Pilih Antara Dua

Aku ingin berkongsi serba sedikit apa yang aku faham tentang sistem dua parti. Walaupun aku bukannya dalam kalangan mereka yang arif tentang selok belok politik (bukan ahli politik pun), tetapi sebagai bakal pemilih dan pengundi, tidak salah kiranya aku berbicara soal politik di tanah air kita ini.

Baru-baru ini saudara, UMNO telah sekali lagi mengajak PAS untuk bersama BN (walaupun MCA tak setuju) atau sekurang-kurangnya keluar dari Pakatan Rakyat. Sebab apa UMNO berulang kali menyerang PAS dengan cara itu, tidaklah diketahui melainkan ianya tidak terlepas daripada motif politik semata-mata (nama pun ahli politik kan). Respon daripada pimpinan PAS seperti biasa, menolak ajak-ajak ayam UMNO itu. Bagi PAS, mereka sudah komited dan buat keputusan untuk bersama rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat secara tahaluf siyasi.

Dalam sebuah negara demokrasi, rakyat akan diberi peluang untuk memilih pemimpin dan seterusnya kerajaan. Rakyat akan diberi hak sepenuhnya untuk memilih mana-mana pemimpin yang bertanding atau menukar mana-mana kerajaan yang ada dengan kerajaan yang baru. Perkara ini hanya boleh dilakukan tatkala pilihanraya diadakan.

Hendak memilih pemimpin saudara, bukanlah soal yang mudah. Ianya memerlukan penelitian yang baik melalui penilaian yang adil. Jawatan sebagai pemimpin, tidak kiralah di peringkat DUN mahupun Parlimen bukanlah suatu kebanggaan (tasyrif) malah ianya merupakan suatu tanggungjawab atau amanah (takhlif) yang perlu dipikul. Sebab itu, kepentingan memilih pemimpin merupakan perkara yang begitu ditekankan dalam Islam.

Ini dapat dilihat melalui sirah yang ditunjukkan oleh para sahabat Rasulullah saw. Para sahabat pada waktu itu mendahulukan soal pemilihan kepemimpinan berbanding menguruskan jenazah Rasulullah saw yang merupakan kekasih Allah. Setelah selesai pemilihan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah, barulah diuruskan jenazah Rasulullah saw. Di sini saudara, kita dapat melihat bahawa peripentingnya menyelesaikan soal kepimpinan atau khalifah dalam ajaran Islam (tiada politik suku agama suku).

Rasulullah saw sendiri pun tidak mewasiatkan siapakah penggantinya dalam kalangan para sahabat. Sekaligus membuktikan kepada kita bahawa menjadi hak rakyat untuk memilih pemimpin mereka yang berwibawa lagi amanah. Cuba saudara perhatikan ucapan sulung Saidina Abu Bakar as-Siddiq tatkala dilantik sebagai khalifah;

“Wahai manusia, sesungguhnya saya telah dipilih menjadi ketua kamu, dan saya bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kamu, sekiranya saya berlaku baik, tolonglah saya, sekiranya saya melakukan kesalahan, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, berbohong adalah khianat. Tiadalah sesuatu kaum yang meninggalkan jihad melainkan Allah menimpakan keburukan menyeluruh kepada mereka. Taatilah aku selagi aku taatkan Allah dan Rasul, sekiranya aku tidak mentaati Allah dan Rasul, maka janganlah kalian mentaatiku”.   

Pemimpin yang ada fikrah seperti inilah perlu dipilih dan seandainya dia terkeluar daripada landasan syariat, maka rakyat ada hak untuk UBAH. Berbalik kepada soal politik dalam tanah air kita hari ini, orang Islam khususnya orang melayu sudah memiliki dua pilihan sama ada hendak memilih PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, atau memilih UMNO yang mewakili BN. Bagi aku, sama ada PAS atau UMNO, mereka tidak akan mampu untuk memerintah negara ini sendirian melainkan mereka berpakat dengan parti-parti lain yang mewakili pelbagai kaum yang ada di Malaysia.

PAS akan bersama PKR dan DAP untuk menawarkan harapan baru (buku jingga) kepada rakyat Malaysia bagi membentuk kerajaan baru manakala UMNO akan tetap bersama parti-parti lain dalam BN. Jesteru, bagi aku, inilah yang dinamakan konsep dua parti. Rakyat sama ada melayu, cina, india, iban, dayak dan sebagainya akan diberikan peluang untuk memilih pemimpin dan kerajaan sama ada dari BN atau Pakatan Rakyat. Kalau BN memerintah dengan cara tidak betul (apatah lagi melanggar syariat Allah) maka, rakyat ada pilihan untuk tukar dan pilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan yang baru dan begitulah sebaliknya.

Tidak perlulah UMNO risau dan merayu kepada PAS untuk bersamanya. Berilah kepada rakyat hak untuk memilih. UMNO tidak perlu sibuk mempertikaikan hubungan PAS dengan PKR dan DAP. Tahulah PAS bagaimana hendak bertahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat. Yang penting bagi UMNO/BN ialah menumpukan kepada usaha bagaimana hendak menyakinkan semula rakyat kepada mereka (bukan dengan fitnah kotor dan lucah). Walaupun UMNO mungkin tidak setuju dengan pendekatan PAS kali ini (barangkali boleh menggugat keegoaan BN), sekurang-kurangnya cina dan india yang berkawan dengan PAS sudah cenderung untuk menjenguk surau/masjid, bercakap tentang Umar Abdul Aziz (tokoh Islam), dan memetik ayat Quran dalam ucapannya. Pandai-pandaiah ulama dan aktivis PAS macam mana hendak berpolitik dan berdakwah dengan mereka ini.

Sistem dua parti seperti ini saudara akan memberi kelebihan kepada rakyat terutama dalam soal memilih kerajaan. Tetapi, ia perlu diamalkan seiring dengan perjalanan pilihanraya yang adil. Dengan pilihanraya yang adil, barulah yang menang memang layak menang dan yang kalah akan senyap daripada pertikaian. Ada orang kata, kalau pilihanraya tidak telus dan menipu, tidak mungkin pembangkang boleh menang. Bagi aku saudara, hendak mengukur sama ada pilihan raya itu telus atau tidak bukannya melihat kepada keupayaan pembangkang boleh menang, tetapi berdasarkan perlaksanaan sistem pilihanraya itu sendiri.

Pilihanraya yang telus adalah dengan perlaksanaan dakwat hitam, semakan daftar pemilih yang telus dan lengkap, permansuhan undi POS, pemantauan perjalanan pilihanraya oleh badan bebas dan akses media yang adil. Apakah sukar bagi kerajaan BN (yang menang besar di Sarawak baru-baru ini dan siang malam mendabik dada di media bahawa merekalah yang paling layak memerintah) untuk menunaikan tuntutan pilihanraya yang telus dan bersih?

2 Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s