Makan ‘Zinc’?

Makanan asasi kita adalah nasi. Nasi yang kita makan setiap hari itu saudara, secara amnya mengandungi beberapa nutrisi penting seperti karbohidrat, protein, dan sebahagian mineral seperti mana di bawah;

Calories (kcal)

345.0 Calcium (mg) 10.0
Moisture (g) 13.7 Iron (mg) 0.7
Carbohydrate (g) 78.2 Magnesium (mg) 90.0
Protein (g) 6.8 Riboflavin (mg) 0.06
Fat (g) 0.5 Thiamine (mg) 0.06
Fibre (g) 0.2 Niacine (mg) 1.9
Phosphorus (mg) 160.0 Folic acid (mg) 8.0
Minerals (g) 0.6 Copper (mg) 0.14
Essential amino acids (mg) 1.09

 Bagi setiap 100 g hidangan

Karbohidrat merupakan komposisi nutrisi yang tertinggi dalam nasi. Ini menjadikan nasi sebagai penyumbang utama kepada keperluan kalori terhadap manusia khususnya di kebanyakan negara-negara Asia. Kira-kira 40% pengambilan kalori penduduk di Asia adalah daripada pengambilan nasi.

Oleh kerana nasi menjadi makanan utama masyarakat di Asia, maka sebarang usaha untuk meningkatkan hasilnya amatlah mustahak bagi memenuhi kelangsungan permintaannya. Tatkala itu saudara, usaha bagi meningkatkan kualiti nasi dari sudut kandungan nutrisinya juga kini semakin mendapat perhatian.

Makan Untuk Hidup

Kita makan bukan sekadar untuk kenyang sahaja. Tetapi jauh lebih penting daripada itu adalah untuk mendapat manfaat daripada apa yang kita makan. Kita perlukan makanan untuk tenaga. Kita juga perlukan makanan untuk memastikan badan kita menerima nutrisi yang cukup bagi menjamin kesihatan yang baik. Tenaga dan kesihatan yang baik memberi keselesaan untuk kita bekerja, belajar dan beribadah kepada Allah.

Memandangkan nasi yang kita ambil setiap hari itu mampu membekalkan tenga kepada kita, tetapi bagaimana jika nasi yang sama juga mampu untuk membekalkan keperluan nutrisi kita khususnya micronutrient. Zinc merupakan contoh micronutrient yang tidak kurang pentingnya kepada manusia. Zinc penting kepada kita kerana ia merupakan komponen utama enzim-enzim dalam badan, memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan sel dan juga terhadap sistem immunisasi badan (daya tahan penyakit).

Agensi WHO dan FAO melalui laporan Guidelines on food fortification with micronutrients pada tahun 2006 merekodkan bahawa kira-kira 20% populasi dunia terdedah kepada risiko kekurangan zinc seperti penyakit dermatis, tumbesaran yang terbantut, diarrhoea, gangguan mental dan penyakit berjangkit. Walaubagaimanapun, dengan pengambilan zinc yang cukup, dilaporkan bahawa, berlaku penurunan penyakit diarrhoea sebanyak 18% dan penyakit pneumonia sebanyak 41%.

Selain itu saudara, kadar tumbesaran didapati meningkat dan berlaku penurunan terhadap penyakit malaria serta kes-kes penyakit berjangkit yang lain hasil pengukuhan pengambilan zinc dalam makanan. Lantaran itu saudara, jika zinc ini ditambah sebagai salah satu nutrisi dalam nasi, sudah pasti manfaat zinc dapat kita perolehi tanpa perlu mengambil apa-apa supplement.

Zinc dalam Nasi

Misi untuk menambah micronutrient seperti zinc ke dalam makanan disebut sebagai food fortification atau biofortification. Untuk menjayakan misi ini, terdapat dua pendekatan yang utama sama ada melalui genetic biofortification ataupun agronomic biofortification.

Genetic biofortification selalunya dilaksanakan melalui program pembakaan atau melalui teknik bioteknologi. Tetapi, pendekatan seumpama ini mengambil masa yang agak lama. Bagi pendekatan agronomic biofortification pula, penambahan sesuatu zat nutrisi terhadap makanan dilaksanakan melalui amalan agronomi contohnya melalui pembajaan.

Inilah yang sedang aku usahakan sekarang saudara. Melalui penambahan baja Zinc untuk tanaman padi pada kadar dan cara yang betul serta efektif, diharapkan ianya dapat memberikan peningkatan yang significant terhadap kandungan zinc dalam butir padi di samping peningkatan hasil padi itu sendiri. Mudah-mudahan dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat terhadap sektor pertanian khususnya di Malaysia ini. Doakan aku saudara.

“Dan makanlah makanan yang halal lagi baik (halalan thoyyiban) dari apa yang telah direzekikan kepadamu dan bertakwalah kepada Allah dan kamu berimanlah kepadaNya” (surah al-Maidah 5:88)

Tanah Yang Dihidupkan

Tanah seperti mana yang kita tahu merupakan medium penting dalam kerja-kerja penanaman. Biarpun terdapat kaedah lain yang tidak memerlukan medium tanah seperti kaedah hidroponik (larutan baja sebagai medium), kaedah fertigasi (sekam bakar + sabut kelapa sebagai medium), namun tanah masih lagi diperlukan untuk pembangunan sektor pertanian.

Walaubagaimanapun, tanah yang diperlukan untuk diusahakan bagi meningkatkan hasil pengeluaran pertanian semakin terhad. Ia terpaksa bersaing dengan kepesatan sektor lain seperti sektor hartanah yang membangunkan pusat-pusat perniagaan komersial dan perumahan, sektor industri samada berskala kecil atau besar dan sebagainya. Maka, sektor pertanian tiada pilihan lain melainkan untuk mengoptimumkan kadar pengeluaran hasil pertanian pada tanah-tanah yang telah, sedang dan akan diusahakan.

Terdapat banyak faktor yang membolehkan sesuatu tanaman itu ditingkatkan hasil pengeluarannya. Antaranya ialah meningkatkan kesuburan tanah (soil fertility). Bila kita bercakap tentang kesuburan tanah, ia bukan dengan sekadar mengaplikasikan baja yang secukupnya untuk keperluan tanah, tetapi banyak lagi perkara-perkara lain yang perlu dilihat dalam aspek ini.

Tambah Baja

Misalnya, Pak Bakar mengusahakan sejenis tanaman di tanah miliknya. Dia membajai tanamannya itu mengikut apa yang telah dicadangkan. Diikut betul-betul cadangan itu sama ada dari segi kadarnya mahupun masa untuk membaja. Tetapi, apabila Pak Bakar menuai tanamannya itu, didapati hasilnya tidak begitu memberangsangkan biarpun telah mengikut panduan membaja yang dicadangkan.

Oleh kerana ingin meningkatkan lagi hasil tanamannya, maka Pak Bakar membuat keputusan untuk meningkatkan lagi kadar penggunaan baja yang dilihatnya barangkali tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan tanamannya itu. Sungguhpun demikian, apabila Pak Bakar menuai tanamannya selepas itu, didapati hasil tanaman tidak juga meningkat pada paras yang sepatutnya. Adakah perlu untuk Pak Bakar meningkatkan lagi kadar penggunaan baja?

Lantaran itu saudara, baja bukanlah penyelesaian utama dalam meningkatkan kesuburan dan seterusnya meningkatkan hasil tanaman. Terdapat perkara-perkara lain yang perlu diambil kira tatkala kita menguruskan kesuburan tanah. Antaranya ialah nilai pH pada tanah. Mengetahui pH tanah adalah penting kerana nilai pH yang berbeza akan memberi impak yang berbeza terhadap kesediaan nutrient (nutrient availability) untuk pengambilannya oleh tanaman (plant uptake).

Di Malaysia, kebanyakan tanahnya adalah tanah tropika. Ciri tanah tropika yang paling utama adalah kandungan pHnya yang rendah. Ini menjadikan tanah-tanah ini berasid dan kurang baik terhadap kesediaan nutrient untuk tanaman. Tanah yang berasid juga kurang baik untuk aktiviti mikroorganisma tanah seperti bakteria nitrobacter atau nitrosomonas yang boleh membantu meningkatkan kandungan Nitrogen dalam tanah.

Dalam keadaan tanah yang berasid, misalnya pada pH bawah daripada 5, keadaan tanah pada waktu itu dipenuhi dengan ions-ions Aluminium (Al) dan juga Hidrogen (H). Tanah pada kawasan pengakaran (root zone) hanya akan memegang (adsorp) Al serta H sahaja. Dalam masa yang sama, ions-ions nutrient baja yang lain seperti NH4+, K+, Ca2+, Mg2+ dan sebagainya akan ‘leaching’ iaitu akan turun ke bawah tanah dan terkeluar daripada kawasan pengakaran yang penting untuk penyerapan nutrient oleh tanaman. Biarpun Pak Bakar membajai dengan kadar yang tinggi, namun nutrient baja tadi hanya turun ke bawah tanah dan tidak dipegang oleh tanah. Impaknya, hasil tanaman tidak meningkat kerana nutrient baja gagal diserap oleh tanaman.

Untuk mengatasinya, Pak Bakar perlu meningkatkan pH tanahnya dalam lingkungan 6.5-6.8 kerana pada pH ini, tanah tidak lagi memegang Al dan H. Ianya semakin berkurangan dan tanah mula memegang nutrient baja yang diberi. Ini sekaligus meningkatkan kesediaan nutrient baja untuk penyerapan oleh tanaman. Untuk itu, tiada caranya lagi melainkan Pak Bakar perlu menggunakan kapur (lime) bagi meningkatkan pH dalam tanah sebelum baja diaplikasikan.

Air Dan Tanah

“Dan Allah menurunkan air hujan dari langit dan dengan air itu dihidupkanNya bumi sesudah matinya, sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaanNya) bagi orang yang mahu mendengar (pengajaran)” (surah al-Nahlu 16:65)

Air merupakan salah satu perkara asas yang diperlukan oleh setiap makhluk di dunia. Cuba kita renungkan, bagaimana jadinya pada tumbuhan, ternakan mahupun kita sendiri sekiranya hujan dihalang dan disekat daripada turun. Setelah banyak kerosakan yang manusia kerjakan, dan Allah yang berkuasa penuh terhadap alam ini tiba-tiba menyekat bantuan air hujan percuma untuk keperluan makhluk-makhlukNya. Kesengsaraan dan kemelaratan akan melanda dunia tanpa air. Air yang kita, haiwan dan tumbuhan perlukan itu adalah salah satu nikmat Allah yang sangat hebat.

Jika Pak Bakar tadi telah pun mengapur tanahnya, dan diberi pula baja yang cukup untuk tanamannya, tetapi tanpa kehadiran air, tanah yang dikapur dan dibaja itu tadi akan mati. Tanah yang mati ialah tanah yang gagal membekalkan nutrient dan air untuk tumbuhan biarpun bertan-tan kapur dan baja telah diberi. Hal ini seterusnya akan menyebabkan tumbuhan itu pula mati.

Apabila air mula turun dan mengalir di tanah-tanah yang subur tersebut, keadaan tanah mati itu seolah-olah hidup semula dan memainkan peranannya untuk memegang nutrient baja serta air (soil solution) dan boleh diserap pula oleh tumbuhan. Tumbuhan yang subur dimanfaatkan pula oleh ternakan dan menjadi pelengkap kepada sumber makanan dan rezeki bagi manusia. Dengan air juga, ia boleh memecahkan ‘dormancy’ pada biji-biji benih yang ditabur ke tanah untuk tumbuh menjadi tanaman yang berguna. Itulah maknanya tanah yang dihidupkan.

Setelah DiRevolusi Hijau

Alhamdulillah saudara, hampir setiap hari kita di Malaysia boleh memakan produk ini. Sebilangan orang, kalau tidak memakannya dalam sehari, rasa tak lengkap hidupnya. Teruk macam mana pun, dia tetap kena makan walaupun sedikit (produk apa ni?).

Produk yang aku maksudkan adalah produk tanaman padi yang disebut beras sebelum dinanak dan nasi setelah siap untuk disuap.

Untuk pengetahuan saudara, padi merupakan tanaman bijirin kedua terbesar (kira-kira 20% pengeluaran bijirin dunia) yang dihasilkan selepas bijirin gandum. Ia merupakan makanan ruji utama kepada kira-kira 50% penduduk dunia yang mana, hampir 90% daripada  pengeluaran (production) dan penggunaannya (consumption) adalah dari benua Asia. Ini kerana, per capita consumption di Asia sahaja adalah kira-kira 45 kg  berbanding world average:27 kg dan US:9 kg.

Antara negara-negara pengeluar padi utama dunia adalah China, India, Indonesia dan juga Bangladesh. Pengeluaran padi dari negara-negara ini mewakili lebih daripada 70% pengeluaran padi dunia yang mana 36% daripadanya adalah dari negara China

Setelah berlakunya revolusi hijau (Green Revolution) sekitar tahun 1960 hingga 1970 di Asia, ia telah banyak mempengaruhi pola pengeluaran padi di dunia. Antara pengeluar padi utama di Asia termasuklah Vietnam, Thailand, Jepun dan juga Burma yang menyumbang kira-kira 12% pengeluaran padi dunia. Selain di Asia saudara, padi turut ditanam di US, Itali, Sepanyol, Mesir, Australia dan beberapa negara di barat Afrika.

Negara jiran kita, Thailand merupakan pengeksport beras utama dunia iaitu kira-kira 25%  daripada jumlah eksport beras dunia diikuti oleh US. Selain itu, negara Vietnam, Pakistan, China, Australia, Burma, Itali, India dan Uruguay juga adalah negara pengeksport utama beras. Negara kita 1 Malaysia, tak masuk senarai pun sebab jangan kata nak eksport, pengeluaran beras dalam negara pun belum cukup untuk penuhi permintaan (local demand) yang mana kita terpaksa mengimport pula kira-kira 40% bekalan beras negara dari luar.

Saudara, mengapa isu pengeluaran dan bekalan makanan ruji ini penting di dalam sesebuah negara?

Jawabnya, isu ini boleh meletus menjadi isu yang sangat besar tatkala kerajaan di sesebuah Negara gagal membekalkannya kepada rakyat (boleh berlaku food riot atau rusuhan makanan). Sebab itu, di beberapa buah negara seperti Jepun, mereka mengklasifikasikan makanan ruji mereka sebagai food security. Satu terma yang digunakan sebagai gambaran tentang jaminan keselamatan untuk rakyat mendapat jaminan akses terhadap bahan makanan utama.

Untuk itu, mengikut Robert Thomas Malthus, beliau menyatakan “population growth and the potential for population to increase rapidly, are often faster than the food supply available to them”

Maknanya saudara, apabila populasi penduduk meningkat, maka selalunya peningkatan itu tidak seiring dengan peningkatan bekalan makanan. Jesteru, amatlah penting untuk kita membuat persiapan untuk mempertingkatkan lagi pengeluaran padi atau beras dalam egara ini. Kita perlu belajar beberapa pendekatan yang diguna Negara lain dalam meningkatkan pegeluarannya. Sampai bila kita mahu terus bergantung kepada negara pengeluar lain sedangkan kita punyai cukup keupayaan dan berpotensi untuk melonjakkan pengeluarannya?

Perkara ini ada munasabahnya saudara, kerana masalah global terhadap peningkatan harga dan kekurangan bekalan makanan kini disifatkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) sebagai ‘the silent tsunami’ kerana telah menyebabkan sekurang-kurangnya 850 juta penduduk dunia kelaparan dan kebuluran hari ini (tak sedar pun kan). Pernah juga saudara, Bank Pembangunan Asia (ADB) di Singapura mengeluarkan kenyataan bahawa era harga murah makanan sudah pun berlalu. Perkara ini cukup menginsafkan kita. Apakah krisis bekalan serta kenaikan harga komoditi makanan berpunca daripada sikap rakus manusia yang tamak dan tidak tahu bersyukur atau disebabkan oleh faktor perubahan cuaca semata? (rujuk surah Ar-Rum 30:41)

Saudara, seperti yang disebutkan tadi, revolusi hijau telah membawa kesan yang besar dalam peningkatan pengeluaran padi. Sebelum dilaksanakan ke atas tanaman padi, ia telah terlebih dahulu dilaksanakan ke atas penanaman gandum sehingga Dr Norman Borlaug, seorang agronomist dari Amerika menerima Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1970 di atas usaha beliau menghasilkan baka gandum yang berproduktiviti. Bayangkan saudara, baka gandum yang dihasilkannya itu berupaya menjadikan Mexico pada waktu itu sebagai Negara pengeksport utama gandum. Beliau  pernah berkata: “I have worked with the production of more and better wheat for feeding the hungry world”. Menggambarkan kesungguhan beliau dalam memberi jasa demi penduduk dunia.

Kemudiannya, kaedah yang digunakan Norman Borloug ini diadaptasi untuk tanaman padi oleh negara Filipina melalui IRRI pada tahun 1960. Hasilnya saudara, pengeluaran padi di Asia dapat ditingkatkan dua kali ganda antara tahun 1970 hingga tahun 1995 tatkala populasi penduduk bertambah sebanyak 60%.

Demikianlah saudara sedikit sebanyak kisah tentang revolusi hijau. Satu revolusi dalam sektor pertanian yang melibatkan proses penambahbaikan baka tanaman, amalan agronomi yang praktikal dan penggunaan teknologi yang membantu mengangkat pertanian sebagai sektor yang strategik dan penting untuk pembangunan rakyat dan negara.

Walaubagaimanapun saudara, kesemua pencapaian yang dilihat tadi tidak akan terhasil dan tidak akan ke mana tanpa satu faktor yang sering dilupakan manusia iaitu faktor Maha Pemurah Allah kepada seluruh makhlukNya. Tidakkah kesemua yang berlaku ini saudara adalah dibawah kehendak rahmatNya. Ia sebenarnya menuntut kita berfikir dan merenungkan akan segala nikmatNya itu.(rujuk Surah Al-Hajj 22:63-64).

Rasulullah & Sains

Riuh satu Malaysia tatkala mendengar sebilangan umat melayu Islam yang berkokok mempertahankan upacara perarakan sempena Maulidurasul. Seolah-olahnya, tak lengkap sambutan kalau tidak berarak.

Pada aku saudara, isu nak berarak ke, tak mau berarak ke, itu semua isu kecil. Tak menjejaskan Islam pun. Tetapi, isu yang lebih penting untuk kita bicara ialah isu umat yang semakin hari semakin melupakan Nabi SAW. Melupakan ajaran dan sunnah yang ditinggalkan kepada kita.

Kita sebagai muslim, pasti tahu bahawa perutusan Nabi SAW kepada kita oleh Allah SWT adalah sebagai rahmat (rujuk surah Al-Anbiya 21:107). Rahmat itu bukan sahaja menguntungkan kita sebagai muslim, bahkan memberi faedah kepada manusia lain dan seluruh isi alam sama ada di bumi mahupun di langit. Itulah rahmat ISLAM. Rahmat untuk semua.

Jadi saudara, apakah kita hari ini benar2 memahami Islam yang diperjuangkan oleh Nabi SAW ini?

Jawabnya, tepuklah dada tanyalah Iman kita.

Baiklah saudara, sempena maulidurasul ini, aku ingin berkongsi sesuatu tentang kisah Nabi SAW yang punyai kaitan dengan ilmu Sains. Ilmu yang kita belajar hari ini.

Barangkali di luar sana ada beranggapan bahawa Sains itu adalah ilmu secular. Sebab apa? Sebab ia dijadikan pendidikan yang paling utama di Barat. yang sememangnya menolak agama. Sungguhpun begitu saudara, aku berpendirian bahawa Sains bukanlah ilmu secular kerana perkara yang berkaitan sains ini banyak dibicarakan di dalam Al-Quran dan hadith bahkan usaha mencetuskan ilmu ini secara meluas pernah berlaku dalam tamadun Islam. Cuma, dalam konteks hari ini, Sains yang kita belajar di sekolah dulu macam di barat, iaitu tidak menghubungkan kaitannya dengan agama, dengan Islam.

Kalau saudara ingin melanjutkan perbahasan tentang Sains & Islam, maka aku sarankan saudara menelaah buku-buku karya Dr Danial Zainal Abidin seperti Quran Saintifik, karya penulis Harun Yahya dan buku The Bible, The Quran and Science oleh Dr.Maurice Burcaille.

Saudara, pernah satu ketika dahulu, Nabi SAW menegur tindakan para sahabat yang mengacukkan pohon-pohon tamar tanaman mereka (apa yang dibuat para sahabat ini adalah salah satu teknik di dalam ‘Plant Breeding’). Maka, para sahabat pun berhenti daripada mengacukan pohon2 itu demi menghormati Nabi SAW.

Kemudian, didapati bahawa produktiviti pohon2 tamar itu tidak banyak seperti sebelum ini. Hal ini diadukan kepada Nabi SAW dan baginda menyuruh supaya para sahabat tadi meneruskan semula teknik mengacuk seperti yang diamalkan sebelumnya, kerana terbukti bahawa teknik mengacuk pohon tamar itu lebih berproduktiviti. Lantas Nabi SAW bersabda “Kamu lebih tahu mengenai urusan dunia kamu”. Kisah ini berpandukan Hadith Riwayat Imam Muslim.

Apa yang kita dapat fahami saudara, Nabi SAW mengiktiraf sebarang penemuan serta kajian (thesis) yang diputuskan melalui pengamatan (observation) serta bukti (evidence) yang sahih. Dengan kata lain, Nabi SAW tidak menolak ilmu Sains yang punyai asasnya di sudut duniawi.

Secara tidak langsung, ini mengambarkan kepada kita bahawa, Islam amat mementingkan bukti dan dalil. Sebelum kita memutuskan sesuatu perkara, kita perlu melihat kepada bukti dan dalil yang ada dan bukannya berdasarkan sentimen, emosi dan taklid buta semata-mata. Jelaslah saudara, disiplin ilmu Islam yang amat mementingkan bukti dan dalil sebagai keutamaan turut dipraktiskan oleh para saintis dalam mengesahkan kajian sains mereka.

Sebelum ini, aku juga pernah terfikir, apakah ilmu Bioteknologi Pertanian yang aku sedang belajar sekarang ini menepati ajaran Islam? Apakah kita boleh mengubah ciri2 (traits) sesuatu tanaman, buahan, ternakan atau sayuran yang telah pun dicipta sempurna oleh Allah? Apakah bidang ini bertentangan dengan kehendak Allah?

Tidak bolehkah kita menghasilkan lembu yang banyak daging dan susunya? Mangga yang manis dan tebal isinya? Kelapa sawit yang banyak minyaknya? Getah yang tinggi kandungan lateksnya? Udang putih yang tahan penyakit? atau Ubi gadong yang tidak lagi bertoksik?

Persoalan ini akhirnya terjawab melalui kisah hadith yang disebut tadi yang mana para ulama mengambil pendekatan mengharuskan aplikasi bioteknologi ini selagi mana ia tidak memudaratkan manusia dan ia digunakan sebagai alat untuk memberi faedah kepada manusia khususnya dalam usaha meningkatkan produktiviti dan mutu hasil pertanian tersebut.

Ya saudara, Sains hanyalah alat untuk menceritakan proses-proses alam yang berjalan mengikut sunnatullah atau ketetapan yang Allah beri kepada setiap sesuatu yang diciptakanNya. Itulah bukti kekuasaan Allah bagi mereka yang mahu berfikir.

Benarkah orang kita malas?

Malas adalah salah satu sikap yang negatif. Saudara, apa punca malas? Puncanya ialah apabila seseorang itu tidak melihat kepentingan sesuatu perkara yang perlu dilakukan. Dia rasa benda tu tak penting, maka malaslah jawapannya. Aku sendiri tak nafikan kadang kala timbul juga rasa malas ni (terutama bila nak siapkan ‘lab report’). Astaghfirullah…minta Allah kuatkan semangat kita untuk melawannya.

Aku ada terbaca dalam satu buku tajuknya ‘Petani dan Persoalan Agraria’ (Dr. Wan Hashim,UKM) yang ada mengupas isu malas ini. Beliau tidak setuju dengan pandangan beberapa pemikir barat yang sememangnya ‘western centric’ yang sesedap hati melabelkan orang melayu sebagai pemalas. Katanya, sikap pemalas inilah menjadi punca kemiskinan dan kemunduran orang melayu yang rata-ratanya adalah petani.

nelayan balik

Tidak kurang juga di kalangan orang tempatan yang berjawatan yang mengkritik serta memandang rendah dan hina terhadap golongan petani miskin. Golongan ini menurut Frantz Fanon dipanggil sebagai ‘black skin with white mask’. Kulit sama warna dan sebangsa dengan petani tapi cara fikir dan hidup macam orang barat (seperti JAHA dalam filem Budak Kelantan). Golongan ini mentang-mentanglah dah ada jawatan yang sedap-sedap, tetapi sombong dan angkuh bahkan memperlekehkan golongan petani yang miskin yang dianggap malas.

Kalau satu masa dahulu golongan petani ini berdemostrasi dan tunjuk perasaan kepada kerajaan kerana dah tak tahan dengan derita dan sengsara kehidupan mereka, maka cepat-cepat golongan yang sebangsa dengan petani ini tanpa segan silu menembak dan menyembur gas pemedih mata. Kalau petani miskin ini meneroka tanah baru setelah puluhan tahun memohon, maka akan ada pegawai yang sebangsa dengan petani ini akan arahkan rumah-rumah dirobohkan dan dihalau dari penempatan tersebut. Sedangkan, sudah menjadi hak asasi bagi rakyat untuk mendapatkan tanah apatah lagi golongan petani miskin yang benar-benar memerlukan tanah walaupun  hanya sekangkang kera. Semua ini akan dan terus berlaku apabila kurangnya kesedaran akan keperitan hidup si miskin yang terlantar.

petani lama


Berbalik pada persoalan malas, isu ini dah pun dikupas dan dijawab oleh Syed Hussein Al-Attas dalam karya beliau yang bertajuk ‘The Myth of The Lazy Native’. Tapi apa yang nak disebut di sini saudara, golongan kapitalis-kolonial barat dan kroni-kroninya di zaman penjajahan dulu tak habis-habis mengaitkan keengganan orang melayu bekerja di estet adalah berpunca dari faktor malas.

Kita nak jawab. Bagitahu pada puak-puak ni, keengganan orang melayu bekerja di estet disebabkan oleh keadaan pekerjaan yang tak ubah seperti tahanan perang dan hamba tawanan, gaji yang terlalu murah dan tempat kerja yang berisiko. Dilaporkan pada akhir abad ke-19, sebanyak 20% migrant cina dan india yang diimport mati akibat malaria di estet-estet milik puak kolonial. Buat apa orang melayu bersusah payah nak kerja estet sedangkan kerja pertanian di kampong lebih terjamin waktu itu. Sedar atau tidak saudara, siapa yang berperanan besar memastikan padi-padi ditanam, ikan-ikan ditangkap dan lembu, kambing diternak kalau tidak orang melayu. Kalau orang melayu jenis pemalas, akibatnya mati kebulurlah para pegawai kolonial dan pekerja estet mereka yang “rajin” itu.

petani

Brien Parkinson, salah seorang penulis Barat, lagi teruk. Ada ke patut dia kaitkan kemunduran orang melayu berpunca daripada agama Islam. Yang ni lagi aku angin. Kita nak tanya pada dia, kenapa ramai di kalangan orang Islam yang jadi hartawan dan jutawan? Apakah masih menjadi salah Islam apabila ramai rakyat di India, Filipina, Thailand, Burma pada waktu tu yang juga miskin melarat? Adatlah dalam mana-mana Negara sekalipun kalau ada yang kaya, pasti ada yang miskin.

Negara sosialis seperti China, Russia, Cuba, Vietnam dan Poland, para petani mereka tidak lagi dipandang rendah bahkan mendapat tempat istimewa dalam masyarakat. Mereka berjaya menggulingkan orde pemerintah yang selama ini menghina dan memeras tenaga mereka dengan cara revolusi senjata. Dalam konteks Negara kita yang mendukung semangat Demokrasi, tak perlulah angkat senjata untuk satu perubahan, tetapi yang perlu diangkat ialah agenda perubahan minda atau ‘mind revolution’ yang mana kita mahu merevolusikan sikap dan persepsi komuniti yang memandang negatif dan sepi terhadap petani dan bangsa sendiri.

you-can-change

Bagi pemerintah, golongan elit dan pegawai atasan, jangan kamu sombong dan mengherdik petani miskin kerana kamu mesti ingat kalaulah seluruh petani ini memboikot untuk tidak bertani, silap hari bulan kamu pula akan masuk kampung merintih dan merayu minta sesuap nasi dan lauk untuk dimakan. Bagi graduan yang masih mengangur pula, jangan malu untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian. Cuba kita tanamkan sikap yang positif untuk sama berkerja membangunkan sektor ini.

3d world

Zaman dulu, golongan petanilah orang disebalik tadbir yang kuat kerjanya dan bertungkus-lumus menghasilkan produk pertanian dan makanan buat memenuhi keperluan mereka dan orang lain . Untuk itu saudara, orang melayu generasi yang lalu telah buktikan bahawa mereka bukan bangsa pemalas seperti yang didakwa. Jadi, bagaimana pula dengan generasi sekarang?

Jayakan revolusi bumi hijau

Mutakhir ini, dunia sedang berhadapan dengan kemelesetan dan kegawatan ekonomi global. Menurut apa yang aku baca, masalah ekonomi hari ini boleh dikatakan lebih teruk berbanding kegawatan pada tahun 1997-98. Jika pada tahun 97-98 boleh diibaratkan sebagai seorang anak yang sakit, tetapi kegawatan kali ini seperti seorang bapa yang sakit.

Dalam menghadapi kegawatan ini, Amerika telah mengumumkan suntikan dana sebanyak 700 billion Dollar amerika bagi membantu bank-bank yang berkemungkinan akan jatuh muflis. Perkara sama juga dilakukan oleh Britain dengan meluluskan dana sebanyak 500 billion pound.

13076775

Inilah reality yang berlaku, sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di kebanyakan negara memperlihatkan kegagalan dan keruntuhannya. Sebelum ini, budaya penindasan ekonomi puak kapitalis sudah jelas kelihatan. Sebagai contoh, kewujudan WTO dan Bank Dunia yang diasaskan oleh kuasa imperial amerika menganjurkan pasaran terbuka tanpa had dengan dibuka seluas-luasnya untuk golongan pemodal. Peraturan dan syarat yang tak beri keuntungan kepada pemodal akan dihapuskan. Banyak peraturan urus niaga yang melindungi kepentingan negara-negara kecil juga telah dilupuskan atas nasihat mereka. Apa yang akan berlaku ialah golongan pemodal kaya ini akan terus menguasai pasaran sedangkan pengusaha tempatan akan tersisih kerana tidak berupaya bersaing. Lebih malang lagi apabila negara-negara dunia ketiga tidak dapat bertahan dengan dasar penswastaan yang dipaksakan ke atas mereka oleh 2 lembaga tersebut.

anticapitalist2

Saudara, dunia kapitalis yang berlandaskan riba dan pelbagai bentuk penindasan kini berhadapan dengan penolakan penduduk dunia yang tidak mahu menerima dolar sebagai wang tukaran. Akibatnya, nilai dolar mengalami kejatuhan. Sebagai jalan pintas, Rezab Persekutuan, iaitu sebuah agensi swasta yang berhak mencetak dolar di Amerika terus mencetak wang dolar untuk dijadikan bahan eksport utama negara tersebut. Maka, berlakulah lambakan dolar di pasaran dunia. Secara teorinya, apabila wang berlambak, sudah tentu nilai wangnya akan jatuh. Jadi, puak kapitalis ini bertindak untuk memaksakan jual-beli minyak terus dengan nilai dolar bagi memastikan dolar terus diguna pakai. Sedangkan, Iran dan Russia telah pun beralih kepada Euro dalam hal jual-beli minyak ini. Peralihan ini sebenarnya membantu kemerosotan nilai dolar.

financial-photo-j0315542

Sekarang, krisis ekonomi kapitalis ini akan sampai di negara kita tidak lama lagi. Negara-negara amerika utara dan Eropah akan mengurangkan permintaan. Apa Kesannya? Ia akan menyebabkan pengeluaran kilang kita akan berkurang dan menghadapi ancaman untuk ditutup. Bila ditutup, akan meningkatkan pula kadar pengangguran.

ist2_279137_money_mind

Kita sudah tidak ada pilihan lain selain memanfaatkan kesuburan tanah air kita untuk menghadapi keadaan seperti ini. Ekonomi kita tidak boleh selamanya bergantung kepada industry pembuatan semata-mata. Kita harus menrencanakan satu dasar ekonomi baru yang memfokuskan kepada pembangunan sector pertanian secara menyeluruh. Ia perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan mentransformasikan minda rakyat bagi melibatkan mereka dalam sector ini. Segala kekangan yang menghambat kemajuan sector ini harus di atasi dengan segera.

Sekurang-kurangnya, dengan revolusi bumi hijau ini mampu sedikit sebanyak membantu rakyat negara kita menghadapi kemelesetan ekonomi dunia. Segala keperluan kita seperti beras, ikan, ayam, daging dan sayuran akan mencukupi dan tidak perlu lagi diimport dengan adanya usaha revolusi bumi hijau ini. Oleh hal demikian, aku dan rakan-rakan dari Fakulti Pertanian dan Bioteknologi UDM Insya-Allah akan terus komited dan berusaha untuk merealisasikan agenda revolusi ini. Boleh tak?