Rakyat Mahukannya

Semakin dekat dengan musim pilihanraya, semakin dekatlah para pemimpin bertemu dengan rakyatnya. Mana yang tidak cukup sebelum ini, akan segeralah dicukupkan sebelum tarikh pilihyanraya diumumkan. Inilah kebiasaan yang dapat dilihat.

Kalau sebelum ini jalan kampung pecah-pecah atau tidak berturap. Bila ditanya kenapa tidak segera dibaiki. Jawabnya, peruntukan lambat proses la, akan di bawa ke mesyuarat la dan seribu macam alasan lagi. Tetapi, kalau saudara pergi adu masalah ini hari ini, esok sekelip mata jalan itu akan segera dibaiki dan diturap. Lepas itu masuk surat khabar, masuk televisyen, taja sana sini bahawa inilah kerajaan perihatin, inilah kerajaan yang faham nurani rakyat. Hanya mereka yang mampu memerintah.

Rakyat hendak memilih pemimpin yang mana, hendak pilih parti yang mana, semua itu adalah kehendak dan hak rakyat. Rakyat sebagai pengundi umpama hakim. Hakim yang baik adalah hakim yang membuat keputusan yang adil. Hendak membuat keputusan yang adil memerlukan maklumat secukupnya. Untuk itu, hakim perlu mendengar hujah kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang). Jika perlukan saksi (media), saksi mestilah amanah dengan kesaksiannya dalam membuat kenyataan. Setelah itu, hakim akan mula menganalisis dengan teliti dan barulah buat keputusan.

Rakyat mahukan maklumat. Apabila maklumat yang diperolehi melalui surat khabar dan televisyen dirasakan tidak mencukupi, maka rakyat akan keluar mencari maklumat. Ada yang mencarinya di laman sesawang, media-media alternatif dan juga di ceramah-ceramah umum di tempat awam. Inilah nasib rakyat di Negara Demokrasi Terbaik yang dahagakan maklumat yang adil.

Niat suci rakyat untuk mendengar dan mendapat maklumat tidak semudah yang disangka. Entah teori demokrasi mana yang mereka tiru, kita pun tidak tahu. Mungkin ini yang journalist al-jazeera maksudkan sebagai this is democracy, Malaysian style. Ceramah-ceramah umum yang sebelum ini berlangsung dengan aman, mutakhir ini diganggu oleh pihak yang barangkali sudah tidak senang duduk.

Ceramah ‘pengacau’ sengaja diadakan di kawasan berdekatan. Dikuatkan sound system dan dihalakan speaker ke arah ceramah rakyat. Maka, sedikit sebanyak rakyat yang mahukan maklumat dan penerangan dari pemimpin mereka terganggu. Kedengaran dari ceramah ‘pengacau’ suara menjerit-jerit dan terpekik melolong mencaci dan memaki-maki penceramah-penceramah rakyat yang sedang menyampaikan penerangan. Bukan itu sahaja, ada di sesetengah tempat merosakkan kenderaan penceramah dan hampir mencederakan penceramah.

Tidak terdetikkah dalam hati ‘pengacau’ tadi rasa malu mengganggu program pihak lain. Jika rasa terjejas pun dengan sambutan ceramah rakyat tadi, janganlah sampai ditunjukkan secara jelas kepada kami, pengundi-pengundi muda. Nampak sangat seolah-olah terdesak mahu pertahankan kuasa dan sokongan dengan menggangu ceramah rakyat.

Apakah tidak cukup penerangan mereka yang 24 jam mengawal laporan media massa sehingga mahu menghalang dan menganggu rakyat yang mahukan maklumat alternatif. Kalau apa yang mereka war-warkan dalam media dianggap sebagai perkara terbaik untuk rakyat, tidak perlu mengganggu dan mengacau seperti ini. Sebaliknya, anjurlah pelbagai program debat dan forum. Di dalamnya ada wakil parti kerajaan dan pembangkang. Masing-masing diberi peluang untuk membahas dan membentangkan kepada rakyat tentang dasar dan polisi parti masing-masing. Rakyat akan hadir dan menilai.

Rakyat Malaysia hari ini khususnya golongan muda akan terus meniti hari-hari depan mereka dengan mengharapkan suasana atau mindset sebuah politik baru. Politik baru yang diimpikan itu adalah politik yang segar dengan idea dan hujah dan pemain-pemainnya pula terdiri daripada mereka yang beradab dan berintegriti. Pengacau-pengacau tadi kalau hendak, boleh terus mencaci dan memaki sesuka hati mereka tetapi mereka mesti ingat, pendekatan samseng seperti itu akan terus ketinggalan ke belakang. Ketika itu, jangan tanya rakyat mengapa mereka tidak dipilih.

MenDengarLah

Setiap manusia mempunyai satu mulut dan dua telinga. Aksesori mulut dan telinga ini kedua-duanya terletak di kepala kita. Aksesori ini bukan barang milik kekal kita, tetapi barang pinjaman Allah taala kepada kita. Ramai berpendapat, antara hikmah Allah taala meminjamkan kepada kita satu mulut dengan dua telinga adalah untuk kita memperbanyakkan mendengar daripada berbicara.

Mendengar dan berbicara merupakan dua perkara penting dalam komunikasi. Walaubagaimanapun, kita biasanya diberi penekanan tentang teknik bercakap berbanding teknik mendengar. Sedangkan, faktor yang menghasilkan sesuatu komunikasi itu berkesan bukan hanya sekadar melalui kemahiran bercakap dan berbicara, tetapi juga melalui kemahiran mendengar yang betul. Dalam hal mendengar ini, Stephen R. Convey pernah berkata:

 “Communication is the most important skill in life.  We spend most of our waking hours communicating.  But consider this:  You’ve spent years learning how to read and write, years learning how to speak.  But what about listening?  What training or education do you have that enables you to listen so that you really, deeply understand…

Barangkali kita tidak pernah dengar pun malah menghadiri mana-mana kursus atau bengkel yang mengasah kemahiran mendengar. Yang ada hanyalah kursus dan bengkel untuk pengucapan awam (‘public speaking’), perbahasan, pantun dan sebagainya yang semuanya bertujuan mengasah dan melatih kemahiran lisan individu yang diwujudkan sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti. Apabila kita kurang pendedahan tentang kemahiran mendengar, maka respon atau tindak balas kita terhadap sesuatu yang kita dengar juga ada kalanya tersilap.

Dengar untuk Faham

Kebanyakkannya, kita mendengar bukan untuk memahami apa yang tersirat disebalik yang tersurat, tetapi mendengar untuk bersedia membalasnya dan kemudiannya mendabik dada bahawa telah menjadi pendengar yang baik. Sedangkan, kita tidak pun memahami maksud sebenar kata-kata yang didengar itu.

Di dalam buku 25 Ways How to Win with People oleh John C. Maxwell, beliau turut menyenaraikan kemahiran mendengar sebagai salah satu cara memenangi hati manusia. Katanya;

“The fundamental cause of nearly all communication problems is that people don’t listen to understand. They listen to reply by expressing the ideas and feelings. But, what most people want is to be listened to, respected and understood”.

Tatkala ada seseorang yang mungkin menjadikan kita sebagai tempat untuk berbincang dan meluahkan sesuatu, perkara yang paling penting adalah dengan memberi perhatian sepenuh hati kita melalui mendengar. Hal ini disebut oleh ahli psikologi sebagai “listening with the third ear” iaitu mendengar melalui telinga ketiga iaitu hati. Ini kerana, bicara yang lahir dari hati hanya mampu difahami oleh ‘telinga hati’ yang mendengar. Begitu jugalah ketika ada mana-mana individu yang menyampaikan pesanan, teguran mahupun ilmu yang bermanfaat, dengarlah dengan teliti dan fahamilah dengan sepenuh hati kita.

Ada sebuah buku saudara yang mengkaji tentang perbezaan psikologi lelaki dan wanita. Buku tersebut berjudul “Men are from Mars, Women are from Venus” oleh John Gray. Buku ini membahaskan tentang peri pentingnya memahami psikologi lelaki dan wanita bagi mana-mana pasangan suami dan isteri yang ingin hidup dalam suasana kasih sayang dan saling memahami. Ketika beliau mengutarakan tentang kemahiran mendengar, beliau berpandangan;

“Men need to remember that women talk about problems to get close and not necessarily to get solutions. So many times a woman just wants to share her feelings about her day, and her husband, thinking he is helping, interrupts her by offering a steady flow of solutions to her problems. He has no idea why she isn’t pleased”.   

Hal ini disebabkan, wanita lebih cenderung untuk berkongsi perasaannya, dan perkongsian perasaan itu dianggap terlalu penting berbanding mencapai matlamat peribadinya. Berbeza dengan lelaki, mereka lebih cenderung untuk berbuat suatu perkara dengan melihat matlamat dan mencapainya melalui keupayaan sendiri. Sebab itu, lelaki selalunya melihat masalah yang dikongsi isterinya sebagai meminta penyelesaian semata-mata, sedangkan si isteri hanyalah mahu suaminya mendengar dan dengan itu memahami dirinya. Rupanya saudara, hal ini telah lama difahami oleh saidina Umar al Khattab.

Ketika seorang lelaki datang bertemu saidina Umar untuk mengadu masalah isterinya yang suka membebel dan menyebabkan mereka sering bertengkar dan bergaduh. Maka saidina Umar al khattab menasihatinya dengan berkata:

“Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku. Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

Lantaran itulah Saidina Umar hanya berdiam diri tanpa bertengkar dan mendengar keluhan isterinya kerana beliau amat memahami keadaan isteri kesayangannya yang tetap setia menjalankan peranan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Begitulah saudara, peri pentingnya memiliki kemahiran mendengar dan bagaimana menanganinya dengan baik.

Dengar Ambil Pengajaran

Terdapat sepotong hadith daripada Rasulullah saw yang menyebut dengan maksud;

“Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi (Riwayat Ahmad Dan Muslim)

Tidak semua perkara yang kita dengar, kita kena taat dengannya. Jika apa yang kita dengar itu menjurus kita supaya taat dalam beragama, maka tiada sebab untuk kita tidak menghormati dan menerimanya sama ada suka atau tidak. Tetapi, jika yang kita dengar itu cenderung ke arah maksiat kepada Allah, maka perlu untuk kita menolaknya biarpun datangnya daripada kenalan, keluarga, pemimpin mahupun ahli agama.

Kita perlu sentiasa mendengar dan patuh dalam perkara-perkara yang baik dan soleh. Walaupun mungkin kita tidak bersetuju dengan sesuatu pendekatan, tetapi selagi pendekatan itu tidak bercanggah dengan agama, maka kita perlu bersedia mendengar. Barangkali kita bukanlah orang yang alim atau bukan pula lulusan agama, tetapi sekurang-kurangnya jadikanlah diri kita orang yang suka mendengar dan mencintai majlis-majlis ilmu. Jangan jadi golongan yang bukan sekadar membenci, malah menghalang pula program-program seumpama itu.

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)

Dari Tanah Ke Tanah

Manusia asalnya daripada tanah. Itulah hakikat penciptaan manusia pertama yang bernama Adam as. Dek kerana tanahlah, azazil atau selepasnya kufurnya dikenali dengan nama iblis tidak bersetuju dengan kehendak Allah yang mahu menjadikan manusia sebagai kahlifah fil A’rd (khalifah di muka bumi). Bagi Iblis, penciptaan mereka daripada api lebih mulia dan lebih gah daripada tanah yang tiada martabat.

Tetapi, tiada siapa yang dapat menghalangi kehendak dan kekeuasaan Allah swt. Maka Nabi Adam as tetap dilantik sebagai makhluk yang diberi tanggungjawab serta peranan bagi memakmurkan bumi ini mengikut garis panduan yang dikehendaki Allah swt. Kisah pohon dan buah khuldi menjadi asbab kepada bermulanya perjalanan kehidupan manusia di muka bumi sebagai tempat persinggahan sementara.

Turunnya bangsa manusia ke bumi ini bukanlah untuk beristirehat semata. Bukanlah juga untuk menikmati segala perhiasan dan keseronokan yang ada tanpa mempedulikan had dan batasannya. Tetapi, perjalanan kita di bumi ini tidak lain tidak bukan untuk dipenuhinya dengan tanggungjawab. Seperti yang selalu kita dengar, adat sebagai seorang musafir atau pengembara, sudah pasti ada di dalam perjalanan itu suatu tempat persinggahan. Pengembara yang cerdik tidak akan hanya mengambil peluang itu untuk berehat sahaja, malah akan memanfaatkan segala ruang dan peluang yang dimiliki untuk mengumpul segala kekuatan dan bekalan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dijanjikan.

Kecerdikan Sebenar

Lantaran itu saudara, Rasulullah saw pernah bersabda dengan maksud:

“Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati”. (Riwayat Ibnu Majah)

Setiap yang hidup dan bernyawa, tidak akan mampu lari daripada persoalan mati. Biarpun barangkali manusia memiliki kediaman yang paling kukuh binaannya, atau kenderaan paling selamat di jalan raya, atau ubat penawar yang paling mujarab di dunia, namun tatkala ajal datang, matilah dia. Hadith pesanan Rasulullah saw seperti yang disebutkan tadi bukanlah membawa maksud yang kita tidak perlu belajar tinggi-tinggi, atau memahirkan diri dalam apa-apa bidang yang diminati sehingga boleh menjadi cerdik, tetapi memberi indikator bahawa ‘kecerdikan sebenar’ bukanlah diukur melalui pencapaian seseorang, tetapi melalui kesedaran kita tentang matlamat hidup kita yang betul.

Ada manusia, dia tidak sedar matlamat hidupnya yang sebenar. Walaupun dia mungkin tahu yang dia juga akan mati, tetapi persoalan menghadapi kematian bagi dirinya bukanlah keutamaan berbanding dengan urusan dunia yang sedang dia hadapi hari ini. Lantaran daripada itu, oleh kerana terlalu taksub dengan kehidupan dunia, maka kehidupan akhirat selepas kematian dikesampingkan. Demi mengejar habuan dunia, dia sanggup meninggalkan batasan halal haram yang menjadi tanggugjawab dirinya untuk dipatuhi.

Bukanlah cerdik namanya seandainya seseorang itu membiarkan dirinya rugi dikemudian hari. Biarpun di dunia dia dikenali sebagai orang yang cerdik dan pandai, di samping berharta dan ternama, tetapi jika dia rugi di akhirat, tiada makna semua yang dilalui di dunia dahulu, kerana kehidupan dunia bukanlah matlamat dan tujuan hakiki kita. Sebab itu, orang yang cerdik adalah mereka yang mengetahui benar-benar apa matlamatnya dan apa pula keutamaannya yang sebenar. Setelah menyedari hal itu, maka perancangan dan persiapan yang berkonsepkan ‘hasanah fid dunya wa hasanah fil akhirah’ akan dirangka sebaiknya untuk dicapai dalam jangka masa yang pendek dan untuk jangka masa yang panjang. Inilah hasanah (kebaikan) yang kita pohon kepada Allah setiap hari dalam doa harian kita.

Agama Didahulukan

Kita sebagai manusia tidak akan terlepas daripada ujian. Adakalanya kita diuji untuk memilih antara dua bentuk kepentingan. Kita diuji untuk memilih salah satu daripadanya ketika kepentingan dunia bertembung dengan kepentingan akhirat. Ada manusia, dia memiliki ilmu dan dipandang cerdik oleh manusia lain. Ketika pandangannya diperlukan masyarakat tentang sesuatu perkara kerana ilmu dan kecerdikan yang dimiliki, apatah lagi perkara itu merupakan pertembungan antara kepentingan dunia dengan akhirat, yang mana akan dia utamakan?

Mereka yang memiliki ‘kecerdikan sebenar’, pasti akan melebihkan dan mengutamakan kepentingan akhirat berbanding kepentingan dunia. Biarlah nampak bodoh dan rugi kerana mengkemudiankan kepentingan dunia, namun ‘kecerdikan sebenar’ mengatasi segalanya kerana dia tidak mahu menjadi manusia rugi di kemudian hari. Tetapi, barangkali tidak ramai memiliki ‘kecerdikan sebenar’ ini memandangkan manusia kadang kalanya terlalu lemah untuk meninggalkan dan melupakan kepentingan dunianya.

Sebab itu saudara, tidak pelik sekiranya wujud ilmuan yang tidak amanah dengan ilmunya dan ada pakar tetapi meyalahgunakan kepakarannya. Mereka sanggup menjadi ‘orang suruhan’ dan ‘kangkong’ bagi menutup kemungkaran dan kezaliman atau meng’iya’kan perkara-perkara yang batil dan salah yang dilakukan sesetengah pihak. Bukan itu sahaja, adakalanya sanggup berdiam diri tatkala hukum dan syariat Allah direndah-rendahkan oleh orang yang jahil lagi tidak mengetahui.

Carilah Agama

Mana-mana bayi yang dilahirkan oleh keluarga muslim, pastinya disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Antara perkara yang mula-mula dilakukan ibu bapa untuk menyambut kehadiran insan baru dalam keluarga itu adalah dengan azan dan iqamah di telinga bayinya. Kemudian bayi itu akan dibesarkan dan diberi didikan yang secukupnya.

Begitulah juga dengan mereka yang telah meninggal dunia. Pihak waris akan menguruskan jenazah tersebut dengan empat perkara iaitu memandikannya, mengkafankannya, mempersembahyangkannya serta mengebumikannya dalam tanah. Jika difikirkan saudara, apa persamaan antara menyambut kedatangan manusia muslim yang dilahirkan ke dunia dengan menyempurnakan mereka yang telah meninggalkan dunia? Persamaannya ialah, kedua-duanya diurus mengikut apa yang disuruh dan diajar agama. Siapa suruh kita azankan bayi yang baru lahir? Jawabnya, agama. Siapa yang suruh kita uruskan jenazah dengan empat perkara tadi? Jawabnya, agama. Bukannya adat atau kebiasaan masyarakat.

Maka tidakkah pelik saudara seandainya di permulaan hidup, manusia muslim disambut dengan menuruti agama dan apabila mati pula diurus juga dengan mengikut kehendak agama, sedangkan seluruh hidupnya tidak pula diisi menurut perintah agama. Ini pastinya merupakan suatu kelompongan dalam hidup sebagai muslim. Maka, marilah sama-sama kita mencari agama dalam waktu hidup yang sementara ini setelah kita disambut dulu dengan agama dan bakal disempurnakan kelak juga dengan agama.

“(Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal” (surah al-‘Ala 87:16-17)

Pengalaman Di SPA

Kali ini saudara, aku ingin berkongsi serba sedikit pengalaman menghadiri temuduga di SPA atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (bukan SPA Kecantikan ye). Agak terkejut jugalah bila mana mendapat surat panggilan temuduga pada bulan Disember tahun lepas. Orang kata, bukan senang hendak mendapat peluang seperti ini. Jadi, aku mengambil peluang itu untuk merasa bagaimana bertemuduga di sektor awam. Mana tahu ‘kot-kot’ ada rezeki di sana.

Jawatan yang ditemuduga itu ialah Pegawai Pertanian G41 (kalau ikut SBPA gred permulaannya G1-1). Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, terdapat 50 kekosongan tempat jawatan tersebut dengan 619 calon dipanggil untuk temuduga daripada 4680 bilangan permohonan. Cubalah saudara bayangkan berapakah kebarangkalian untuk berjaya menjawat jawatan tersebut.

Jadi saudara, hendak menghadiri temuduga seperti ini sudah pasti ada persiapannya. Alang-alang sudah dipanggil temuduga, kenapa tidak kita persiapkan diri kita dengan beberapa maklumat tentang skop dan tugasan jawatan yang dipohon. Maka, aku pun mencarilah segala maklumat tentang Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, SPA, dan sebagainya. Aku turut menjejaki beberapa blog dan forum yang berkonsi tentang pengalaman mereka ketika bertemuduga.

Dalam pencarian tersebut, antara tema soalan temuduga di sektor awam banyak berkisar tentang hal ehwal kerajaan dan program-programnya. Jadi mereka nasihatkan supaya kita ambil tahu khususnya yang melibatkan isu-isu semasa. Soalan-soalan tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran juga katanya turut ditanya. Jadi aku pun mentelaahlah serba sedikit isu-isu tersebut seperti 1 Malaysia, ETP, NKEA, GTP, NKRA dan yang seangkatan dengannya. Pada pendapat aku, memang dari sudut perancangannya ada kebaikan program-program itu, tetapi berjaya atau tidak sesuatu program itu bergantung kepada pelaksanaannya. Seperti juga DEB, satu dasar afirmatif yang baik dalam membantu bumiputera, namun jika ianya hanya menguntungkan sekelompok kecil bumiputera dalam pelaksanaanya, maka ia akan gagal memberi manfaat kepada sebahagian besar bumiputera yang lain. Nahtijahnya, kelompok bumiputeralah yang paling ramai miskin di tanah air sendiri.

Soalan Yang Ditanya

Berbalik kepada cerita temuduga. Aku dipanggil untuk bertemuduga di SPA Kuala Lumpur di Jalan Cenderasari. Lokasi kompleks temuduga SPA KL ini agak tersorok dan dikelilingi dengan kehijauan yang masih utuh di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Pada mulanya, aku pun tidak tahu di mana letaknya Jalan Cenderasari (tidak pernah dengar pun), namun dengan bantuan Cik Garmin, lokasinya berjaya ditemui di kawasan yang agak berbukit.

Pada pagi itu, tidak sampai 20 orang yang hadir bertemuduga. Hanya dua bilik sahaja yang digunakan yang masing-masing terdiri daripada dua orang pegawai sebagai panel penemuduga. Seorang pegawai mewakili pihak SPA dan seorang lagi mewakili pihak Jabatan Pertanian. Sementara menunggu giliran, aku sempat berkenalan dengan dua orang calon. Seorang daripadanya adalah ‘fresh garduate’ macam aku tetapi dari UITM Shah Alam manakala seorang lagi adalah graduan UPM tahun 2007 yang berbangsa cina. Kami berbual-bual tentang bidang pengajian masing-masing di samping pengalaman calon cina dari UPM tersebut yang katanya sudah “tidak tahan maa” berkerja di Sime Darby Plantation.

Saudara pasti ingin tahu apakah bentuk atau tema soalan-soalan yang ditanya bukan? InsyaAllah aku akan kongsikan sebahagian soalan-soalan yang aku masih ingat yang mungkin boleh membantu saudara pembaca sekalian dalam menghadapi temuduga dengan SPA. Antara soalan-soalan itu ialah:

  • Dari mana datangnya nama Batu Caves? (sebab aku duduk di Gombak, dekat Batu Caves)
  • Minat sukan apa?
  • Siapa penjaga gol ketiga skuad kebangsaan?
  • Bagaimana awak mahu jadikan sektor pertanian ini diminati sepertimana orang minat sukan bola sepak?Boleh anda beritahu kami tentang isu-isu semasa yang awak tahu?
  • Hari ini banyak badan-badan yang dahulunya di bawah kerajaan tetapi akhirnya diswastakan seperti telekom dan konsesi air. Boleh atau tidak sekiranya jabatan pertanian ini diswastakan?
  • Kebanyakan sektor perladangan (plantation) yang melibatkan kelapa sawit dan getah mampu dilaksanakan dalam skala yang besar, mengapa perkara yang sama tidak berlaku terhadap bidang pertanian?
  • Anda minat keusahawanan? Mengapa tidak memilih bidang keusahawanan?
  • Apa yang anda tahu tentang pertanian jitu (precision agriculture)?
  • Bagaimana anda boleh melaksanakan konsep pertanian jitu ini untuk para petani?

Demikianlah saudara bentuk soalan-soalan yang ditanya. Alhamdulillah, kesemua soalan aku jelaskan jawapannya mengikut apa yang aku faham dan tahu.. Kedua-dua panel temuduga dilihat hanya senyum dan mengangguk-anggukkan kepala (tidak tahulah, angguk itu tanda setuju atau sebaliknya). Cuma soalan penjaga gol ketiga skuad kebangsaan itu yang aku tidak tahu namanya. Yang aku ingat, Khairul Fahmi dan Sharbinee sahaja. Terus terang saja kepada mereka.

Dua Kali Tangguh

Setiap temuduga, pasti ada keputusannya. Jika dilihat pada surat panggilan temuduga, tarikh keputusannya jatuh pada 23 Januari 2012. Aku pun tidak tahu, bagaimana mereka boleh ‘setting’ tarikh tersebut sebagai tarikh keputusan kerana hari tersebut adalah cuti umum sempena Tahun Baru Cina. Ternyata, bila disemak di portal SPA, tiada sebarang keputusan diumumkan. Kemudian, dalam minggu yang sama, mereka mengumumkan penangguhan kerana keputusan temuduga hanya akan dikeluarkan selewat-selewatnya atau pada 17 Febuari 2012 (Jumaat).

Maka, hari demi harilah aku menanti keputusannya. Tatkala tiba tarikh 17 Febuari, sekali lagi mereka memberitahu bahawa keputusan temuduga ditangguhkan. Kali ini, ditangguhkan dengan selewat-lewatnya atau pada 24 Febuari 2012 (Jumaat). Pelik juga. Barangkali sukar sangat ‘kot’ hendak memilih Pegawai Pertanian sehingga terpaksa ditangguhkan sebanyak dua kali sehingga lewat sebulan daripada tarikh asal keluar keputusan. Ternyata, keputusan tersebut diumumkan.

Keputusannya: “Dukacita anda tidak berjaya dalam urusan ini”. Alhamdulillah, mungkin bukan rezeki aku untuk terpilih. Sungguhpun demikian, aku kembali kepada hasrat yang asal untuk menyambung pengajian di Fakulti Pertanian, UPM. Ini pun rezeki juga. Tambahan pula, sekali lagi pengajian aku kali ini akan ditaja sepenuhnya oleh dana awam. Sekianlah dulu saudara sebahagian pengalaman aku bertemuduga di SPA.

“Dan sesungguhnya Allah adalah pemberi rezeki yang terbaik,” (Surah al-Hajj 22:58)