Jujurlah

Semua orang tahu bahawa jujur adalah sifat yang baik. Sungguhpun demikian, tidak semua orang mampu bersifat jujur walaupun dia tahu yang jujur merupakan sifat yang terpuji. Jangankan jujur kepada orang lain, jujur pada diri sendiri pun terkadang tidak termampu.

Orang yang jujur, beramanah dan berintegriti pula adalah mereka yang bermaruah tinggi. Mereka tidak akan mudah terpesona dengan segala macam sogokan, rasuah dan pujuk rayu manusia. Biarpun mereka mungkin di dalam kesempitan dan kesusahan, tetapi orang yang jujur tidak menjadikan kesempitan dan kesusahan itu sebagai alasan untuk tidak bersifat jujur.

Nabi saw memotivasikan kepada kita akan kebaikan seandainya kita memilih kejujuran berbanding pengkhianatan dan pembohongan;

“Sesiapa antara kamu yang mempunyai empat perkara ini maka dia akan terhindar daripada kemelaratan berhubung apa yang tidak diperoleh dari dunia ini: (1) Berkata Benar, (2) Beramanah, (3) Baik tingkah laku dan (4) Menjaga makanan (supaya terhindar daripada sumber haram)  (Hadith riwayat Imam al-Hakim)

Walaubagaimanapun saudara, perkara yang baik dan molek seperti ini merupakan perkara yang bukan senang biarpun nampak macam mudah. Akan ada dihadapan kita halangan yang bakal menguji ketahanan diri untuk bersifat dengan akhlak yang terpuji. Hal ini disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul Abidin;

“ Empat ujian atau halangan yang sering menghalang manusia daripada mendekatkan diri kepada Allah. Keempat-empat perkara itu ialah: (1) Dunia, (2) Manusia, (3) Hawa Nafsu dan (4) Syaitan.

Oleh itu, sama-samalah kita saudara mengambil pengajaran daripada kisah-kisah  dibawah yang ingin aku kongsikan di dalam kesempatan kali ini.

Susu Campur Air

Kisah ini berlaku pada zaman kepimpinan Saidina Umar al-Khattab. Ketika itu ada sebuah keluarga yang mengusahakan perniagaan menjual susu ternakan. Bagi meningkatkan hasil jualan, maka timbul satu idea dan cadangan untuk mencampurkan susu tersebut dengan air. Dengan itu, jumlah atau kuantiti susu dapat dibanyakkan. Sungguhpun demikian saudara, cadangan itu ditolak oleh seorang anak gadis. Biarpun dipujuk bahawa tiada siapa yang akan tahu termasuklah khalifah Umar sekiranya mereka berbuat demikian. Namun gadis itu tetap pertahankan kejujuran dan integritinya dengan berkata;

“Jika khalifah Umar tidak nampak perbuatan itu, Allah tetap melihat segala perbuatan kita”

Kambing Kena Baham

Abdullah bin Dinar pernah menceritakan bahawa, suatu hari khalifah Umar al-Khattab pernah menyamar dan menguji seorang hamba sahaya yang bertugas sebagai pengembala kambing. Antara dialognya adalah seperti berikut:

Umar : Wahai pengembala kambing, jualkanlah kepadaku seekor kambing dan katakanlah kepada tuanmu bahawa kambing itu dibaham oleh seekor serigala.

Penggembala : Tetapi bagaimana hendak aku sembunyikan semua ini daripada Allah?

Mendengarkan jawapan itu saudara, Saidina Umar terus menitiskan air mata lantas membawa penggembala kambing tersebut kepada tuannya untuk dimerdekakan. Saidina Umar berkata kepada penggembala tersebut:

“Kejujuranmu menyebabkan kamu dimerdekakan di dunia ini. Semoga kejujuran ini juga yang memerdekakanmu di akhirat nanti”.

Sebab itu saudara, semasa Saidina Umar al-Khattab memerintah negara dengan Islam sebagai prinsip utamanya, Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata kepadanya:

“Oleh kerana kamu bersifat jujur, maka rakyat pun bersifat jujur seperti kamu,”.

Kain Murah Jual Mahal

Di dalam kitab Ihya Ulumuddin karya Imam al-Ghazali, terdapat kisah seorang mukmin yang bernama Yunus bin Ubaid. Beliau merupakan usahawan kain dan memiliki sebuah kedai. Kain yang dijual di kedainya ada dua jenis iaitu yang berharga 400 dirham dan 200 dirham. Pada suatu hari, semasa Yunus ke masjid berhampiran untuk bersolat, datang seorang Badwi membeli kain dengan harga 400 dirham. Urusan jual beli itu dikendalikan oleh anak saudaranya. Walaubagaimanapun, anak saudaranya melakukan kesilapan dengan menjual kain bernilai 200 dirham dengan harga 400 dirham.

Semasa Yunus pulang menuju ke kedainya. Yunus terserempak dengan arab badwi yang membeli kain di kedainya tadi. Yunus bertanyakan berkenaan dengan kain yang sedang dipegang oleh badwi tersebut. Menyedari anak saudaranya telahpun melakukan kesilapan, Yunus memnita supaya badwi itu kembali semula ke kedainya untuk digantikan kain yang tersalah itu. Namun, badwi tersebut berkata, “Tidak mengapa, saya sudah bersetuju membelinya dengan 400 dirham. Lagipun di tempat saya, kain seperti ini dijual dengan harga jauh lebih mahal”. Yunus tetap bertegas dan menarik badwi itu ke kedainya dan ditukarkan kain yang sepadan dengan harganya.

Begitulah kisah kejujuran manusia yang di dalam dadanya ada rasa takwa. Jika kita tidak ada ketakwaan, barangkali susu ternakan yang dijual akan dimasukkan air untuk ditambah kuantitinya atau dalam industri hari ini, susu itu dicampur dengan protein melamin secara berlebihan semata-mata untuk mengaut keuntungan semaksima mungkin. Barangkali juga, jika tidak kerana takwa, pasti ada kambing atau lembu yang dibuat-buat mati di atas kertas sedangkan ternakan itu dijual dan keuntungan disonglap tanpa pengetahuan tuanya.

Lebih teruk, dana awam untuk beli sesuatu diganti dengan beli perkara lain kononnya sebagai strategi perniagaan atau dibohongi dengan harga yang tinggi. Mungkin juga, jika tanpa takwa, tuan kedai akan berterima kasih kepada pembantunya kerana ‘bijak’ menipu harga barangan yang dijual. Cukup bulan, gaji anda naik dan bonus pun akan dapat di atas ke’cerdikan’ menipu pelanggan.

Adakah ini yang dikejar dan direbut ramai manusia di siang dan malamnya?

1 Comment

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s