Teladani Pemuda Gua

“The world suffers a lot. Not because of the violence of bad people, but because of the silence of good people” –Napoleon

Ada benarnya juga saudara ungkapan ini. Kerosakan, kezaliman dan penindasan yang berlaku di dunia hari ini memanglah dilakukan oleh tangan-tangan manusia yang durjana, tetapi yang menjadi punca kepada bebasnya manusia durjana itu melakukan kerosakan adalah kerana diamnya manusia-manusia yang masih memiliki jiwa yang baik dan terpuji.

Kata hati sukar untuk menerima kedurjanaan tersebut. Namun, kerana hal-hal keduniaan yang dikhuatiri akan terlepas atau tidak ada keyakinan terhadap apa yang dia percaya, mungkin menjadi pengunci mulut daripada berani menyatakan kebenaran. Manusia yang sepatutnya perlukan jaminan keadilan dan kesaksamaan, akhirnya sengsara dan tertindas. Bukan kerana rahmat dunia yang tidak memadai, tetapi ia telah diurus untuk menjadi serba tidak cukup. Dunia yang kalau diikutkan seharusnya cukup untuk memenuhi keperluan asas setiap manusia tetapi yang berlaku sebaliknya.

Kerosakan sana-sini

“Earth provides enough to satisfy every man’s need, but not every man’s greed” – Mahatma Gandhi

Ketamakan kepada harta dan kuasa menjadikan manusia sanggup menindas dan menafikan hak manusia lain yang lebih memerlukan. Hal ini berlaku di mana-mana. Ada sahaja kemunculan manusia durjana ini yang tanpa segan silu melakukan pelbagai kerosakan lantaran ketamakan mereka. Yang lebih menarik, dijustifikasikan segala bentuk kerosakan tersebut dengan nama-nama yang lain bagi mengaburi niat sebenar mereka. Rasuah dan penyelewengan pada hakikatnya dikatakan komisen yang ‘halal’. Diberikan pelbagai habuan dan keistimewaan hanya kepada suku sakatnya sahaja dicanang sebagai agenda untuk membangunkan bangsa. Kekejaman membantai dan membunuh rakyat yang tidak berdosa, dipropagandakan sebagai ingin menghapuskan pemberontak dan diserang serta ditawan negara tertentu yang kononnya sebagai misi menentang keganasan.

Image

Sayangnya, kerosakan, kezaliman dan penindasan ini seolah-olah lebih lantang daripada jeritan suara kebenaran dan keadilan. Ini kerana, ramainya yang masih berdiam diri tatkala melihat apa sahaja yang berlaku di depan mata. Kalaupun kita tidak berani untuk berada di barisan hadapan menentang segala kerosakan ini, sekurang-kurangnya berikanlah sokongan sedaya-upaya kita kepada mereka yang bersama-sama kebenaran. Lantaran itu saudara, kali ini aku ingin berkongsi tentang perbincangan berkenaan semangat kental sekumpulan anak muda yang pernah dirakamkan di dalam Al-Quran.

Mereka adalah Ashabul-Kahfi. Oleh kerana mereka yakin dengan apa yang mereka percaya. Mereka sanggup tinggalkan keselesaan hidup selama ini kerana sudah tidak selesa lagi dengan suasana masyarakat yang dikhuatiri boleh melenyapkan keyakinan yang sudah tersemat di dalam hati. Maka dengan izin dan kehendak Allah, mereka lari bersembunyi ke dalam gua.

“Kami ceritakan kisah kepadamu (wahai Muhammad) dengan yang sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk”

“Dan Kami tetapkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu berkata; ‘Tuhan kami adalah Tuhan yang memiliki penguasaan di langit dan bumi. Kami tidak sesekali menyeru yang lain daripadaNya sebagai Tuhan. Jika kami kata yang demikian itu, itu amat jauh daripada kebenaran” (surah al-Kahfi 18:13-14)

Keyakinan yang ada pada mereka menjadikan mereka kuat untuk mempertahankan apa yang mereka imani dan percaya. Keimanan kepada Allah melebihi segalanya tatkala seruan untuk menghambakan diri kepada yang lain menjadi pegangan masyarakat dan penguasa waktu itu. Maka, pilihan yang ada pada mereka hanyalah gua. Dan di gua itulah, Allah taala melimpahkan rahmatNya yang tidak pernah manusia menyangkanya. Mereka ditidurkan Allah selama 309 tahun biarpun dirasakan baru seharian mereka tidur berehat.

Di mana gua kita?

Pemuda Ashabul-Kahfi memilih gua tempat untuk mereka bernaung daripada kerosakan dan kesesatan kerana waktu itu tidak ada pimpinan, ulama atau golongan Islam yang berkongsi pegangan yang sama dengan mereka. Daripada mereka terhanyut bersama dengan kejahilan dan kesesatan penguasa serta masyarakat pada waktu tersebut, mereka tiada pilihan melainkan berusaha untuk berlindung di gua. Tetapi, bagaimana dengan kita jika berhadapan situasi yang sama?

Kita yakin dengan Islam dan kita percaya hanya Islam yang boleh bawa perubahan terhadap segala kerosakan yang berlaku. Namun, kita tidak mampu menterjemahkan Islam yang membela kebenaran, keadilan dan kebajikan manusia dengan secara seorang diri. Kita memerlukan sesuatu yang boleh menjadi benteng perlindungan terhadap keyakinan kita itu. Untuk itu saudara, kita perlu bersama-sama dengan golongan pemimpin dan golongan Islam yang dinaungi ulama yang mana mereka sentiasa komited dengan perjuangan Islam yang benar. Merekalah ‘gua’ bagi kita dalam menghadapi kerosakkan yang berpaksikan kejahilan dan kesesatan. Inilah jawapan Rasulullah saw tatkala ditanya oleh Huzaifah Ibn al-Yaman.

“Adakah selepas daripada petunjuk itu ada pula kesesatan?” Rasulullah saw menjawab; “Ya, ada pula kesesatan, golongan yang sesat itu mengikut jalan-jalan lain daripada jalanku. Mereka itu menyeru ke pintu-pintu neraka jahanam. Barangsiapa yang mengikuti mereka nescaya dicampakkan ke dalam api neraka jahanam”. Lalu Huzaifah bertanya lagi; “Kalau berlaku demikian, apa yang patut kami lakukan?”. Rsulullah saw bersabda; “Kamu hendaklah bersama-sama beriltizam dengan golongan (jemaah) Islam dan pemimpin-pemimpin umat Islam”.

Image

Saudara, jika kita hanyalah orang awam yang biasa, namun pendirian kita tidak boleh menerima kerosakan dan kejelikan perbuatan manusia yang tamak dan zalim, yang sanggup memfitnah dan menipu, sanggup menafikan hak-hak orang lain, sanggup memukul dan membunuh rakyat sendiri kerana hanya berbeza fahaman, serta sanggup melakukan kekejaman kerana dendam dan dengki. Maka, pastikan kita berada bersama pimpinan yang soleh serta golongan Islam yang bersama ulama, yang mana mereka lantang dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Kalau tidak berada di barisan hadapan pun, sokong dan bantulah dari belakang secara tidak langsung kepada mereka. Mudahan Allah taala merahmatinya.

“Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya”. (Hadith Riwayat Tirmizi)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s