Hidup Biar Berkat

Menarik bila mendengarkan pengalaman rakan-rakan yang telah pun berkerjaya. Ternyata pengalaman semasa berkerja walaupun masih baru, berbeza jika dibandingkan dengan apa yang kita lalui semasa berlajar dahulu.

Perbezaan itu boleh dilihat melalui suasana berkerja, ada rakan sekerja yang agak sebaya dan yang sudah berumur dalam peringkat mak ayah kita pun ada. Di sini, cabaran untuk saling menghormati dan berkerja sebagai satu ‘teamwork’ perlu ditempuhi dengan keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian rakan-rakan sekerja. Sebagai pekerja juga, mereka tidak akan terlepas daripada proses penilaian daripada majikan. Di mana-mana pun, penilaian ini penting bagi memastikan setiap kakitangan berada dalam tahap kompetensi yang dikehendaki dan seterusnya memberi peluang kepada majikan untuk mengenal pasti potensi para pekerjanya.

Sebab itu ada orang berkata; As a student, you will be evaluated by your lecturer only at a particular time, but as a worker, you will be evaluated by your employer at any time.

Itulah antara cabaran yang harus ditempuhi oleh mana-mana pekerja. Cabaran yang bukan sahaja dalam usaha menyiapkan tugasan yang diberi, bahkan cabaran untuk menghasilkan output kerja yang berkualiti dan bermutu seperti yang dikehendaki majikan ataupun organisasi.

Walaubagaimanapun saudara, terdapat lagi cabaran lain yang mungkin tidak sekuat dengan apa yang pernah kita alami semasa belajar dahulu. Cabaran bagi menyiapkan apa-apa tugasan yang diberi barangkali sudah biasa kita alami sebagai pelajar dulu, bezanya mungkin dalam skop dan cara tugasan tersebut dilaksanakan. Jadi saudara, apa sebenarnya cabaran lain yang dimaksudkan itu?

Cabaran Integriti

Cabaran yang dimaksudkan itu adalah cabaran integriti. Di dunia akademik dan pengajian, tidaklah terlalu sukar isu-isu integriti untuk kita hadapi. Cabaran integritinya hanya berkisarkan tentang isu-isu ‘copy and paste’, plagiat, ponteng kuliah, meniru semasa peperiksaan dan sebagainya. Kebanyakan mahasiswa di IPT boleh dikatakan masih mampu menjauhi isu-isu seumpama itu kerana kes-kes melibatkan perkara tersebut tidak terlalu serius. Bukan tidak ada langsung, tetapi jumlahnya masih terkawal.

Berbanding dengan sektor pekerjaan, sama ada di sektor awam mahupun di sektor swasta, cabaran integriti cukup mencabar khususnya yang berkaitan dengan pengurusan. Bagi mereka yang mahu mempertahankan integriti dirinya, sudah pasti mereka akan merasakan bertapa mencabarnya untuk menghadapi suasana korup yang mengepung dirinya. Namun, bagi mereka yang tidak mempedulikan isu integriti, mereka berpendirian bahawa inilah peluang untuk mencipta kemewahan hidup atau ‘lubuk untuk mendapat kekayaan’.

Ada seorang sahabat aku. Kini beliau bertugas di sebuah syarikat kontraktor yang besar. Dengan kelulusan ijazah, beliau diterima bekerja di situ untuk menguruskan hal-hal berkaitan pengurusan yang melibatkan bidang pendawaian elektrik di sesuatu projek kendalian syarikat. Biasanya, kontraktor kelas tinggi ini akan buka tender kepada kontraktor-kontraktor kecil untuk menyiapkan projek pemasangan dan pendawaian.

Apa yang perlu beliau lakukan hanyalah memastikan segala projek yang telah dianugerahkan tender atau yang telah di’sub’kan kepada kontraktor lain dijalankan mengikuti spesifikasi yang ditetapkan. Di samping itu, syarikat juga memerlukan barang-barang tertentu daripada pembekal-pembekal yang terpilih.

Ketika sama-sama terlibat dalam program Qurban sebagai petugas tempoh hari, tatkala aku bertanyakan akan perihal tugas dan skop kerjanya, beliau menggambarkan serba sedikit tentang itu di samping beberapa cabaran integriti yang datang menerkam dari segenap penjuru.

Sepanjang bulan Ramadhan menurutnya, hampir setiap hari beliau menerima jemputan untuk berbuka puasa dengan percuma di hotel-hotel mewah daripada pelbagai syarikat dan kompeni. Selain itu, kerap juga sesetengah syarikat pembekal menawarkan habuan dalam bentuk komisen seandainya beliau bersetuju menerima tawaran daripada syarikat pembekal tersebut.

“Benda ni dah jadi benda biasa, kalau tak kuat memang tak tahan punya,” demikianlah kata-katanya yang masih aku ingat.

Alhamdulillah, beliau masih kuat. Semua tawaran tersebut mampu dijauhkan tatkala memikirkan soal keberkatan. Tidak ramai sebenarnya yang berkemampuan berhadapan dengan perkara ini. Kalau seseorang itu memang tidak pernah mempedulikan hal-hal keberkatan dan integriti ini. Sudah pasti cukup mudah untuk terjerat.

Integriti Dan Keberkatan

Sebagai muslim, integriti dengan sendirinya boleh diwujudkan sama ada semasa belajar atau berkerja atau apa sahaja tatkala kita memahami soal keberkatan. Soal keberkatan mempunyai hubungannya dengan konsep dosa-pahala dan halal-haram. Kita pasti mahukan hidup yang berkat dan rezeki yang berkat daripada Allah. Keberkatan tidak akan diperolehi seandainya kita tidak mempedulikan sama ada sesuatu perkara itu baik atau dosa.

Hidup yang berkat adalah melalui kerja yang baik lagi halal, kerja yang tidak menipu dan tidak pula menyeleweng. Sebarang pekerjaan yang dilakukan dengan jujur dan benar, telus, ikhlas dan berkualiti di samping memiliki komitmen yang tinggi menjamin rezeki yang berkat. Saudara, inilah pendekatan dan cara bagaimana seseorang muslim yang mukmin mempertahankan integriti dirinya dalam perkerjaan atau perkhidmatan.

Biarpun kita mungkin dilihat ‘bodoh’ kerana tidak pandai mengambil kesempatan untuk mengaut bermacam komisen dan pelbagai tawaran wang dan harta yang datang, namun sebenarnya kita celik. Kita tidak buta mata dan hati untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. Orang yang celik adalah orang yang bercita-cita takwa. Orang yang bertakwa, dijanjikan Allah seperti mana terkandung di dalam Ayat Seribu Dinar yang mungkin tergantung di rumah atau di pejabat kita.

“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu,” (surah at-Talaq 65:2-3)

Segalanya Daripada Allah

“Bagaimana anda boleh berjaya hingga ke tahap ini?” tanya wartawan kepada seorang usahawan yang berjaya.

“Saya berjaya setakat ini adalah kerana usaha, ilmu dan pengalaman saya selama ini,”

Jika kita renungkan saudara. Rasanya tiada apa-apa kesalahan pada soalan yang diberikan di atas. Wartawan sudah pasti mempunyai haknya untuk bertanya apa-apa soalan yang berkaitan dengan kejayaan usahawan itu. Tetapi, bagaimana dengan jawapan usahawan tersebut? Ada kesalahan atau tidak?

Khutbah Jumaat

Aku masih ingat tentang satu khutbah jumaat yang pernah aku dengar di Masjid UniSZA, Terengganu. Ada seorang imam yang pandai menarik perhatian jemaah yang sedang mendengar khutbah jumaatnya. Dalam khutbah jumaat yang pertama, kebiasaannya beliau akan membaca teks khutbah yang disediakan. Seterusnya, dalam khutbah kedua, beliau mengambil kesempatan berkongsi pandangan dan nasihat-nasihat agama seringkas mungkin sebelum mengakhiri khutbahnya.

Antara perkara yang pernah beliau kongsikan ialah:

Kalau ada orang tanya, “Sudah makan atau belum?”

Selalunya, kalau kita sudah makan, kita akan jawab, “Ya, saya dah makan,”

Kalau ada orang tanya lagi, “Anak-anak dah berapa orang sekarang?”

Selalunya, kalau yang sudah ada anak, dia akan jawab, “Setakat ni baru dua orang,”

Hendak tak kalau saya nak berkongsi jawapan-jawapan yang lagi baik, yang lagi molek untuk menjawab soalan-soalan tadi?

Kalau soalan itu, “Sudah makan atau belum?” maka kita jawablah, “Alhamdulillah, saya sudah makan,”

Kalau soalan itu, “Anak-anak sudah berapa orang?” maka kita jawablah, “Alhamdulillah, sudah dua orang,”

Ucaplah “Alhamdulillah” kerana itu tanda kita bersyukur, tanda kita akui segalanya yang datang kepada kita hanyalah dari kurniaan Allah.

Demikianlah saudara, sedikit isi dari khutbah yang pernah aku dengar. Walaupun isu yang dibangkitkan dalam perkongsian ringkas itu dilihat kecil, tetapi itulah realitinya bahawa segala kurniaan dan rezeki yang kita perolehi semuanya datang daripada Allah. Memanglah kita tidak berdosa jika tidak menyebut atau mungkin terlupa menyebut kalimah Alhamdulillah. Cuma, tidakkah ianya lebih baik dan lebih molek sekiranya kita selitkan dalam pertuturan kita itu kalimah “Alhamdulillah” tatkala mengungkap segala rezeki dan kurniaan Allah.

Jika kita menyebut dan memuji Allah. Kita akan dapat pahala. Sekiranya kita tidak menyebut dan memujiNya sekalipun, tidaklah Allah itu di dalam kerugian. Yang pasti rugi adalah kita, kerana kita tidak pandai mengambil peluang untuk memuji Allah swt. Sama ada hendak memuji Allah melalui kalimah Alhamdulillah atau tidak, terpulang kepada diri kita untuk memilih mana yang terbaik. Yang penting, kita mengakui bahawa kesemua kurniaan dan rezeki itu datangnya daripada Allah.

Jangan pula kita menjadi seperti golongan seumpama Qarun, saudara. Golongan ini tidak pernah mengakui yang segalanya datang daripada kehendak Allah. Mereka beranggapan bahawa, segala ilmu, kerja dan amalan mereka sahajalah yang boleh membawa mereka ke puncak kejayaan atau sebagai punca rezeki mereka. Sedangkan, jika kita berilmu, berusaha dan beramal sekalipun jika tidak dengan rahmat dan keizinan Allah, tiada apa yang akan kita dapat dan perolehi.

Qarun Yang Sombong

Ramai pasti kenal dengan Qarun. Kita kenal dirinya melalui sirah para anbiya khususnya pada zaman nabi Musa as. Qarun, kalau dia hidup pada zaman kita, barangkali dia akan mendapat pangkat Tan Sri atau Datuk kerana ilmu dan kekayaannya yang luar biasa pada zaman tersebut. Walaubagaimanapun, Qarun yang kaya dan hartawan tersebut enggan mematuhi perintah Allah tatkala dinasihatkan untuk berbuat demikian. Beliau dengan sombong dan takabur menolak dan berkata seperti mana dirakamkan di dalam al-Quran;

“Dia (Qarun) berkata; ‘Sesungguhnya aku hanya diberi harta (rezeki) itu kerana ilmu yang ada padaku,” (Surah al-Qasas 28:78).

Menjadi orang yang berilmu tidak salah bahkan dianjurkan di dalam Islam untuk kita mencari ilmu. Namun, bergantung harap kepada ilmu semata-mata tanpa mengakui segalanya itu hanya datang daripada Allah adalah satu kesilapan Qarun. Hanya kerana memiliki ilmu yang lebih sedikit daripada yang lain, beliau sudah sombong lantas mengakui ilmunya itulah penyebab kepada kemewahanya. Sehinggakan, nasihat-nasihat baik tidak lagi diendahkan.

Contohi Nabi Sulaiman

Sikap yang ada pada Qarun tidak terdapat pada nabi Sulaiman as. Sungguhpun Sulaiman as memiliki seluruh pemerintahan dan kekuasaan di bumi, namun baginda tetap tunduk dan patuh kepada Allah. Semua makhluk bukan sahaja manusia, malahan haiwan dan golongan jin turut berada di bawah pemerintahan nabi Sulaiman as. Tiada satu pun pemerintahan yang cukup berkuasa dan kaya-raya seumpama ini, yang pernah muncul dalam sejarah dunia melainkan kerajaan yang dipimpin nabi Sulaiman as.

Nikmat yang dianugerahkan kepada baginda Sulaiman as disyukuri dengan sepenuh hati dan tatkala itu menjalankan amanah pemerintahan dengan adil serta berusaha merealisasikan Islam dalam kepimpinannya. Bagi nabi Sulaiman as, kesemua nikmat yang diperolehinya adalah dari Allah swt dan bertujuan untuk menguji tahap keimanan seseorang.

“Berkata Sulaiman as; Ini termasuk kurniaan Tuhanku untuk mengujiku, apakah aku bersyukur atau mengingkari (nikmatNya). Sesiapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk kebaikan dirinya, dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia,” (surah an-Namlu 27:40).

Diharapkan saudara, kita sama-sama mengambil pengajaran daripada kisah-kisah ini. Berusaha dan beramallah, tetapi sandarkanlah kesemuanya itu kepada Allah kerana hanya daripada Allah sahajalah kita memperolehi rahmat dan kurniannNya. Seandainya kita mendapat sesuatu kebaikan daripada Allah, sambutlah dengan rasa syukur dan lembutkanlah lidah kita dengan kalimah ‘Alhamdulillah’.

Cerita Lembu

Kecoh satu Malaysia cerita tentang lembu. Skandal ini bermula tatkala laporan ketua audit negara dihebahkan kepada umum. Skandal kali ini melibatkan dana rakyat bernilai RM250 juta kepada pihak yang tiada kepakaran dan pengalaman langsung dalam ternakan feedlot. Jika kita melihat tujuan projek ternakan lembu secara feedlot ini, apatah lagi melibatkan pengeluarannya yang berskala besar, ianya cukup baik dan murni khususnya bagi meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan. Ini sekaligus berkeupayaan memenuhi “40% self-sufficiency” keperluan daging lembu negara.

Tetapi sebaliknya berlaku. Macam-macam cerita yang keluar. Lembu masuk ‘kondo’lah, lembu naik Mercedes, dan bermacam-macam lagi. Apapun saudara, di dalam negara yang di dalamnya mendukungi prinsip demokrasi, pemerintah perlu berlapang dada menerima teguran dan kritikan rakyat. Rakyat berhak mengetahui status projek ini yang dikatakan rugi RM 7 juta (tahun 2008) dan RM11 juta (tahun 2009). Debat antara Rafizi (PR) dan Khairy (BN) sememangnya dinantikan bagi rakyat mengetahui isu ini dari sudut pro dan kontranya. Tidak perlulah isteri tauke lembu feedlot RM250 juta ini hendak singsing lengan kononnya menyerang peribadinya. Sedangkan yang dikritik, adalah cara urus tadbir dan pengurusan projek ini yang memerlukan pertangungjawaban.

Perternak Lembu Contoh

Ketika aku di tahun akhir pengajian “degree” tempoh hari. Aku bersama rakanku, Nozulaidi berkesempatan untuk menemuramah seorang perternak lembu yang berjaya di Terengganu. Temuramah ini dirangka bagi menyiapkan tugasan ‘Marketing Plan’ yang diberikan pensyarah. Perternak berjaya itu ialah Ismail Muhammad atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pok We. Hasil keringat beliau dalam perusahaan ternakan lembu ini sejak muda, telah membolehkan beliau menubuhkan syarikat Ismail Muhamad Enterprise yang memfokuskan pengeluaran lembu dan penghasilan makanan silage daripada rumput napier.

Hari ini, Pok We tidak keseorangan membangunkan syarikat tersebut, beliau dibantu oleh anak-anaknya yang sememangnya diberikan pendedahan dari awal dalam hal ehwal ternakan dan makanan silage. Pok We berkepakaran melakukan teknik ‘artificial insemination’ untuk ‘breeding programme’ dan adakalanya dijemput oleh Jabatan Verterinar untuk memberi ceramah dan seminar tentang pengalamannya yang luas dalam ternakan lembu dan penghasilan rumput silage.

Kini jumlah lembu yang diternak oleh Pok We kira-kira 400 ekor. Kadang-kadang beliau terpaksa mengimport dari Thailand bagi memenuhi permintaan tempatan khususnya menjelang Hari Raya Qurban. Beliau juga memiliki kebun rumput napier seluas kira-kira 100 ekar di tanah miliknya di sini dan 200 ekar lagi di Tapah, Perak dan Kulim, Kedah. Pernah dulu rakan-rakanku, Anas, Mohiddin dan termasuklah Nozulaidi berpraktikal di sini. Menurut rakanku, budaya kerja Pok We dan anak-anaknya sememangnya boleh dipuji. Mereka begitu komited dan bersungguh membangunkan perusahaan mereka.

Di samping itu, dengan keuntungan yang diperolehi, mereka pernah menaja satu rombongan melibatkan orang-orang kampong ke Kuala Lumpur. Setiap peserta rombongan diberikan pula elaun makanan disepanjang program tersebut. Adakalanya pula, mereka menjual daging di tepi jalan besar sambil menghadiahkan bubur lambok kepada pelanggan-pelanggan yang datang membeli daging terutamanya ketika bulan Ramadhan. Mengikut rakanku lagi, sepanjang mereka berpraktikal, Pok We tidak pernah lekang memberi nasihat dan berkongsi apa sahaja tentang perusahaannya.

Bagi aku, Pok We adalah salah satu contoh orang melayu yang berjaya dalam perniagaan ternakan lembu dan penghasilan rumput silage. Biarpun pengeluarannya dalam skala yang kecil pada mulanya, tetapi berkat usaha dan kegigihannya, hari ini Pok We, seorang yang buta huruf sebenarnya, telah berjaya keluar daripada kelompok masyarakat luar bandar yang miskin. Perternak-perternak seperti Pok We inilah seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak kerajaan sekiranya mahu membantu meningkatkan pengeluaran daging lembu memandangkan beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman yang cukup luas dalam bidang ternakan ini. Diharapkan Pok We dan anak-anaknya dimurahkan rezeki oleh Allah dan terus berjaya di tahun-tahun yang mendatang.

Lembu Tidak Boleh Kawal Lembu  

Lazimnya, masjid tempat aku selalu solat jumaat akan mengadakan slot tazkirah ringkas sebelum azan zohor. Dalam tazkirah tersebut, ustaz itu membuat satu analogi. Katanya, lembu tidak akan mampu untuk mengawal atau menjaga lembu-lembu lain. Memang benar, seekor lembu tidak akan mampu membina sendiri kandang ‘feedlot’nya atau memproses makanan dedak mahupun silage. Yang boleh membinanya dan memprosesnya hanyalah manusia sebagai tuan kepada lembu-lembunya.

Begitu halnya dengan manusia. Sehebat mana pun manusia, kita tidak akan berkeupayaan mencipta bumi sendiri, langit sendiri mahupun oksigen yang kita hirup setiap hari. Hari ini, macam-macam kejahatan dan kezaliman manusia di sana sini sehinggakan manusia tidak mampu mengawal manusia lain sungguhpun pelbagai pendekatan dilaksanakan. Yang boleh mengawal dan Maha Tahu mengawal manusia hanyalah Allah, pencipta manusia dan segala yang ada dunia ini. Sebab itulah, Allah taala berikan kita agama sebagai panduan untuk kita patuh bagi memakmurkan dunia hari ini. Allah lebih mengetahui tentang segala apa yang diciptanya kerana Dialah Tuhan kita. Tidak yakinkah?

Teruk Daripada Lembu

Akhir sekali saudara, antara kelebihan twitter ialah kita boleh mengetahui ‘trend’ yang popular dalam kalangan pengguna. Aku cuba menjejak trend #lembu. Ternyata ramai juga yang tweetnya menyebut perihal lembu. Selain tweet-tweet tentang skandal lembu, ada juga seorang pengguna twitter menulis antaranya yang aku ingat;

Lembu: Di mana tuan tidur?

Tuan: Di atas tilam yang empuk.

Lembu: Tak sama dengan saya tidur (Tiba-tiba azan berkumandang). Tuan ni bersolat tak?

Tuan: Hehe..tidak..

Lembu: lol..yang ini memang sama macam  aku hehe (bisiknya di dalam hati)

Kalau manusia yang disuruh Allah untuk bersolat, berzakat, berhukum dan sebagainya tetapi enggan melaksanakannya, samalah seperti lembu yang memang tidak ada tanggugjawab (takhlif) yang perlu dipikul. Tetapi, sekurang-kurangnya, lembu tidak pernah ambil rasuah dan menyeleweng. Kalau ada manusia yang rasuah dan menyeleweng, teruklah dia berbanding dengan lembu.

“Dan sesungguhnya, kami jadikan isi neraka jahanam kebanyakannya terdiri daripada jin dan manusia, mereka memiliki hati, tetapi tidak memahami (ayat-ayat Allah) dengannya, dan mereka memiliki mata, tetapi tidak melihat (tanda kekuasaan Allah) dengannya, dan mereka memiliki telinga, tetapi tidak mendengar (peringatan dan suruhan Allah) dengannya, mereka itu seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi”. (surah al-A’raf 7:179)