Masjid Besar Jemaah Kecil?

Sekarang ini musim haji. Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang besar, luas dan cantik menggamit kehadiran ramai jemaah haji. Kedua-dua masjid ini, memang tidak pernah sunyi dengan kehadiran jemaah yang datang untuk bersolat dan beriktikaf setiap masa. Kalau musim haji, memang sesak dan padatlah manusia. Kita boleh mengetahuinya melalui laporan Lembaga Tabung Haji di dalam media tiap-tiap tahun.

Berbeza dengan kita. Masjid tempat kita jarang-jarang penuh dan padat. Ada dua waktu yang boleh dilihat penuh iaitu ketika solat jumaat dan semasa solat sunat hari raya sama ada aidil fitri ataupun aidil adha. Ke mana pergi mereka ini selepas itu? Tidak apalah, tidak payah jawab sebab semua orang ada alasan dan kemampuan masing-masing. Kita ambil sikap ‘husnul dzhon’. Barangkali mereka berjemaah di rumah atau sebagainya.

Di bumi Malaysia yang bertuah ini banyak masjid-masjid yang besar dan cantik. Ada yang berbatu, berkristal dan juga berbesi. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah kerana kita memiliki banyak masjid-masjid yang gah dan indah. Cuma, jemaahnya sahaja yang belum besar jumlahnya dan membanggakan kehadirannya. Walaubagaimanapun, ia masih boleh diusahakan.

1. Antara usaha yang aku lihat sedang rancak diatur oleh AJK sesetengah masjid ialah dengan menjemput ramai penceramah tersohor dan terkenal. Sebagai contoh Ustaz Azhar Idrus. Semacam satu fenomena. Ke mana sahaja beliau berceramah, berpusu-pusu muslimin dan muslimah memenuhi masjid. Tetapi sayangnya, di negeri kelahiran ustaz, masjid-masjid besar seakan segan mengundang beliau berceramah. Hanya surau-surau kecil yang menjemputnya yang sememangnya tidak mampu menampung jumlah kehadiran jemaah. Inilah sebenarnya peluang masjid besar untuk dipenuhkan saf-safnya.

2. Ada juga masjid yang berkerjasama dengan TV9 melalui program Raudhah Di Hatiku. Satu program yang baik dan perlu diteruskan dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan institusi masjid. Pelbagai aktiviti yang bertemakan keagamaan dan kekeluargaan telah diatur. Bagi aku, program seumpama ini boleh dicontohi oleh masjid-masjid lain. Tidak perlu tunggu TV9. Masjid boleh melaksanakan program seperti ini untuk dijadikan sebagai program tahunan. Seolah-olah ianya adalah “Hari Bertemu Pelanggan” yang melibatkan pihak masjid, jabatan agama dan pusat zakat negeri.

3. Program ziarah dirasakan amat perlu untuk pihak masjid usahakan. Orang-orang miskin dan asnaf lain di kampung dan taman perumahan di dalam kawasan pemukiman masjid perlu dikenal pasti dan diberi perhatian supaya dapat disalurkan bantuan zakat atau sedekah orang ramai. Begitu juga mereka yang menghidapi penyakit kronik yang memerlukan bantuan kewangan sebaiknya diberi perhatian oleh pihak masjid untuk tindakan susulan. Ini mendekatkan pihak masjid dengan hal ehwal masyarakat khususnya membantu meringankan bebanan mereka yang memerlukan.

4. Manusia ini macam-macam karenahnya. Wujud antara mereka yang memberi alasan ‘orang masjid’ kurang mesra dengan mereka. Lantaran itu, membuatkan mereka tidak berminat dengan masjid. Baiklah, jika begitu, selain memilih individu yang istiqamah dengan solat jemaah di masjid sebagai AJKnya, perlu ada juga kriteria seperti dikenali, bertanggugjawab, mesra, ramah dan tidak sombong. Jabatan agama boleh wujudkan akademi khas untuk kursus-kursus ringkas tentang tadbir urus yang baik dan kemahiran berkomunikasi yang berkesan kepada para AJK yang dilantik. Khatib dan Imam boleh dilatih cara penyampaian kuliah dan khutbah melalui akademi yang sama. Jika sesuatu syarikat yang berjaya memerlukan kursus tertentu untuk kakitangannya, begitu jugalah dengan masjid yang berjaya turut memerlukannya.

5. Hari ini, sudah banyak masjid atau surau yang sudah ada website sendiri. Yang penting, website ini perlu diwar-warkan secara meluas supaya masyarakat sekeliling mengetahuinya. Segala info-info program masjid boleh di’update’ di samping memuat naik klip-klip video atau mp3 rakaman kuliah yang terpilih. Jika ada program menarik, khabarkanlah di media termasuklah di dalam radio. Setakat ini, hanya radio IKIM sahaja yang ada segmen khas untuk program masjid. InsyaAllah, yang dengar IKIM selalunya mereka yang kaki masjid dan surau. Bagaimana dengan yang lain? Cubalah pula mewar-warkannya di stesen-stesen radio lain di dalam segmen interaksi bersama pendengar.

6.  Pihak masjid kalau boleh cuba wujudkan pertandingan pidato secara terbuka kepada anak-anak muda yang berminat. Tajuk-tajuk sesuai bolehlah difikirkan. Barangkali ada dalam kalangan anak muda ini memiliki ijazah dalam jurusan agama di samping ada kebolehan berpidato, mereka ini boleh diangkat sebagai duta masjid dan seterusnya memberi ruang kepadanya untuk berceramah dan berkongsi dengan jemaah. Begitu juga dengan pertandingan azan, mungkin ada anak-anak dalam kampung kita yang lunak dan merdu azannya yang boleh kita pilih. Beri peluang kepada mereka dan jadualkan masa yang sesuai untuk mereka pula menjadi bilal muda.

7. Di sesetengah masjid ada didirikan beberapa gerai makanan dalam kawasannya yang luas. Selalunya orang yang bekerja, mereka akan singgah untuk rehat tengah hari. Di samping menyempurnakan solat fardhu zuhur, mereka juga menjamu selera di gerai-gerai tersebut. Apa kata, masjid-masjid yang besar bangunannya itu disediakan satu bilik khas untuk diwujudkan kaunter pembayaran bil seperti di pejabat pos. Maknanya, orang ramai hanya perlu berada di masjid dalam satu waktu untuk membayar bil, bersolat dan makan tengah hari. Bukankah ianya boleh memudahkan urusan?

Apa yang aku nyatakan di sini hanyalah sekadar cadangan. Mungkin saudara juga memiliki pandangan dan cadangan sendiri yang mungkin lebih baik dan realistik daripada ini. Sungguhpun demikian, apapun jua pandangan kita saudara, pihak masjid tidak boleh lari daripada menjadikan takwa kepada Allah sebagai asas pengimarahannya. Marilah kita sama-sama memenuhi saf di masjid serta surau tempat kita sebagai himpunan harian umat Islam yang berteraskan akidah yang satu.

“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat pertunjuk” (surah at-Taubah 9:18).

2 Comments

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s