Usah Tersalah Anggap

Makin dekat dengan PRU 13, makin terasa panas suasana politik di Malaysia ini. Kelihatan akhbar melayu Utusan Malaysia tanpa segan silu memainkan pelbagai isu-isu hangit (bukan hangat) yang aku fikir hanya bermotifkan politik semata. Sebelum ini saudara, dipampang sebesar-besarnya gambar-gambar yang diambil dari sebuah video seks yang kononnya melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Bila letak gambar-gambar seumpama itu di muka depan akhbar, yang melihatnya bukan sekadar orang dewasa, malah turut melihat adalah kanak-kanak dan remaja. Kalaulah yang terpampang itu melibatkan pemimpin kerajaan dan disiarkan pula oleh akhbar pro-pembangkang, barangkali KDN sudah awal-awal lagi akan menarik permit akhbar tersebut.

Hari ini saudara, entah dari blogger mana, Utusan Malaysia menjadikannya sebagai rujukan untuk membangkitkan suatu isu yang agak mustahil boleh berlaku iaitu isu Kristian sebagai agama rasmi persekutuan. Sama ada benar atau tidak maklumat ini, ianya perlu disiasat secara adil. Jangan dibiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya memainkan isu yang kurang jelas asasnya ini sabagai alat politik menyerang lawan.

Jika akhbar Suara Keadilan telah diambil tindakan untuk digantung penerbitannya kerana secara salah melaporkan FELDA sudah bankrap (walaupun ianya sarat dengan fakta berkaitan FELDA), maka Utusan Malaysia perlu disiasat sama kerana menyiarkan suatu laporan yang sensitif yang jika tersalah urus isu ini boleh menggugat perpaduan kaum di Malaysia.

Memang hari ini, UMNO mungkin terasa agak tercabar (setelah 50 tahun lebih memerintah) kerana kali ini mereka mendapat tentangan politik yang cukup kuat daripada Pakatan Rakyat. Dalam menghadapi PRU 13, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP sudah sepakat bagi mengibarkan panji perang politik mereka melalui program Buku Jingga dan Dasar Bersama. Walaupun UMNO/BN secara sinis mempertikaikan segala program yang dijanjikan di dalam Buku Jingga, namun sehingga hari ini, kita sebagai pengundi belum melihat sebarang respons UMNO/BN bagi membalas hujah yang di bawa Pakatan Rakyat.

Rakyat melihat bagaimana Perdana Menteri yang dilihat hebat dengan pelbagai program ekonominya, tiba-tiba memberi pelbagai alasan kepada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim tatkala dijemput untuk berdebat dan berbahas berkenaan dengan ekonomi negara. Najib Razak begitu berani memperlekehkan Buku Jingga di media massa, tetapi sampai hari ini beliau tidak berani berhujah dengan Anwar Ibrahim yang sudah tentu bersedia mempertahankan segala program di dalam Buku Jingga.

Dasar Bersama Pakatan Rakyat (yang tidak disiarkan secara meluas oleh media massa) telah bersetuju dan secara sepakat akan mempertahankan empat perkara utama seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Perkara-perkara tersebut ialah mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi, hak istimewa Melayu dan juga kedudukan raja-raja Melayu. Perkara ini cukup jelas bila mana ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat bersetuju menandatangani dokumen  hitam putih sebagai bukti yang menjadi dasar utama mereka.

Oleh itu saudara, kewujudan Pakatan Rakyat bukanlah untuk memansuhkan perkara-perkara yang telah dipersetujui ini, tetapi kewujudan mereka adalah untuk mewujudkan ‘check and balance’ yang berkesan. BN tidak lagi berpeluang seperti dulu untuk memonopoli politik di Malaysia kerana hari ini rakyat Malaysia telah mempunyai pilihan yang cukup jelas dalam memilih kerajaan sama ada BN atau Pakatan Rakyat.

Sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, maka BN sebagai pembangkang akan mengimbangkan kuasa yang dimiliki Pakatan Rakyat sebagai pemerintah dan begitulah sebaliknya. Bagi rakyat pula, mereka akan menilai dari masa ke semasa kerajaan yang mereka pilih. Mana-mana kerajaan yang tidak amanah, tidak telus, tidak kompeten akan ditukar berasaskan penilaian yang dilakukan. Inilah lanskap politik matang dan celik yang diamalkan di kebanyakan negara maju.

Sebagai pengundi, kita mahu melihat BN dan Pakatan Rakyat bersaing di atas kapasiti kemampuan mereka dalam mengurus negara dan rakyat. Negara kita sudah 50 tahun lebih merdeka, maka Pakatan Rakyat dan BN perlu terlibat dalam suatu persaingan politik baru yang menawarkan kepada rakyat kaedah serta program pembangunan terbaik dalam mengisi kerangka kemerdekaan yang ada. Bukannya memainkan pelbagai sentimen perkauman sempit dan mensensasikan politik fitnah demi meraih ‘political mileage’ bagi meneruskan survival partinya.

Mungkin ada pihak ingin melihat PAS-UMNO bergabung. Aku secara peribadi menghormati pendirian seumpama itu. Cuma, bagi aku saudara, dalam konteks politik di Malaysia, kita lebih memerlukan sistem dua parti demi mewujudkan keseimbangan kuasa pemerintah. Ini kerana, pertembungan PAS-UMNO adalah tidak lebih sebagai pertembungan idealisma perjuangan politik kedua-dua parti (satu pro-Islam dan satu lagi pro-Kebangsaan). Di sini, orang melayu khusunya akan mempunyai pilihan untuk memilih pihak mana yang lebih baik pendekatannya dalam rangka untuk mengisi kemerdekaan dan pembangunan negara.

Dalam hal ini, sudah tentu yang untung adalah rakyat kerana kedua-dua parti yang mewakili orang melayu di dalam BN dan Pakatan Rakyat akan terus bersaing dalam memenuhi hak rakyat sebagai bangsa yang merdeka. Seandainya PAS bersama BN, maka sudah pasti akan wujud nanti satu pihak didominasi oleh Melayu dan satu pihak lagi didominasi oleh bukan Melayu. Sesuatu yang perlu diketahui saudara, amalan politik Islam bukan untuk politik yang akan mencetuskan politik perkauman, tetapi politk yang akan mempertahankan maqasid syariah dan prinsip keadilan sebagai keutamaannya.

“Wahai orang-orang beriman, jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah, (ketika) menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap suatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Mahateliti apa yang kamu kerjakan”. (surah al-Maidah 5:8)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s