Duit Poket

Kalaulah duit dan poket boleh berbicara…

Duit: Hari-hari aku digunakan manusia untuk membeli dan membayar sesuatu.

Poket: Itulah..tuan aku ini pun aku tengok kesian. Kadang-kadang aku keseorangan tanpa kehadiran kawan-kawan kau kerana terlalu banyak diguna untuk membayar.

Duit: Apa nak buat, memang segalanya memerlukan aku hehehe..

Poket: Mahal sangat ke barang-barang di luar sana tu duit?

poket (from: www.forbes.com)

Duit: Jika kau lihat kawan-kawan aku banyak digunakan, sedangkan jumlah barangnya tidaklah sebanyak dulu, itu bererti mahallah barang tersebut. Lagipun, aku diguna bukan sahaja untuk beli barang, tapi untuk beli petrol, bayar hutang kereta, sewa rumah, hutang belajar, bayar tol dan bermacam-macam lagi.

Poket: Tuan aku ni baru habis belajar dan baru sahaja dapat kerja. Hidup pula di bandar besar. Dia terpaksa ikat perut sebab gajinya kecil. Macam kau cakap tadi, macam-macam perlu dia bayar dan ditambah dengan tiap-tiap bulan dia kirim duit ke kampung untuk tampung keperluan keluarganya di sana.

Duit: Begitulah kalau nak hidup, poket. Tapi aku sendiri masih percaya bahawa kekayaan negara yang ada sekarang ini sebenarnya cukup untuk semua nikmatinya, tetapi tidak akan pernah cukup jika dapat pada yang tamak.

Poket: Maksud kau apa?

Duit: Kawan-kawan aku yang bertimbun-timbun dalam kantung negara sekarang ini, jika diurus dengan jujur dan telus, tidak rasuah dan tidak menyeleweng, insyaAllah, mampu memberi kesejahteraan kepada rakyat. Ekonomi yang berkat akan cukup dan akan beri manfaat kepada rakyatnya.

Poket: Tapi duit, baru-baru ini, tuan aku ada menerima kawan-kawan kau secara one-off. Tak silap aku sebanyak RM250 untuk setahun. Tapi sahabat tuan aku pula katanya dapat RM500 sebab dah kahwin.

kantung negara (from: www.thenutgraph.com)

Duit: Sebenarnya, sama ada kau nak percaya atau tidak, tuan kau yang baru kerja tu boleh dapat lebih lagi daripada jumlah one-off tu.

Poket: Macam mana tu duit?

Duit: Macam ni, jika tuan kau terpaksa bayar hutang belajar tiap-tiap bulan sebagai contoh RM100. Kalau kerajaan baru nanti mansuhkan hutang PTPTN, maknanya tuan kau tak perlu lagi bayar. Di situ dah jimat RM100. Cuba kali dengan 12 bulan, setahun dah ada lebihan RM 1200. Lebih banyak daripada RM 250 atau RM 500 tadi. Betul tak?

Poket: Oh, macam tu ke.

Duit: Jika harga kereta turun sebab turunnya cukai eksais. Sudah pasti monthly installment nye juga akan rendah. Katalah boleh jimat dalam RM 150 sebulan. Dalam setahun tuan kau akan dapat lebihan RM 1800. Maka, setahun secara kasar, RM 1200 tadi + RM 1800 = RM 3000. Boleh slow2 dah kumpul duit untuk buat haji atau buat belanja kahwin ke hehe..

Poket: Tapi kan duit, boleh ke dasar-dasar ni dilaksanakan dalam negara ni? Tak bankrap ke nanti?

Duit: Idea dan cadangan seperti yang disebut tadi bukannya dibuat oleh pihak sebarangan. Ia dibincangkan oleh golongan bijak pandai dalam hal ekonomi dan kewangan. Seperti aku cakap tadi, negara ni sebenarnya kaya-raya dengan hasil mahsulnya dan berpotensi besar. Cuma jika ianya dapat diurus dengan baik oleh pihak yang terbukti telus dan bersih, kekayaan itu pasti akan dapat dirasai rakyat.

Poket: Belum cuba belum tahu kan hehe..

Duit: Haa, pandai pun. Selain daripada pemansuhan hutang PTPTN dan turun harga kereta, mereka juga bercadang untuk menurunkan harga petrol, diesel, elektrik, penghapusan tol di lebuhraya secara berperingkat dan banyak lagi manfaat yang lain. Ini semua untuk kebaikan rakyat teramai supaya disposable income rakyat dapat ditingkatkan.

Poket: Iyelah, disposable income atau pendapatan boleh-guna rakyat akan dapat ditingkatkan tatkala kos sara hidup mampu diturunkan. Betul tak?

Duit: Betul tu. Bila rakyat ada lebihan dalam poket, sebagai contoh, dia boleh menabung atau melabur. Dia boleh membeli barangan keperluan yang lain di samping boleh rancang bercuti ke mana-mana sahaja dalam negara bersama keluarga. Mereka juga mampu memperbanyakkan sedekah dan infak kepada yang memerlukan.

Poket: Pasti gembira tuan aku jika dapat kehidupan yang seperti itu. Kalau tidak, kesian aku tengok asyik mengeluh tak cukup duit. Tapi mana kau tahu semua ni? Takde diterangkan pun dalam akhbar dan tv.

Duit: Uhh, nak harapkan surat khabar dan tv nak share info-info macam ni, jangan haraplah. Yang ada hanya nak perlekeh idea dan cadangan orang lain. Dah lah tak berani nak berbahas. Sepatutnya hujah lawan hujah, idea lawan idea, bukan ucapan syok sendiri dalam tv. Lagi teruk kalau telur dan batu jadi bahan lawan hujah. Aku rujuk kat sini je;

http://www.pakatanrakyat.my/files/BM-Manifesto-LEAFLET.pdf

http://www.pakatanrakyat.my/files/BM-Manifesto-BOOK.pdf

http://rafiziramli.com/2013/02/kos-manifesto-rakyat/

Poket: Patutlah. Kena cari maklumat yang seimbang ni sebelum memilih.

Duit: Jika rasa-rasa nak hidup yang lebih baik dan sejahtera, peluang tu hanya ada pada sekali ini sahaja. Jangan lepaskan peluang tu.

Poket: Eh duit, kau nak ke mana tu?

Duit: Tuan kau ni nak menderma untuk kemenanagan Pakatan R….. (suara duit tidak lagi kedengaran kerana telah dimasukkan ke dalam tabung yang dibawa petugas Unit Amal).

 “Orang yang paling disukai Allah adalah mereka yang paling banyak manfaatnya (pada orang lain), dan amalan yang paling baik dilakukan oleh seseorang adalah: memasukkan rasa bahagia ke atas seorang muslim, menyelamatkannya daripada penderitaan, melupuskan hutangnya ataupun mengusir rasa kelaparan daripadanya. Sesungguhnya, aku sangat suka untuk berjalan dengan seorang muslim demi untuk menunaikan hajat (keperluannya) daripada aku beriktikaf di masjid sebulan lamanya” (Hadith riwayat Imam al-Tabarani)

“…agar harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu..” (surah al-Hasyr 59:7)

Orang Bagi..Kita Ambil..

Hutang sememangnya wajib dibayar. Bahkan jika seseorang itu meninggal dunia, antara perkara yang perlu diselesaikan adalah hutang. Waris si mati mestilah mengambil tahu dengan siapa si mati berhutang dan selepas itu perlulah dilangsaikan dengan segera.

Hutang tetap hutang. Biarpun kita berhutang dengan orang bukan Islam, orang kafir, maka kita berkewajipan untuk membayar hutang tersebut. Jika nilai hutang itu hanyalah lima sen sekali pun, selagi pemberi hutang tidak menghalalkannya, kita perlu melunasinnya.

ijazah hutang

Ada antara kita mungkin berhutang dengan PTPTN. Tanpa syak lagi, ia perlu dilunaskan sebab namanya hutang. Biarpun negara kita ini hasil mahsulnya melimpah-ruah, namun rakyat sama ada mahu atau tidak, terpaksa berhutang dengan PTPTN bagi membolehkan rakyat menjejak ke pusat pengajian tinggi demi segulung ijazah.

Bagaimana jika sekiranya kita ditawarkan untuk menikmati pengajian tinggi secara percuma. Agak-agak saudara memilih untuk berhutang atau tidak? Aku yakin, ramai antara kita mahu pendidikan tingginya dibiayai sepenuhnya umpama tawaran biasiswa. Jika adalah suatu hari nanti, muncul kerajaan baru yang baik hati mahu beri biasiswa kepada saudara, takkan saudara mahu menolaknya, takkan saudara mahu tetap berkeras untuk setia berhutang dengan PTPTN.

Tidak tahulah jika ada dalam kalangan mahasiswa kita yang tegap dengan pendirian untuk terus berhutang. Enggan dan tidak mahu menerima apa-apa tawaran biasiswa atau pendidikan percuma. Sebab itu, kalau ada yang mahu memberinya nanti, tidak salah untuk kita ambil dan nikmatinya masa itu. Sekurang-kurangnya, sudah terlepas daripada bebanan hutang belajar.

Ambil Jangan Tak Ambil

Musim kini adalah musim kerajaan pemerintah sekarang berbaik hati. Sama ada berpura-pura atau memang betul-betul merasai denyut nadi rakyat, tiadalah diketahui. Segala jenis dan bentuk bantuan hendak dihulurkan dan disampaikan. Jika burung dan jerung yang turut ada masalah itu boleh mengundi, pasti bantuan akan turut disampaikan. Bak kata billboard di seluruh negeri Perak, “Tiada siapa dipinggirkan, Tiada siapa disisihkan”.

bantuan

Macam-macam ada. Walaupun apa yang diberikan itu sememangnya menjadi hak rakyat, tetapi cara dikendalikan bantuan itu disalur seolah-olah duit itu asalnya dari poket si penyalur atau dah macam dari dana parti mereka. Muka masing-masing semuanya poyo masa memberi. Walaubagaimanapun, rakyat punyai kebijakan yang tidak boleh diremehkan. Orang bagi, pakat ambil, tapi pangkah belum tentu.

Mana tidaknya, ketika disalurkan RM100 sebagai bantuan sekolah anak-anak, rakyat pasti teringat bagaimana projek RM250 juta duit rakyat disalurkan kepada anak-beranak menteri yang tiada pengalaman dalam bidang ternakan. Apabila rakyat diberi RM500 untuk setahun, rakyat akan pasti terkenang bagaimana duit rakyat sebanyak RM500 juta komisen kapal selam diberi kepada kenalan rapat yang terkait dengan tuduhan jenayah membunuh yang masih misteri. Tatkala anak-anak muda dapat rebat RM200 untuk memiliki telefon 3G, rakyat akan terasa bertapa susahnya rakyat untuk mendapat maklumat berita yang bebas dan seimbang sampai terpaksa berinternet. Bila pelajar-pelajar peroleh RM250 baucar buku, terlintas di fikiran alangkah indahnya jika pengajian mereka turut juga dibiayai sepenuhnya. Sambil memberi bantuan di sana-sini, mereka melipat-gandakan serangan psikologi dengan klip-klip video di televisyen setiap hari. Seolah mahu memaksa rakyat berterima kasih dan mengenang budi mereka.

Tak Tahu Bersyukur

Bila bercakap tidak senada dengan pemimpin parti pemerintah. Nanti dianggap sebagai cuba lawan kerajaan. Tatkala tidak bersetuju dengan sesuatu, dengan segera akan dicop sebagai orang yang tidak mengenang budi dan tidak tahu bersyukur dengan segala faedah yang diperolehi selama ini. Lebih teruk, ada juga yang siap bagi cadangan; “Kalau tidak puas hati dengan kerajaan, berambus la cari negara lain”. Tersangatlah bagus cadangan tersebut.

Teringat pula aku akan kisah Firaun dan nabi Musa as. Firaun dan isterinya menjaga nabi Musa as sejak dari kecil meskipun terdapat akta keselamatan dalam negeri ketika itu yang menganggap bayi lelaki sebagai ancaman keselamtan. Maka kesemua bayi lelaki dibunuh kecuali nabi Musa as yang diselamatkan oleh isteri Firaun. Apabila dewasa, nabi Musa diamanahkan oleh Allah swt untuk menyampaikan kebenaran risalah Islam. Namun, apa yang di bawa Nabi Musa as itu bercanggah dengan pendirian Firaun dan pencacainya. Apakah tindakan nabi Musa as yang melawan arus Firaun itu dianggap sebagai tidak bersyukur dan tidak tahu kenang budi setelah membesar di istana Firaun selama ini?

doaku

Sememangnya kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang kita perolehi. Kita yakin, semuanya datang daripada Allah, Tuhan pemilik seluruh alam. Tidak salah juga untuk kita berterima kasih kepada manusia yang berjasa kepada kita. Hadirnya bantuan itu juga dengan izin dan rahmat Allah. Itu hanyalah sebagai tanda kita berbahasa terhadap mereka yang berbudi. Namun, orang yang bersyukur sebenarnya mana mungkin membutatulikan kebenaran. Mereka yang bersyukur juga takkan membiarkan kemakmuran serta kekayaan negaranya terus-menerus diseleweng dan disalahguna sesuka hati. Benarlah, selain musibah, dalam nikmat juga ada ujiannya.

“Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah” (Surah al-Qasas 28:17)

Syria: ‘Revolusi Iran Kedua’

Seperti yang dijanjikan saudara, aku akan kongsikan beberapa kenyataan pemimpin mahupun pendirian negara-negara dalam isu di Syria. Terdapat dua aliran, satu pihak menyokong presiden Bashar Asad dan satu lagi pihak menyokong supaya kebangkitan rakyat Syria dipertahankan.

Penyokong Rejim Syria

1) Televisyen Israel menyiarkan himpunan rakyat Israel lebih kurang 500 orang yang menyokong Bashar pada akhir bulan Febuari 2012. Mereka sebahagiannya dilihat membawa bendera Syria dan memakai T-shirt bergambar Bashar.

2) Menteri Luar Russia menyatakan bahawa Russia akan membangkang apa sahaja usul yang menentang Bashar. Russia turut mengugut Qatar yang mencadangkan agar tentera negara-negara Arab dihantar ke Syria bahawa Qatar akan dipadamkan daripada muka bumisekiranya masih kekal dengan cadangan tersebut.

3) Presiden Iran, Ahmedinejad mengumumkan 15 ribu pasukan tentera elit dihantar ke Syria untuk membantu Bashar selepas sambutan Revolusi Iran ke-33.

4) Ulamak Syiah, Ayatullah Ahmed Jannati ketika berucap di Universiti Tehran pada 24 Febuari 2012 berkata; ‘Kewajipan bagi Syiah untuk ke Syria agar Syria tidak jatuh ke tangan ‘musuh-musuh Ahlu-Bait’ (melabelkan sunni sebagai musuh Ahlu-Bait).

5) Pemimpin tertinggi Iran, Ayatullah Ali Khomeini menamakan kebangkitan rakyat Syria sebagai ‘Revolusi Iran Kedua’. Tetapi, kali ini berbeza dengan revolusi yang pertama. Dahulu, Syiah mesti bersama-sama rakyat, tetapi kali ini wajib mempertahankan pemerintah Bashar di Syria.

6) Hassan Nasrallah, pemimpin gerakan Hizbullah berkata; “Bahawa Hizbullah menyokong revolusi di Mesir, Tunisia, Libya dan Yaman tetapi Hizbullah tidak menyokong revolusi yang berlaku di Syria. Beliau turut memuji Bashar dalam khutbahnya; “Tiada pemimpin negara, presiden, amir atau syeikh negara yang melakukan perubahan seperti yang dilakukan oleh pemerintah Syria”.

Langkah Dunia yang Membantu Rakyat Syria

1) Liga Arab gantung keanggotaan Syria, membeku asset pemimpin Syria di negara arab, menangguhkan urusan perdagangan dengan Syria, menghantar rombongan pemantau ke Syria.

2) Qatar menjadi negara pertama desak Liga Arab gantung keanggotaan Syria. Amir Qatar, Syeikh Hamd bin Khalifah Al-Thani cadang supaya negara arab hantar tentera pengaman untuk hentikan pertumpahan darah.

3) Majlis Keselamtan PBB bentang usul untuk beri tekanan kepada rejim Syria, tetapi usul itu digagalkan oleh kuasa veto, Russia dan China.

4) Presiden Turki, Tayyip Erdogan mengkritik Bashar secara terbuka dengan menyifatkan Bashar sebagai ‘pembunuh rakyat sendiri’. Turki turut membuka pintu sempadannya untuk pelarian Syria mendapakan perlindungan walaupun Syria mendesak supaya menutup pintu sempadan tersebut.

5) Parlimen Kuwait mengesyorkan supaya Bashar diheret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa di atas kezaliman dan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri. Amir Kuwait, Syeikh Sobah El-Ahmed Jabir El-Soleh pada 4 Mac 2012 telah menderma USD 5 juta bagi rakyat Syria.

6) PM Palestin, Ismail Haniyeh mengesahkan bahawa HAMAS tetap bersama-sama dengan kebangkitan rakyat Syria bagi menentang kezaliman pemerintah.

7) Tunisia sedia memberi suaka politik kepada Bashar Asad dan keluarganya jika cadangan itu dapat membantu menghentikan pertumpahan darah.

8) Arab Saudi mengeluarkan arahan supaya semua masjid-masjid mengadakan bacaan qunut nazilah

9) Libya arahkan diplomat Syria meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam.

10) Mesir memanggil pulang dutanya di Syria dan mendesak Syria supaya menghentikan pembunuhan terhadap rakyat di sana

11) Malaysia menyokong cadangan untuk gantung keahlian Syria dalam OIC.

Selain daripada itu, Ketua Ikatan Ulama Syria, Dr. Ali as-Sobuni dan juga Kesatuan Ulama Sedunia, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berfatwa kepada rakyat Syria agar mempertahankan rumah mereka dari keganasan tentera. Hal ini berdalilkan sumber hadith Nabi saw yang menyebut;

“Sesiapa yang terbunuh mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia juga syahid” (Hadith Riwayat Abu Daud, An-Nasaie, Tirmizi dan Ahmad)

Akhir sekali saudara, marilah kita sama-sama mendoakan agar saudara-saudara kita di Syria diberikan kekuatan dan ketabahan dalam mengharungi hari-hari yang mendatang ini. Kita doakan juga supaya rakyat Syria dianugerahkan Allah dengan kemenangan untuk menyelamatkan negara mereka daripada terus dikuasai regim yang zalim.

“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh mereka yang zalim. Sesungguhnya Dia sengaja melambatkan balasan kepada mereka hingga ke suatu hari yang terbeliak penglihatan mereka”  (surah Ibrahim 14:42)

*Untuk maklumat lanjut mengenai isu di Syria, saudara boleh ketahuinya melalui buku Travelog Luka Air Mata Syria terbitan Jundi Resources.

Syria: Dari Contengan Dinding Bertukar Revolusi

Berdasarkan buku Travelog Luka Air Mata Syria, apa yang berlaku di Syria hari ini saudara bukanlah suatu perkara yang baru. Tragedi pembunuhan rakyat beramai-ramai oleh regim yang zalim ini pernah berlaku di era pemerintahan Hafez Asad, iaitu ayah kepada Bashar Asad. Pada Febuari tahun 1982, ada satu operasi ketenteraan yang dinamakan sebagai “Operasi Bumi Hangus” dilancarkan bagi menyekat kemaraan rakyat.

Peristiwa itu berlaku di bandar Hama yang terletak di sebelah barat Syria, kira-kira 210 km dari Damsyik. Hama menjadi sasaran kerana di sana merupakan kubu kuat Ikhwan Muslimin yang menggerakkan kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan politik di Syria. Operasi tersebut diketuai oleh Rifa’at Asad iaitu adik kepada Hafez Asad. Rifa’at dalam kenyataannya pernah berkata;

“Kita bersedia untuk melancarkan 100 kali perang, memusnahkan jutaan tempat persembunyian, mengorbankan jutaan nyawa demi menjaga tanah air. Sesungguhnya Ikhwan Muslimin mahu menghina dan menggadai Syria”.

Di dalam operasi tersebut, 2/3 pekan dan kampung di Hama musnah termasuklah 88 buah masjid dan 3 buah gereja dirobohkan. Operasi yang berlangsung selama 27 hari itu juga telah mengorbankan kira-kira 10-40 ribu orang, 15 ribu dilaporkan hilang dan 100 ribu yang lain terpaksa berpindah ke bandar lain.

Banyak sebenarnya peristiwa pembunuhan rakyat yang dilakukan oleh Hafez Asad. Cuma di sini hanya menukilkan salah satu peristiwa berdarah yang paling dahsyat yang pernah dilakukan Hafez. Kini, bumi Syria kembali berdarah. Kali ini oleh anaknya, Bashar Asad. Beliau mula memegang jawatan sebagai Presiden Syria setelah kematian ayahnya pada tahun 2000 akibat Leukimia. Waktu itu umur Bashar 34 tahun sedangkan, hendak menjadi presiden syaratnya mestilah berumur 40 tahun. Maka, dipinda perlembagaan dengan mensyaratkan umur 34 tahun sudah boleh dilantik sebagai presiden Syria.

Conteng Dinding

Menurut Syeikh Khaled Hasan Hendawi, pembantu khas kepada Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara penyebab utama yang mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menentang Basyar Asad bermula di wilayah Dar’a dalam daerah Hauran. Sekumpulan kanak-kanak lebih kurang 10 orang telah menconteng dinding sekolah mereka dengan menulis;

“Rakyat mahukan sistem dijatuhkan”

Kesalahan ini menyebabkan ketua polis wilayah, Atif Najib yang juga merupakan kenalan rapat kepada Bashar bertindak memenjarakan kesemua kanak-kanak yang terlibat itu. Di dalam penjara, kanak-kanak itu didera dengan kejam yang mana kuku-kuku kaki dan tangan mereka dicabut.

Saudara, apakah hukuman yang sedemikian rupa itu patut dikenakan atas kesalahan vandalism kerana menconteng dinding sekolah? Sesuatu yang agak keterlaluan dalam menghukum. Maka, hal ini menyebabkan ibu bapa kepada kanak-kanak terbabit menemui pihak berkuasa supaya membebaskan semula anak-anak mereka yang diseksa itu.

Namun, permintaan ibu bapa tersebut tidak dilayan bahkan dihamburkan dengan kata-kata yang boleh dianggap sebagai biadap dan kurang ajar. Apa jawapan Atif Najib kepada ibu bapa kanak-kanak terbabit;

“Kamu semua mestilah melupakan anak-anak kamu dan anggaplah mereka telah meninggal dunia. Ataupun sekiranya kamu tidak dapat terima kenyataan ini, kami boleh menikahi wanita-wanita kamu bagi mendapatkan anak-anak yang baru”.

Akibat rasa tidak puas hati, maka pihak keluarga termasuklah penduduk-penduduk yang perihatin telah turun ke jalan raya memenuhi jalan-jalan di Hauran. Kira-kira 1000 orang telah mengadakan bantahan itu secara aman dengan melaungkan “Jatuh..Jatuh..Atif Najib!”. Malangnya, himpunan tersebut telah ditangani oleh pihak polis bukan lagi dengan tembakan gas pemedih mata, tetapi dengan tembakan peluru hidup dari udara.

Peristiwa tersebut saudara, telah mengorbankan lebih 14 orang rakyat awam dan mencederakan puluhan yang lain. Akibat daripada perbuatan itu, gelombang kebangkitan rakyat terus hidup dan merebak dengan pantas ke beberapa tempat yang lain. Kira-kira 14 buah wilayah bergema dengan laungan rakyat dalam tempoh hanya 7 hari. Daripada laungan “Jatuh Atif Najib”, bertukar kepada “Jatuh..Jatuh..Bashar al-Assad!”.

Seperti yang dilakukan ayahnya, Bashar mengambil pendekatan untuk membunuh ribuan rakyat yang menentang di samping tampil di media-media yang dikawal kerajaan dengan memberikan janji-janji yang kononnya akan melaksanakan perubahan dan transformasi dalam politik.

Syria milik Syiah?

Seperti yang diketahui, regim Syria dipimpin oleh mereka yang menganut fahaman Syiah Nusairiyah. Walaubagaimanapun, Syiah bukanlah fahaman majoriti di Syria. Kebanyakkan rakyat Syria adalah terdiri daripada mereka yang berfahaman Ahlu Sunnah wal Jamaah iaitu kira-kira 74% daripada 19.3 juta populasi penduduk Syria. Selebihnya adalah Syiah iaitu 11% dan Kristian, 9%.

Sebab itu, apa yang sedang dilakukan oleh Bashar terhadap rakyatnya hari ini mendapat sokongan daripada pemimpin syiah Iran, Hizbullah di Lubnan dan beberapa ulama Syiah yang lain. Maka, apa yang kita tidak sedar selama ini ialah, disebalik daripada kekejaman Bashar yang sewenang-wenangnya membunuh rakyatnya yang majoriti sunni, bukan sahaja didorong oleh kepentingan politiknya semata-mata, tetapi juga berasaskan kepada faktor ideologi agama.

Kelompok Syiah Nusairiyah beranggapan bahawa golongan sunni sebagai golongan Nasibi yang halal darah mereka untuk dibunuh. Maka saudara, tidaklah menjadi suatu kepelikan mengapa golongan Syiah kini beriya-iya hendak membantu mempertahankan regim Bashar daripada dijatuhkan dan digugat. Insyaallah saudara, aku akan kongsikan pendirian negara dan pemimpin yang menyokong kebangkitan rakyat Syria, di samping pendirian penyokong Bashar daripada kelompok Syiah pada tulisan yang akan datang.

Teladani Pemuda Gua

“The world suffers a lot. Not because of the violence of bad people, but because of the silence of good people” –Napoleon

Ada benarnya juga saudara ungkapan ini. Kerosakan, kezaliman dan penindasan yang berlaku di dunia hari ini memanglah dilakukan oleh tangan-tangan manusia yang durjana, tetapi yang menjadi punca kepada bebasnya manusia durjana itu melakukan kerosakan adalah kerana diamnya manusia-manusia yang masih memiliki jiwa yang baik dan terpuji.

Kata hati sukar untuk menerima kedurjanaan tersebut. Namun, kerana hal-hal keduniaan yang dikhuatiri akan terlepas atau tidak ada keyakinan terhadap apa yang dia percaya, mungkin menjadi pengunci mulut daripada berani menyatakan kebenaran. Manusia yang sepatutnya perlukan jaminan keadilan dan kesaksamaan, akhirnya sengsara dan tertindas. Bukan kerana rahmat dunia yang tidak memadai, tetapi ia telah diurus untuk menjadi serba tidak cukup. Dunia yang kalau diikutkan seharusnya cukup untuk memenuhi keperluan asas setiap manusia tetapi yang berlaku sebaliknya.

Kerosakan sana-sini

“Earth provides enough to satisfy every man’s need, but not every man’s greed” – Mahatma Gandhi

Ketamakan kepada harta dan kuasa menjadikan manusia sanggup menindas dan menafikan hak manusia lain yang lebih memerlukan. Hal ini berlaku di mana-mana. Ada sahaja kemunculan manusia durjana ini yang tanpa segan silu melakukan pelbagai kerosakan lantaran ketamakan mereka. Yang lebih menarik, dijustifikasikan segala bentuk kerosakan tersebut dengan nama-nama yang lain bagi mengaburi niat sebenar mereka. Rasuah dan penyelewengan pada hakikatnya dikatakan komisen yang ‘halal’. Diberikan pelbagai habuan dan keistimewaan hanya kepada suku sakatnya sahaja dicanang sebagai agenda untuk membangunkan bangsa. Kekejaman membantai dan membunuh rakyat yang tidak berdosa, dipropagandakan sebagai ingin menghapuskan pemberontak dan diserang serta ditawan negara tertentu yang kononnya sebagai misi menentang keganasan.

Image

Sayangnya, kerosakan, kezaliman dan penindasan ini seolah-olah lebih lantang daripada jeritan suara kebenaran dan keadilan. Ini kerana, ramainya yang masih berdiam diri tatkala melihat apa sahaja yang berlaku di depan mata. Kalaupun kita tidak berani untuk berada di barisan hadapan menentang segala kerosakan ini, sekurang-kurangnya berikanlah sokongan sedaya-upaya kita kepada mereka yang bersama-sama kebenaran. Lantaran itu saudara, kali ini aku ingin berkongsi tentang perbincangan berkenaan semangat kental sekumpulan anak muda yang pernah dirakamkan di dalam Al-Quran.

Mereka adalah Ashabul-Kahfi. Oleh kerana mereka yakin dengan apa yang mereka percaya. Mereka sanggup tinggalkan keselesaan hidup selama ini kerana sudah tidak selesa lagi dengan suasana masyarakat yang dikhuatiri boleh melenyapkan keyakinan yang sudah tersemat di dalam hati. Maka dengan izin dan kehendak Allah, mereka lari bersembunyi ke dalam gua.

“Kami ceritakan kisah kepadamu (wahai Muhammad) dengan yang sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahkan kepada mereka petunjuk”

“Dan Kami tetapkan hati mereka ketika mereka berdiri lalu berkata; ‘Tuhan kami adalah Tuhan yang memiliki penguasaan di langit dan bumi. Kami tidak sesekali menyeru yang lain daripadaNya sebagai Tuhan. Jika kami kata yang demikian itu, itu amat jauh daripada kebenaran” (surah al-Kahfi 18:13-14)

Keyakinan yang ada pada mereka menjadikan mereka kuat untuk mempertahankan apa yang mereka imani dan percaya. Keimanan kepada Allah melebihi segalanya tatkala seruan untuk menghambakan diri kepada yang lain menjadi pegangan masyarakat dan penguasa waktu itu. Maka, pilihan yang ada pada mereka hanyalah gua. Dan di gua itulah, Allah taala melimpahkan rahmatNya yang tidak pernah manusia menyangkanya. Mereka ditidurkan Allah selama 309 tahun biarpun dirasakan baru seharian mereka tidur berehat.

Di mana gua kita?

Pemuda Ashabul-Kahfi memilih gua tempat untuk mereka bernaung daripada kerosakan dan kesesatan kerana waktu itu tidak ada pimpinan, ulama atau golongan Islam yang berkongsi pegangan yang sama dengan mereka. Daripada mereka terhanyut bersama dengan kejahilan dan kesesatan penguasa serta masyarakat pada waktu tersebut, mereka tiada pilihan melainkan berusaha untuk berlindung di gua. Tetapi, bagaimana dengan kita jika berhadapan situasi yang sama?

Kita yakin dengan Islam dan kita percaya hanya Islam yang boleh bawa perubahan terhadap segala kerosakan yang berlaku. Namun, kita tidak mampu menterjemahkan Islam yang membela kebenaran, keadilan dan kebajikan manusia dengan secara seorang diri. Kita memerlukan sesuatu yang boleh menjadi benteng perlindungan terhadap keyakinan kita itu. Untuk itu saudara, kita perlu bersama-sama dengan golongan pemimpin dan golongan Islam yang dinaungi ulama yang mana mereka sentiasa komited dengan perjuangan Islam yang benar. Merekalah ‘gua’ bagi kita dalam menghadapi kerosakkan yang berpaksikan kejahilan dan kesesatan. Inilah jawapan Rasulullah saw tatkala ditanya oleh Huzaifah Ibn al-Yaman.

“Adakah selepas daripada petunjuk itu ada pula kesesatan?” Rasulullah saw menjawab; “Ya, ada pula kesesatan, golongan yang sesat itu mengikut jalan-jalan lain daripada jalanku. Mereka itu menyeru ke pintu-pintu neraka jahanam. Barangsiapa yang mengikuti mereka nescaya dicampakkan ke dalam api neraka jahanam”. Lalu Huzaifah bertanya lagi; “Kalau berlaku demikian, apa yang patut kami lakukan?”. Rsulullah saw bersabda; “Kamu hendaklah bersama-sama beriltizam dengan golongan (jemaah) Islam dan pemimpin-pemimpin umat Islam”.

Image

Saudara, jika kita hanyalah orang awam yang biasa, namun pendirian kita tidak boleh menerima kerosakan dan kejelikan perbuatan manusia yang tamak dan zalim, yang sanggup memfitnah dan menipu, sanggup menafikan hak-hak orang lain, sanggup memukul dan membunuh rakyat sendiri kerana hanya berbeza fahaman, serta sanggup melakukan kekejaman kerana dendam dan dengki. Maka, pastikan kita berada bersama pimpinan yang soleh serta golongan Islam yang bersama ulama, yang mana mereka lantang dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Kalau tidak berada di barisan hadapan pun, sokong dan bantulah dari belakang secara tidak langsung kepada mereka. Mudahan Allah taala merahmatinya.

“Tidak melangkah seorang hamba pada hari akhirat kelak sehingga dia ditanya tentang umurnya pada apa yang telah dihabiskannya, masa mudanya pada apa yang telah dipenuhkannya, hartanya dari mana dia mendapatinya dan ke mana dia membelanjakannya dan ilmunya apakah yang telah dilakukan dengannya”. (Hadith Riwayat Tirmizi)

Rakyat Mahukannya

Semakin dekat dengan musim pilihanraya, semakin dekatlah para pemimpin bertemu dengan rakyatnya. Mana yang tidak cukup sebelum ini, akan segeralah dicukupkan sebelum tarikh pilihyanraya diumumkan. Inilah kebiasaan yang dapat dilihat.

Kalau sebelum ini jalan kampung pecah-pecah atau tidak berturap. Bila ditanya kenapa tidak segera dibaiki. Jawabnya, peruntukan lambat proses la, akan di bawa ke mesyuarat la dan seribu macam alasan lagi. Tetapi, kalau saudara pergi adu masalah ini hari ini, esok sekelip mata jalan itu akan segera dibaiki dan diturap. Lepas itu masuk surat khabar, masuk televisyen, taja sana sini bahawa inilah kerajaan perihatin, inilah kerajaan yang faham nurani rakyat. Hanya mereka yang mampu memerintah.

Rakyat hendak memilih pemimpin yang mana, hendak pilih parti yang mana, semua itu adalah kehendak dan hak rakyat. Rakyat sebagai pengundi umpama hakim. Hakim yang baik adalah hakim yang membuat keputusan yang adil. Hendak membuat keputusan yang adil memerlukan maklumat secukupnya. Untuk itu, hakim perlu mendengar hujah kedua-dua pihak (kerajaan dan pembangkang). Jika perlukan saksi (media), saksi mestilah amanah dengan kesaksiannya dalam membuat kenyataan. Setelah itu, hakim akan mula menganalisis dengan teliti dan barulah buat keputusan.

Rakyat mahukan maklumat. Apabila maklumat yang diperolehi melalui surat khabar dan televisyen dirasakan tidak mencukupi, maka rakyat akan keluar mencari maklumat. Ada yang mencarinya di laman sesawang, media-media alternatif dan juga di ceramah-ceramah umum di tempat awam. Inilah nasib rakyat di Negara Demokrasi Terbaik yang dahagakan maklumat yang adil.

Niat suci rakyat untuk mendengar dan mendapat maklumat tidak semudah yang disangka. Entah teori demokrasi mana yang mereka tiru, kita pun tidak tahu. Mungkin ini yang journalist al-jazeera maksudkan sebagai this is democracy, Malaysian style. Ceramah-ceramah umum yang sebelum ini berlangsung dengan aman, mutakhir ini diganggu oleh pihak yang barangkali sudah tidak senang duduk.

Ceramah ‘pengacau’ sengaja diadakan di kawasan berdekatan. Dikuatkan sound system dan dihalakan speaker ke arah ceramah rakyat. Maka, sedikit sebanyak rakyat yang mahukan maklumat dan penerangan dari pemimpin mereka terganggu. Kedengaran dari ceramah ‘pengacau’ suara menjerit-jerit dan terpekik melolong mencaci dan memaki-maki penceramah-penceramah rakyat yang sedang menyampaikan penerangan. Bukan itu sahaja, ada di sesetengah tempat merosakkan kenderaan penceramah dan hampir mencederakan penceramah.

Tidak terdetikkah dalam hati ‘pengacau’ tadi rasa malu mengganggu program pihak lain. Jika rasa terjejas pun dengan sambutan ceramah rakyat tadi, janganlah sampai ditunjukkan secara jelas kepada kami, pengundi-pengundi muda. Nampak sangat seolah-olah terdesak mahu pertahankan kuasa dan sokongan dengan menggangu ceramah rakyat.

Apakah tidak cukup penerangan mereka yang 24 jam mengawal laporan media massa sehingga mahu menghalang dan menganggu rakyat yang mahukan maklumat alternatif. Kalau apa yang mereka war-warkan dalam media dianggap sebagai perkara terbaik untuk rakyat, tidak perlu mengganggu dan mengacau seperti ini. Sebaliknya, anjurlah pelbagai program debat dan forum. Di dalamnya ada wakil parti kerajaan dan pembangkang. Masing-masing diberi peluang untuk membahas dan membentangkan kepada rakyat tentang dasar dan polisi parti masing-masing. Rakyat akan hadir dan menilai.

Rakyat Malaysia hari ini khususnya golongan muda akan terus meniti hari-hari depan mereka dengan mengharapkan suasana atau mindset sebuah politik baru. Politik baru yang diimpikan itu adalah politik yang segar dengan idea dan hujah dan pemain-pemainnya pula terdiri daripada mereka yang beradab dan berintegriti. Pengacau-pengacau tadi kalau hendak, boleh terus mencaci dan memaki sesuka hati mereka tetapi mereka mesti ingat, pendekatan samseng seperti itu akan terus ketinggalan ke belakang. Ketika itu, jangan tanya rakyat mengapa mereka tidak dipilih.

Cerita Lembu

Kecoh satu Malaysia cerita tentang lembu. Skandal ini bermula tatkala laporan ketua audit negara dihebahkan kepada umum. Skandal kali ini melibatkan dana rakyat bernilai RM250 juta kepada pihak yang tiada kepakaran dan pengalaman langsung dalam ternakan feedlot. Jika kita melihat tujuan projek ternakan lembu secara feedlot ini, apatah lagi melibatkan pengeluarannya yang berskala besar, ianya cukup baik dan murni khususnya bagi meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan. Ini sekaligus berkeupayaan memenuhi “40% self-sufficiency” keperluan daging lembu negara.

Tetapi sebaliknya berlaku. Macam-macam cerita yang keluar. Lembu masuk ‘kondo’lah, lembu naik Mercedes, dan bermacam-macam lagi. Apapun saudara, di dalam negara yang di dalamnya mendukungi prinsip demokrasi, pemerintah perlu berlapang dada menerima teguran dan kritikan rakyat. Rakyat berhak mengetahui status projek ini yang dikatakan rugi RM 7 juta (tahun 2008) dan RM11 juta (tahun 2009). Debat antara Rafizi (PR) dan Khairy (BN) sememangnya dinantikan bagi rakyat mengetahui isu ini dari sudut pro dan kontranya. Tidak perlulah isteri tauke lembu feedlot RM250 juta ini hendak singsing lengan kononnya menyerang peribadinya. Sedangkan yang dikritik, adalah cara urus tadbir dan pengurusan projek ini yang memerlukan pertangungjawaban.

Perternak Lembu Contoh

Ketika aku di tahun akhir pengajian “degree” tempoh hari. Aku bersama rakanku, Nozulaidi berkesempatan untuk menemuramah seorang perternak lembu yang berjaya di Terengganu. Temuramah ini dirangka bagi menyiapkan tugasan ‘Marketing Plan’ yang diberikan pensyarah. Perternak berjaya itu ialah Ismail Muhammad atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat sebagai Pok We. Hasil keringat beliau dalam perusahaan ternakan lembu ini sejak muda, telah membolehkan beliau menubuhkan syarikat Ismail Muhamad Enterprise yang memfokuskan pengeluaran lembu dan penghasilan makanan silage daripada rumput napier.

Hari ini, Pok We tidak keseorangan membangunkan syarikat tersebut, beliau dibantu oleh anak-anaknya yang sememangnya diberikan pendedahan dari awal dalam hal ehwal ternakan dan makanan silage. Pok We berkepakaran melakukan teknik ‘artificial insemination’ untuk ‘breeding programme’ dan adakalanya dijemput oleh Jabatan Verterinar untuk memberi ceramah dan seminar tentang pengalamannya yang luas dalam ternakan lembu dan penghasilan rumput silage.

Kini jumlah lembu yang diternak oleh Pok We kira-kira 400 ekor. Kadang-kadang beliau terpaksa mengimport dari Thailand bagi memenuhi permintaan tempatan khususnya menjelang Hari Raya Qurban. Beliau juga memiliki kebun rumput napier seluas kira-kira 100 ekar di tanah miliknya di sini dan 200 ekar lagi di Tapah, Perak dan Kulim, Kedah. Pernah dulu rakan-rakanku, Anas, Mohiddin dan termasuklah Nozulaidi berpraktikal di sini. Menurut rakanku, budaya kerja Pok We dan anak-anaknya sememangnya boleh dipuji. Mereka begitu komited dan bersungguh membangunkan perusahaan mereka.

Di samping itu, dengan keuntungan yang diperolehi, mereka pernah menaja satu rombongan melibatkan orang-orang kampong ke Kuala Lumpur. Setiap peserta rombongan diberikan pula elaun makanan disepanjang program tersebut. Adakalanya pula, mereka menjual daging di tepi jalan besar sambil menghadiahkan bubur lambok kepada pelanggan-pelanggan yang datang membeli daging terutamanya ketika bulan Ramadhan. Mengikut rakanku lagi, sepanjang mereka berpraktikal, Pok We tidak pernah lekang memberi nasihat dan berkongsi apa sahaja tentang perusahaannya.

Bagi aku, Pok We adalah salah satu contoh orang melayu yang berjaya dalam perniagaan ternakan lembu dan penghasilan rumput silage. Biarpun pengeluarannya dalam skala yang kecil pada mulanya, tetapi berkat usaha dan kegigihannya, hari ini Pok We, seorang yang buta huruf sebenarnya, telah berjaya keluar daripada kelompok masyarakat luar bandar yang miskin. Perternak-perternak seperti Pok We inilah seharusnya diberikan tumpuan oleh pihak kerajaan sekiranya mahu membantu meningkatkan pengeluaran daging lembu memandangkan beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman yang cukup luas dalam bidang ternakan ini. Diharapkan Pok We dan anak-anaknya dimurahkan rezeki oleh Allah dan terus berjaya di tahun-tahun yang mendatang.

Lembu Tidak Boleh Kawal Lembu  

Lazimnya, masjid tempat aku selalu solat jumaat akan mengadakan slot tazkirah ringkas sebelum azan zohor. Dalam tazkirah tersebut, ustaz itu membuat satu analogi. Katanya, lembu tidak akan mampu untuk mengawal atau menjaga lembu-lembu lain. Memang benar, seekor lembu tidak akan mampu membina sendiri kandang ‘feedlot’nya atau memproses makanan dedak mahupun silage. Yang boleh membinanya dan memprosesnya hanyalah manusia sebagai tuan kepada lembu-lembunya.

Begitu halnya dengan manusia. Sehebat mana pun manusia, kita tidak akan berkeupayaan mencipta bumi sendiri, langit sendiri mahupun oksigen yang kita hirup setiap hari. Hari ini, macam-macam kejahatan dan kezaliman manusia di sana sini sehinggakan manusia tidak mampu mengawal manusia lain sungguhpun pelbagai pendekatan dilaksanakan. Yang boleh mengawal dan Maha Tahu mengawal manusia hanyalah Allah, pencipta manusia dan segala yang ada dunia ini. Sebab itulah, Allah taala berikan kita agama sebagai panduan untuk kita patuh bagi memakmurkan dunia hari ini. Allah lebih mengetahui tentang segala apa yang diciptanya kerana Dialah Tuhan kita. Tidak yakinkah?

Teruk Daripada Lembu

Akhir sekali saudara, antara kelebihan twitter ialah kita boleh mengetahui ‘trend’ yang popular dalam kalangan pengguna. Aku cuba menjejak trend #lembu. Ternyata ramai juga yang tweetnya menyebut perihal lembu. Selain tweet-tweet tentang skandal lembu, ada juga seorang pengguna twitter menulis antaranya yang aku ingat;

Lembu: Di mana tuan tidur?

Tuan: Di atas tilam yang empuk.

Lembu: Tak sama dengan saya tidur (Tiba-tiba azan berkumandang). Tuan ni bersolat tak?

Tuan: Hehe..tidak..

Lembu: lol..yang ini memang sama macam  aku hehe (bisiknya di dalam hati)

Kalau manusia yang disuruh Allah untuk bersolat, berzakat, berhukum dan sebagainya tetapi enggan melaksanakannya, samalah seperti lembu yang memang tidak ada tanggugjawab (takhlif) yang perlu dipikul. Tetapi, sekurang-kurangnya, lembu tidak pernah ambil rasuah dan menyeleweng. Kalau ada manusia yang rasuah dan menyeleweng, teruklah dia berbanding dengan lembu.

“Dan sesungguhnya, kami jadikan isi neraka jahanam kebanyakannya terdiri daripada jin dan manusia, mereka memiliki hati, tetapi tidak memahami (ayat-ayat Allah) dengannya, dan mereka memiliki mata, tetapi tidak melihat (tanda kekuasaan Allah) dengannya, dan mereka memiliki telinga, tetapi tidak mendengar (peringatan dan suruhan Allah) dengannya, mereka itu seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi”. (surah al-A’raf 7:179)