Makna Sebalik Lakaran

Aku tertarik tentang suatu kisah saudara. Kisah ini melibatkan dua orang sahabat baik yang sedang bermusafir di padang pasir yang luas. Ketika dalam perjalanan, mereka berselisih pendapat tentang sesuatu perkara yang kecil. Pertelagahan itu menyebabkan salah seorang daripada mereka bertindak menampar sahabatnya sendiri. Tanpa berbicara apa-apa, sahabat yang ditampar tadi berkecil hati lantas melakarkan sesuatu pada pasir.

Dia menulis;

“SAHABAT BAIK SAYA HARI INI TELAH MENAMPAR SAYA”

Kemudian, mereka pun meneruskan perjalanan ke destinasi yang hendak dituju. Dalam perjalanan itu saudara, mereka terjumpa dengan satu kawasan oasis. Mereka singgah berehat di situ sambil mengambil kesempatan untuk mandi dan membersihkan diri. Ketika mandi, tanpa diduga, sahabat yang ditampar tadi lemas. Melihatkan peristiwa itu, sahabat yang seorang lagi ini bergegas berenang dan menyelamatkan sahabatnya yang terkapai-kapai meminta pertolongan. Alhamdulillah, tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Setelah kembali pulih, sahabat yang lemas itu bangun dan melakarkan sesuatu pada sebuah batu yang agak besar. Pada batu itu, dia menulis;

“HARI INI SAHABAT BAIK SAYA TELAH SELAMATKAN SAYA DARI LEMAS”

Melihatkan perlakuan sahabatnya itu, lantas dia bertanya:

“Aku musykil dengan perlakuan kamu, tatkala aku menampar kamu, kamu melakarkan perbuatan itu pada pasir sedangkan apabila aku menyelamatkan kamu, kamu melakarkannya pada batu ini”.

Saudara, hal tersebut dijelaskan oleh sahabatnya itu. Apabila kita disakiti, kita perlu lakarkan peristiwa itu pada pasir agar ianya nanti akan hilang disapu oleh angin kemaafan. Tetapi, jika ada seseorang berbuat baik dengan kita, lakarkanlah jasa itu pada batu supaya ianya tidak mudah tersapu oleh mana-mana angin.

Begitulah saudara, suatu kisah yang begitu mendalam maknanya. Biarpun berkecil hati dan disakiti, sahabat yang baik itu masih mampu untuk memaafkannya dan tidak menyimpan apa-apa dendam. Tatkala dia terhutang budi lantaran diselamatkan daripada lemas, dia mahu peristiwa itu akan tetap dikenangnya sepanjang hayat.

Kisah ini hanyalah simbolik terhadap sikap yang perlu kita miliki bila berhadapan dengan sesuatu keadaan. Jangan disalah tafsir pula saudara. Jangan pula hendak dicoretkan atau dilakarkan pada sebarangan tempat bagi menterjemahkan apa yang kita rasa. Itu bukan nilai murni, tetapi itu vandalisma namanya. Berkenaan dengan lakaran saudara, aku teringat juga akan suatu kisah di zaman Rasulullah saw. Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal daripada Abdullah bin Mas’ud ra.

Pada suatu hari, Rasulullah saw melakar satu garis lurus pada pasir. Setelah itu, Baginda saw bersabda;

“Inilah jalan Allah, jalan yang lurus,” Kemudian daripada itu, Baginda saw membuat banyak garis yang bersimpang siur ke kanan dan ke kiri, ke utara dan ke selatan, lalu Baginda saw bersabda; “Ini semua adalah jalan-jalan syaitan, setiap jalan itu ada syaitan yang menyeru kepadanya”. Lantas Baginda saw menyambung sabdanya dengan membaca sepotong ayat al-Quran yang bermaksud; “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutinya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya kamu bertakwa,” (surah al-An’am 6:153)

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir dijelaskan bahawa Allah taala menyatakan jalanNya yakni agama Islam dalam bentuk ‘singular’ kerana jalan sebenar ke arah itu hanyalah satu. Sedangkan, Allah taala menyatakan jalan-jalan selain Islam dalam bentuk ‘plural’ kerana ternyata jalan-jalan yang menyimpang jauh daripada Islam itu banyak dan terpecah.

Demikianlah saudara, antara pesanan Rasulullah saw yang disampaikan kepada para sahabat dan sampai kepada kita hari ini. Ternyata kaedah dan pendekatan penyampaian Rasulullah saw tentang sesuatu perkara bukan sekadar dalam bentuk verbal (kata-kata), tetapi juga dalam bentuk visual (lakaran/gambar). Kaedah-kaedah itu diguna pakai oleh Baginda saw tidak lain tidak bukan supaya penyampaian itu menarik, efektif dan difahami oleh para sahabat yang bersama Baginda saw.

Tidak salah kiranya saudara, bagi guru-guru, pensyarah, atau sesiapa sahaja termasuklah ibu bapa menggunakan kaedah visual/lakaran/gambar seperti ini sebagai salah satu medium penyampaian dalam mendidik dan mengajar. Jika dilihat dari kajian sains pula, terbukti pembelajaran melalui visual dilihat lebih berkesan berbanding melalui kaedah-kaedah yang lain. Akhir bicara, disebalik sebuah lakaran saudara, tersirat disitu maknanya yang tersendiri yang sebenarnya mengajak kita untuk berfikir. Bak kata Napoleon Bonaparte; ‘A picture is worth a thousand words’.

Advertisements

Kebajikan Yusuf as

Nabi Yusuf as setelah melalui pertuduhan fitnah yang dilemparkan terhadapnya. Yusuf as berdoa dan merayu kepada Allah swt agar fitnah seumpama itu tidak lagi menimpa dirinya. Di dalam doanya, Yusuf as memohon dengan berkata;

“Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka. Jika aku tidak Engkau hindarkan dari tipu daya mereka, nescaya aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan aku tentu termasuk orang yang jahil” (surah Yusuf 12:33)

Nabi Yusuf as lebih suka memilih penjara daripada kemungkinan terjebak dalam kancah maksiat bersama manusia yang bergelojak nafsu tatkala melihatnya. Seperti yang diriwayatkan, Yusuf as memiliki wajah yang tampan yang mampu mencairkan hati dan jiwa wanita yang melihatnya. Sehinggakan saudara, ada dalam kalangan wanita ini tatkala memandang Yusuf as hampir sahaja mencederakan jari mereka ketika memotong-motong untuk dibuat masakan. Mereka terpesona lantas memuji;

“Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia, ini benar-benar malaikat yang mulia (terlalu tampan),”

Walaupun keluarga Aziz mengetahui akan kebenaran Yusuf as pada waktu itu melalui bukti pakaian Yusuf as yang terkoyak dari belakang dan Aziz sendiri meminta supaya Yusuf melupakan sahaja peristiwa tersebut, namun peristiwa yang memalukan itu tersebar juga ke seluruh Mesir. Dengan takdir Allah, doa Yusuf as diperkenankan dan beliau ditangkap dan dipenjarakan. Bagi pihak Aziz yang juga seorang pembesar negara, terpenjaranya Yusuf as mampu menutup skandal isterinya dan seterusnya mewujudkan suatu persepsi awam bahawa Yusuf adalah pesalah sebenar dalam peristiwa yang telah tersebar luas itu.

Di dalam penjara, menurut Imam Qatadah seperti yang dijelaskan dalam Tafsir Ibnu Kathir, Yusuf as ditempatkan bersama seorang penyedia minuman raja dan seorang pembuat roti. Kedua-duanya telah bermimpi dan meminta supaya Yusuf as metakwilkan mimpi mereka. Mendengarkan hasrat kedua-dua teman penjaranya itu, Yusuf as mengkhabarkan bahawa beliau memiliki ilmu untuk mentakwil mimpi melalui kelebihan yang Allah taala berikan kepadanya. Pada kesempatan itu saudara, Yusuf as mengambil peluang untuk berkongsi peringatan dan nasihat tentang keimanan kepada Allah swt. Yusuf berkata seperti mana firman Allah taala yang bermaksud;

“Apa yang kamu sembah selain Dia, hanyalah nama-nama yang kamu buat-buat, baik oleh kamu sendiri mahupun oleh nenek moyangmu. Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang (nama-nama) itu. Keputusan itu hanyalah milik Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (surah Yusuf 12:40)

Yusuf as pun mentakwilkan mimpi kedua-dua teman penjaranya itu yang berkesudahan dengan salah seorang daripada mereka akan beroleh kebebasan. Ringkas cerita saudara, suatu hari Raja Mesir telah bermimpi suatu keadaan yang cukup pelik. Lalu dikhabarkan mimpi tersebut kepada pembesar-pembesar negara yang lain dengan harapan dapat mentakwilkan mimpi tersebut. Namun tiada seorang pun antara mereka yang dapat berbuat demikian.

Mendengarkan hasrat raja yang amat memerlukan takwilan mimpi tersebut, barulah teman penjara Yusuf yang dibebaskan teringat akan pesanan Yusuf as. Sebelum ini, Yusuf as berpesan supaya mengkhabarkan akan kebolehannya mentakwil mimpi kepada raja tatkala dibebaskan. Namun dia terlupa untuk berbuat demikian setelah bertahun-tahun dibebaskan. Jesteru, dia pun mengadap raja lalu menceritakan akan mukjizat yang ada pada Yusuf as.

Setelah Yusuf dibawa mengadap dan diceritakan akan mimpi raja tersebut, dengan izin Allah, Yusuf as mentakwilkannya:

Mimpi Raja = Melihat 7 ekor lembu betina yang gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu betina yang kurus, tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai lainya yang kering.

Takwilan Yusuf as = Agar kamu bercucuk tanam 7 tahun berturut-turut sebagaimana biasa, kemudian apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian, setelah itu akan datang 7 tahun yang sangat sulit (kemarau), yang menghabiskan makanan yang kamu sediakan untuk menghadapinya, kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan untuk dijadikan benih. Setelah itu akan datang tahun di mana manusia diberi hujan dengan cukup dan pada masa itu mereka memerah anggur, zaitun dan sebagainya.

Setelah Raja berpuas hati dengan takwilan tersebut, maka Raja menitahkan agar Yusuf as dibebaskan. Namun saudara, keputusan tersebut dibantah Yusuf as kerana beliau mahu namanya dibersihkan terlebih dahulu sebelum dibebaskan. Bantahan tersebut diterima baik oleh Raja dan memanggil beberapa saksi termasuk isteri Aziz sendiri untuk memberi keterangan. Pada ketika itulah saudara, isteri Aziz dengan sukarela dan insaf mengakui kesalahanya.

Oleh kerana Yusuf as merupakan seorang yang bijak dan berpengetahuan, maka Raja menawarkan Yusuf as supaya menyertai kabinet kerajaannya. Tawaran itu diterima oleh Yusuf as;

“Yusuf berkata: Jadikanlah aku bendahara negeri kerana sesungguhnya aku adalah orang yang pandai mengurus dan berpengetahuan” (surah Yusuf 12:55)

Berdasarkan Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, ayat ini saudara menjadi dalil tentang harus seseorang itu meminta sesuatu jawatan jika orang itu benar dan sanggup menjalankan keadilan dan hukum-hukum syara’. Demikianlah saudara sebuah perjalanan Yusuf as daripada seorang rakyat biasa yang difitnah dan diaibkan kepada seorang pemimpin yang disegani dan dihormati.

Apa yang aku mahu kongsikan di sini saudara adalah berkenaan dengan beberapa contoh kebaikan dan kebajikan Yusuf as sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran. Kita melihat bagaimana Yusuf as tidak keberatan untuk memanfaatkan kelebihan yang Allah taala anugerahkan dalam mentakwil mimpi teman penjaranya. Bukan sekadar itu, Yusuf as juga berkongsi nasihat dan peringatan (tazkirah) tentang kehambaan dan keimanan kepada Allah taala.

Yusuf as yang memiliki kebijaksanaan dan pengetahuan dalam mengurus ekonomi seperti mana yang diilhamkan oleh Allah, menawarkan dirinya untuk mengurus kewangan dan ekonomi negara pada waktu itu supaya keadilan dan kebajikan kepada rakyat yang dipimpin dapat dilaksanakan dan dijayakan. Inilah saudara antara contoh bagaimana Al-Quran mendidik umatnya untuk bersikap baik dan berkebajikan yang bersandarkan kepada keimanan dan keyakinan yang jitu kepada Allah.

“Bertolong-tolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan jangan bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaNya. (surah al-Maidah 5:2)

Kata Kita Hampas?

Amboi, mentang-mentang kita tidak dapat peluang belajar ke luar negara, sesedap mulut kata kita semua pelajar dan mahasiswa dalam negara ini sebagai hampas. Setahu aku saudara, semua mahasiswa yang sedang mengikuti pengajian di universiti dalam negara adalah mereka yang cemerlang SPM, STPM atau Matrikulasinya sebelum ditapis masuk mengikuti pengajian dalam negara.

Hendak belajar ke luar negara, kerajaan sudah tetapkan jumlah biasiswa yang ditawarkan. Maka, tidak semua yang cemerlang dari sistem pendidikan negara kita ini berpeluang untuk ke luar negara. Aku pun pernah dapat tawaran JPA untuk melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di luar negara, namun mungkin tiada rezeki, sehari sebelum hari temuduga, baru aku tahu yang aku dipanggil untuk temuduga. Masa itu aku ingatkan JPA akan utuskan surat ke rumah, rupa-rupanya mereka hanya maklumkan melalui online.

Ringkas cerita saudara, temuduga tidak dapat dihadiri dek kerana banyak dokumen yang belum sempat disiapkan. Tapi tidak apalah, mungkin rezeki Allah hendak bagi untuk ke matrukulasi dan aku terima dengan lapang dada. Walaubagaimanapun, pelajar-pelajar Malaysia yang terlalu ingin ke luar negara masih boleh berbuat demikian dengan syarat ada dana atau duit dari FaMa (Father & Mama). Dapat beberapa A dalam SPM pun masih boleh buat Medik, Farmasi, Pergigian dengan syarat mampu bayar kepada agensi swasta yang mengurus pengajian ke luar negara.

Kalau yang diterima masuk ke IPTA tempatan dianggap hampas, ada dua kemungkinan saudara. Pertama, kerana kelulusannya dari sistem pendidikan yang hampas dan kedua, kerana universiti yang menerimanya juga adalah universiti yang hampas. Mana-mana pelajar yang ingin melanjutkan pengajian diploma dan ijazah dalam negara akan dinilai berdasarkan pretasi akademik dan kokurikulum yang cemerlang. Jika yang cemerlang ini dikira hampas, bukan salah pelajar, tetapi sistem yang melahirkan merekalah yang hampas. Pelajar yang hampas tidak akan dikutip oleh universiti yang terbilang melainkan dipungut oleh universiti yang hampas. Hampaskah universiti kita?

Bagi aku saudara, bila kita bicara soal kecemerlangan, adalah tidak wajar menilai pada juzuk yang sempit. Kita harus terbuka dalam penilaian kecemerlangan seseorang. Bukan bermakna apabila tidak berpeluang belajar ke luar negara, maka akan dicop sebagai hampas atau ‘second-class student’. Ini tidak adil sama sekali. Seharusnya, pelajar-pelajar yang berjaya ke IPTA tempatan diperkuatkan dan dibangunkan potensi mereka supaya dapat meneruskan kecemerlangan. Kalau benarlah mahasiswa ini hanyalah hampas, maka menjadi kewajipan IPTA dalam negara mengubah persepsi ini dengan melahirkan produk-produk modal insan yang berkualiti yang akan menyumbang terhadap kelangsungan pembangunan negara.

Saudara, potensi diri akan dapat dibangunkan apabila kita terlibat secara langsung dalam proses yang membangunkannya. Tetapi, seandainya proses itu ditinggalkan dengan pelbagai sekatan dan karenah, maka pembangunan potensi itu umpama jauh api dari panggang. Universiti yang terbaik adalah universiti yang memberi ruang yang baik kepada mahasiswanya untuk terlibat secara proaktif bagi menentukan hala tuju dan momentum yang sesuai bagi mengangkat martabat dan imej universiti yang seterusnya membangunkan potensi mereka.

Sebagai contoh saudara, mahasiswa yang ada potensi sebagai penganalisis ekonomi, jangan dicop sebagai alat kepada pembangkang apabila mereka cuba berbahas tentang kebobrokan ekonomi negara. Mahasiswa yang berpotensi menjadi peguam yang hebat, pastikan mereka berani mengulas tentang ISA, AUKU dan sebagainya sebagai kelompok independen. Mahasiswa belajar tentang keusahawanan, benarkan mereka berurus niaga, namun realitinya ada kolej kediaman yang melarang sebarang bentuk jual-beli dijalankan. Sebilangan mahasiswa berpotensi menjadi pendakwah yang disegani, beri ruang dan peluang mereka memberi pandangan berasaskan apa yang mereka belajar. Ada mahasiswa yang punyai potensi menjadi penyelidik yang inovatif, sediakan peluang yang wajar kepada mereka untuk terlibat dalam penyelidikan universiti. Mahasiswa yang ada idea, izinkan mereka lontarkan idea-idea baik tersebut untuk membangunkan ummah. Mahasiswa ada yang berpotensi menjadi ahli politik yang dihormati, bebaskan mereka daripada disekat penglibatannya sebagai meraikan demokrasi negaranya.

Ada orang tidak bersetuju seandainya mahasiswa dibenarkan berpolitik. Katanya, akan menjejaskan pelajaran. Kalau begitu saudara, mahasiswa juga dilarang berhibur dan bersosial kerana bukan sedikit antara mereka yang terjejas pelajarannya kerana aktif berhibur, bersosial dan bermaksiat. Barangkali bagi aku yang beraliran sains bioteknologi ini mungkin tidak sesuai untuk berpolitik, kerana bagi aku sekadar ambil tahu hal politik itupun sudah memadai. Tetapi bagaimana dengan mereka yang belajar sains politik dan sains sosial dalam kuliahnya, masih tidak boleh terlibatkah dengan politik?

Janganlah kiranya ke semua sekatan, ugutan dan tindakan dikenakan sesuka hati semata-mata kerana mahasiswa dalam negara adalah hampas atau second-class. Sebenarnya, Allah taala menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan berbanding makhluk lain. Firman Allah yang bermaksud;

“Sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya” (surah at-Tin 95:4)

Allah menjadikan kita berakal dan mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Semua manusia memiliki kepandaian, dan kepandaian itu berbeza antara satu sama lain. Apa tujuan perbezaan tersebut saudara? Supaya manusia dapat hidup bermasyarakat yang saling memerlukan antara satu sama lain. Sama ada belajar di luar atau dalam negara, masing-masing punyai tanggugjawab bagi mengisi kerangka kemerdekaan yang ada dengan syarat, mahasiswa dan rakyatnya dialukan untuk sama-sama diberi peranan membuat keputusan.