3 Ta

Teringat waktu dulu-dulu saudara. Aku dulunya adalah antara penggemar ceramah seorang ustaz yang juga seorang bekas penyanyi rock yang beralih ke pentas dakwah. Ceramah dan penampilannya yang bersahaja dengan berjubah dan berserban memang menggamit masyarakat untuk mendengar ceramah beliau di masjid atau paling tidak memiliki cd atau kaset ceramahnya. Namun sayang, keadaan seperti itu tidak berlaku lagi hari ini. Setelah dilanda pelbagai kontroversi, beliau agak menyepi dari gelanggang dakwah yang pernah menaikkan namanya.

Pernah dalam satu ceramahnya, beliau mengupas isu tentang keadaan masyarakat melayu yang tidak pandai membaca al-Quran atau tidak berminat untuk mengaji al-Quran. Seharusnya, didikan membaca al-Quran sebagai amalan harian perlu diterapkan seawal kanak-kanak lagi. Rasa minat perlu dipupuk supaya al-Quran bukan sahaja boleh dibaca, bahkan berkeupayaan untuk difahami dan seterusnya dihayati.

Jangan sampai bila usia sudah tua, barulah terkial-kial hendak mempelajari al-Quran (better late than never). Maka, hendak dijadikan cerita, adalah seorang pakcik (dah kurang giginya) datang untuk mengaji;

Ustaz: Pakcik ikut ye

Pakcik: Ye, saya.

Ustaz: ba di atas ba~, ba di bawah bi~, ba di depan bu~, ba~ bi~ bu~

Pakcik: ba di atas ba~, ba di bawah bi~, ba di depan bu~ (kemudian pakcik ni terlajak sampai huruf ta) ta di atas ta~ (maka bunyinya)

ba~ bi~ bu~ ta~

Demikianlah celotehnya ketika berceramah. Walaupun banyak celoteh-celoteh nakal menghiasi ceramahnya, tetapi ianya merupakan kritikan sinis yang menggambarkan suatu realiti masyarakat yang kian jauh daripada al-Quran. Post aku kali ini saudara, bukan hendak cerita tentang belajar alif ba ta, tetapi hendak mengupas perihal 3 Ta (macam formula hafal masa exam pulak). 3 Ta yang aku maksudkan ialah waniTa, harTa dan takhTa. 3 Ta ini boleh menjadi jerat dan perangkap kepada mereka yang hanya mengejar dan memikirkan dunia semata.

Ketika Nabi saw sedang giat berdakwah mengajak masyarakat arab kepada Islam. Kebimbangan penguasa arab yang dipimpin Abu Jahal kian memuncak tatkala melihat kebangkitan arab bersama Islam. Lantaran itu, golongan penguasa musyrikin arab mengatur suatu strategi untuk mematahkan gerakan kebangkitan Islam tersebut dengan memberi apa jua tawaran kepada Nabi saw dalam bentuk wanita cantik, harta kekayaan mahupun takhta dalam pemerintahan. Bukan itu sahaja, mereka turut menjadikan Abu Talib (bapa saudara Nabi saw yang banyak melindungi) supaya memujuk Nabi saw mengurangkan sedikit kegiatan dakwah.

Namun, Nabi saw dengan tegas menjawab segala tawaran tersebut dengan bersabda:

“Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari dalam tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, supaya aku tinggalkan tugasku ini, sama sekali tidakku tinggalkannya, sehingga Allah menjayakannya atau aku mati kerananya”.

Demikianlah saudara keteguhan pendirian Nabi saw dalam perjuangannya bersama Islam. Pendirian hebat seperti ini amat wajar dicontohi oleh para pejuang di luar sana tatkala berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi perjuanga. Berbalik kepada isu kita yang asal, aku akan menghuraikan serba sedikit berkenaan ujian 3 Ta berasaskan kepada beberapa paparan sejarah yang baik untuk dijadikan pengajaran.

WaniTa

Kita sudah pasti telah membaca sejarah agung Nabi Yusuf as tatkala berhadapan dengan godaan seorang wanita cantik. Namun, keteguhan iman yang ada pada Nabi Yusuf as mampu menghalangi dirinya terjerebak ke lembah perzinaan. Saudara fikir apakah cukup mudah berhadapan situasi seumpama ini? Tidak. Pak Haji pun boleh tertanggal serbannya andai tidak ada kekentalan iman di dalam dada. Kita lihat pula kisah yang pernah berlaku ketika penghijrahan umat Islam Mekah ke Madinah. Ada seorang lelaki yang hijrahnya bukan terfokus kepada niat kerana Allah dan Rasul, tetapi kerana niat untuk bersama seorang wanita yang bernama Ummu Qais. Perkara ini diperingatkan oleh Nabi saw dengan bersabda;

“Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya maka hijrahnya adalah kepada Allah dan RasulNya, dan barangsiapa yang hijrahnya karena untuk menggapai dunia atau wanita yang hendak dinikahinya maka hijrahnya kepada apa yang dihijrahi” (Hadith Riwayat Bukhari)

HarTa

Qarun sampai bila-bila akan dikenang sebagai ikon kerakusan terhadap harta. Ternyata harta yang melimpah ruah terhadapnya menambahkan lagi ketamakkan dan kesombongan Qarun. Ketika beliau dinasihatkan supaya tidak berbangga dengan kekayaan yang ada dan berbuat baik kepada orang lain dengan mengingati Allah dan akhirat, namun nasihat itu saudara, dijawab angkuh oleh Qarun dengan menyatakan bahawa kemewahan yang dia kecapi hari ini adalah hasil titik peluh dan kepintarannya (tiada kena mengena dengan Allah mahupun orang lain). Ada sebilangan masyarakat yang memuji dan berharap nasib mereka seperti Qarun. Walaubagaimana pun, manusia ingkar dan tamak seperti Qarun tidak terlepas daripada azab Allah:

“Maka kami benamkan dia (Qarun) bersama rumahnya ke dalam bumi”. (surah al-Qasas 28:81).

Melihatkan peristiwa tersebut, maka sebilangan masyarakat yang memuji tadi menarik semula pujian dan harapan mereka dengan mengakui kekuasaan Allah yang melapangkan dan membatasi rezeki kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Mereka juga menyatakan sekiranya mereka seperti Qarun, barangkali mereka juga akan dibenamkan ke dalam bumi.

TakhTa

Kecintaan manusia terhadap takhta dan penguasaan telah dipaparkan oleh al-Quran berkenaan dengan penguasa yang bernama Firaun. Kesombongannya terhadap kuasa pemerintahan yang dimiliki menjadikan dirinya menafikan adanya Allah. Dia bukan sahaja menolak bulat-bulat seruan dakwah Nabi Musa as, malah mengugut Nabi Musa as dan para pengikutnya untuk dikenakan pelbagai hukuman. Bila gagal berhujah, maka Firaun guna kuasa untuk menghalang Nabi Musa as:

“Dia (Firaun) berkata; Sungguh, jika engkau menyembah Tuhan selain aku, pasti aku masukkan engkau ke dalam penjara”. (surah asy-Syu’ara’ 26:29)

Demikianlah saudara, bertapa egonya Firaun dengan kuasa pemerintahannya. Walaupun dia berani berdebat (tidak seperti diktator dunia hari ini yang takut berdebat), namun apabila dia gagal untuk menjawab segala hujah nabi Musa as, maka dibalas hujah tersebut dengan menjatuhkan hukuman. Walaubagaimanapun, Allah menyelamatkan nabi Musa as dan pengikutnya Bani Israel dengan menenggelamkan Firaun bersama polis dan tenteranya ke dalam laut.

Kesimpulannya saudara, perangkap 3 Ta ini akan terus ada dan wujud walaupun persekitaran dan wataknya mungkin sudah berbeza. Berwaspadalah dengan waniTa kerana mereka boleh jadi punca dan sumber iman bagi lelaki (jika ikut cara halal) atau boleh juga menjadi sumber dosa dan kebinasaan (jika ikut cara haram). HarTa yang dimiliki pula bukan untuk dimegahi, tetapi untuk direbut kesempatan menambahkan bakti dan takhTa yang dipunyai, bukan untuk menzalimi tetapi untuk tunduk kepada Illahi melalui keadilan yang sejati.

2 Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s