Orang Bagi..Kita Ambil..

Hutang sememangnya wajib dibayar. Bahkan jika seseorang itu meninggal dunia, antara perkara yang perlu diselesaikan adalah hutang. Waris si mati mestilah mengambil tahu dengan siapa si mati berhutang dan selepas itu perlulah dilangsaikan dengan segera.

Hutang tetap hutang. Biarpun kita berhutang dengan orang bukan Islam, orang kafir, maka kita berkewajipan untuk membayar hutang tersebut. Jika nilai hutang itu hanyalah lima sen sekali pun, selagi pemberi hutang tidak menghalalkannya, kita perlu melunasinnya.

ijazah hutang

Ada antara kita mungkin berhutang dengan PTPTN. Tanpa syak lagi, ia perlu dilunaskan sebab namanya hutang. Biarpun negara kita ini hasil mahsulnya melimpah-ruah, namun rakyat sama ada mahu atau tidak, terpaksa berhutang dengan PTPTN bagi membolehkan rakyat menjejak ke pusat pengajian tinggi demi segulung ijazah.

Bagaimana jika sekiranya kita ditawarkan untuk menikmati pengajian tinggi secara percuma. Agak-agak saudara memilih untuk berhutang atau tidak? Aku yakin, ramai antara kita mahu pendidikan tingginya dibiayai sepenuhnya umpama tawaran biasiswa. Jika adalah suatu hari nanti, muncul kerajaan baru yang baik hati mahu beri biasiswa kepada saudara, takkan saudara mahu menolaknya, takkan saudara mahu tetap berkeras untuk setia berhutang dengan PTPTN.

Tidak tahulah jika ada dalam kalangan mahasiswa kita yang tegap dengan pendirian untuk terus berhutang. Enggan dan tidak mahu menerima apa-apa tawaran biasiswa atau pendidikan percuma. Sebab itu, kalau ada yang mahu memberinya nanti, tidak salah untuk kita ambil dan nikmatinya masa itu. Sekurang-kurangnya, sudah terlepas daripada bebanan hutang belajar.

Ambil Jangan Tak Ambil

Musim kini adalah musim kerajaan pemerintah sekarang berbaik hati. Sama ada berpura-pura atau memang betul-betul merasai denyut nadi rakyat, tiadalah diketahui. Segala jenis dan bentuk bantuan hendak dihulurkan dan disampaikan. Jika burung dan jerung yang turut ada masalah itu boleh mengundi, pasti bantuan akan turut disampaikan. Bak kata billboard di seluruh negeri Perak, “Tiada siapa dipinggirkan, Tiada siapa disisihkan”.

bantuan

Macam-macam ada. Walaupun apa yang diberikan itu sememangnya menjadi hak rakyat, tetapi cara dikendalikan bantuan itu disalur seolah-olah duit itu asalnya dari poket si penyalur atau dah macam dari dana parti mereka. Muka masing-masing semuanya poyo masa memberi. Walaubagaimanapun, rakyat punyai kebijakan yang tidak boleh diremehkan. Orang bagi, pakat ambil, tapi pangkah belum tentu.

Mana tidaknya, ketika disalurkan RM100 sebagai bantuan sekolah anak-anak, rakyat pasti teringat bagaimana projek RM250 juta duit rakyat disalurkan kepada anak-beranak menteri yang tiada pengalaman dalam bidang ternakan. Apabila rakyat diberi RM500 untuk setahun, rakyat akan pasti terkenang bagaimana duit rakyat sebanyak RM500 juta komisen kapal selam diberi kepada kenalan rapat yang terkait dengan tuduhan jenayah membunuh yang masih misteri. Tatkala anak-anak muda dapat rebat RM200 untuk memiliki telefon 3G, rakyat akan terasa bertapa susahnya rakyat untuk mendapat maklumat berita yang bebas dan seimbang sampai terpaksa berinternet. Bila pelajar-pelajar peroleh RM250 baucar buku, terlintas di fikiran alangkah indahnya jika pengajian mereka turut juga dibiayai sepenuhnya. Sambil memberi bantuan di sana-sini, mereka melipat-gandakan serangan psikologi dengan klip-klip video di televisyen setiap hari. Seolah mahu memaksa rakyat berterima kasih dan mengenang budi mereka.

Tak Tahu Bersyukur

Bila bercakap tidak senada dengan pemimpin parti pemerintah. Nanti dianggap sebagai cuba lawan kerajaan. Tatkala tidak bersetuju dengan sesuatu, dengan segera akan dicop sebagai orang yang tidak mengenang budi dan tidak tahu bersyukur dengan segala faedah yang diperolehi selama ini. Lebih teruk, ada juga yang siap bagi cadangan; “Kalau tidak puas hati dengan kerajaan, berambus la cari negara lain”. Tersangatlah bagus cadangan tersebut.

Teringat pula aku akan kisah Firaun dan nabi Musa as. Firaun dan isterinya menjaga nabi Musa as sejak dari kecil meskipun terdapat akta keselamatan dalam negeri ketika itu yang menganggap bayi lelaki sebagai ancaman keselamtan. Maka kesemua bayi lelaki dibunuh kecuali nabi Musa as yang diselamatkan oleh isteri Firaun. Apabila dewasa, nabi Musa diamanahkan oleh Allah swt untuk menyampaikan kebenaran risalah Islam. Namun, apa yang di bawa Nabi Musa as itu bercanggah dengan pendirian Firaun dan pencacainya. Apakah tindakan nabi Musa as yang melawan arus Firaun itu dianggap sebagai tidak bersyukur dan tidak tahu kenang budi setelah membesar di istana Firaun selama ini?

doaku

Sememangnya kita perlu bersyukur dengan segala nikmat yang kita perolehi. Kita yakin, semuanya datang daripada Allah, Tuhan pemilik seluruh alam. Tidak salah juga untuk kita berterima kasih kepada manusia yang berjasa kepada kita. Hadirnya bantuan itu juga dengan izin dan rahmat Allah. Itu hanyalah sebagai tanda kita berbahasa terhadap mereka yang berbudi. Namun, orang yang bersyukur sebenarnya mana mungkin membutatulikan kebenaran. Mereka yang bersyukur juga takkan membiarkan kemakmuran serta kekayaan negaranya terus-menerus diseleweng dan disalahguna sesuka hati. Benarlah, selain musibah, dalam nikmat juga ada ujiannya.

“Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah” (Surah al-Qasas 28:17)

Leave a comment