Kena Lulus Agama

Dalam sistem sekolah kita dari dulu sehingga ke hari ini kesemuanya berorientasikan peperiksaan (examination-oriented). Bahkan dalam institusi pengajian tinggi pun menggunakan pendekatan yang sama dalam menilai kemampuan pelajar dari sudut akademik. Kena jawab peperiksaan dahulu, baru boleh tahu seseorang pelajar itu lulus ataupun tidak. Mungkin benar juga saudara, jika tidak ada kuiz, ujian atau peperiksaan, macam mana para guru atau pensyarah hendak menilai pretasi anak didiknya. Dapat menilai sama ada anak didik mereka faham atau tidak dengan apa yang diajar.

Walaupun ada mekanisma lain yang munasabah dan boleh dilaksanakan bagi tujuan penilaian tersebut, namun apakan daya kita. Para guru dan pensyarah hanya mampu menurut perintah orang atasan yang mahu pendekatan seumpama ini diteruskan. Walaubagaimanapun, suatu perkara yang perlu kita akui, apa-apa jua sistem yang lahir dari fikiran manusia, sudah tentu di dalamnya ada kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Oleh kerana pendekatan penilaian examination-oriented ini diguna pakai, maka dalam perlaksanaannya itu perlu ada proses-proses pengukuhan secara berterusan. Hari ini, kita melihat beberapa subjek teras telah diangkat sebagai subjek wajib lulus di dalam peperiksaan awam sekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah. Namun, sedikit kekecewaan yang aku rasakan apabila subjek pendidikan Islam tidak “diwajib luluskan”. Kesannya saudara, dalam sistem examination-oriented yang kita guna pakai hari ini akan menyebabkan para pelajar hanya sekadar menumpukan seluruh perhatian pada subjek yang wajib lulus sahaja.

Adapun pendidikan Islam, ia hanyalah sekadar untuk belajar, itupun kalau benar-benar mereka hendak belajar dan faham. Kalau ambil peperiksaan dan markah subjek ini kurang memberangsangkan atau gagal sekalipun tiada apa-apa kesan pada diri pelajar. Malang sekali saudara jika kita hanya menganggap subjek pelajaran agama ini sebagai pelengkap silibus pendidikan sahaja. Kalaulah tiada langsung, nampak teruk sangat dasar pendidikan kita.

Dengan adanya subjek pendidikan Islam, kita mahu pelajar-pelajar ini menghayati dan mengamalkan apa yang diajar. Yang kita inginkan ialah bukannya kecekapan hafalan mereka untuk menjawab soalan, tetapi sekurang-kurangnya ada fokus yang mereka berikan dalam subjek ini. Barangkali, jika diwajibluluskan pasti boleh menarik fokus mereka dan seterusnya mereka menghargai apa yang ustaz dan ustazah mereka ajarkan. Sehubungan dengan itu saudara, rasanya perlu ada satu kajian dan penilaian untuk mengenal pasti tahap penghayatan agama dalam kalangan pelajar bagi mengetahui sejauh mana mereka mengikuti pelajaran agama di sekolah mereka. Jika kurang memuaskan, perlulah disemak pembelajaran dan pengajaran subjek ini dan seterusnya menaik taraf menjadi subjek wajib lulus.

Selain itu, bagi mewujudkan suasana penghayatan agama dalam menuntut ilmu, alangkah baiknya seandainya subjek sains yang diajar di sekolah rendah, menengah mahupun juga di universiti dimasukkan elemen Al-Quran di dalam pembelajarannya. Aku amat tertarik dengan kupasan Dr Danial Zainal Abidin di dalam bukunya Quran Saintifik. Banyak fakta-fakta sains yang ditemui pada abad ini telah membenarkan ayat-ayat Quran yang sememangnya benar dan asli tentang ilmu sains. Bagi aku, daripada kita meng’Inggeris’kan subjek sains ini, lebih baik kita meng’roh agama’kan silibus pelajaran tersebut. Dengan langkah ini, paling kurang, kita mampu mengajak masyarakat khususnya generasi muda untuk meneliti dan memahami isi al-Quran yang sarat dengan mesej kebenaran. Rasanya tidak salah jika dirangka atas dasar ilmu.

“Alif, Laam Raa, Ini ialah ayat-ayat Kitab(Al-Quran) yang mengandungi hikmah dan kebenaran yang tetap teguh” (surah Yunus 10:1)

Program-program dakwah perlu diperhebatkan lagi di sekolah. Ada di antara sekolah yang cukup perihatin dengan pencapaian akademik. Semua pelajar-pelajar yang kurang cemerlang atau bermasalah dalam pelajaran akan dikesan dan dibuat satu program khusus untuk memotivasikan pelajar-pelajar ini. Tidak cukup dengan itu, ia ditambah dengan kelas-kelas tambahan khas tatkala peperiksaan kian menjelang. Semua usaha ini baik dan bagus untuk diteruskan. Tetapi saudara, bagaimana pula dengan pelajar yang bermasalah disiplin dan akhlak. Ada atau tidak program khusus untuk mereka? Jika mereka kerap melanggar disiplin, kita hukum mereka berdasarkan peraturan sekolah dan dalam masa yang sama, tanpa ada usaha tarbiyah yang sesuai dan khusus untuk golongan pelajar seumpama ini.

Baru-baru ini aku berkesempatan menonton satu wawancara dalam slot Wanita Hari Ini. Kebetulan waktu itu mereka membincangkan tentang permasalahan keluarga. Menurut salah seorang panelis yang dijemput, beliau mendakwa bahawa majoriti masalah sosial yang berlaku dalam kalangan remaja adalah disebabkan oleh permasalahan keluarga. Mereka kebanyakannya berasal dari keluarga yang porak-peranda. Jika begitulah keadaanya saudara, maka tiada lain kaedah solusinya melainkan perlu kepada pengukuhan individu dan institusi keluarga dengan bimbingan agama.

“Wahai orang-orang yang beriman, periharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu..” (surah at-Tahrim 66:6)

Pembentukan keluarga yang soleh bermula daripada individu yang soleh. Sebab itu orang melayu buat satu pepatah iaitu ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Maknanya hendak lahirkan individu yang soleh perlu bermula dari peringkat awal lagi. Kita tiada pilihan melainkan menyuburkan benih-benih soleh ini di rumah dan juga di sekolah. Hari ini saudara, kita cukup gerun dan takut dengan pendedahan demi pendedahan yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di dalam masalah sosial. Jika kita biarkan tanpa sebarang inisiatif, ia akan semakin parah dan melarat. Oleh itu, bimbingan agama ‘by hook or by crook’ amat perlu untuk diberikan kepada anak-anak, apatah lagi terhadap ibu bapa serta guru yang berperanan sebagai pendidik.

Ajaran agama Islam sebenarnya mahu menyelamatkan hidup manusia melalui ajakan-ajakan kebaikan dan disertakan dengan seruan menjauhi kemungkaran. Ini sesuai dengan kedudukan agama ini yang bersifat “rahmatan lil a’lamin iaitu rahmat dan kebaikan untuk semua. Bukannya untuk menyusahkan atau menyukarkan hidup kita. Hari ini kita masih diberi oleh Allah kesempatan ruang dan peluang untuk melaksanakan agama yang kita imani ini dalam setiap perkara yang kita lakukan. Mereka yang berhak dan berkuasa bagi merangka dan menggubal dasar pendidikan negara masih lagi dalam tangan orang kita. Maka inilah antara ruang dan peluang kita untuk menerapkan elemen penghayatan agama dalam dunia pendidikan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s