Cerita Dari Hutan

Tersebut suatu kisah, ada seekor monyet berkeliaran keseorangan di dalam hutan. Dia bergayut ke sana ke mari mencari makanan bagi mengisi perutnya yang kosong. Kelaparan sudah menyelubungi dirinya. Termasuk hari ini, sudah empat hari dia tidak menjamah apa-apa makanan. Sepanjang hidupnya sebelum ini, dia tidak pernah merasa lapar seperti yang dialaminya sekarang.

“Di mana lagi aku mahu mencari makanan?” bisik hatinya.

Dahulu kawasan hutan yang menjadi rumah kediamannya ini luas dan cukup indah sekali. Dia masih ingat cerita ibunya yang selalu mengambarkan akan kehebatan nenek moyang mereka yang mula-mula mendiami hutan tebal ini melalui satu dokumen persetujuan. Persetujuan itu dimeterai antara suku kaumnya dengan suku kaum yang lain yang sebelum itu saling berbalah sehingga ada yang terkorban berebut tanah dan kawasan. Maka, hasil persetujuan itu membolehkan persempadanan semula dilakukan yang mana kawasan hutan yang didiaminya kini diserahkan kepada suku kaumnya manakala kawasan hutan disebelah hulu sana adalah wilayah bagi kaum yang satu lagi.

Semenjak daripada itu saudara, kedamaian dan keamanan dapat dikecapi oleh mereka. Tiada lagi perbalahan, tiada lagi pertumpahan darah antara dua suku kaum tersebut. Namun, masa dan zaman berubah. Hutan warisan nenek moyang mereka ini juga kian berubah keadaanya. Pernah suatu hari seorang Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Hutan-Hutan Persekutuan (JKHHP) di hutannya berpidato;

“Inilah nasib bangsa kita. Rezab kawasan kita kian mengecil dari tahun ke tahun atas nama pembangunan. Apakah kita mahu berdiam diri? Tidak, sekali-kali tidak. Ayuh, mari kita bangkit bersama, pertahankan tanah pusaka warisan ini. Untuk itu tuan-tuan, dalam pemilihan kali ini, if you help me, I will help you,” ujar ketua hutannya itu diiringi tepukan yang gemuruh.

Tetapi, semangat hanya tinggal semangat. Tidak lama selepas itu, ketua hutan dan ajk-ajknya yang sepatutnya menjaga amanah hutan warisan itu lari entah ke mana. Mereka lari bukan hanya membawa diri sahaja, tetapi habis semua stok makanan yang disimpan turut dibawa lari bersama anak-anak dan isteri-isteri mereka.

“Menyesal aku pilih mereka itu jadi pemimpin. Cakap nak bela bangsalah, nak pertahankan pusaka warisanlah. Semuanya tahu cakap sahaja. Buatnya tidak. Hampeh!,” keluh monyet sendirian tatkala mengenang kisah malang tersebut.

Dia masih lagi dengan sepenuh kudratnya berikhtiar mencari sesuap buah-buahan. Kalau tidak boleh banyak pun, dapat sedikit cukuplah. Yang penting, dia dapat menjamah makanan untuk meneruskan hidupnya yang kian sukar dan payah. Dengan izin Allah saudara, dia terjumpa suatu kawasan kebun buah-buahan yang sedang ranum di pinggir hutan warisan tersebut.

“Ya Tuhan, banyaknya pokok buahan di sini,” bisik hatinya kegirangan.

Walaubagaimanapun, kebun ini telah dipagar ketat. Pagar itu bukan pagar biasa, tetapi pagar elektrik yang kalau tersentuh, pasti renjatannya membawa maut. Oleh kerana dia terlalu ingin hendak masuk ke dalam kebun buahan tersebut, maka dia pusing mengelilingi kebun yang berkeluasan kira-kira tiga ekar setengah itu untuk mencari mana-mana lubang rahsia disebalik pagar yang terpacak kukuh. Usahanya tidak sia-sia. Ada satu lubang yang saiznya muat-muat untuk dirinya meloloskan masuk ke dalam. Tiada lagi kata-kata yang mampu terungkap. Yang ada di hadapan matanya sekarang adalah rezeki yang rugi jika tidak dimanfaatkan. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud;

“Dan berapa banyak haiwan yang tidak dapat mengurus rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui,” (surah al-Ankabut 29:60)

Rambutan anak sekolah, nangka madu, mangga harum manis, betik eksotika, durian D24, dokong kering dan bermacam-macam lagi buahan tempatan yang cukup mengiurkan dimakannya tanpa henti. Perut yang tadinya kempis, kini kian membujur ke hadapan seperti orang mengandung. Lama juga dia berseronok makan di dalam kebun itu. Tanpa disedari, rupanya sudah seminggu dia berada di situ. Terdetik di dalam hatinya kalau-kalau tuan punya kebun ini datang, nahaslah dia dikerjakan manusia yang cukup pantang melihat kelibat kaumnya di kebun-kebun seumpama ini. Jadi, sebelum apa-apa berlaku, baik dia bertindak keluar terlebih dahulu melalui lubang di mana dia mula-mula masuk.

Dek kerana perutnya yang membesar, dia tersekat di tengah-tengah. Maka, jika dia mahu keluar dengan selamat, dia perlu terlebih dahulu mengempiskan perutnya seperti dahulu. Dia pun berdiet, bersenam dan berpuasa selama beberapa hari sehinggalah perutnya kempis. Dicubanya meloloskan diri melalui lubang tersebut, ternyata dia lepas. Kelihatan dari jauh, seorang manusia sedang membuka kunci pagar utama kebun di hujung sana. Dia cepat-cepat melarikan diri dan di saat itu juga, perutnya mula merasa lapar.

Demikianlah saudara suatu kisah monyet yang bermula dengan lapar, kemudian kenyang dan setelah itu lapar semula. Memang itulah monyet. Mereka tidak seperti kita manusia. Hidup mereka hanya untuk itu. Adakah kita manusia yang dihidupkan di atas dunia ini pun perlu begitu? Tidak, kita makan, minum dan tidur hanyalah sebagai keperluan yang sememangnya dijamin Allah untuk kita membina keupayaan bagi melunaskan amanah sebagai manusia.

Kepentingan dunia yang kita miliki hari ini bolehlah diibaratkan seperti kebun bagi monyet tersebut. Walaupun monyet mampu menikmati kesemua buah dalam kebun tersebut, namun bila dia terpaksa keluar dari situ, dia perlu kembali seperti asalnya. Ternyatalah kepentingan isi kebun itu bagi monyet hanyalah sementara. Ia tidak kekal. Sama-samalah kita renungkan.      

Takwa: Mahu Tips?

Tips atau petua selalunya diinginkan manusia untuk melakukan sesuatu perkara dengan kaedah yang paling baik dan seterusnya bagi mendapat hasil yang terbaik. Jika dalam masak-memasak, sudah tentu kita perlukan beberapa tips bagi melazatkan masakan yang dibuat. Jika kita belajar sesuatu, kita perlukan sedikit tips bagi mengingat dan menghafal pelajaran yang diajar agar lekat dalam kepala bukan.

Begitulah dengan hal-hal yang lain, pasti di sana terdapat tips atau petua tertentu yang sekiranya diketahui dan diamalkan, InsyaAllah natijahnya akan memuaskan hati kita. Secara amnya, tips atau petua biasanya diperolehi melalui ilmu dan pengalaman seseorang. Adapun mempercayai perkara tertentu yang kononnya akan menyebabkan sesuatu peristiwa berlaku, itu bukanlah tips, itu khurafat namanya. Salah satu dosa syirik yang tidak akan diampunkan Allah taala (contoh; pakai jersi kuning, Harimau Malaya akan kalah).

Di sini saudara, aku ingin berkongsi sedikit tentang tips yang pernah diwasiatkan oleh Saidina Ali Karamallahu wajhah untuk mencari takwa. Seperti mana yang kita ketahui, Saidina Ali merupakan salah seorang sahabat Rasulullah saw yang memiliki keluasan ilmu dan daya intelektual yang tinggi. Tatkala Saidina Ali ditanya tentang takwa, beliau menyatakan takwa adalah; 

al-khauf minal Jalil (Takut kepada Allah Maha Perkasa)

wal-amal bittanzil (Beramal dengan apa yang diturunkan Allah)

wal-isti’dad li yaumirrahil (bersedia menuju hari dia berangkat kepadaNya)

warridha bil qalil (redha dengan perkara yang sedikit)

Intipati takwa itu sendiri saudara merupakan hasil cetusan rasa takut kita kepada Allah taala. Sudah sewajarnya sifat bagi seorang hamba itu takut dan gerun kepada Tuhan yang menciptakan akan dirinya. Takut di sini bukanlah takut yang akan menjauhi daripadaNya tetapi takut yang semakin mendekati kepadaNya. Kita dekat dengan Allah taala tatkala kita takut untuk melakukan dosa dan kemungkaran yang dilarang seperti kita takut untuk fitnah dan mengumpat, takut untuk terima dan beri rasuah, takut untuk khianat dan menindas, takut untuk jual maruah dan bergaul bebas dan sebagainya.

Saudara, kita juga hampir kepada Allah apabila kita takut untuk tidak membawa bekal amal secukupnya sebelum umur kita diakhirkan. Amal secara umumnya terbahagi kepada dua; amal soleh dan amal maksiat. Yang akan membedakan antara amal itu soleh atau maksiat di sisi Allah, tidak lain tidak bukan, melalui seruan al-Quran dan as-Sunnah seperti mana yang diwahyu dan diilhamkan oleh Allah swt kepada baginda Rasulullah saw.

Ketaatan kita kepada Allah hanya akan dapat diwajahkan melalui ketaatan kita  kepada apa-apa hukum, nasihat mahupun peringatan yang datangnya daripada Allah biarpun perkara itu barangkali tidak dipandang atau disukai oleh manusia lain. Ketika ada manusia mabuk kerana arak dan dadah, berseronok berzina dan berfoya, sesuka hati meragut dan berbunuhan, kita sedayanya cuba menjauhi dan mencegahnya. Bukan sekadar itu, kita juga tetap setia dan komited untuk terus memelihara aurat, bermurah hati bersedekah, menyempurnakan solat 5 waktu, mengimarahkan masjid, bersama perjuangan Islam biarpun di luar sana ada manusia yang tidak peduli dan tidak senang dengan hal-hal beragama.

Islam yang hadir kepada kita hari ini saudara, merupakan satu cara hidup yang lengkap meliputi hal-hal keduniaan dan juga akhirat. Ketika di dunia, Islam akan membimbing kita untuk memilih kebenaran daripada kebatilan. Di akhirat pula, Islamlah yang membawa kita ke syurga bukannya agama, ideologi atau sistem hidup kufur yang lain. Tanyalah sesiapapun di dunia hari ini hatta kepada ahli maksiat sekalipun, pasti mereka mahu ke syurga. Dengan itu, kita harus senantiasa bermuhasabah, sudah memadaikah persediaan yang kita buat selama ini. Apakah kita sudi membiasakan diri berada di majlis-majlis ilmu (yang disebut sebagai taman-taman syurga di dunia) sebelum kita dipersilakan masuk secara rasmi ke dalam syurga di akhirat nanti?

Seperti mana yang saudara ketahui, Islam mempersiapkan jiwa kita untuk bersederhana dalam hidup. Maka, sederhanakanlah diri kita dengan tidak cuai dalam beragama dan tidak pula melampau untuk beragama. Dunia perlu dinikmati sewajarnya dengan pertimbangan akhirat. Selalulah untuk berasa redha dengan nikmat dunia dan kelebihan yang Allah taala kurniakan. Kalau perlu untuk berusaha, berusahalah kerana rezeki itu Allah taala yang menentukan. Jika berjaya, ianya disyukuri, jika gagal sekalipun, terimalah dengan redha.

Demikianlah antara tips yang boleh kita sama-sama fahami dan seterusnya menanam iltizam untuk direalisasikan dalam kehidupan. Mudahan saudara, kita diberikan taufiq dan hidayah dalam usaha memperbaiki mutu amal dan kerja kita dari hari demi hari. Amin. 

Kami dengar..Kami taat..

Kebiasaannya surau di tempat aku akan mengadakan satu slot khas tazkirah ditengah-tengah solat sunat terawih. Tazkirah diisi sebagai slot program pengimarahan Ramadhan memandangkan solat terawih di sini hanya 8 rakaat sahaja di samping solat sunat witir 3 rakaat. Seingat aku, slot tazkirah sudah lama dijalankan (masa zaman aku sekolah lagi) yang pada aku, tazkirah seumpama itu dilihat sebagai suatu strategi untuk mengajak para jemaah yang ramai berbanding hari-hari biasa mendengar sejenak perkongsian ilmu yang disampaikan oleh mereka yang bukan calang-calang orangnya.

Ketika wujud suatu pekeliling dari jabatan agama negeri yang meng”haram”kan tazkirah di bulan Ramadhan, pihak pengurusan surau tempat aku di sini sedikit pun tidak mengendahkan larangan tersebut. Tazkirah tetap dijalankan tiap-tiap malam. Segala ulama, ustaz dan professional muslim dijemput bagi mengisi slot tersebut. Alhamdulillah saudara, sambutan terhadapnya amat menggalakan (tidak ramai yang angkat kaki meninggalkan surau) sehinggalah ke hari ini.

Pelbagai kupasan dan perbahasan dapat didengar dan diteliti. Kesemuanya berkisarkan tentang penghayatan terhadap pengibadahan puasa dan ibadah sunnah yang lain di sepanjang bulan Ramadhan. Sudah pasti saudara, setiap yang disampaikan itu akan dikaitkan secara langsung dengan kehidupan yang sedang kita harungi hari ini. Nama pun agama ISLAM, kalau tidak dikaitkan dengan kehidupan seharian, apa gunanya agama yang didambakan sebagai panduan atau rujukan dalam hidup sebagai hamba Allah.

Kehidupan sebagai hamba Allah tidak terhad dalam aspek kerohanian atau spiritual semata (solat, zakat, puasa, haji, zikir, doa) tetapi ia perlu mencakupi seluruh aspek lain dalam sisi kehidupan kita (ekonomi, politik, pendidikan, sosial). Ini jelas dinyatakan oleh Allah swt yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah (amalkan) agama Islam itu keseluruhannya. Jangan kamu ikut jejak langkah (sikap & perbuatan) syaitan. Sungguh, ia musuh kamu yang nyata” (surah al-Baqarah 2:208)

Bagi kita sebagai orang awam yang masih kekurangan dalam ilmu-ilmu agama, maka amat perlu untuk kita bersikap terbuka terhadap isi-isi dan kupasan tazkirah yang disampaikan selagi mana ianya masih bersandarkan kepada nas Al-Quran dan Hadith. Mungkin ada kalanya ia mungkin menyinggung kita atau pihak lain, tidak apalah, anggap ianya sebagai pengetahuan, pengiktibaran dan peluang untuk kita bermuhasabah. Itu sebabnya program ini dinamakan tazkirah yang membawa maksud peringatan. Kalau kita sampai ke tahap mahu bermuhasabah, maknanya berkesanlah peringatan yang disampaikan itu.

Beberapa malam yang lalu, aku agak tertarik dengan kupasan yang disampaikan oleh seorang ustaz dari Pahang. Beliau mengutarakan satu pandangan berkenaan dengan falsafah di sebalik pengibadahan puasa ini. Secara ringkasnya saudara, aku nyatakan di sini antara isi kandungan pandangan dan kupasan tersebut.

“Dan mereka berkata: Kami dengar dan kami taat. Ampunilah kami wahai Tuhan kami, dan kepada Mu tempat (kami) kembali” (surah al-Baqarah 2:285)

Ini adalah prinsip umat Islam bila menerima perintah dari Allah dan Rasul. Ketika kita menerima perintah untuk berpuasa selama sebulan di bulan Ramadhan. Maka, tanpa banyak soal, kita sebagai muslim taat dan patuh untuk berpuasa. Prinsip ini tidak sama dengan Yahudi, mereka dengan jelas berpendirian ‘kami dengar, tapi kami ingkar’. Sebab itu, walaupun ada ayat-ayat di dalam Taurat yang menceritakan tentang kenabian Rasulullah saw, tetapi mereka tetap menolak berita kenabian tersebut sedangkan mereka memahami benar ciri-ciri kenabian yang disebutkan itu.

Sebagai muslim, kita tidak wajar mempersoalkan apa-apa perintah dan larangan yang datangnya dari Allah. Kalau disuruh puasa, puasalah kita. Kalau dikatanya halal, maka halallah tapi kalau dah tetap haram, maka pusing macam mana pun, tetap haram. Puasa yang kita jalani hari ini adalah latihan pengukuhan ketaatan kita kepada Allah yang bukan sekadar pada ayat puasa sahaja, tetapi pada seluruh ayat dalam Quran dan Hadith untuk kita imani dan taati.

Tetapi saudara, keadaan ini agak berbeza bila dilihat kepada realiti umat pada hari ini. Ada sebahagian mereka secara terang-terangan mempersoalkan perintah dan hukum Allah. Ada sahaja yang tidak kena. Yang peliknya, tatkala perintah atau hukum itu datangnya dari manusia yang berkuasa, tidak berani pula mereka mempersoalkannya. Ketidakjelasan dalam beragama menyebabkan mereka tidak nampak kesempurnaan hukum dan perintah Allah berbanding hukum dan perintah manusia yang belum tentu sempurna. Yang sebenarnya, tiada ketaatan yang mutlak kepada manusia sekalipun manusia itu bergelar raja, menteri, ustaz dan sebagainya. Ketaatan kepada manusia akan terpakai tatkala suruhan dan perintah tersebut menepati kerangka syariat yang begitu luas dimensinya.

Di samping itu saudara, ibadah puasa juga hendak mengajar kita untuk percaya dan yakin dengan Allah. Barangkali ada sebahagian manusia terfikir apakah mampu untuk seseorang menahan tanpa makan dan minum kira-kira lebih 12 jam setiap hari? Logik akal manusia pasti dengan mudah menolaknya. Walaubagaimanapun, ilmu semakin berkembang seiring dengan zaman. Ternyata hikmah dalam puasa itu sendiri telah menjawabnya. Bukankah sudah banyak penyelidikan yang telah dijalankan di dunia moden hari ini akan kebaikan berpuasa daripada perspektif kesihatan. Lebih banyak manfaatnya daripada kemudharatan.

Jelaslah saudara, apabila Allah perintahkan puasa, kita sebenarnya hendak dilatih untuk percayakan Allah bahawa tidak mustahil ianya mampu dilakukan. Maka, dengan isu yang sama. Jika ada hukum dan pengkhabaran dari Allah selain daripada ayat kewajipan puasa, tidak yakinkah kita bahawa ianya juga mampu dilaksanakan suatu hari nanti dengan penuh hikmah? Rasanya cukuplah sekadar itu saudara perkongsian kali ini. Diharapkan semua daripada kita benar-benar memahami dan menjawab persoalan “kerana apa aku berpuasa?” Mudahan juga, ibadah puasa kita tahun ini tidak hanya setakat ulangan pengalaman berlapar dan dahaga di siang hari.