Bermula dengan Hijau

Seperti  yang pernah aku ceritakan sebelum ini, baja Zn yang digunakan terhadap tanaman padi diharapkan mampu meningkatkan hasil serta menambah nutrisi Zn dalam butir padi (biofortification).

Untuk mengkajinya, maka aku menanam padi di dalam rumah kaca di Ladang 10, UPM. Aku tidak memilih untuk menanamnya di sawah bagi meminimumkan serangan perosak dan penyakit. Penanaman dibuat secara ‘direct seeding’.

Dari masa ke semasa aku memantau tumbesaran padi tersebut. Bermula dengan benih yang bercambah, kemudian mengeluarkan daun, seterusnya ke peringkat beranak (tillering), panicle initiation, heading, booting, dan sehinggalah padi tersebut mengeluarkan tangkai (panicle) dan butir padi (grain).

20130419_092017

Ketika di peringkat awal terutamanya pada peringkat tillering, padi tersebut kelihatan subur dengan anak-anak (tillers) disekeliling dan daunya yang hijau memanjang. Suka aku melihatnya. Tetapi lama-kelamaan, daun padi tersebut menjadi kuning bila mana memasuki peringkat akhir tumbesaran padi.

Hal ini menggambarkan suatu perumpamaan yang disebut di dalam al-Quran;

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu tumbuh segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (Surah al-Hadid 57:20)

Begitulah jua dengan kehidupan dunia kita saudara. Kedudukan serta kemewahan yang dikecapi manusia di dunia tidak akan kekal. Ia akan semakin meninggalkan kita tatkala kita semakin dekat dengan takdir kematian.

Ramai manusia yang seakan tertipu dengan kedudukan dan kemewahannya di dunia. Dirasakan itulah segala-galanya. Ada yang sanggup menipu, merasuah dan dirasuah, membunuh, menyokong kezaliman serta pelbagai kemungkaran yang lain demi meraih serta mempertahankan kedudukan dan kemewahan dunia.

Walaupun tiada kedudukan atau hidup tidak berapa mewah, tetapi bijak mencari peluang dan ruang untuk menyuburkan ketaatan kepada Allah. Maka itu lebih baik. Kalaupun kita ada kedudukan dan memiliki kemewahan, manfaatkannya untuk menjadi hamba hanya kepada Allah, bukan hamba kepada yang lain. Tatakala seseorang hamba itu perlu memilih antara kebenaran dan kebatilan, antara kezaliman dan keadilan, maka bersama-samalah dengan kebenaran dan keadilan semata-mata kerana Allah biarpun berdepan risiko dan cabaran.

20130523_120031

Saudara, kehidupan dunia dan akhirat boleh dianalogikan seperti padi yang ditanam oleh petani yang bukan sahaja akan menumbuhkan padi malah lalang turut akan tumbuh. Begitulah kehidupan kita, jika kita dahulukan kehidupan akhirat, InsyaAllah kehidupan dunia pun turut akan diperolehi. Yang penting, keredhaan dan keberkatan di sisi Allah swt.

Kita akan rugi jika hanya berseronok dengan nikmat dunia yang bakal reput dan kering apabila tiba masanya. Sebaliknya, beruntunglah kita jika dunia ini kita jadikan sebagai kebun amal soleh untuk dituai di akhirat kelak.

Akar Daun

Menanam sesuatu tanaman memungkinkan sama ada tanaman itu hidup ataupun mati. Orang yang menanam apa jua pokok dan pokok itu subur dikatakan memiliki tangan sejuk manakala tangan panas untuk yang sebaliknya. Sungguhpun demikian, hakikatnya, hidup atau mati sesuatu makhluk di atas muka bumi semuanya adalah di bawah ketentuan dan kekuasaan Allah.

daun (sumber: bgfons.com)

Tanaman seperti juga manusia memerlukan makanan secukupnya untuk hidup dan berkembang. Biarpun tanaman tidak mampu bergerak sepertimana manusia dan haiwan, namun Allah menjadikan makhluk ini boleh membuat makanan sendiri melalui suatu mekanisma yang disebut sebagai fotosintesis. Dengan hanya memerlukan karbon dioksida (CO2), air (H2O) dan tenaga dari cahaya matahari sudah mencukupi bagi tumbuhan menghasilkan glukosa (C6H12O6) dan oksigen (O2).

Baik sesuatu tanaman atau pokok biasanya dinilai melalui lebat daun dan bunganya serta keenakkan buahnya. Jarang sesuatu tanaman itu dipuji kerana akarnya. Walhal, tanpa akar, tumbuhan akan gagal untuk menyerap air dan nutrient daripada tanah. Akar juga memberi sokongan kepada tumbuhan daripada rebah menyembah bumi. Itulah peranan akar yang tidak terlihat pada pandangan mata dek kerana ia tersembunyi di dalam tanah. Sebab itu saudara, akar tumbuhan kebiasaanya dijadikan perumpamaan bagi memaknai erti keikhlasan.

Walaupun bersembunyi di dalam tanah yang gelap dan kotor, namun akar tetap jua berperanan untuk membantu kehijauan daun, kemekaran bunga dan keranuman buah. Demikianlah sifat akar yang ‘low profile’ tetapi mempunyai ‘significant’ yang besar terhadap anggota pokok yang lain. Di sisi yang lain pula, daun turut memiliki kebaikannya. Seperti yang dijelaskan tadi, proses fotosintesis sebenarnya berlaku di salah satu organel di dalam daun iaitu klorofil.

Melalui daun, tumbuhan mampu menjana tenaga sendiri untuk hidup. Tenaga yang dijana penting untuk proses-proses biokimia yang lain untuk tumbesaran dan kemandirian sesuatu tanaman. Tidak mungkin tanaman dapat mengeluarkan hasil yang produktif (bunga/buah) tanpa adanya tenaga, air dan nutrient yang secukupnya.

akar (sumber: www.123rf.com)

Untuk itu, gabungan peranan dan fungsi akar (air & nutrient) serta daun (tenaga) amat penting untuk kemaslahatan pokok tersebut secara keseluruhannya. Tertinggal salah satu fungsi tersebut hanya akan memudharatkan kelangsungan hidup pokok itu. Sama ada saudara ingin mencontohi falsafah akar yang menyumbang tanpa menzahirkan dirinya atau ingin menjiwai falsafah daun yang berperanan tetapi dirinya tampak di pandangan, ikut saudaralah. Yang penting ikhlas kerana Allah. Sesuatu amal soleh sama ada tampak atau tidak, hendaklah kerana mencari redha Allah, bukan redha manusia, di situlah datangnya ikhlas.

“Sesiapa yang melakukan amal soleh baik lelaki atau perempuan dan dia dalam keadaan benar-benar beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (an-Nahl 16:97)