudara. Ianya akan menyerang kita dalam keadaan kita tidak nampak namun boleh membunuh dalam senyap. Sama ada pencemaran tersebut boleh sampai ke Malaysia atau tidak, hanya Allah sahaja yang tahu kerana Dialah yang Maha Kuasa mengatur perjalanan alam ini.

Sehebat mana pun teknologi manusia, ia masih belum dapat mengelak sebarang teknologi Allah yang datang dari alam sekeliling kita. Jika dahulu hujan adalah rahmat untuk manusia, namun hari ini hujan yang sama menjadi bencana kepada manusia. Kalau dahulu keindahan laut dapat menenangkan hati dan perasaan, namun hari ini dari laut itulah datangnya pukulan yang meranapkan daratan. Manusia yang tidak beriman akan melihat ini hanyalah fenomena alam, hanyalah perkara biasa.Tetapi bagi kita saudara, perkara ini bukan sahaja fenomena alam yang biasa tetapi ia adalah suara alam yang cuba mengkhabarkan sesuatu.

Alam yang kita diami ini tidak akan bermusuh dengan kita. Tiada sebab untuk mereka cari pasal dengan kita. Mereka amat menghormati kita sebagai makhluk Allah yang diangkat sebagai khalifah. Mereka tidak pun berani untuk diberi tanggungjawab bagi menerajui bumi ini kerana tidak sanggup untuk memikul amanah yang diberikan. Namun, manusia yang tabiatnya adalah jahil dan zalim sanggup untuk memikulnya. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil” (surah Al-Ahzab 33:72).

Lantaran itu, Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab sebagai panduan buat manusia. Panduannya lengkap dan bertujuan supaya manusia tidak jahil dan tidak zalim tatkala memimpin alam ini. Namun persoalan besar yang perlu dijawab adalah, apakah panduan ini telah diguna pakai dan sejauh mana panduan ini dihayati dan diteladani?

Dek kerana itulah saudara, tidak hairanlah berbagai kerosakan ke atas muka bumi ini berlaku. Ia berlaku bukan kerana dendam alam kepada kita, tetapi adalah dari punca tangan-tangan manusia yang sudah jauh dari panduan agama. Bila sudah jauh dari agama, manusia akan bertindak umpama orang jahil dan melakukan kezaliman sesuka hati sesama manusia dan juga kepada alam. Nahtijahnya, ia mengundang kemurkaan Allah swt. Firman Allah swt yang bermaksud;

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar” (surah Ar-Rum 30:41)

Ramai orang takut dengan tsunami, gempa bumi, letusan gunung berapi, pencemaran radiasi, banjir besar, tanah runtuh dan sebagainya, namun yang tidak takut buat maksiat, makan rasuah, sebar fitnah, aibkan orang, rosakan alam demi keuntungan, ingkar perintah Allah pun ramai juga diluar sana. Sedarlah, kesemua bencana yang berlaku dihadapan mata kita hari ini saudara adalah bicara alam kepada kita. Mereka hendak khabarkan kepada kita akan bertapa murkanya Allah terhadap manusia yang semakin jauh daripada panduan agama. Walaupun tsunami itu tidak mengapa-apakan kita di sini, tetapi anggaplah ianya sebagai peringatan dari Allah bukan sahaja untuk setiap yang merasainya tetapi juga kepada yang hanya melihatnya.

Mudah-mudahan saudara, kita mengambil pengajaran di atas apa yang berlaku pada hari ini. Mungkin kita selalu sahaja mudah melupakan Allah, tetapi ingatlah satu perkara bahawa; Allah tidak akan pernah melupakan kita. Semoga bencana yang dahsyat ini mampu mengetuk pintu hati kita untuk terus beringat dan berjaga yang kita hidup di bumi bukanlah untuk segalanya tetapi bumi ini hanyalah tempat persingghan bagi mengumpul bekalan sebelum meneruskan perjalanan bertemu Yang Esa.

“Sesiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal soleh dan janganlah dia menyekutukanNya dengan sesuatu dalam amal ibadatnya” (Surah Al-Kahfi 18:110)