Penjara Dunia

Abu Hurairah r.a pernah mendengar sabda Rasulullah saw yang bermaksud;

“Dunia ini adalah (umpama) penjara kepada seseorang mukmin dan syurga buat orang kafir”. (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Daripada hadith ini saudara, kemungkinan terdapat salah faham terhadap pemahamannya yang sebenar. Ada yang menyatakan dunia sebagai penjara itu membawa maksud kita perlu meninggalkan hal-hal keduniaan dan kemewahannya umpama seorang banduan yang terpenjara daripada hal-hal yang berlaku di luar penjaranya. Oleh itu, bagi golongan yang tersalah faham tersebut, mereka melihat hadith ini sebagai seruan untuk hanya menfokuskan kepada hal-hal akhirat sahaja dengan banyak beribadat.

 Tetapi saudara, apa yang dimaksudkan dengan dunia umpama penjara di sini disyarahkan oleh Imam an-Nawawi dengan menjelaskan bahawa;

“Setiap mukmin terpenjara di dunia ini daripada memenuhi kehendak nafsu syahwat yang ditegah (yang diharamkan). Dalam masa yang sama mereka juga bertanggungjawab melaksanakan ketaatan yang diperintahkan kepada setiap mukallaf”.

Daripada penjelasan ini saudara, dapatlah kita fahami bahawa penjara yang dimaksudkan dalam hadith ini merujuk kepada nafsu seorang mukmin yang dipenjarakan daripada melakukan sesuatu yang diluar daripada kerangka syariat Allah swt. Ketaatan kita terhadap perintah dan suruhan Allah dan Rasul adalah manifestasi ketundukan kita kepada Allah bukannya kepada hawa nafsu.

Orang kafir tidak terikat dengan mana-mana hukum dan syariat islam. Dunia yang terhampar dihadapan mereka umpama syurga. Mereka boleh berbuat apa sahaja perkara yang menyalahi syariat Allah mengikut kehendak nafsu mereka. Walaubagaimanapun saudara, kenikmatan syurga dunia tersebut tidak sama dengan kenikmatan syurga di akhirat. Hal ini dijelaskan oleh Imam an-Nawawi seperti berikut;

“Namun bagi orang kafir (dan golongan yang derhakai Allah), mereka akan memperolehi syurga dunia yakni kenikmatan tanpa batas halal & haram dengan sebebasnya tetapi terbatas dan tidak bersifat mutlak (ada kekurangan & kelemahan). Apabila mereka mati kelak, mereka akan mendapat azab yang pedih dan sengsara yang berkekalan”.

Walaupun orang kafir menikmati syurga di dunia ini, namun nikmat itu tidak mutlak dan terbatas. Sebagai contoh, di dunia ini mereka boleh menikmati arak yang diharamkan Islam. Namun, nikmat arak itu terbatas. Mereka sebagai manusia tidak akan mampu menikmati arak tersebut bertong-tong banyaknya. Ini bermaksud, nikmat yang mereka perolehi tidak mutlak sebagaimana yang bakal dinikmati oleh penghuni syurga di akhirat. Imam an-Nawawi menjelaskan lagi;

“Apabila seseorang mukmin itu mati nanti, mereka akan mendapat kerehatan yang mutlak yang sebenar-benarnya tanpa sebarang permasalahan dan akan memperolehi nikmat yang berpanjangan yang tidak terhingga dan terlalu sempurna”.

Demikianlah saudara perkara yang membezakan kita sebagai muslim dengan orang kafir yang ingkar kepada Allah. Kita dijadikan Allah untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita sebagai muslim melalui syariat yang ditetapkan. Allah taala telah menetapkan ada perkara yang halal dan ada pula perkara yang haram. Mahu tidak mahu kita perlu akur untuk menerimanya. Kita tidak disuruh untuk meninggalkan hal keduniaan seluruhnya tetapi dimanfaatkan dunia ini sebaik mungkin dengan menuruti kerangka syariat yang ada.

“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sungguh Allah tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan”. (surah al-Qasas 28:77)

Sesuatu yang perlu kita ketahui saudara ialah segala hukum dan peraturan yang Allah tetapkan melalui wahyu Al-Quran terhadap kita bukan untuk menyusahkan kita, tetapi sebaliknya untuk kebaikan dan kemudahan kita.

“Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu (Muhammad) agar engkau menjadi susah; melainkan sebagai peringatan bagi orang yang takut (kepada Allah)”. (surah Taha 20:2-3)

Menurut Imam Qatadah, ayat ini jelas menggambarkan bahawa syariat Islam yang Allah turunkan bukanlah untuk menyusahkan manusia, tetapi untuk kemudahan, cahaya petunjuk dan panduan manusia untuk ke syurga.

Mudah-mudahan saudara, sama-samalah kita memahami bahawa dunia yang sedang kita lalui hari ini bukanlah tempat yang kekal selamanya. Tetapi ia hanyalah suatu transit atau jambatan untuk menuju ke akhirat. Lantaran itu, masa yang ada ketika ini haruslah dimanfaatkan sebaik mungkin dengan penuh ketundukan kepada Allah di dalam setiap perkara. Laksanakanlah dengan seikhlasnya sebelum pretasi diri (KPI) kita dibentangkan di hadapan Allah kelak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s