Malu Ke?

Misi yang dibawa oleh Rasulullah saw bermula dengan seruan memurnikan akidah. Masyarakat yang dihadapi oleh baginda Nabi saw adalah sebuah masyarakat yang hidup dalam suasana jahiliyah dan mempersekutukan Allah swt. Dalam keadaan itulah, Nabi saw muncul di tengah-tengah masyarakat menyampaikan seruan mengesakan Allah swt.

Risikonya memang wujud. Masyarakat yang sudah terbiasa dengan suasana yang ada sejak turun temurun pasti tidak selesa dengan seruan baginda Rasulullah saw. Seruan itu ditolak oleh sebahagian masyarakat yang mempunyai kepentingan tertentu dan menganggap bertentangan benar dengan kepercayaan dan cara hidup mereka selama ini. Dakwah ini paling lantang ditentang oleh pembesar-pembesar Quraisy kerana dilihat akan menjejaskan pengaruh dan kedudukan mereka dalam masyarakat.

Uswatun Hasanah

Namun, Rasulullah saw tetap tabah menghadapinya demi menjunjung titah perintah Allah swt. Tema dakwah Rasulullah saw ketika di Mekah pada waktu itu tidak hanya meliputi persoalan akidah bahkan juga akhlak. Manusia-manusia yang dahulunya jahil dan syirik, akhirnya berjaya ditarbiyah melalui kesedaran akidah dan akhlak yang diterjemahkan oleh Rasulullah saw. Bukan sedikit saudara, yang tertarik dengan Islam kerana keindahan akhlak Rasulullah saw.

Ketinggian dan kesantunan keperibadian Rasulullah saw diakui sendiri oleh isteri baginda iaitu Aishah ra yang pernah mengatakan:

“Akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran)”

Tidak hairanlah jika ada wanita yahudi yang selama ini mencaci Nabi saw dengan pelbagai makian, dan membaling sampah serta kotoran pada jalan yang dilalui Nabi saw, tetapi akhirnya memeluk Islam kerana tertarik dengan keperibadian Nabi saw yang tidak berdendam bahkan sudi menziarahinya ketika sakit. Itu ketika Nabi saw masih hidup.

Setelah Nabi saw wafat, lelaki yahudi buta yang begitu keras makian dan tentangannya terhadap Rasulullah saw, akhirnya menangis menyesali perbuatannya selama ini tatkala Abu Bakar as-Siddiq menceritakan bahawa orang yang selama ini memberi makan kepada lelaki buta itu setiap hari adalah baginda Rasulullah saw sendiri. Subhanallah, demikianlah saudara gambaran keperibadian akhlak Rasulullah saw yang sewajibnya menjadi ‘uswah’ (contoh) kepada kita semua.

Kenapa Malu?

Hari ini saudara, kita dihidangkan pelbagai bentuk kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku dalam masyarakat. Bermacam-macam perkara timbul seperti pergaulan bebasnya, perzinaan, minum arak, rasuah penyelewengan, pembuangan anak dan sebagainya. Inilah akibatnya apabila hilangnya rasa malu dalam diri. Mereka berbuat kemungkaran tanpa segan silu bahkan sesetengah keadaan berbangga pula dengan kemaksiatan yang dilakukan. Ada juga yang sanggup mempertahankannya biarpun terang-terangan menyalahi agama dan syariat.

Sebab itulah saudara, malu dikaitkan dengan iman. Orang yang beriman memerlukan rasa malu supaya imannya terpelihara. Orang yang tiada rasa malu, tentunya mudah sahaja mereka melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan iman. Perkara ini disebutkan oleh Rasulullah saw seperti mana yang dimuatkan dalam Kitab Matan Arbain oleh Imam an Nawawi:

‘Jika engkau tiada malu, buatlah sesuka hati kamu. ‘ (Riwayat Bukhari)

Maknanya saudara, perasaan malu, mahu tidak mahu perlu ada dalam diri orang yang beriman. Ianya perlu dididik dan diasuh. Apa yang disebut oleh Rasulullah saw di sini bukanlah satu bentuk suruhan, tetapi sebagai satu amaran. Jika tidak ada rasa malu, jika rasa iman itu tidak penting dalam diri, maka berbuatlah sesuka hatinya jika tidak takut dengan azab Allah swt. Amaran ini umpama seorang anak dengan bapa. Si anak jatuh kerana memanjat pokok biarpun berbuih si bapa menasihatinya, oleh kerana terlalu geram, si bapa dengan nada marah bersuara: “Lain kali panjat lagi, biar patah riuk tulang tu”

Malu Bertempat

Rasulullah saw sendiri adalah seorang pemalu. Dikatakan lebih pemalu daripada seorang gadis. Apabila Rasulullah saw berhadapan dengan perkara yang kurang disenanginya, para sahabat dapat melihat malunya Rasulullah pada raut wajahnya. Tetapi, malu Rasulullah bertempat dan bergantung kepada keadaan. Rasulullah malu melihat kemungkaran apatah lagi melakukan kemungkaran. Tetapi Rasulullah saw tidak malu untuk bercakap soal kebaikan dan melakukan perkara yang disuruh Allah.

Berbeza dengan sebahagian daripada kita. Ada antaranya berasa malu untuk berbuat kebaikan. Malu untuk bersolat, malu untuk ke surau mendengar majlis ilmu, malu nak pakai tudung dan sebagainya. Sedangkan, hendak berbuat baik, tiada sebab untuk malu biarpun ada suara yang mungkin memerli dan memandang sinis. Yang sepatutnya kita berasa malu ialah bila mana kita semakin jauh daripada penghayatan agama. Kita seharusnya rasa malu jika kita tidak bersolat, tidak berzakat, tidak ke surau, tidak tutup aurat, di samping rasa malu untuk berbuat perkara yang menjauhkan diri kita daripada agama.

Akhir sekali saudara, aku ingin berkongsi tentang pengalaman seorang ustaz berbicara dengan seorang pelajar perempuan yang berpakaian ketat yang mungkin sudah ‘terhakis malunya’.

Ustaz: Kenapa kamu berpakaian dan berseluar ketat?

Pelajar: Saya ada sebab-sebab untuk berpakaian macam ini, ustaz.

Ustaz: Apa sebab kamu?

Pelajar: Saya berseluar ketat seperti ini supaya mudah untuk berjalan dan melangkah longkang. Kalaulah ada orang yang mahu ambil kesempatan, mudah untuk saya melarikan diri. Cuba ustaz fikir, antara saya yang berseluar ketat dan mereka yang berkain jubah atau baju kurung, yang mana lebih mudah untuk dirogol?

Ustaz: Betul la. Kalau dalam konteks itu, kamu lebih selamat. Tetapi, kalau kamu mahu selamat lagi daripada dirogol, tidak perlu pun pakai seluar ketat. Kamu cuma pakai sahaja cawat besi. Sampai bila-bila kamu selamat.

Ternyata pelajar tersebut berdiam diri. Ustaz tersebut terpaksa memberi jawapan dalam bentuk logik akal juga kerana pelajar itu mengabsahkan tindakannya berdasarkan akal semata tanpa panduan syariat. Ustaz itu menambah lagi, wanita yang benar-benar menutup aurat tidak mungkin boleh menarik perhatian lelaki yang berpenyakit dalam hatinya. Tetapi, wanita yang berpakaian seksi dan ketat mungkin berkeupayaan merangsang keinginan mana-mana lelaki normal.

Barangkali yang berpakaian seksi, terselamat daripada diapa-apakan, tetapi yang menjadi mangsa nanti adalah wanita lain dan yang menyedihkan lagi kanak-kanak juga menjadi mangsa kerakusan itu. Pokok tidak akan bergoyang jika tidak ada angin yang meniupnya. Sama-samalah kita bermuhasabah. Jangan sampai kita menjadi umat yang tidak tahu malu.

“Sesungguhnya apabila Allah ingin membinasakan seorang hamba dicabut darinya perasaan malu, setelah tercabut perasaan malunya tidak akan menimpanya kecuali perkara yang amat dibenci (oleh Allah), setelah itu tercabut pula sifat amanah darinya, setelah tercabut sifat amanah dari dirinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang pengkhianat, setelah itu tercabut darinya sifat rahmah, setelah tercabut sifat rahmah darinya kamu tidak akan mendapatinya kecuali seorang yang celaka dan dilaknat (dijauhkan), setelah itu dia tercabut dari simpulan Islam.”(Riwayat Ibnu Majah).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s