Nasib Hang Nadim

Kita akan menyaksikan pertembungan dua buah pasukan dari dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura dalam perlawanan bola sepak pusingan kedua untuk kelayakan ke Piala Dunia. Pasukan mana yang bakal mara ke peringkat seterusnya atau tersungkur perjalanannya hanya setakat ini belum lagi dapat dipastikan tatkala melihat pasukan Harimau Malaya dan ‘The Lion’ masing-masing sama handal dan memiliki kelebihan yang tersendiri. Apa pun saudara, bola itu bulat. Sama-samalah kita tunggu dan lihat keputusannya nanti. Harap-harap tuah berpihak kepada pasukan kita, Malaysia.

Perlawanan pertama antara dua pasukan ini akan berlangsung di Singapura. Singapura atau dahulunya dikenali dengan nama Temasik adalah merupakan negara jiran kita yang hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau. Singapura atau Temasik jika dirujuk pada sejarah adalah sebahagian daripada negara kita asalnya, tetapi dikeluarkan daripada Persekutuan Malaysia berikutan perbezaan ideologi antara kerajaan pusat di Kuala Lumpur dan kerajaan negeri di Singapura.

Di sini aku bukan bertujuan untuk membincangkan isu yang pernah berlaku itu, tetapi ingin mengungkap suatu kisah yang pernah berlaku di Temasik pada zaman dahulu kala. Perkataan Temasik berasal daripada perkataan jawa yang membawa makna Bandar Laut. Disebut dalam sejarah Melayu, Temasik dahulunya pernah diperintah oleh raja Melayu yang mengamalkan sistem feudal yang melampau. Ini dapat dilihat melalui sikap dan perlakuan golongan feudal elit pimpinan Melayu terhadap orang-orang bawahannya. Sebagai contoh dalam kisah Temasik dilanggar todak. Tidak terjangkau dalam benak fikiran kita saudara, bagaimana seorang anak muda yang cerdik dihukum oleh penguasa kerana kecerdikan dan kepintarannya sendiri.

Setelah Temasik diserang todak, atas nasihat pembesar negeri, Paduka Seri Maharaja menitahkan supaya benteng betis dibina di sepanjang pantai yang terdiri daripada rakyat jelata. Ianya bertujuan supaya ikan-ikan todak yang menyerang akan mati di tepi pantai. Namun sebaliknya berlaku, ramai rakyat jelata yang dijadikan sebagai benteng itu pula yang terkorban. Peristiwa itu diperhatikan secara dekat oleh seorang anak muda yang dikenali dengan nama Hang Nadim. Dia memberi cadangan supaya benteng manusia itu digantikan dengan benteng daripada batang pokok pisang. Ternyata saudara, cadangan bernasnya membuahkan hasil apabila berjaya mengekang serangan ikan-ikan todak tanpa menumpahkan darah sesiapa.

Hal ini sampai pada pengetahuan pihak pembesar negeri. Kelompok elit ini yang mengelilingi Paduka Seri Maharaja berjaya menyakinkan raja supaya berasa curiga dengan kepintaran Hang Nadim (barangkali boleh menggugat keselamatan kerajaan suatu hari nanti). Apa yang berlaku saudara selepas itu, Hang Nadim dihukum bunuh di atas kesalahan mempersoalkan ‘kebijaksanaan’ Paduka Seri Maharaja. Kita sebagai orang Melayu dan Muslim yang kebiasaannya dididik dan diasuh dengan nilai moral dan akhlak yakin dan percaya  bahawa sebenarnya ada dalam kalangan cerdik pandai Melayu yang hidup pada zaman itu tidak menyetujui tindakan bodoh Paduka Seri Maharaja dan para pembesarnya. Persoalannya saudara, mengapa mereka hanya berdiam diri? Apakah mereka tidak tahu prinsip orang Melayu yang menyatakan:

“Raja adil, raja disembah (taat),

Raja zalim, raja disanggah”

Atau barangkali mereka berdiam diri kerana takut untuk mereka diapa-apakan oleh penguasa dan lebih cenderung untuk berada dalam lingkungan zon selesa biarpun hati budi mereka perit melihat kezaliman dan kebobrokan yang berlaku di depan mata. Atau mungkin juga mereka tidak sanggup dilabelkan sebagai golongan yang tidak mengenang budi atau tidak tahu bersyukur setelah kemakmuran telah dikecapi sekian lama.

Kalau itulah sikapnya saudara, maka Nabi Musa as juga adalah contoh manusia yang tidak mengenang budi setelah apa yang telah beliau nikmati selama ini. Sudah pasti bagi kita yang mengikuti dan memahami susur galur perjuangan dakwah dan reformis seperti Nabi Musa as tidak akan melabelkan sedemikian rupa. Hal ini dirakamkan dalam Al-Quran tentang bagaimana tanggapan penguasa diktator pada zaman itu kepada Musa as;

“Dan (Firaun) menjawab; ‘Bukankah kami telah mengasuhmu dalam lingkungan (keluarga) kami, waktu engkau masih kanak-kanak dan engkau tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu. Dan engkau (Musa) telah melakukan perbuatan yang telah engkau lakukan dan engkau termasuk orang yang tidak tahu berterima kasih’. (Surah asy-Syu’ara’ 26:18-19)

Di dalam Tafsir Ibnu Kathir dijelaskan bahawa, perjuangan Nabi Musa as bukanlah sebagai tanda tidak menghargai atau tak mengenang budi jasa Firaun yang telah membesarkannya, tetapi perjuangan Nabi Musa as tidak lain tidak bukan hanyalah menyampaikan kebenaran bagi menyelamatkan Firaun dan keluarganya serta Bani Israel seluruhnya seperti mana diperintahkan oleh Allah swt.

Apa yang nyata saudara, tindakan untuk mengutarakan pandangan atau kritikan yang baik apatah lagi jika ianya datang dari kalangan ilmuan dan intelektual yang kritis, sugguhpun pandangan itu mungkin tidak sealiran dengan penguasa, janganlah dianggap sebagai perbuatan yang tidak mengenang budi. Sebaliknya lihatlah pada penghujahan yang dilontarkan itu yang mungkin lahir dari keluhuran budi yang mahu melihat kebenaran dan keadilan ditegakkan.

Jika pandangan baik dan bernas tidak diendahkan bahkan diugut pula untuk dikenakan tindakan tatatertib ataupun digertak untuk dilucut jawatan atau ditarik biasiswanya. Maka apa bezanya nasib golongan intelektual termasuk kelompok mahasiswa dengan nasib yang menimpa Hang Nadim. Saudara, berpatah balik untuk melihat sejarah adalah untuk mengambil pengajaran dan pengiktibarannya, bukannya untuk mengulangi kebobrokan yang pernah menghantui perjalanan bangsa ini.

2 Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s