Hidup Dalam Berkebajikan

“Bertolonglah pada perkara kebajikan dan ketakwaan, Janganlah bertolongan pada perkara kedosaan dan permusuhan,” (Surah al-Maidah 5:2)

Sepotong ayat yang mudah untuk difahami. Allah taala menyuruh kita hamba-hambanya supaya bertolongan dan berpakat dalam hal kebajikan dan ketakwaan di samping itu menyuruh kita untuk jangan berkerjasama untuk perkara-perkara kedosaan dan permusuhan.

Berkenaan dengan ayat ini saudara, di dalam Tafsir Ibnu Kathir, dikemukakan sebuah hadith riwayat Imam Ahmad daripada Anas Bin Malik yang berkata Rasulullah saw pernah bersabda:

“Bantulah saudaramu sama ada dia berbuat zalim atau  menjadi mangsa kezaliman”

Mendengarkan sabda Nabi saw tersebut, maka para sahabat bertanya;

“Wahai Rasulullah, kami faham tentang membantu mereka yang menjadi mangsa kezaliman, tetapi bagaimana pula dengan membantu mereka yang zalim?”

Lalu Rasulullah saw bersabda:

“Cegah dan hentikan dia daripada melakukan kezaliman, inilah yang dimaksudkan sebagai membantunya,”

Begitu besar maknanya hadith ini kepada kita saudara. Mungkin kita tahu apa yang perlu kita lakukan seandainya ada keluarga kita, sahabat andai kita atau saudara seislam kita yang dizalimi dan ditindas. Tetapi bagaimana seandainya ada keluarga kita, sahabat kita atau saudara seislam kita pula yang berbuat zalim dan penindasan. Apakah reaksi kita?

Adakah kita hendak marah-marah kepadanya. Hendak tengking dengan suara tinggi. Hendak boikot atau duduk diam buat tak tahu sahaja. Rasulullah saw memberi kita jawapannya iaitu dengan bantu dan tolong dia untuk dia berhenti dan tercegah daripada berterusan menzalimi. Barangkali kita nasihatkan mereka. Kalau mereka pemimpin dan kita rakyat, mungkin kita kritik mereka secara berhemah. Tetapi kalau tidak terkesan juga, hilang dan jatuhkan kuasanya yang menjadi penyebab mereka berbuat zalim. Ini caranya kita bantu mereka.

Itu salah satu bentuk bantuan atau pertolongan yang boleh kita hulurkan. Selain itu, kalau kita perhati dan hayati agama yang kita yakini dan percaya ini, sebenarnya banyak bentuk-bentuk kebaikan dan kebajikan lain yang diajurkan di dalam Islam sama ada kita sedar ataupun tidak. Daripada Abu Hurairah ra, ia berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Setiap ruas tulang manusia harus disedekahi setiap hari selagi matahari masih terbit, mendamaikan dua orang berselisihan adalah sedekah, menolong orang sehingga dia dapat menaiki kenderaan atau mengangkat barangan bawaan ke atas kenderaannya adalah sedekah, kata-kata yang baik adalah sedekah, setiap kaki yang engkau langkah menuju ke masjid adalah sedekah, dan menghilangkan sesuatu yang menghalangi jalan juga adalah sedekah” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rupa-rupanya saudara, konsep berkebajikan dan bersedekah ini cukup luas di dalam ajaran Islam. Ia bukan sahaja bersifat material semata-mata seperti difahami kebanyakan orang, malah mencakupi seluruh kebaikan dalam bentuk perbuatan dan perkataan tertentu yang boleh membantu dan memudahkan orang lain yang dibantunya. Sabda Nabi saw lagi:

“Setiap muslim wajib bersedekah”. Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?”. Nabi saw menjawab; “Bekerja dengan kesungguhan untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu dia bersedekah,”. Mereka bertanya lagi; “Bagaimana kalau dia tidak mampu?”. Nabi saw menjawab; “Menolong orang yang sedang teraniaya,”.  Mereka bertanya lagi; “Bagaimana kalau dia tidak mampu?”. Nabi saw menjawab; “Menyuruh berbuat makruf,”. Mereka bertanya; “Bagaimana jika dia tidak melakukannya?”. Nabi saw menjawab; “Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hatta menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran juga dianggap sebagai salah satu bentuk sedekah dan berkebajikan. Beginilah konsep berkebajikan di dalam Islam selain daripada berzakat harta dan fitrah, berqurban ketika Raya AidilAdha, berakikah sebagai tanda kesyukuran mendapat nikmat anak, memberi orang makan sama ada untuk berbuka puasa atau tidak, menginfakan harta pada jalan yang diredhai Allah, yang sudah tentu saudara merupakan amal berkebajikan seseorang muslim kepada komuniti muslim yang lain.

Ajaran Islam seperti mana yang kita fahami mempunyai prinsip keadilannya yang tersendiri. Ia tidak semestinya membawa makna kesamarataan tetapi lebih cenderung untuk meletakkan sesuatu pada haknya, pada tempatnya. Sebab itu dalam hal untuk berharta, wujud keseimbangan antara hak individu dan juga tanggugjawab kepada orang lain, antara kepentingan diri dengan keperihatinan kita terhadap orang lain (altruism). Tidak salah berharta dan mencari harta tetapi dalam masa yang sama menyumbang bakti kepada orang lain sebagai tanggugjawab sosial dan perkara itu dalam masa yang sama dijanjikan ganjaran dan pahala oleh Allah swt. Maka daripada itu, ajaran Islam ini dengan sendiri membantu kita menolak sikap kekitaan (akuisme) dan kebakhilan di samping menyemai rasa kebersamaan, harmoni dan penyayang apatah lagi kebaktian kita itu demi kemaslahan ummah.  

Allah taala berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati,” (Surah al-Baqarah 2:274).

Dalam kehidupan seharian kita pula, banyak sebenarnya peluang kebaktian yang menanti kita untuk direbut bagi menghiasi hidup kita dengan makna berkebajikan. Adakalanya kipas dan lampu yang terpasang di waktu ketiadaan orang di dalamnya, kita tutupkan suisnya, kalau meletak kenderaan di tempat tumpuan umum, jangan parking sesuka hati sehingga menganggu pengguna lain, tandas selepas guna pastikan ia bersih semula untuk keselesaan pengguna lain, jika kita keseorangan memandu ke masjid ajaklah mereka yang berjalan kaki menumpang, tatkala di dalam lrt, jika ada orang tua, OKU yang berdiri berikanlah tempat duduk kepadanya, jika beratur janganlah sampai memotong barisan sehingga menggangu hak orang lain, kalau ada meminjam sesuatu, pastikan kita pulangkan semula sesegera mungkin, jangan terlibat dengan kerja-kerja sebaran fitnah yang berluasa dan banyak lagi kebaikan-kebaikan yang boleh dilakukan dalam apa jua keadaan dan situasi yang kita hadapi.

Mudahan saudara, amalan kita ini diterima oleh Allah azza wa jala sebagai amal soleh seperti mana yang dianjurkan. Penutupnya, jika konsep berkebajikan yang kita bincang di sini hanya melibatkan diri individu dengan komunitinya, bagaimana pula jika konsep yang sama di bawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk dilaksanakan. Mungkin ianya lebih menarik untuk diterokai dan direalisasikan.  

Seruan Di Mana-Mana

“Rasanya sudah lama tidak pergi berkelah, kalau boleh hujung minggu ni nak pergilah,” Adam bermonolog sendirian di dalam hati.

“Apa yang abang termenungkan tu? Dari tadi asyik termenung je,” tanya Maya, isteri Adam yang sedang menghidangkan juadah untuk bersarapan pagi.

“Takde apapun, cuma abang ingat nak ajak awak pergi berkelah. Yelah kita tak pernah lagi keluar berkelah kan,” bicara Adam sambil tersengih.

“Ha’ah, sejak daripada kahwin hari tu, ni la kali pertama saya dengar abang nak ajak berkelah,” kata Maya yang serta merta air mukanya kelihatan riang sekali.

“Hahaha..ni nasib baik saya terfikir tau” ketawa Adam. “ Saya nak bawa awak pergi ke tempat air terjun, nama tempat tu Lata Pepohon Hijau, tempat tu kawan saya cakap best,” terang Adam.

“Saya tak kisah kat mana pun, saya ikut je erm,” jawab Maya sambil tersenyum tanda setuju.

Demikianlah rancangan percutian sepasang suami isteri yang baru beberapa bulan berkahwin. Ketika bersarapan pagi itu, mereka berbincang apa keperluan yang hendak dibawa disamping menetapkan masa dan hari yang sesuai untuk menjayakan ‘dating’ mereka tersebut.

Pada hari yang dirancang, segala keperluan perkelahan dimasukan ke dalam bonet kereta. Sebelum memulakan perjalanan, Adam menadah tangan berdoa memohon supaya Allah swt memberkati perjalanan mereka berdua. Maya yang berada di sisi setia mengaminkan setiap bait-bait doa yang dilafazkan. Seusai berdoa, mereka pun bertolaklah ke tempat perkelahan tersebut yang memakan masa hampir 2 jam setengah itu.

Di dalam perjalanan, mereka singgah bersarapan di sebuah restoran yang cukup dikenali yang tidak jauh dari tempat mereka tinggal. Restoran Cahaya Bulan itulah namanya. Apa yang menarik perhatian mereka disitu ialah pada buku menunya. Menu makanan di situ tiadalah terlalu istimewa berbanding menu di restoran lain. Tetapi kata-kata di dalam menu itulah yang agak lain dengan mana-mana buku menu. Tertera pada muka hadapan buku itu frasa:

“Rezeki Datangnya Dari Allah. Berdoalah Tanda Anda Bersyukur”

Suatu ajakan yang cukup indah tatkala kita hendak menjamu selera. Mereka pun memesan makanan sebagai alas perut sebelum sampai ke tempat perkelahan. Seusai menjamu. Adam pergi ke kaunter untuk membayar makanan dan Akhbar Fikrah dibelinya untuk dibaca ketika berkelah nanti. Ada satu poster yang menarik perhatian Adam ditampal pada dinding di kaunter tersebut. Ada imej rokok dan imej peparu hitam dan tertera kata-kata yang cukup sinis tetapi begitu bermakna:

“Sehari RM10. Sebulan RM300. Alangkah Baiknya Jika Ini Sedekah Bulanan Anda!”

“OO..patutlah kedai ni tak jual rokok,” kata Adam di dalam hati.

“Semua sekali RM7.00 bang,” kata cashier yang tampak ayu mengenakan tudung ala-ala Heliza Helmi.

“Ok, ni duitnya. Cantik ye poster kat belakang tu,” bicara Adam sambil tersengih.

“Oh..tu kempen anti rokok bang..terima kasih..sila datang lagi ye,” jawab cashier sambil tersenyum.

Kemudian, Adam dan Maya meneruskan perjalanan mereka. Kenderaan tidaklah terlalu banyak pada pagi itu. Perjalanan mereka juga agak lancar dengan sekali sekala terpaksa memotong kenderaan berat di hadapan. Sampai di suatu persimpangan. Maya terlihat satu billboard yang jarang-jarang boleh dilihat. Selalunya Biliboard besar seperti itu biasanya bersifat komersial untuk pemasaran produk. Tetapi yang ini berlainan sama sekali. Pada billboard itu terdapat gambar beberapa personaliti yang tampak anggun dan cantik bertudung. Kelihatan di situ ada wajah Wardina, Irma Hasmie, Diana Amir dan Catriona Rose. Kemudian di bawahnya terdapat perkataan yang menyebut:

“Mereka Semua Sudahpun Bertudung, Bagaimana Dengan Anda?”

Melihat billboard itu. Maya tersenyum begitu juga Adam. “Harap-harap ada orang tersentuh hatinya bila tengok ni kan bang,” bicara lembut Maya. Adam hanya menganggukkan kepalanya. Adam memandu keretanya memasuki simpang ke sebelah kanan. Dari simpang ini ke kawasan perkelahan hanya 1 km sahaja. Setiba di kawasan perkelahan, Adam meletakkankan kenderaannya di kawasan parking yang disediakan. Mereka berdua kemudiannya berjalan masuk. Jauh-jauh terdengar derusan air terjun yang cukup menenangkan disamping bunyi unggas yang riuh sekali.

Mereka memilih untuk duduk di tepi sebatang pokok yang agak besar berhampiran dengan aliran air terjun disitu. Keadaan di situ cukup tenang dan bersih daripada pencemaran. Ramai juga keluarga-keluarga yang berkunjung ke situ. Terdapat juga anak-anak kecil sedang riang bermain air dengan diawasi oleh ibu bapa mereka. Air disini begitu jernih dan cetek. Maya menghamparkan tikar dan menghidangkan mihun goreng dan nugget yang dimasaknya selepas subuh tadi. Adam pula membelek-belek akhbar yang dibelinya tadi. Banyak isu-isu semasa diulas dengan adil dan telus. Non-partisan. Ditengah-tengah halaman akhbar itu terpampang satu amaran:  

“RASUAH & PENYELEWENGAN!

ALLAH MAHA TAHU & TAHU UNTUK MENGHUKUMNYA!”

Di sekeliling kata-kata amaran itu ditampilkan keratan-keratan akhbar yang berbunyi: “Ketirisan: Wang Rakyat Hilang RM28 Billion Setahun”, “Bil Utiliti Menteri Cecah RM10 Juta Setahun”, “Stadium RM 292 Juta Runtuh Setelah Setahun”, “Skandal PKFZ: Rugi RM12.5 Bilion”, “Projek Landasan Berkembar Kerugian RM1.14 Bilion: Ketua Audit”, dan “RM52 Bilion Saham Bumiputera Lesap”.

Maya menghulurkan sepinggan mihun goreng kepada suaminya, Adam sambil menanyakan berita-berita menarik yang boleh dikongsikan. Adam tidak keberatan untuk bercerita dan mereka berdua berbincang mesra sambil menjamu selera di situ. Tidak jauh daripada tempat mereka duduk berkelah, terdapat satu papan tanda yang tertulis:

“Sana-Sini Isu Buang Bayi. Jom Kita Ubah”

Di suatu sudut yang lain pula terdapat satu lagi papan tanda yang tertulis:

“Anda Bijak Jauhi Pergaulan Bebas”

Selesai makan. Adam dan Maya menuruni beberapa batu-batu besar berhampiran untuk membolehkan mereka mencelupkan kaki sambil menikmati pemandangan indah disekeliling mereka. Terasa cukup dingin air di situ. Mereka berdua juga tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan. Ternyata mereka cukup seronok sekali. Suatu pengalaman dan memori yang cukup indah biarpun perkelahan itu tidaklah seberapa.

Setelah berkemas bersama-sama. Mereka pun bertolak pulang. Kali ini Adam memilih untuk memandu di lebuhraya kerana jalan biasa yang dilalui tadi kebiasaanya sesak menjelang tengah hari dan petang apabila melalui beberapa pekan kecil. Adam mengambil keputusan untuk berhenti seketika di RnR untuk bersolat memandangkan waktu zohor telahpun masuk. Terdapat satu papan tanda yang menunjukkan kedudukan RnR hanya 500 meter dihadapan. Papan tanda itu bukan sahaja memaparkan symbol sudu-garfu, masjid dan pam minyak malah tertulis juga kata-kata seperti:

“Musafir Yang DiRedhai Allah adalah Musafir Yang Menjaga Solatnya”

Seusai bersolat, sambil menunggu isterinya Maya selesai bersolat dan bersiap. Adam duduk di sebuah wakaf berhampiran dengan keretanya. Tidak jauh daripada wakaf itu terdapat satu LCD besar yang mewar-warkan info-info tertentu berkaitan aliran trafik lebuhraya. Di samping itu, diselitkan juga satu video klip koperat syarikat konsensi lebuhraya tersebut sempena Hari Raya. Antara petikan video tersebut ialah:

Isteri: Best makanan kat rumah Mak Ngah tadi. Lepas ni bang kita ada 4 lagi open house, Rumah Pak Ali dah tak jauh dah hehe..

Suami: Ok lah, tapi awak control la makan tu hehe…

Isteri: Amboi, perli nampak. Saya tahu lah. Eh, abang! Bukan ke rumah Pak Ali masuk simpang kanan tu. Kenapa masuk kiri pulak.

Suami: Sibuk-sibuk pergi open house. Jangan lupa yang fardhu tau. Kita singgah masjid dulu deh.

Isteri: Yelah, dah masuk waktu pun. (Di dalam hati; “Bertuahnya dapat suami macam ni. Alhamdulillah”).

Adam dan Maya pun meneruskan perjalanan pulang. Mereka bercadang untuk keluar bercuti dan berkelah ke tempat lain pula suatu hari nanti jika ada kelapangan. Mereka berdua hidup bahagia sebagai pasangan suami isteri dan berharap dikurniakan Allah rezeki anak pula selepas ini. InsyaAllah. 

Renungan: “Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu,” (surah al-Anfal 8:24)

Menangkan Yang Positif

“Dialah yang mengutus RasulNya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, untuk memenangkannya di atas segala agama (ajaran) meskipun dibenci golongan musyrik” (Surah as-Saff 61:9)

Di dalam hidup seorang muslim, sudah pasti kita mahukan supaya hidup kita itu sebolehnya sejajar dengan apa yang telah diajar dan dibimbing oleh Islam. Maka, tiada lain rujukan kita saudara melainkan Al-Quran dan As-Sunnah. Barangkali kita bukanlah golongan muslim yang mampu mengusai keseluruhan Al-Quran dan juga As-Sunnah. Di sana, untuk kita belajar memahami dan belajar melaksanakan, Allah swt mengutuskan kita Rasulullah saw yang menjadi ‘uswatun hasanah’ kepada kita.

Rasulullah saw juga adalah manusia seperti kita. Bezanya, Rasulullah saw bersifat maksum iaitu terhindar daripada melakukan dosa yang tidak ada pada kita sifat seumpama itu. Oleh kerana Rasulullah saw itu manusia bukannya malaikat, maka Baginda saw juga akhirnya wafat untuk kembali kepada Allah. Yang tinggal kepada kita hanyalah perjuangan Rasulullah saw dalam menegakkan sistem hidup Islam.

Persoalannya saudara, siapa yang hendak meneruskan perjuangan yang ditinggalkan itu?

Jawabnya kitalah. Kalau bukan kita yang bergelar muslim hari ini, siapa lagi yang hendak kita harapkan. Tetapi, apakah kita layak untuk membantu dan mendukungi perjuangan Islam ini sedangkan kita masih belum sepenuhnya mendalami isi Al-Quran dan as-Sunnah. Sebenarnya, itu bukanlah alasan saudara untuk tidak bersama Islam. Ini kerana, di dalam mana-mana komuniti muslim, di dalamnya sudah pasti ada golongan ulama yang mendalami Islam. Merekalah rujukan kita dalam hal ehwal agama.

Ulama digelar sebagai warisatul anbiya iaitu pewaris Nabi saw. Sungguhpun demikian, status ulama tetap tidak sama dengan status nabi. Cuma, golongan inilah yang mewarisi ilmu-ilmu Islam yang ditinggalkan nabi saw. Golongan ulama diharapkan menjadi rujukan dan seterusnya membimbing masyrakat kepada kebenaran Islam. Saudara, jika kita imbas sejarah kemasukan Islam ke Tanah Melayu, ianya dikaitkan dengan aktiviti perdagangan yang rancak berlaku di zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kemasukan pedagang dan ulama dari Tanah Arab telah membuka lembaran dakwah kepada komuniti melayu waktu itu untuk memeluk Islam termasuklah golongan elit pemerintah.

Sejak dari itu, Islam berkembang dengan meningkatnya jumlah mereka yang telah memeluk islam. Islam diajar di mana-mana termasuklah di dalam Istana raja. Ramai ulama-ulama dijemput untuk mengisi program-program agama bagi memantapkan kefahaman Islam dalam kalangan pemerintah dan rakyat. Tidak pastilah saudara, jika waktu itu sudah ada sistem permit dan tauliah untuk berkuliah atau bertazkirah. Ini kena tanya pakar sejarahlah.

Kesan daripada kepesatan perkembangan ilmu Islam, maka berlakulah asimilasi Islam secara praktikal. Undang-undang syariah dijadikan rujukan dalam menggubal Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Ketika berperang menghadapi musuh dari Siam, Bendahara Tun Perak mencontohi taktik dan strategi tentera Islam zaman Rasulullah saw dengan memasang banyak obor-obor api pada waktu malam. Strategi ini berjaya apabila tentera Siam berpatah balik kerana menyangka jumlah tentera Melaka terlalu ramai untuk mereka hadapi. Selain itu, Sultan Alauddin Riayat Syah mencontohi Khalifah Umar al-Khatab yang gemar meronda pada waktu malam bagi mengetahui kehidupan rakyatnya. Ini sebahagian daripada banyak contoh-contoh yang menjadi bukti sejarah perkembangan Islam pada zaman itu.

Itu zaman dahulu saudara. Bagaimana dengan realiti hari ini? Adakah program-program seruan dakwah yang wujud hari ini sudah memadai?

Saban hari kita mendengar pelbagai isu permasalahan masyarakat. Di sana-sini pembunuhan. Seolah-olah tiada nilai nyawa seseorang. Jika semalam ada kes perompakan, hari ini pun barangkali ada. Semacam perompakan, ragut dan mencuri adalah salah satu kerjaya pilihan. Isu buang bayi seperti sudah tidak ada kesudahan. Kucing lebih berperikemanusiaan berbanding manusia-manusia yang rakus ini. Penagihan dadah tidak payah cakaplah. Dulu, kini dan nauzubillah selamanyakah masalah ini hendak berterusan.

Kalau hendak menunding jari. Semua pihak ada salah silapnya. Maka daripada menunding jari, mari kita sama-sama bermuhasabah tidak kira apa kedudukan atau darjat kita. Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab untuk mengubah realiti yang kita lihat hari ini. Antaranya pada pandangan aku ialah;

Kuliah-kuliah mahupun tazkirah di masjid dan surau perlu diperhebatkan dengan melahirkan tokoh-tokoh ulama dan pendakwah yang berkaliber yang boleh menggamit orang datang. Jika seseorang tokoh itu boleh memberi syarahan agama yang selari dengan Islam dan  mampu menarik minat orang datang mendengar, janganlah dihalang dan didakwa. Khutbah-khutbah jumaat yang dihadiri ratusan dan ribuan jemaah  setiap minggu pula perlu diperkemaskan cara penyampaiannya melalui akademi khas disamping diselit dengan ajakan konsisten supaya jemaah ke masjid untuk bersolat dan menuntut ilmu agama. Jadikan masjid sebagai pusat rujukan masyarakat yang memerlukan bimbingan dan bantuan lain.

Pelik sungguh, kita memiliki pusat zakat yang gah bangunannya, namun masih ada umat Islam yang menagih bantuan daripada pihak lain. Puncanya, pusat zakat tahu kutip tetapi bila nak agih, tak sampai. Jika di masjid ada kaunter pungutan zakat setiap kali Ramadhan, maka di masjid jugalah pusat untuk agihannya pula. Jadikan masjid sebagai agen pusat zakat dan rujukan orang miskin yang memerlukan pada bila-bila masa.

Tidak cukup dengan dakwah di masjid, dakwah turut perlu diperluaskan biar sampai kepada individu. Penghasilan klip-klip video kreatif berunsurkan dakwah boleh disebarluaskan. Uploadkan video-video ini ke facebook, twitter dan youtube supaya generasi ‘internet’ menontonnya. Jika ada pertandingan video pendek tentang kemerdekaan, maka adalah lebih baik jika video pendek berunsurkan dakwah dipertandingkan bagi memupuk bakat-bakat seni yang dibaluti dengan roh dakwah.

Masyarakat hari ini tidak terlepas daripada menonton tv. Di dalam program tv ada yang positif dan ada juga yang negatif. Maka menjadi tanggungjawab untuk memperbanyakkan perkara positif dalam rancangan tv. Pasti menarik seandainya tv yang ditonton dipenuhi dengan rancangan dam iklan-iklan yang condong kepada seruan kebaikan. Iklan-iklan ini boleh direalisasikan sebagai salah satu bentuk ‘Cooperate Social Responsibility’ antara media dan syarikat-syarikat besar yang dipimpin muslim.

Hari ini ramai pihak terlibat dengan pelbagai kempen. Ada kempen kesedaran kesihatan, kempen tidak guna beg plastik, kempen anti-rokok dan sebagainya. Apa kata, kita perkenalkan pula kempen nilai-nilai Islam secara besar-besaran di peringkat nasional. Paling tidak, sebagai contoh, cuba buat Kempen Hargai Auratmu. Semua program diskusi di Tv dan radio boleh melibatkan diri. Jemputlah pendakwah-pendakwah yang professional untuk memberi penerangan disamping beberapa personaliti bagi menceritakan pengalaman mereka bertudung. Iklankan perihal kewajipan menutup aurat ini di dalam media dalam tempoh tertentu. Sebarkan risalah di tempat tumpuan umum di samping melalui penerangan dalam khutbah jumaat.

Adakan juga karnival di setiap negeri secara roadshow yang menghimpunkan pelbagai busana muslim dan  muslimah (yang betul-betul tutup aurat), forum perdana, konsert kesenian Islam dan demonstrasi pemakaian tudung yang betul biarpun dilihat berfesyen. Selain daripada itu, laksanakan juga kempen-kempen peringkat nasional lain seperti Program Masjid DiHatiku, Program Islam For All, Program Syoknya Solat, Program IQRA’ (kempen baca dan faham al-quran), Program Keluarga Sakinah dan sebagainya secara menyeluruh dan meluas dengan kerjasama pelbagai pihak.        

Dan kita sebagai orang awam pula, perlu memastikan kita termasuk dalam golongan yang akan sedia menyokong apa sahaja program-program dakwah untuk semua tidak kira apapun platform dan mediumnya. Jika harta dilarang untuk berlegar-legar pada kelompok tertentu, inikan pula ilmu dan kefahaman agama amat perlulah untuk disebarluaskan untuk ianya sampai pada setiap individu, bukannya mengesklusifkannya pada golongan tertentu sahaja.

Mudahan, apabila masyarakat benar-benar disampaikan kepada mereka ajaran Islam yang sebenar, seterusnya dengan kefahaman mereka beramal, InsyaAllah setiap masalah yang timbul hari ini ada jalan keluarnya. Namun, jika usaha dakwah sudah disebarluaskan secara konsisten dan bersungguh, tetapi pada waktu itu masih lagi ada umat yang melanggar batasan-batasan tertentu, tiada sebab untuk tidak dikuatkuasakan hukuman syariah yang perlu diadili melalui proses perundangan. 

Hendak Seribu Daya

Pepatah Melayu pernah menyebut; ‘Hendak seribu daya, Tidak mahu seribu dalih’. Pepatah ini saudara memberi faham kepada kita bahawa, jika kita hendak atau menghajatkan sesuatu, maka untuk mendapatkannya mestilah disusuli dengan daya usaha yang bersungguh dan berterusan. Bukannya sekadar mencari dalih atau alasan bagi menutup ketidakberdayaan kita bagi mendapatkan sesuatu.

Memanglah realiti yang perlu kita akui dan terima ialah, untuk memperoleh sesuatu, kita tidak akan pernah terlepas daripada perencanaan dan percaturan yang telah ditentukan oleh Allah swt. Namun, itu tidak pula membawa kita kepada suatu ‘consensus’ untuk kita membiarkan sahaja hidup ini berharap kepada takdir semata-mata tanpa merelakan diri yang perlu sentiasa berusaha. Inilah yang diajar di dalam Islam.

Pernah suatu ketika, datang seorang sahabat yang miskin bertemu dengan Rasulullah saw. Sahabat itu meminta kepada baginda Rasulullah saw supaya berdoa memohon kepada Allah swt bagi melepaskan diri dan keluarganya daripada belenggu kemiskinan. Rasulullah saw seperti mana yang kita ketahui adalah kekasih Allah. Doa Nabi saw yang mana yang tidak pernah diperkenankan oleh Allah swt. Sungguhpun begitu, Rasulullah saw menolak permintaan sahabat yang miskin tadi dengan baik dan sebaliknya, Rasulullah saw menghadiahkan dua ekor kambing untuk sahabat yang miskin ini untuk diternak. Dengan ternakan kambing ini diharapkan supaya kehidupannya akan berubah suatu hari nanti melalui hasil ternakan yang akan berkembang biak.

Inilah perkara yang hendak diajarkan oleh baginda Rasulullah saw. Jika kita inginkan sesuatu, bukanlah doa jawapan tunggal untuk mendapatkannya. Tetapi, doa yang disertakan usaha sebagai ikhtiar kita, dan kemudian bertawakal kepada Allah, kerana kita sepenuhnya menyakini bahawa setiap sesuatu itu datangnya daripada Allah swt.

Demikianlah juga saudara sikap yang ditunjukkan oleh sahabat Nabi saw yang bernama Abdul Rahman bin Auf. Ketika peristiwa hijrah umat Islam daripada bumi Mekah ke Madinah, Nabi saw telah mempersaudarakan golongan muhajirin dengan golongan ansar. Kesan program persaudaraan ini telah sedikit sebanyak membantu golongan muhajirin yang berhijrah sehelai sepinggang. Banyak bantuan dan pertolongan diberikan oleh golongan ansar dengan semangat persaudaraan yang utuh.

Walaubagaimanapun, berlainan keadaannya dengan Abdul Rahman bin Auf. Biarpun beliau ditawarkan bantuan berbentuk harta benda, bahkan bukan itu sahaja, sahabat ansarnya turut rela menceraikan salah seorang isteri jika beliau memerlukan isteri. Namun, beliau menolaknya dengan baik dan hanya ingin meminta satu pertolongan sahaja, iaitu tunjukkan kepadanya di mana terletaknya pasar. Kita semua sedia maklum bahawa Abdul Rahman ketika di Mekah merupakan seorang usahawan dan ahli perniagaan yang cukup berjaya. Dek kerana mendapat perintah Allah dan Rasul untuk berhijrah, maka beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan perusahaan perniagaannya di sana bagi menyahut seruan hijrah. Suatu pengorbanan saudara yang jelas untuk mempertahankan akidah yang diimani.

Di mana-mana pun kita boleh bisnes kerana bisnes itu wujud dan boleh diwujudkan di mana-mana selagi ada tekad dan kemahuan. Barangkali itulah prinsip Abdul Rahman bin Auf. Biarpun terpaksa berpatah semula untuk memulakan perniagaan seperti mana beliau mula-mula berniaga di Mekah dahulu, ia bukanlah sesuatu yang memalukan tetapi merupakan suatu cabaran yang perlu diterokai bagi membina empayar perniagaan yang jauh lebih baik daripada apa yang pernah dimilikinya. Hendak menuju matlamat seumpama itu, petuanya pastilah usaha disamping kebijaksanaan (ilmu) dan tawakal kepada Allah swt.

Bercakap tentang hijrah dan tekad Abdul Rahman bin Auf dalam dunia perniagaan pada masa itu, ianya juga mengingatkan aku tentang sejarah orang cina. Seperti mana yang kita ketahui, secara amnya orang cina cukup sinonim dengan dunia perniagaan. Jaringan komuniti mereka bukan sahaja berlegar dalam persekitaran negara China sahaja, malah jaringan komuniti mereka melata ke seluruh pelusuk dunia. Orang kata, ke mana-mana pergi pun, di sana pasti ada komuniti cina yang berkecimpung dengan perniagaan. Buktinya, di kebanyakan negara pasti di dalamnya wujud satu kawasan penempatan yang dinamakan “Chinatown”

Di dalam buku Chinese Among Others (2008) merakamkan sejarah orang cina dalam emigrasi mereka dalam negara dan migrasi mereka ke luar negara. Tindakan migrasi atau penghijrahan mereka ini tidak lain tidak bukan sudah pasti mempunyai tujuan matlamat tertentu yang perlu mereka usahakan.

“The preferred strategy was to maintain family income, without abandoning the family’s base in farming, by sending excess male labor to work elsewhere. In some cases, a man might seek a living overseas by boarding ship at maritime trading port such as Guangzhou, Macao and Xiamen”.

Di dalam buku Rahsia Bisnes Orang Cina (2007) pula menyebut tentang kejayaan beberapa tokoh perniagaan cina yang bermula dari bawah dan kemudiannya memperkembangkan perniagaan tersebut sehingga ke hari ini. Antaranya mendiang Tan Sri Loh Boon Siew, pengedar tunggal motosikal Honda. Beliau berumur 12 tahun ketika mula-mula sampai ke Tanah Melayu. Sejak itu beliau gigih menyimpan wang melalui upah sebagai mekanik dan mencuci bas.

Setelah cukup wang simpanannya, beliau membuka bengkel sendiri. Dengan membuka bengkel sendiri, beliau percaya, beliau akan mendapat kemahiran berniaga melalui pengalaman yang seterusnya berkeupayaan untuk meluaskan perniagaannya itu. Pada suatu hari, syarikat Honda ingin menawarkan seorang ahli perniagaan berketurunan arab hak francais motosikal Honda. Namun, ianya ditolak oleh ahli perniagaan tersebut kerana tidak yakin motosikal Honda boleh dijual kepada penduduk Tanah melayu pada waktu itu.

Peluang tersebut tidak dilepaskan oleh Boon Siew. Beliau memberanikan diri menjual bengkelnya semata-mata ingin membeli hak francais yang ditawarkan itu. Ternyata strategi berani Boon Siew membuahkan hasil apabila motosikal Honda mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk tempatan. Ini menjadikan beliau seorang ahli perniagaan yang tersohor dan terkaya di negara ini pada waktu itu.

Demikianlah saudara beberapa contoh kejayaan manusia yang memiliki seribu daya bukannya seribu dalih. Sejarah melayu juga tidak kurang hebatnya dalam hal perniagaan dan perdagangan. Jika tidak, mana mungkin Melaka berupaya muncul sebagai perlabuhan utama dan terpenting di rantau ini dan ianya tidak mustahil untuk orang melayu muslim hari ini bangkit semula dengan mengambil iktibar daripada kejayaan bangsa-bangsa yang berjaya. Jadikanlah diri kita sebagai bangsa yang mahu seribu daya untuk berhijrah dari sudut sikap, pemikiran dan daya usaha demi suatu perubahan yang lebih baik.

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang,” (surah al-Baqarah 2:218).