Bermula dengan Hijau

Seperti  yang pernah aku ceritakan sebelum ini, baja Zn yang digunakan terhadap tanaman padi diharapkan mampu meningkatkan hasil serta menambah nutrisi Zn dalam butir padi (biofortification).

Untuk mengkajinya, maka aku menanam padi di dalam rumah kaca di Ladang 10, UPM. Aku tidak memilih untuk menanamnya di sawah bagi meminimumkan serangan perosak dan penyakit. Penanaman dibuat secara ‘direct seeding’.

Dari masa ke semasa aku memantau tumbesaran padi tersebut. Bermula dengan benih yang bercambah, kemudian mengeluarkan daun, seterusnya ke peringkat beranak (tillering), panicle initiation, heading, booting, dan sehinggalah padi tersebut mengeluarkan tangkai (panicle) dan butir padi (grain).

20130419_092017

Ketika di peringkat awal terutamanya pada peringkat tillering, padi tersebut kelihatan subur dengan anak-anak (tillers) disekeliling dan daunya yang hijau memanjang. Suka aku melihatnya. Tetapi lama-kelamaan, daun padi tersebut menjadi kuning bila mana memasuki peringkat akhir tumbesaran padi.

Hal ini menggambarkan suatu perumpamaan yang disebut di dalam al-Quran;

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu tumbuh segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (Surah al-Hadid 57:20)

Begitulah jua dengan kehidupan dunia kita saudara. Kedudukan serta kemewahan yang dikecapi manusia di dunia tidak akan kekal. Ia akan semakin meninggalkan kita tatkala kita semakin dekat dengan takdir kematian.

Ramai manusia yang seakan tertipu dengan kedudukan dan kemewahannya di dunia. Dirasakan itulah segala-galanya. Ada yang sanggup menipu, merasuah dan dirasuah, membunuh, menyokong kezaliman serta pelbagai kemungkaran yang lain demi meraih serta mempertahankan kedudukan dan kemewahan dunia.

Walaupun tiada kedudukan atau hidup tidak berapa mewah, tetapi bijak mencari peluang dan ruang untuk menyuburkan ketaatan kepada Allah. Maka itu lebih baik. Kalaupun kita ada kedudukan dan memiliki kemewahan, manfaatkannya untuk menjadi hamba hanya kepada Allah, bukan hamba kepada yang lain. Tatakala seseorang hamba itu perlu memilih antara kebenaran dan kebatilan, antara kezaliman dan keadilan, maka bersama-samalah dengan kebenaran dan keadilan semata-mata kerana Allah biarpun berdepan risiko dan cabaran.

20130523_120031

Saudara, kehidupan dunia dan akhirat boleh dianalogikan seperti padi yang ditanam oleh petani yang bukan sahaja akan menumbuhkan padi malah lalang turut akan tumbuh. Begitulah kehidupan kita, jika kita dahulukan kehidupan akhirat, InsyaAllah kehidupan dunia pun turut akan diperolehi. Yang penting, keredhaan dan keberkatan di sisi Allah swt.

Kita akan rugi jika hanya berseronok dengan nikmat dunia yang bakal reput dan kering apabila tiba masanya. Sebaliknya, beruntunglah kita jika dunia ini kita jadikan sebagai kebun amal soleh untuk dituai di akhirat kelak.

Advertisements

Dari Tanah Ke Tanah

Manusia asalnya daripada tanah. Itulah hakikat penciptaan manusia pertama yang bernama Adam as. Dek kerana tanahlah, azazil atau selepasnya kufurnya dikenali dengan nama iblis tidak bersetuju dengan kehendak Allah yang mahu menjadikan manusia sebagai kahlifah fil A’rd (khalifah di muka bumi). Bagi Iblis, penciptaan mereka daripada api lebih mulia dan lebih gah daripada tanah yang tiada martabat.

Tetapi, tiada siapa yang dapat menghalangi kehendak dan kekeuasaan Allah swt. Maka Nabi Adam as tetap dilantik sebagai makhluk yang diberi tanggungjawab serta peranan bagi memakmurkan bumi ini mengikut garis panduan yang dikehendaki Allah swt. Kisah pohon dan buah khuldi menjadi asbab kepada bermulanya perjalanan kehidupan manusia di muka bumi sebagai tempat persinggahan sementara.

Turunnya bangsa manusia ke bumi ini bukanlah untuk beristirehat semata. Bukanlah juga untuk menikmati segala perhiasan dan keseronokan yang ada tanpa mempedulikan had dan batasannya. Tetapi, perjalanan kita di bumi ini tidak lain tidak bukan untuk dipenuhinya dengan tanggungjawab. Seperti yang selalu kita dengar, adat sebagai seorang musafir atau pengembara, sudah pasti ada di dalam perjalanan itu suatu tempat persinggahan. Pengembara yang cerdik tidak akan hanya mengambil peluang itu untuk berehat sahaja, malah akan memanfaatkan segala ruang dan peluang yang dimiliki untuk mengumpul segala kekuatan dan bekalan bagi meneruskan perjalanan ke destinasi yang dijanjikan.

Kecerdikan Sebenar

Lantaran itu saudara, Rasulullah saw pernah bersabda dengan maksud:

“Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati”. (Riwayat Ibnu Majah)

Setiap yang hidup dan bernyawa, tidak akan mampu lari daripada persoalan mati. Biarpun barangkali manusia memiliki kediaman yang paling kukuh binaannya, atau kenderaan paling selamat di jalan raya, atau ubat penawar yang paling mujarab di dunia, namun tatkala ajal datang, matilah dia. Hadith pesanan Rasulullah saw seperti yang disebutkan tadi bukanlah membawa maksud yang kita tidak perlu belajar tinggi-tinggi, atau memahirkan diri dalam apa-apa bidang yang diminati sehingga boleh menjadi cerdik, tetapi memberi indikator bahawa ‘kecerdikan sebenar’ bukanlah diukur melalui pencapaian seseorang, tetapi melalui kesedaran kita tentang matlamat hidup kita yang betul.

Ada manusia, dia tidak sedar matlamat hidupnya yang sebenar. Walaupun dia mungkin tahu yang dia juga akan mati, tetapi persoalan menghadapi kematian bagi dirinya bukanlah keutamaan berbanding dengan urusan dunia yang sedang dia hadapi hari ini. Lantaran daripada itu, oleh kerana terlalu taksub dengan kehidupan dunia, maka kehidupan akhirat selepas kematian dikesampingkan. Demi mengejar habuan dunia, dia sanggup meninggalkan batasan halal haram yang menjadi tanggugjawab dirinya untuk dipatuhi.

Bukanlah cerdik namanya seandainya seseorang itu membiarkan dirinya rugi dikemudian hari. Biarpun di dunia dia dikenali sebagai orang yang cerdik dan pandai, di samping berharta dan ternama, tetapi jika dia rugi di akhirat, tiada makna semua yang dilalui di dunia dahulu, kerana kehidupan dunia bukanlah matlamat dan tujuan hakiki kita. Sebab itu, orang yang cerdik adalah mereka yang mengetahui benar-benar apa matlamatnya dan apa pula keutamaannya yang sebenar. Setelah menyedari hal itu, maka perancangan dan persiapan yang berkonsepkan ‘hasanah fid dunya wa hasanah fil akhirah’ akan dirangka sebaiknya untuk dicapai dalam jangka masa yang pendek dan untuk jangka masa yang panjang. Inilah hasanah (kebaikan) yang kita pohon kepada Allah setiap hari dalam doa harian kita.

Agama Didahulukan

Kita sebagai manusia tidak akan terlepas daripada ujian. Adakalanya kita diuji untuk memilih antara dua bentuk kepentingan. Kita diuji untuk memilih salah satu daripadanya ketika kepentingan dunia bertembung dengan kepentingan akhirat. Ada manusia, dia memiliki ilmu dan dipandang cerdik oleh manusia lain. Ketika pandangannya diperlukan masyarakat tentang sesuatu perkara kerana ilmu dan kecerdikan yang dimiliki, apatah lagi perkara itu merupakan pertembungan antara kepentingan dunia dengan akhirat, yang mana akan dia utamakan?

Mereka yang memiliki ‘kecerdikan sebenar’, pasti akan melebihkan dan mengutamakan kepentingan akhirat berbanding kepentingan dunia. Biarlah nampak bodoh dan rugi kerana mengkemudiankan kepentingan dunia, namun ‘kecerdikan sebenar’ mengatasi segalanya kerana dia tidak mahu menjadi manusia rugi di kemudian hari. Tetapi, barangkali tidak ramai memiliki ‘kecerdikan sebenar’ ini memandangkan manusia kadang kalanya terlalu lemah untuk meninggalkan dan melupakan kepentingan dunianya.

Sebab itu saudara, tidak pelik sekiranya wujud ilmuan yang tidak amanah dengan ilmunya dan ada pakar tetapi meyalahgunakan kepakarannya. Mereka sanggup menjadi ‘orang suruhan’ dan ‘kangkong’ bagi menutup kemungkaran dan kezaliman atau meng’iya’kan perkara-perkara yang batil dan salah yang dilakukan sesetengah pihak. Bukan itu sahaja, adakalanya sanggup berdiam diri tatkala hukum dan syariat Allah direndah-rendahkan oleh orang yang jahil lagi tidak mengetahui.

Carilah Agama

Mana-mana bayi yang dilahirkan oleh keluarga muslim, pastinya disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Antara perkara yang mula-mula dilakukan ibu bapa untuk menyambut kehadiran insan baru dalam keluarga itu adalah dengan azan dan iqamah di telinga bayinya. Kemudian bayi itu akan dibesarkan dan diberi didikan yang secukupnya.

Begitulah juga dengan mereka yang telah meninggal dunia. Pihak waris akan menguruskan jenazah tersebut dengan empat perkara iaitu memandikannya, mengkafankannya, mempersembahyangkannya serta mengebumikannya dalam tanah. Jika difikirkan saudara, apa persamaan antara menyambut kedatangan manusia muslim yang dilahirkan ke dunia dengan menyempurnakan mereka yang telah meninggalkan dunia? Persamaannya ialah, kedua-duanya diurus mengikut apa yang disuruh dan diajar agama. Siapa suruh kita azankan bayi yang baru lahir? Jawabnya, agama. Siapa yang suruh kita uruskan jenazah dengan empat perkara tadi? Jawabnya, agama. Bukannya adat atau kebiasaan masyarakat.

Maka tidakkah pelik saudara seandainya di permulaan hidup, manusia muslim disambut dengan menuruti agama dan apabila mati pula diurus juga dengan mengikut kehendak agama, sedangkan seluruh hidupnya tidak pula diisi menurut perintah agama. Ini pastinya merupakan suatu kelompongan dalam hidup sebagai muslim. Maka, marilah sama-sama kita mencari agama dalam waktu hidup yang sementara ini setelah kita disambut dulu dengan agama dan bakal disempurnakan kelak juga dengan agama.

“(Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia, padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal” (surah al-‘Ala 87:16-17)

Cerita Dari Hutan

Tersebut suatu kisah, ada seekor monyet berkeliaran keseorangan di dalam hutan. Dia bergayut ke sana ke mari mencari makanan bagi mengisi perutnya yang kosong. Kelaparan sudah menyelubungi dirinya. Termasuk hari ini, sudah empat hari dia tidak menjamah apa-apa makanan. Sepanjang hidupnya sebelum ini, dia tidak pernah merasa lapar seperti yang dialaminya sekarang.

“Di mana lagi aku mahu mencari makanan?” bisik hatinya.

Dahulu kawasan hutan yang menjadi rumah kediamannya ini luas dan cukup indah sekali. Dia masih ingat cerita ibunya yang selalu mengambarkan akan kehebatan nenek moyang mereka yang mula-mula mendiami hutan tebal ini melalui satu dokumen persetujuan. Persetujuan itu dimeterai antara suku kaumnya dengan suku kaum yang lain yang sebelum itu saling berbalah sehingga ada yang terkorban berebut tanah dan kawasan. Maka, hasil persetujuan itu membolehkan persempadanan semula dilakukan yang mana kawasan hutan yang didiaminya kini diserahkan kepada suku kaumnya manakala kawasan hutan disebelah hulu sana adalah wilayah bagi kaum yang satu lagi.

Semenjak daripada itu saudara, kedamaian dan keamanan dapat dikecapi oleh mereka. Tiada lagi perbalahan, tiada lagi pertumpahan darah antara dua suku kaum tersebut. Namun, masa dan zaman berubah. Hutan warisan nenek moyang mereka ini juga kian berubah keadaanya. Pernah suatu hari seorang Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Hutan-Hutan Persekutuan (JKHHP) di hutannya berpidato;

“Inilah nasib bangsa kita. Rezab kawasan kita kian mengecil dari tahun ke tahun atas nama pembangunan. Apakah kita mahu berdiam diri? Tidak, sekali-kali tidak. Ayuh, mari kita bangkit bersama, pertahankan tanah pusaka warisan ini. Untuk itu tuan-tuan, dalam pemilihan kali ini, if you help me, I will help you,” ujar ketua hutannya itu diiringi tepukan yang gemuruh.

Tetapi, semangat hanya tinggal semangat. Tidak lama selepas itu, ketua hutan dan ajk-ajknya yang sepatutnya menjaga amanah hutan warisan itu lari entah ke mana. Mereka lari bukan hanya membawa diri sahaja, tetapi habis semua stok makanan yang disimpan turut dibawa lari bersama anak-anak dan isteri-isteri mereka.

“Menyesal aku pilih mereka itu jadi pemimpin. Cakap nak bela bangsalah, nak pertahankan pusaka warisanlah. Semuanya tahu cakap sahaja. Buatnya tidak. Hampeh!,” keluh monyet sendirian tatkala mengenang kisah malang tersebut.

Dia masih lagi dengan sepenuh kudratnya berikhtiar mencari sesuap buah-buahan. Kalau tidak boleh banyak pun, dapat sedikit cukuplah. Yang penting, dia dapat menjamah makanan untuk meneruskan hidupnya yang kian sukar dan payah. Dengan izin Allah saudara, dia terjumpa suatu kawasan kebun buah-buahan yang sedang ranum di pinggir hutan warisan tersebut.

“Ya Tuhan, banyaknya pokok buahan di sini,” bisik hatinya kegirangan.

Walaubagaimanapun, kebun ini telah dipagar ketat. Pagar itu bukan pagar biasa, tetapi pagar elektrik yang kalau tersentuh, pasti renjatannya membawa maut. Oleh kerana dia terlalu ingin hendak masuk ke dalam kebun buahan tersebut, maka dia pusing mengelilingi kebun yang berkeluasan kira-kira tiga ekar setengah itu untuk mencari mana-mana lubang rahsia disebalik pagar yang terpacak kukuh. Usahanya tidak sia-sia. Ada satu lubang yang saiznya muat-muat untuk dirinya meloloskan masuk ke dalam. Tiada lagi kata-kata yang mampu terungkap. Yang ada di hadapan matanya sekarang adalah rezeki yang rugi jika tidak dimanfaatkan. Benarlah firman Allah swt yang bermaksud;

“Dan berapa banyak haiwan yang tidak dapat mengurus rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu. Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui,” (surah al-Ankabut 29:60)

Rambutan anak sekolah, nangka madu, mangga harum manis, betik eksotika, durian D24, dokong kering dan bermacam-macam lagi buahan tempatan yang cukup mengiurkan dimakannya tanpa henti. Perut yang tadinya kempis, kini kian membujur ke hadapan seperti orang mengandung. Lama juga dia berseronok makan di dalam kebun itu. Tanpa disedari, rupanya sudah seminggu dia berada di situ. Terdetik di dalam hatinya kalau-kalau tuan punya kebun ini datang, nahaslah dia dikerjakan manusia yang cukup pantang melihat kelibat kaumnya di kebun-kebun seumpama ini. Jadi, sebelum apa-apa berlaku, baik dia bertindak keluar terlebih dahulu melalui lubang di mana dia mula-mula masuk.

Dek kerana perutnya yang membesar, dia tersekat di tengah-tengah. Maka, jika dia mahu keluar dengan selamat, dia perlu terlebih dahulu mengempiskan perutnya seperti dahulu. Dia pun berdiet, bersenam dan berpuasa selama beberapa hari sehinggalah perutnya kempis. Dicubanya meloloskan diri melalui lubang tersebut, ternyata dia lepas. Kelihatan dari jauh, seorang manusia sedang membuka kunci pagar utama kebun di hujung sana. Dia cepat-cepat melarikan diri dan di saat itu juga, perutnya mula merasa lapar.

Demikianlah saudara suatu kisah monyet yang bermula dengan lapar, kemudian kenyang dan setelah itu lapar semula. Memang itulah monyet. Mereka tidak seperti kita manusia. Hidup mereka hanya untuk itu. Adakah kita manusia yang dihidupkan di atas dunia ini pun perlu begitu? Tidak, kita makan, minum dan tidur hanyalah sebagai keperluan yang sememangnya dijamin Allah untuk kita membina keupayaan bagi melunaskan amanah sebagai manusia.

Kepentingan dunia yang kita miliki hari ini bolehlah diibaratkan seperti kebun bagi monyet tersebut. Walaupun monyet mampu menikmati kesemua buah dalam kebun tersebut, namun bila dia terpaksa keluar dari situ, dia perlu kembali seperti asalnya. Ternyatalah kepentingan isi kebun itu bagi monyet hanyalah sementara. Ia tidak kekal. Sama-samalah kita renungkan.