Golongan Yang Sedikit

Aku masih teringat kenangan ketika bersekolah dahulu. Waktu itu aku berlajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Seremban. Tiap kali tiba hari Jumaat, aku dan rakan-rakan yang lain akan berjalan kaki beramai-ramai dari asrama menuju ke sebuah masjid. Aku pun tidak pasti berapa kilometer jaraknya. Namun setelah menyusuri jalan menuju ke masjid tersebut, berpeluh memang tidak dapat dielakkan (nak bagitahu jauh juga berjalan).

Kadangkala ketika berjalan, adalah pakcik-pakcik yang bermurah hati akan mengajak untuk menumpang kereta mereka. Selalunya, peluang sebegini tidak akan disia-siakan begitu sahaja (tidak baik menolak rezeki yang datang kan). Setibanya di masjid, kami tidak akan lupa untuk berterima kasih kepada pakcik berkenaan.

Demikianlah saudara, sudah menjadi adat dan sikap dalam masyarakat kita untuk berterima kasih kepada mereka yang berbakti dan yang menolong kita. Hanya sekadar dengan ucapan terima kasih sudah memadai bagi menggambarkan bertapa kita menghargai seseorang. Ada juga yang berterima kasih dengan menghulurkan sedikit buah tangan kepada mereka yang berbakti dan berjasa kepadanya.

Perihal ucapan terima kasih ini saudara, William Shakespeare juga pernah menyebutkan bahawa;

“I can no other answer make, but, thanks, and thanks.”

Sungguhpun begitu saudara, bertapa kita selalu menjaga hubungan sesama manusia dengan berbudi bahasa, kita tidak boleh sesekali lupa akan budi bahasa kita kepada Allah swt. Walaupun seseorang itu memang benar telah membantu kita dan wajar untuk kita berterima kasih kepadanya, namun satu perkara yang perlu kita fikirkan juga ialah, seseorang itu tidak akan dapat berbakti dan berjasa kepada kita seandainya Allah taala tidak mengizinkannya. Inilah perkara yang adakala kita terlepas pandang.

Sebagai contoh, kita barangkali pernah mengalami sakit. Selalunya kita akan berjumpa doktor dan doktor berkenaan akan memberi nasihat dan sedikit ubat-ubatan untuk dimakan. Sebelum beredar, kita ucap “terima kasih doktor”. Nasihat serta pantang-larang doktor akan kita patuhi dan ubat-ubat akan sanggup ditelan walaupun ia pahit bagaikan hempedu. Sesudah beberapa lama, ternyata kita sembuh daripada sakit. Di sini, pasti timbul dalam diri kita bahawa nasihat, pantang dan ubat yang doktor berikan tempoh hari cukup berkesan. Sekali lagi terdetik dalam diri kita, “terima kasih doktor”.

Terima kasih adalah wajar diucapkan kepada doktor yang berusaha merawat kita. Namun satu perkara yang lebih utama sebenarnya ialah bersyukur kepada Allah atas nikmat sihat yang telah dikembalikan semula. Ini kerana, hanya Allah taala sahaja yang berkuasa untuk memberi kita sakit atau sihat. Adapun nasihat doktor dan ubat-ubatan hanyalah perkara yang menjadi asbab kepada kesembuhan kita.

Berkenaan dengan syukur ini saudara, aku ingin membawa suatu kisah daripada buku Tafsir At-Tibyan yang menghuraikan sepotong ayat daripada surah Yaasin. Maksud firman Allah taala tersebut ialah;

“Supaya mereka makan dari buah-buahnya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; apakah tidak mereka itu bersyukur?” (surah Yaasin 36:35)

Daripada ayat ini, Allah swt bertanya, apakah manusia yang memperolehi nikmat itu tidak bersyukur terhadap nikmat Allah? Sudah sepatutnya saudara, manusia perlu bersyukur terhadap nikmat Allah. Tuntutan untuk bersyukur ini benar-benar dihayati oleh seorang Badwi ini.

Pernah satu ketika saudara, seorang Badwi berdoa di hadapan kaabah. Di dalam doanya, dia bermunanjat kepada Allah taala dengan memohon;

Ya Allah, Ya Tuhanku, Jadikanlah aku daripada golongan yang sedikit.

Doanya ini didengari oleh Saidina Umar al-Khattab yang kebetulan berada di situ. Seusai Badwi ini berdoa, lantas Saidina Umar memanggilnya lalu bertanya;

Mengapakah saudara berdoa dengan doa yang pelik daripada orang? Orang lain meminta perkara yang banyak, tetapi saudara minta yang sedikit?

Lalu Badwi ini menjawab;

Sesungguhnya apa yang aku sebut ini ada terkandung di dalam Al-Quran.

Mendengarkan jawapan itu, Saidina Umar bertanya lagi;

Di mana di dalam al-Quran itu?

Kata Badwi tersebut;

Tidakkah Amirul Mukminin pernah mendengar firman Allah taala;

“Dan sedikit sahaja dari hamba-hambaKu orang-orang yang bersyukur” (surah Saba’ 34:13)


Daripada kisah ini saudara, dapatlah kita fahami bahawa antara sebab mengapa Badwi ini memohon kepada Allah supaya digolongkannya dalam kalangan yang sedikit kerana hanya sedikit sahaja orang yang bersyukur dengan nikmat Allah taala. Saidina Umar tatkala mendengar penerangan Badwi itu tadi terus mengungkapkan;

Rupanya ada lagi orang yang lebih ‘alim daripada Umar, yang lebih tahu daripada Umar. Ada juga perkara yang Umar tidak tahu.

Mudahan saudara kita sama-sama mengambil iktibar daripada kisah ini untuk menilai dan bermuhasabah sejauh mana kita sudah membuktikan kesyukuran kepada Allah dalam lembaran hidup kita ini. ‘Ya Allah, jadikanlah kami dalam kalangan hamba-hambaMu yang sedikit’.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s