Tanah Yang Dihidupkan

Tanah seperti mana yang kita tahu merupakan medium penting dalam kerja-kerja penanaman. Biarpun terdapat kaedah lain yang tidak memerlukan medium tanah seperti kaedah hidroponik (larutan baja sebagai medium), kaedah fertigasi (sekam bakar + sabut kelapa sebagai medium), namun tanah masih lagi diperlukan untuk pembangunan sektor pertanian.

Walaubagaimanapun, tanah yang diperlukan untuk diusahakan bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian semakin terhad. Ia terpaksa bersaing dengan kepesatan sektor lain seperti sektor hartanah yang membangunkan pusat-pusat perniagaan komersial dan perumahan, sektor industri samada berskala kecil atau besar dan sebagainya. Maka, sektor pertanian tiada pilihan lain melainkan untuk mengoptimumkan kadar pengeluaran hasil pertanian pada tanah-tanah yang telah, sedang dan akan diusahakan.

Terdapat banyak faktor yang membolehkan sesuatu tanaman itu ditingkatkan hasil pengeluarannya. Antaranya ialah meningkatkan kesuburan tanah (soil fertility). Bila kita bercakap tentang kesuburan tanah, ia bukan dengan sekadar mengaplikasikan baja yang secukupnya untuk keperluan tanah, tetapi banyak lagi perkara-perkara lain yang perlu dilihat dalam aspek ini.

Tambah Baja

Misalnya, Pak Bakar mengusahakan sejenis tanaman di tanah miliknya. Dia membajai tanamannya itu mengikut apa yang telah dicadangkan. Diikut betul-betul cadangan itu sama ada dari segi kadarnya mahupun masa untuk membaja. Tetapi, apabila Pak Bakar menuai tanamannya itu, didapati hasilnya tidak begitu memberangsangkan biarpun telah mengikut panduan membaja yang dicadangkan.

Oleh kerana ingin meningkatkan lagi hasil tanamannya, maka Pak Bakar membuat keputusan untuk meningkatkan lagi kadar penggunaan baja yang dilihatnya barangkali tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tanamannya itu. Sungguhpun demikian, apabila Pak Bakar menuai tanamannya selepas itu, didapati hasil tanaman tidak juga meningkat pada paras yang sepatutnya. Adakah perlu untuk Pak Bakar meningkatkan lagi kadar penggunaan baja?

Lantaran itu saudara, baja bukanlah penyelesaian utama dalam meningkatkan kesuburan dan seterusnya meningkatkan hasil tanaman. Terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira tatkala kita menguruskan kesuburan tanah. Antaranya ialah nilai pH pada tanah. Mengetahui pH tanah adalah penting kerana nilai pH yang berbeza akan memberi impak yang berbeza terhadap kesediaan nutrient (nutrient availability) untuk pengambilannya oleh tanaman (plant uptake).

Di Malaysia, kebanyakan tanahnya adalah tanah tropika. Ciri tanah tropika yang paling utama adalah kandungan pHnya yang rendah. Ini menjadikan tanah-tanah ini berasid dan kurang baik terhadap kesediaan nutrient untuk tanaman. Tanah yang berasid juga kurang baik untuk aktiviti mikroorganisma tanah seperti bakteria nitrobacter atau nitrosomonas yang boleh membantu meningkatkan kandungan Nitrogen dalam tanah.

Dalam keadaan tanah yang berasid, misalnya pada pH bawah daripada 5, keadaan tanah pada waktu itu dipenuhi dengan ions-ions Aluminium (Al) dan juga Hidrogen (H). Tanah pada kawasan pengakaran (root zone) hanya akan memegang (adsorp) Al serta H sahaja. Dalam masa yang sama, ions-ions nutrient baja yang lain seperti NH4+, K+, Ca2+, Mg2+ dan sebagainya akan ‘leaching’ iaitu akan turun ke bawah tanah dan terkeluar daripada kawasan pengakaran yang penting untuk penyerapan nutrient oleh tanaman. Biarpun Pak Bakar membajai dengan kadar yang tinggi, namun nutrient baja tadi hanya turun ke bawah tanah dan tidak dipegang oleh tanah. Impaknya, hasil tanaman tidak meningkat kerana nutrient baja gagal diserap oleh tanaman.

Untuk mengatasinya, Pak Bakar perlu meningkatkan pH tanahnya dalam lingkungan 6.5-6.8 kerana pada pH ini, tanah tidak lagi memegang Al dan H. Ianya semakin berkurangan dan tanah mula memegang nutrient baja yang diberi. Ini sekaligus meningkatkan kesediaan nutrient baja untuk penyerapan oleh tanaman. Untuk itu, tiada caranya lagi melainkan Pak Bakar perlu menggunakan kapur (lime) bagi meningkatkan pH dalam tanah sebelum baja diaplikasikan.

Air Dan Tanah

“Dan Allah menurunkan air hujan dari langit dan dengan air itu dihidupkanNya bumi sesudah matinya, sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaanNya) bagi orang yang mahu mendengar (pengajaran)” (surah al-Nahlu 16:65)

Air merupakan salah satu perkara asas yang diperlukan oleh setiap makhluk di dunia. Cuba kita renungkan, bagaimana jadinya pada tumbuhan, ternakan mahupun kita sendiri sekiranya hujan dihalang dan disekat daripada turun. Setelah banyak kerosakan yang manusia kerjakan, dan Allah yang berkuasa penuh terhadap alam ini tiba-tiba menyekat bantuan air hujan percuma untuk keperluan makhluk-makhlukNya. Kesengsaraan dan kemelaratan akan melanda dunia tanpa air. Air yang kita, haiwan dan tumbuhan perlukan itu adalah salah satu nikmat Allah yang sangat hebat.

Jika Pak Bakar tadi telah pun mengapur tanahnya, dan diberi pula baja yang cukup untuk tanamannya, tetapi tanpa kehadiran air, tanah yang dikapur dan dibaja itu tadi akan mati. Tanah yang mati ialah tanah yang gagal membekalkan nutrient dan air untuk tumbuhan biarpun bertan-tan kapur dan baja telah diberi. Hal ini seterusnya akan menyebabkan tumbuhan itu pula mati.

Apabila air mula turun dan mengalir di tanah-tanah yang subur tersebut, keadaan tanah mati itu seolah-olah hidup semula dan memainkan peranannya untuk memegang nutrient baja serta air (soil solution) dan boleh diserap pula oleh tumbuhan. Tumbuhan yang subur dimanfaatkan pula oleh ternakan dan menjadi pelengkap kepada sumber makanan dan rezeki bagi manusia. Dengan air juga, ia boleh memecahkan ‘dormancy’ pada biji-biji benih yang ditabur ke tanah untuk tumbuh menjadi tanaman yang berguna. Itulah maknanya tanah yang dihidupkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s