Mohonlah Petunjuk Itu

Setiap hari yang kita lalui saudara pasti akan memerlukan kita untuk memilih. Tidak kiralah apa jua yang hendak kita lakukan dan apa jua keadaan dan situasi yang dihadapi. Kita tidak akan terlepas daripada persoalan memilih sama ada melibatkan soal yang besar mahupun hanya soal-soal yang kecil.

Lantaran itu, amatlah perlu bagi kita sebagai hamba Allah yang kerdil untuk memohon dan berdoa kepadaNya agar diri kita sentiasa dipermudahkan dalam membuat keputusan dan ditunjukkan pilihan yang terbaik. Saudara, mengapa petunjuk itu penting?

Jika diamati diari kehidupan kita selama ini, kita telahpun diprogramkan untuk senantiasa memohon petunjuk atau hidayah daripada Allah taala. Setiap pagi kita akan bangkit untuk mendirikan solat subuh. Di dalam solat subuh mengikut mazhab Syafei, kita akan membaca doa qunut. Di dalam bacaan tersebut, kita akan membaca doa antaranya yang bermaksud:

“Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah engkau beri petunjuk, Berilah kesihatan (afiat) sebagaimana orang-orang yang telah engkau beri kesihatan……..”

Ternyata, soal hidayah atau petunjuk didahulukan dalam doa qunut dan diikuti dengan doa untuk kesihatan, pimpinan dari Allah, keberkatan nikmat dan dijauhkan daripada kejahatan. Selain daripada itu, kita juga memohon petunjuk daripada Allah melalui bacaan al-Fatihah ketika setiap kali solat. Sekurang-kurangnya, sebanyak 17 kali kita memintanya kepada Allah setiap hari.

“Tunjukanlah kami jalan yang LURUS, yakni jalan mereka yang engkau beri nikmat kepadanya, bukan jalan mereka yang engkau murkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat” (surah al-Fatihah 1:6-7)

Menurut Syeikh Said Hawa di dalam kitab tafsirnya, Al-Asas fit Tafsir menyatakan; hidayah ke jalan yang lurus tidak akan berhasil kecuali dengan pemberian Allah. PemberianNya pula tidak akan diperolehi melainkan orang yang berhajat sahaja. Dan tanda sesorang itu berhajat ialah dia meminta pertolongan dengan doa ini.

Sebab itu saudara, jika solat yang kita dirikan setiap hari ini dilakukan dengan sempurna dan penuh penghayatan, maka ia sebenarnya mampu mendidik kita untuk cenderung kepada kebenaran dan mencegah diri daripada perbuatan mungkar. Ibadah yang disuruh di dalam Islam tiada lain sebenarnya hendak mentarbiyahkan kita supaya taat kepada Allah.

Kita rukuk dan sujud di dalam solat dengan harapan supaya kita turut rukuk dan sujud kepada Allah dalam setiap apa yang kita lakukan di luar solat. Begitulah ibadah-ibadah lain seperti puasa, zakat dan haji. Sebagai contoh di dalam ibadah haji, umat Islam yang beribadah haji antaranya perlu melontar jamrah. Lontaran jamrah itu sebagai simbolik membenci syaitan yang mahu menyesatkan kita melalui dorongan nafsu jahat. Mudahan dalam ibadah tersebut menjadikan kebencian itu, memberi kesan supaya kita kembali kepada Allah dan hukum Islam.

Ketaatan kepada Allah juga telah menyebabkan nabi Ibrahim as sanggup untuk mengorbankan kasih terhadap anaknya iaitu nabi Ismail as tatkala mendapat perintah daripada Allah untuk menyembelih anak tunggalnya ketika itu. Bukan kepalang perintah ini hendak dipikul oleh Ibrahim as. Namun, kasih kepada Allah yang ada pada Ibrahim melebihi kasih terhadap anaknya. Siti Hajar, ibu kepada Ismail as, hanya mampu akur dengan tindakan suaminya atas kerana perintah itu adalah daripada Allah swt. Begitu juga Ismail as, sebagai anak yang soleh, dia merelakan dirinya dikorbankan andai itulah perintah daripada Allah.

Walaupun kita menyambut Hari Raya AidilAdha setiap tahun dan kisah ini diulang-ulang untuk diceritakan, namun masih ada diluar sana seorang bapa yang berkali-kali menyuruh anak-anaknya menunaikan perintah Allah untuk bersolat. Tetapi, masih ramai lagi antara mereka yang degil untuk bersolat. Begitu juga dengan suami tatkala menyuruh isterinya agar melaksanakan perintah Allah untuk berhijab, namun ramai juga antara mereka yang enggan dan terus mendedahkan aurat biarpun sudah berkorban lembu dan menunaikan haji.

Perkara ini sekiranya berlaku menunjukkan jauhnya kita daripada Islam. Jauhnya kita daripada sikap dan akhlak para rasul dan golongan solihin bila mana mendengar perintah Allah. Perintah untuk bersolat atau untuk menutup aurat kalau hendak dibandingkan dengan perintah berkorban nabi Ibrahim as, jauh lebih hebat dan mencabar perintah berkorban nabi Ibrahim as.

Oleh itu saudara, marilah kita sama-sama senantiasa memohon petunjuk daripada Allah supaya diri serta keluarga kita dapat memilih pilihan-pilihan yang terbaik pada pandangan Allah. Mintalah bantuan dan pertolongan daripada Allah dalam usaha untuk mendapat taufik dariNYA agar kita tetap teguh dengan jalan Islam yang lurus dan dijauhkan pula daripada tergolong dalam golongan zalim dan fasik. Ini kerana, dua golongan seperti inilah yang tidak akan pernah mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah.

“Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada golongan fasik” (surah al-Ma’idah 5:108)

“Allah tidak memberi petunjuk kepada golongan zalim” (surah ali-Imran 3:86)

Akhir bicara saudara, kita tiada cara lain untuk selamat di dunia mahupun di akhirat melainkan kita berada di dalam jalan petunjuk yang lurus. Untuk berada di jalan yang lurus tersebut, Allah telahpun sediakan kepada kita jawapannya.

“Dan hendaklah kamu abdikan diri kepada KU, Inilah (sebenar-benarnya) jalan yang LURUS” (surah Yaasin 36:61 )

Advertisements

Ibarat Air Tawar dan Air Masin

Di kesempatan ini saudara, aku ingin memberi pandangan secara peribadi sebagai anak muda tentang pertembungan politik antara PAS dan UMNO. Isu perkauman melayu dan perpaduan Islam kerap kali akan dijaja tatkala menjelang pilihanraya. Dari dahulu sehinggalah sekarang, inilah antara modal politik yang cuba dipusing kepada rakyat untuk mewujudkan rasa takut rakyat dalam membuat perubahan kepimpinan atau kerajaan.

Kita akui bahawa perpaduan antara umat Islam asasnya adalah akidah. Akidah ini pula perlu difahami dengan jelas bahawa ia bukan sekadar menganut agama Islam untuk layak bergelar muslim, tetapi untuk menganut seluruh sistem dan cara hidup Islam itu semampu boleh. Sebagai muslim yang baik, sudah pasti kita mengimpikan seluruh kehidupan kita ini berlandaskan hukum dan ajaran Islam.

Di Malaysia, PAS dan kebanyakan NGO-NGO Islam begitu jelas dengan dasar dan prinsip Islamnya. Yang berbeza hanyalah pendekatan, yang mana PAS menggunakan pendekatan politik. Sebab itu, kalaulah PAS dan NGO-NGO ini bekerjasama sebagai contoh dalam “Kempen Menghargai Auratmu”. Rasanya tiada masalah besar untuk dijayakan kerana masing-masing jelas dengan dasar dan prinsip mereka. Tetapi bagaimana dengan UMNO? Apakah mereka bersedia?

Hari ini orang bercakap soal hendak mempertahankan akidah umat. Hendak pertahankan akidah, kita terlebih dahulu perlu jelas dengan pegangan akidah itu sendiri. Semua pihak yang jelas pegangan akidahnya pasti memiliki pendekatan dan cara masing-masing yang perlu untuk dilaksanakan bagi menjaga akidah ummah. Begitulah halnya dengan PAS. Rakyat yang selalu mengikuti perjuangan PAS dari dahulu pasti amat menyedari hal tersebut.

Ada pihak mendakwa, jika PAS tidak bersama UMNO kerana perbezaan ideologi dan dasar perjuangan, mengapa PAS boleh bersama PKR dan DAP yang juga berbeza ideologi dengan PAS? Jawabnya PAS dalam Pakatan Rakyat memiliki tekad politik (political will) yang sama. PAS dengan dasar Islamnya menggunakan pendekatan Tahaluf Siyasi dalam menjayakan tekad tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang seperti berikut;

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama Pakatan Rakyat adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman”

“Kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama “Tahaluf Siyasi” yang dibenarkan agama dan tidak menggadai prinsip”

“Kerjasama seperti ini tidak sama dengan kerjasama wala’ antara UMNO dengan MCA dan MIC yang menggadai prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara ini” (Harakahdaily)

Pendekatan Tahaluf Siyasi ini juga dibahas oleh Dr. Khairuddin Aman Razali At-Takiri, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “PAS dan Tahaluf Siyasi” pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan (2011). Antaranya beliau menyatakan;

“Tahaluf Siyasi adalah berkerjasama untuk menentang kezaliman dan selagi tidak menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal. Sekiranya hasil dari “Tahaluf Siyasi” ini akan merugikan PAS seperti meyebabkan PAS berada di pihak yang lemah yang boleh merugikan perjuangan Islam atau menghalalkan yang haram, PAS pasti akan melakukan kajian semula pula nanti”

“Hasil kerjasama itu walaubagaimanapun tidak mungkin akan merugikan pihak PAS kerana perkara itu sememangnya sentiasa dipantau oleh para pemimpin parti dengan teliti secara berterusan”

“Matlamat perjuangan PAS (politik yang menegakkan keadilan menurut Islam) tidak akan berubah sampai bila-bila dan ia berbeza dengan pendekatan, yang boleh berubah pendekatannya berdasarkan kepentingan semasa”.  

Sehubungan dengan itu saudara, tekad politik Pakatan Rakyat ini diterjemahkan melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menghormati kedudukan Islam dalam negara, kedudukan dan kepentingan melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu Berpelembagaan dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara ini seterusnya disusuli dengan dokumen Buku Jingga yang menawarkan sesuatu yang difikirkan baik demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam menangani kemelut ekonomi negara hari ini yang dibebani dengan inflasi, defisit, rasuah dan hutang yang tidak terkawal, mereka sekali lagi berpakat untuk mengemukakan belanjawan alternatif untuk rakyat meneliti dan membuat perbandingan akan teras dan cadangan yang digariskan. Alhamdulillah, sebahagian daripada tekad politik mereka sudah pun dapat direalisasikan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Hal ini sudah tentu berbeza dengan sikap dan pendirian UMNO dan BN. Biarpun mereka setiap hari memperlekehkan pakatan tersebut, namun hari demi hari juga rakyat melihat mereka pula yang cuba meniru dan mencedok idea-idea pembangkang serta tidak mampu menolak pencapaian baik kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat khususnya setelah mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara.

Bagi aku saudara, kewujudan sistem dua parti seumpama ini merupakan peluang baik bagi rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan atau transformasi dalam konteks politik. Berbeza fahaman dan prinsip politik tidak bermakna tiada perpaduan antara rakyat. Lagipun, aku melihat bahawa selagi UMNO dengan dasar dan prinsipnya, selagi itulah UMNO dan PAS sukar untuk disatukan. Ianya ibarat air tawar dan air masin. Walaupun kedua-duanya air, tetapi ia mustahil untuk bercantum.

Sungguhpun demikian, air tawar tetap ada peranannya dan air masin juga turut ada perananya. Bersainglah dengan baik dalam berperanan dan berebutlah dalam menyumbang sesuatu yang bermanfaat untuk kami rakyat Malaysia. Kami sedia untuk menilai dan memilih dalam ruang demokrasi yang benar-benar diyakini telus dan bersih.

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung,” (surah ali-Imran 3:104)

Masjid Besar Jemaah Kecil?

Sekarang ini musim haji. Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang besar, luas dan cantik menggamit kehadiran ramai jemaah haji. Kedua-dua masjid ini, memang tidak pernah sunyi dengan kehadiran jemaah yang datang untuk bersolat dan beriktikaf setiap masa. Kalau musim haji, memang sesak dan padatlah manusia. Kita boleh mengetahuinya melalui laporan Lembaga Tabung Haji di dalam media tiap-tiap tahun.

Berbeza dengan kita. Masjid tempat kita jarang-jarang penuh dan padat. Ada dua waktu yang boleh dilihat penuh iaitu ketika solat jumaat dan semasa solat sunat hari raya sama ada aidil fitri ataupun aidil adha. Ke mana pergi mereka ini selepas itu? Tidak apalah, tidak payah jawab sebab semua orang ada alasan dan kemampuan masing-masing. Kita ambil sikap ‘husnul dzhon’. Barangkali mereka berjemaah di rumah atau sebagainya.

Di bumi Malaysia yang bertuah ini banyak masjid-masjid yang besar dan cantik. Ada yang berbatu, berkristal dan juga berbesi. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah kerana kita memiliki banyak masjid-masjid yang gah dan indah. Cuma, jemaahnya sahaja yang belum besar jumlahnya dan membanggakan kehadirannya. Walaubagaimanapun, ia masih boleh diusahakan.

1. Antara usaha yang aku lihat sedang rancak diatur oleh AJK sesetengah masjid ialah dengan menjemput ramai penceramah tersohor dan terkenal. Sebagai contoh Ustaz Azhar Idrus. Semacam satu fenomena. Ke mana sahaja beliau berceramah, berpusu-pusu muslimin dan muslimah memenuhi masjid. Tetapi sayangnya, di negeri kelahiran ustaz, masjid-masjid besar seakan segan mengundang beliau berceramah. Hanya surau-surau kecil yang menjemputnya yang sememangnya tidak mampu menampung jumlah kehadiran jemaah. Inilah sebenarnya peluang masjid besar untuk dipenuhkan saf-safnya.

2. Ada juga masjid yang berkerjasama dengan TV9 melalui program Raudhah Di Hatiku. Satu program yang baik dan perlu diteruskan dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan institusi masjid. Pelbagai aktiviti yang bertemakan keagamaan dan kekeluargaan telah diatur. Bagi aku, program seumpama ini boleh dicontohi oleh masjid-masjid lain. Tidak perlu tunggu TV9. Masjid boleh melaksanakan program seperti ini untuk dijadikan sebagai program tahunan. Seolah-olah ianya adalah “Hari Bertemu Pelanggan” yang melibatkan pihak masjid, jabatan agama dan pusat zakat negeri.

3. Program ziarah dirasakan amat perlu untuk pihak masjid usahakan. Orang-orang miskin dan asnaf lain di kampung dan taman perumahan di dalam kawasan pemukiman masjid perlu dikenal pasti dan diberi perhatian supaya dapat disalurkan bantuan zakat atau sedekah orang ramai. Begitu juga mereka yang menghidapi penyakit kronik yang memerlukan bantuan kewangan sebaiknya diberi perhatian oleh pihak masjid untuk tindakan susulan. Ini mendekatkan pihak masjid dengan hal ehwal masyarakat khususnya membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan.

4. Manusia ini macam-macam karenahnya. Wujud antara mereka yang memberi alasan ‘orang masjid’ kurang mesra dengan mereka. Lantaran itu, membuatkan mereka tidak berminat dengan masjid. Baiklah, jika begitu, selain memilih individu yang istiqamah dengan solat jemaah di masjid sebagai AJKnya, perlu ada juga kriteria seperti dikenali, bertanggugjawab, mesra, ramah dan tidak sombong. Jabatan agama boleh wujudkan akademi khas untuk kursus-kursus ringkas tentang tadbir urus yang baik dan kemahiran berkomunikasi yang berkesan kepada para AJK yang dilantik. Khatib dan Imam boleh dilatih cara penyampaian kuliah dan khutbah melalui akademi yang sama. Jika sesuatu syarikat yang berjaya memerlukan kursus tertentu untuk kakitangannya, begitu jugalah dengan masjid yang berjaya turut memerlukannya.

5. Hari ini, sudah banyak masjid atau surau yang sudah ada website sendiri. Yang penting, website ini perlu diwar-warkan secara meluas supaya masyarakat sekeliling mengetahuinya. Segala info-info program masjid boleh di’update’ di samping memuat naik klip-klip video atau mp3 rakaman kuliah yang terpilih. Jika ada program menarik, khabarkanlah di media termasuklah di dalam radio. Setakat ini, hanya radio IKIM sahaja yang ada segmen khas untuk program masjid. InsyaAllah, yang dengar IKIM selalunya mereka yang kaki masjid dan surau. Bagaimana dengan yang lain? Cubalah pula mewar-warkannya di stesen-stesen radio lain di dalam segmen interaksi bersama pendengar.

6.  Pihak masjid kalau boleh cuba wujudkan pertandingan pidato secara terbuka kepada anak-anak muda yang berminat. Tajuk-tajuk sesuai bolehlah difikirkan. Barangkali ada dalam kalangan anak muda ini memiliki ijazah dalam jurusan agama di samping ada kebolehan berpidato, mereka ini boleh diangkat sebagai duta masjid dan seterusnya memberi ruang kepadanya untuk berceramah dan berkongsi dengan jemaah. Begitu juga dengan pertandingan azan, mungkin ada anak-anak dalam kampung kita yang lunak dan merdu azannya yang boleh kita pilih. Beri peluang kepada mereka dan jadualkan masa yang sesuai untuk mereka pula menjadi bilal muda.

7. Di sesetengah masjid ada didirikan beberapa gerai makanan dalam kawasannya yang luas. Selalunya orang yang bekerja, mereka akan singgah untuk rehat tengah hari. Di samping menyempurnakan solat fardhu zuhur, mereka juga menjamu selera di gerai-gerai tersebut. Apa kata, masjid-masjid yang besar bangunannya itu disediakan satu bilik khas untuk diwujudkan kaunter pembayaran bil seperti di pejabat pos. Maknanya, orang ramai hanya perlu berada di masjid dalam satu waktu untuk membayar bil, bersolat dan makan tengah hari. Bukankah ianya boleh memudahkan urusan?

Apa yang aku nyatakan di sini hanyalah sekadar cadangan. Mungkin saudara juga memiliki pandangan dan cadangan sendiri yang mungkin lebih baik dan realistik daripada ini. Sungguhpun demikian, apapun jua pandangan kita saudara, pihak masjid tidak boleh lari daripada menjadikan takwa kepada Allah sebagai asas pengimarahannya. Marilah kita sama-sama memenuhi saf di masjid serta surau tempat kita sebagai himpunan harian umat Islam yang berteraskan akidah yang satu.

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat pertunjuk” (surah at-Taubah 9:18).

Kena Lulus Agama

Dalam sistem sekolah kita dari dulu sehingga ke hari ini kesemuanya berorientasikan peperiksaan (examination-oriented). Bahkan dalam institusi pengajian tinggi pun menggunakan pendekatan yang sama dalam menilai kemampuan pelajar dari sudut akademik. Kena jawab peperiksaan dahulu, baru boleh tahu seseorang pelajar itu lulus ataupun tidak. Mungkin benar juga saudara, jika tidak ada kuiz, ujian atau peperiksaan, macam mana para guru atau pensyarah hendak menilai pretasi anak didiknya. Dapat menilai sama ada anak didik mereka faham atau tidak dengan apa yang diajar.

Walaupun ada mekanisma lain yang munasabah dan boleh dilaksanakan bagi tujuan penilaian tersebut, namun apakan daya kita. Para guru dan pensyarah hanya mampu menurut perintah orang atasan yang mahu pendekatan seumpama ini diteruskan. Walaubagaimanapun, suatu perkara yang perlu kita akui, apa-apa jua sistem yang lahir dari fikiran manusia, sudah tentu di dalamnya ada kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Oleh kerana pendekatan penilaian examination-oriented ini diguna pakai, maka dalam perlaksanaannya itu perlu ada proses-proses pengukuhan secara berterusan. Hari ini, kita melihat beberapa subjek teras telah diangkat sebagai subjek wajib lulus di dalam peperiksaan awam sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah. Namun, sedikit kekecewaan yang aku rasakan apabila subjek pendidikan Islam tidak “diwajib luluskan”. Kesannya saudara, dalam sistem examination-oriented yang kita guna pakai hari ini akan menyebabkan para pelajar hanya sekadar menumpukan seluruh perhatian pada subjek yang wajib lulus sahaja.

Adapun pendidikan Islam, ia hanyalah sekadar untuk belajar, itupun kalau benar-benar mereka hendak belajar dan faham. Kalau ambil peperiksaan dan markah subjek ini kurang memberangsangkan atau gagal sekalipun tiada apa-apa kesan pada diri pelajar. Malang sekali saudara jika kita hanya menganggap subjek pelajaran agama ini sebagai pelengkap silibus pendidikan sahaja. Kalaulah tiada langsung, nampak teruk sangat dasar pendidikan kita.

Dengan adanya subjek pendidikan Islam, kita mahu pelajar-pelajar ini menghayati dan mengamalkan apa yang diajar. Yang kita inginkan ialah bukannya kecekapan hafalan mereka untuk menjawab soalan, tetapi sekurang-kurangnya ada fokus yang mereka berikan dalam subjek ini. Barangkali, jika diwajibluluskan pasti boleh menarik fokus mereka dan seterusnya mereka menghargai apa yang ustaz dan ustazah mereka ajarkan. Sehubungan dengan itu saudara, rasanya perlu ada satu kajian dan penilaian untuk mengenal pasti tahap penghayatan agama dalam kalangan pelajar bagi mengetahui sejauh mana mereka mengikuti pelajaran agama di sekolah mereka. Jika kurang memuaskan, perlulah disemak pembelajaran dan pengajaran subjek ini dan seterusnya menaik taraf menjadi subjek wajib lulus.

Selain itu, bagi mewujudkan suasana penghayatan agama dalam menuntut ilmu, alangkah baiknya seandainya subjek sains yang diajar di sekolah rendah, menengah mahupun juga di universiti dimasukkan elemen Al-Quran di dalam pembelajarannya. Aku amat tertarik dengan kupasan Dr Danial Zainal Abidin di dalam bukunya Quran Saintifik. Banyak fakta-fakta sains yang ditemui pada abad ini telah membenarkan ayat-ayat Quran yang sememangnya benar dan asli tentang ilmu sains. Bagi aku, daripada kita meng’Inggeris’kan subjek sains ini, lebih baik kita meng’roh agama’kan silibus pelajaran tersebut. Dengan langkah ini, paling kurang, kita mampu mengajak masyarakat khususnya generasi muda untuk meneliti dan memahami isi al-Quran yang sarat dengan mesej kebenaran. Rasanya tidak salah jika dirangka atas dasar ilmu.

“Alif, Laam Raa, Ini ialah ayat-ayat Kitab(Al-Quran) yang mengandungi hikmah dan kebenaran yang tetap teguh” (surah Yunus 10:1)

Program-program dakwah perlu diperhebatkan lagi di sekolah. Ada di antara sekolah yang cukup perihatin dengan pencapaian akademik. Semua pelajar-pelajar yang kurang cemerlang atau bermasalah dalam pelajaran akan dikesan dan dibuat satu program khusus untuk memotivasikan pelajar-pelajar ini. Tidak cukup dengan itu, ia ditambah dengan kelas-kelas tambahan khas tatkala peperiksaan kian menjelang. Semua usaha ini baik dan bagus untuk diteruskan. Tetapi saudara, bagaimana pula dengan pelajar yang bermasalah disiplin dan akhlak. Ada atau tidak program khusus untuk mereka? Jika mereka kerap melanggar disiplin, kita hukum mereka berdasarkan peraturan sekolah dan dalam masa yang sama, tanpa ada usaha tarbiyah yang sesuai dan khusus untuk golongan pelajar seumpama ini.

Baru-baru ini aku berkesempatan menonton satu wawancara dalam slot Wanita Hari Ini. Kebetulan waktu itu mereka membincangkan tentang permasalahan keluarga. Menurut salah seorang panelis yang dijemput, beliau mendakwa bahawa majoriti masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah disebabkan oleh permasalahan keluarga. Mereka kebanyakannya berasal dari keluarga yang porak-peranda. Jika begitulah keadaanya saudara, maka tiada lain kaedah solusinya melainkan perlu kepada pengukuhan individu dan institusi keluarga dengan bimbingan agama.

“Wahai orang-orang yang beriman, periharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu..” (surah at-Tahrim 66:6)

Pembentukan keluarga yang soleh bermula daripada individu yang soleh. Sebab itu orang melayu buat satu pepatah iaitu ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Maknanya hendak lahirkan individu yang soleh perlu bermula dari peringkat awal lagi. Kita tiada pilihan melainkan menyuburkan benih-benih soleh ini di rumah dan juga di sekolah. Hari ini saudara, kita cukup gerun dan takut dengan pendedahan demi pendedahan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di dalam masalah sosial. Jika kita biarkan tanpa sebarang inisiatif, ia akan semakin parah dan melarat. Oleh itu, bimbingan agama ‘by hook or by crook’ amat perlu untuk diberikan kepada anak-anak, apatah lagi terhadap ibu bapa serta guru yang berperanan sebagai pendidik.

Ajaran agama Islam sebenarnya mahu menyelamatkan hidup manusia melalui ajakan-ajakan kebaikan dan disertakan dengan seruan menjauhi kemungkaran. Ini sesuai dengan kedudukan agama ini yang bersifat “rahmatan lil a’lamin iaitu rahmat dan kebaikan untuk semua. Bukannya untuk menyusahkan atau menyukarkan hidup kita. Hari ini kita masih diberi oleh Allah kesempatan ruang dan peluang untuk melaksanakan agama yang kita imani ini dalam setiap perkara yang kita lakukan. Mereka yang berhak dan berkuasa bagi merangka dan menggubal dasar pendidikan negara masih lagi dalam tangan orang kita. Maka inilah antara ruang dan peluang kita untuk menerapkan elemen penghayatan agama dalam dunia pendidikan.