Ibarat Air Tawar dan Air Masin

Di kesempatan ini saudara, aku ingin memberi pandangan secara peribadi sebagai anak muda tentang pertembungan politik antara PAS dan UMNO. Isu perkauman melayu dan perpaduan Islam kerap kali akan dijaja tatkala menjelang pilihanraya. Dari dahulu sehinggalah sekarang, inilah antara modal politik yang cuba dipusing kepada rakyat untuk mewujudkan rasa takut rakyat dalam membuat perubahan kepimpinan atau kerajaan.

Kita akui bahawa perpaduan antara umat Islam asasnya adalah akidah. Akidah ini pula perlu difahami dengan jelas bahawa ia bukan sekadar menganut agama Islam untuk layak bergelar muslim, tetapi untuk menganut seluruh sistem dan cara hidup Islam itu semampu boleh. Sebagai muslim yang baik, sudah pasti kita mengimpikan seluruh kehidupan kita ini berlandaskan hukum dan ajaran Islam.

Di Malaysia, PAS dan kebanyakan NGO-NGO Islam begitu jelas dengan dasar dan prinsip Islamnya. Yang berbeza hanyalah pendekatan, yang mana PAS menggunakan pendekatan politik. Sebab itu, kalaulah PAS dan NGO-NGO ini bekerjasama sebagai contoh dalam “Kempen Menghargai Auratmu”. Rasanya tiada masalah besar untuk dijayakan kerana masing-masing jelas dengan dasar dan prinsip mereka. Tetapi bagaimana dengan UMNO? Apakah mereka bersedia?

Hari ini orang bercakap soal hendak mempertahankan akidah umat. Hendak pertahankan akidah, kita terlebih dahulu perlu jelas dengan pegangan akidah itu sendiri. Semua pihak yang jelas pegangan akidahnya pasti memiliki pendekatan dan cara masing-masing yang perlu untuk dilaksanakan bagi menjaga akidah ummah. Begitulah halnya dengan PAS. Rakyat yang selalu mengikuti perjuangan PAS dari dahulu pasti amat menyedari hal tersebut.

Ada pihak mendakwa, jika PAS tidak bersama UMNO kerana perbezaan ideologi dan dasar perjuangan, mengapa PAS boleh bersama PKR dan DAP yang juga berbeza ideologi dengan PAS? Jawabnya PAS dalam Pakatan Rakyat memiliki tekad politik (political will) yang sama. PAS dengan dasar Islamnya menggunakan pendekatan Tahaluf Siyasi dalam menjayakan tekad tersebut. Hal ini dijelaskan oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang seperti berikut;

“PAS mendokong fikrah yang jelas, bahawa kerjasama bersama Pakatan Rakyat adalah dibina dengan berpegang kepada dasar bantu-membantu dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman”

“Kerjasama PAS selama ini dengan DAP contohnya, adalah di atas nama “Tahaluf Siyasi” yang dibenarkan agama dan tidak menggadai prinsip”

“Kerjasama seperti ini tidak sama dengan kerjasama wala’ antara UMNO dengan MCA dan MIC yang menggadai prinsip Islam, hanyut dengan kuasa dan seterusnya menghilangkan jati diri Melayu Islam dalam negara ini” (Harakahdaily)

Pendekatan Tahaluf Siyasi ini juga dibahas oleh Dr. Khairuddin Aman Razali At-Takiri, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “PAS dan Tahaluf Siyasi” pada Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan (2011). Antaranya beliau menyatakan;

“Tahaluf Siyasi adalah berkerjasama untuk menentang kezaliman dan selagi tidak menghalalkan yang haram serta mengharamkan yang halal. Sekiranya hasil dari “Tahaluf Siyasi” ini akan merugikan PAS seperti meyebabkan PAS berada di pihak yang lemah yang boleh merugikan perjuangan Islam atau menghalalkan yang haram, PAS pasti akan melakukan kajian semula pula nanti”

“Hasil kerjasama itu walaubagaimanapun tidak mungkin akan merugikan pihak PAS kerana perkara itu sememangnya sentiasa dipantau oleh para pemimpin parti dengan teliti secara berterusan”

“Matlamat perjuangan PAS (politik yang menegakkan keadilan menurut Islam) tidak akan berubah sampai bila-bila dan ia berbeza dengan pendekatan, yang boleh berubah pendekatannya berdasarkan kepentingan semasa”.  

Sehubungan dengan itu saudara, tekad politik Pakatan Rakyat ini diterjemahkan melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menghormati kedudukan Islam dalam negara, kedudukan dan kepentingan melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu Berpelembagaan dan memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perkara ini seterusnya disusuli dengan dokumen Buku Jingga yang menawarkan sesuatu yang difikirkan baik demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam menangani kemelut ekonomi negara hari ini yang dibebani dengan inflasi, defisit, rasuah dan hutang yang tidak terkawal, mereka sekali lagi berpakat untuk mengemukakan belanjawan alternatif untuk rakyat meneliti dan membuat perbandingan akan teras dan cadangan yang digariskan. Alhamdulillah, sebahagian daripada tekad politik mereka sudah pun dapat direalisasikan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Hal ini sudah tentu berbeza dengan sikap dan pendirian UMNO dan BN. Biarpun mereka setiap hari memperlekehkan pakatan tersebut, namun hari demi hari juga rakyat melihat mereka pula yang cuba meniru dan mencedok idea-idea pembangkang serta tidak mampu menolak pencapaian baik kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat khususnya setelah mendapat pujian daripada Laporan Ketua Audit Negara.

Bagi aku saudara, kewujudan sistem dua parti seumpama ini merupakan peluang baik bagi rakyat Malaysia untuk melakukan perubahan atau transformasi dalam konteks politik. Berbeza fahaman dan prinsip politik tidak bermakna tiada perpaduan antara rakyat. Lagipun, aku melihat bahawa selagi UMNO dengan dasar dan prinsipnya, selagi itulah UMNO dan PAS sukar untuk disatukan. Ianya ibarat air tawar dan air masin. Walaupun kedua-duanya air, tetapi ia mustahil untuk bercantum.

Sungguhpun demikian, air tawar tetap ada peranannya dan air masin juga turut ada perananya. Bersainglah dengan baik dalam berperanan dan berebutlah dalam menyumbang sesuatu yang bermanfaat untuk kami rakyat Malaysia. Kami sedia untuk menilai dan memilih dalam ruang demokrasi yang benar-benar diyakini telus dan bersih.

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung,” (surah ali-Imran 3:104)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s