MenDengarLah

Setiap manusia mempunyai satu mulut dan dua telinga. Aksesori mulut dan telinga ini kedua-duanya terletak di kepala kita. Aksesori ini bukan barang milik kekal kita, tetapi barang pinjaman Allah taala kepada kita. Ramai berpendapat, antara hikmah Allah taala meminjamkan kepada kita satu mulut dengan dua telinga adalah untuk kita memperbanyakkan mendengar daripada berbicara.

Mendengar dan berbicara merupakan dua perkara penting dalam komunikasi. Walaubagaimanapun, kita biasanya diberi penekanan tentang teknik bercakap berbanding teknik mendengar. Sedangkan, faktor yang menghasilkan sesuatu komunikasi itu berkesan bukan hanya sekadar melalui kemahiran bercakap dan berbicara, tetapi juga melalui kemahiran mendengar yang betul. Dalam hal mendengar ini, Stephen R. Convey pernah berkata:

 “Communication is the most important skill in life.  We spend most of our waking hours communicating.  But consider this:  You’ve spent years learning how to read and write, years learning how to speak.  But what about listening?  What training or education do you have that enables you to listen so that you really, deeply understand…

Barangkali kita tidak pernah dengar pun malah menghadiri mana-mana kursus atau bengkel yang mengasah kemahiran mendengar. Yang ada hanyalah kursus dan bengkel untuk pengucapan awam (‘public speaking’), perbahasan, pantun dan sebagainya yang semuanya bertujuan mengasah dan melatih kemahiran lisan individu yang diwujudkan sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti. Apabila kita kurang pendedahan tentang kemahiran mendengar, maka respon atau tindak balas kita terhadap sesuatu yang kita dengar juga ada kalanya tersilap.

Dengar untuk Faham

Kebanyakkannya, kita mendengar bukan untuk memahami apa yang tersirat disebalik yang tersurat, tetapi mendengar untuk bersedia membalasnya dan kemudiannya mendabik dada bahawa telah menjadi pendengar yang baik. Sedangkan, kita tidak pun memahami maksud sebenar kata-kata yang didengar itu.

Di dalam buku 25 Ways How to Win with People oleh John C. Maxwell, beliau turut menyenaraikan kemahiran mendengar sebagai salah satu cara memenangi hati manusia. Katanya;

“The fundamental cause of nearly all communication problems is that people don’t listen to understand. They listen to reply by expressing the ideas and feelings. But, what most people want is to be listened to, respected and understood”.

Tatkala ada seseorang yang mungkin menjadikan kita sebagai tempat untuk berbincang dan meluahkan sesuatu, perkara yang paling penting adalah dengan memberi perhatian sepenuh hati kita melalui mendengar. Hal ini disebut oleh ahli psikologi sebagai “listening with the third ear” iaitu mendengar melalui telinga ketiga iaitu hati. Ini kerana, bicara yang lahir dari hati hanya mampu difahami oleh ‘telinga hati’ yang mendengar. Begitu jugalah ketika ada mana-mana individu yang menyampaikan pesanan, teguran mahupun ilmu yang bermanfaat, dengarlah dengan teliti dan fahamilah dengan sepenuh hati kita.

Ada sebuah buku saudara yang mengkaji tentang perbezaan psikologi lelaki dan wanita. Buku tersebut berjudul “Men are from Mars, Women are from Venus” oleh John Gray. Buku ini membahaskan tentang peri pentingnya memahami psikologi lelaki dan wanita bagi mana-mana pasangan suami dan isteri yang ingin hidup dalam suasana kasih sayang dan saling memahami. Ketika beliau mengutarakan tentang kemahiran mendengar, beliau berpandangan;

“Men need to remember that women talk about problems to get close and not necessarily to get solutions. So many times a woman just wants to share her feelings about her day, and her husband, thinking he is helping, interrupts her by offering a steady flow of solutions to her problems. He has no idea why she isn’t pleased”.   

Hal ini disebabkan, wanita lebih cenderung untuk berkongsi perasaannya, dan perkongsian perasaan itu dianggap terlalu penting berbanding mencapai matlamat peribadinya. Berbeza dengan lelaki, mereka lebih cenderung untuk berbuat suatu perkara dengan melihat matlamat dan mencapainya melalui keupayaan sendiri. Sebab itu, lelaki selalunya melihat masalah yang dikongsi isterinya sebagai meminta penyelesaian semata-mata, sedangkan si isteri hanyalah mahu suaminya mendengar dan dengan itu memahami dirinya. Rupanya saudara, hal ini telah lama difahami oleh saidina Umar al Khattab.

Ketika seorang lelaki datang bertemu saidina Umar untuk mengadu masalah isterinya yang suka membebel dan menyebabkan mereka sering bertengkar dan bergaduh. Maka saidina Umar al khattab menasihatinya dengan berkata:

“Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku. Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

Lantaran itulah Saidina Umar hanya berdiam diri tanpa bertengkar dan mendengar keluhan isterinya kerana beliau amat memahami keadaan isteri kesayangannya yang tetap setia menjalankan peranan sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Begitulah saudara, peri pentingnya memiliki kemahiran mendengar dan bagaimana menanganinya dengan baik.

Dengar Ambil Pengajaran

Terdapat sepotong hadith daripada Rasulullah saw yang menyebut dengan maksud;

“Mendengar dan mematuhi itu wajib ke atas setiap orang Islam sama ada dalam perkara yang ia suka atau tidak suka, selagi ia tidak disuruh melakukan maksiat. Apabila disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi didengar dan dipatuhi (Riwayat Ahmad Dan Muslim)

Tidak semua perkara yang kita dengar, kita kena taat dengannya. Jika apa yang kita dengar itu menjurus kita supaya taat dalam beragama, maka tiada sebab untuk kita tidak menghormati dan menerimanya sama ada suka atau tidak. Tetapi, jika yang kita dengar itu cenderung ke arah maksiat kepada Allah, maka perlu untuk kita menolaknya biarpun datangnya daripada kenalan, keluarga, pemimpin mahupun ahli agama.

Kita perlu sentiasa mendengar dan patuh dalam perkara-perkara yang baik dan soleh. Walaupun mungkin kita tidak bersetuju dengan sesuatu pendekatan, tetapi selagi pendekatan itu tidak bercanggah dengan agama, maka kita perlu bersedia mendengar. Barangkali kita bukanlah orang yang alim atau bukan pula lulusan agama, tetapi sekurang-kurangnya jadikanlah diri kita orang yang suka mendengar dan mencintai majlis-majlis ilmu. Jangan jadi golongan yang bukan sekadar membenci, malah menghalang pula program-program seumpama itu.

”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” (Riwayat al-Bazzar)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s