Tolong Ingatkan Aku

Tidak semua kita boleh ingat. Ada perkara yang benar-benar perlu kita ingat, tetapi perkara itulah yang sering dilupakan. Ada juga benda yang tidak penting pun untuk kita ingat, dengan mudah ianya senang melekat dan payah juga untuk dilupakan.

Dulu, aku ada seorang rakan. Dia adalah penggemar komik one piece. Aku lihat sendiri koleksi komik-komik one piece yang dikumpulkannya. Aku pernah bertanya;

“Best ke baca komik ni?”

Dia jawab, “Best, cerita tentang cabaran dalam pengembaraan, kalau kau nak baca, aku boleh bagi pinjam,”

“Eh, takpelah, aku tak berapa minat baca komik, tapi boleh tak kau cerita sikit pasal one piece ni?”tanya aku lagi.

MasyaAllah saudara, dia boleh bercerita panjang lebar tentang episod dalam komik tersebut. Bermula daripada yang pertama dan seterusnya. Aku pun ingat-ingat lupa akan cerita yang dia sampaikan. Namun, tengok cara dia bercerita, ternyata dia faham benar dan ingat akan plot atau jalan cerita one piece itu. Begitu juga halnya dengan kita saudara, kita lebih mudah ingat sesuatu lagu, drama atau filem yang kita minat tetapi sangat berat untuk mengingat pelajaran.

Manusia secara amnya adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah swt. Ianya bermula dengan nabi Adam as, yang ditakdirkan untuk bertemu dengan teman hidupnya Siti Hawa. Daripada pertemuan itulah lahirnya perasaan kasih dan sayang yang membawa kepada pembentukan keluarga keturunan Adam. Manusia diciptakankan Allah swt dengan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul selama hidup di dunia.

Namun, dalam mengharungi hidup yang singkat itu, manusia diduga dan diberi bermacam cabaran yang datang silih berganti sama ada kita sedar atau tidak. Antara dugaan yang manusia perlu hadapi ialah mengatasi sifat lupa yang ada pada manusia. Sememangnya manusia itu dijadikan dalam keadaan lemah. Lihatlah tika kita kecil, untuk makan kita disuap, untuk bergerak kita didukung, bahkan jika kita buang air pun, orang lain yang basuhkan. Kita tidak mampu buat sendiri. Kalau saudara renungkan lagi, bagaimana si bayi yang baru lahir, tidak pernah diajar sesiapapun tetapi tahu untuk menghisap susu tatkala seorang ibu menyusukannya?

 

Walaubagaimanapun, ada jenis manusia yang bila besar dan dewasa, dia boleh lupa akan jasa ibu bapanya yang pernah menyuapnya makan, dukung ke sana ke mari dan membasuh kotoran najisnya. Yang lebih dahsyat lagi saudara, ada jenis manusia dengan angkuh dan sombong, lawan perintah dan hukum Allah sedangkan dia sebenarnya lupa siapakah yang ajar dan beri ilham kepadanya ketika bayi dulu, untuk menghisap susu ibunya.

Tun Mahathir pernah mendeklamasikan sebuah puisi “Melayu Mudah Lupa” dalam Perhimpunan Agung Umno pada satu ketika dahulu. Melayu mana yang lupa. Hanya Tun Mahathir yang lebih mengerti. Sungguhpun begitu, tidak kira sama ada kita melayu, arab, orang putih atau hitam, ada satu perkara yang tidak boleh kita lupa. Melupakan perkara ini lebih dahsyat impaknya berbanding lupa kepada perkara lain. Melupakannya ibarat merelakan diri untuk hanyut di lautan nafsu duniawi.

“Kehidupan ini penuh dengan ketidakpastian, namun mati sesuatu yang amat pasti”

Demikianlah saudara hakikat hidup ini. Kita belajar bermula daripada didikan ibu bapa, kemudian ke tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, matrikulasi dan kini ke universiti. Namun, setelah kita berada di universiti, apakah kita sudah benar-benar pasti ke mana pula kita akan melangkah selepas ini? Tiada siapa yang dapat beritahu. Kita tidak pasti walau berbagai perancangan yang telah kita rangka.

Ternyata, bila kita bicara soal kematian, ianya sememangnya pasti. Tiap-tiap hari pasti ada kematian yang kita tahu melalui perantaraan mata yang melihat dan telinga yang mendengar. Setiap daripada diri kita juga merasakan bahawa ‘aku juga akan mati’. Cuma, tidak tahu bila, sebab apa dan di mana matinya kita. Yang pastinya, di akhir nanti kita mati jua. Lantaran itu saudara, marilah kita sama-sama mempasakan akan realiti kematian ini dalam minda kita agar ianya tidak dilupakan dengan mudahnya. Ini kerana saudara, mengingati mati beerti kita mengingatkan diri kita tentang akhirat.

Teringatkan akhirat, akan menjadi pendorong buat diri kita untuk ikhlas dalam belajar, jujur dan tidak rasuah, berkata benar walau sukar, beringat sebelum padah, gerun dengan dosa maksiat, berlumba berbuat kebaikan, takut menzalimi orang dan insyaAllah mudahan kita menjadi muslim yang mukmin, mukmin yang muttaqin.

Sebagai ingatan saudara, aku sertakan beberapa ayat-ayat Quran buat renungan kita bersama:

“Allahlah yang menciptakan kamu daripada keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan kamu sesudah itu menjadi kuat. Kemudian, Allah menjadikan kamu sesudah kuat itu lemah kembali dan beruban. Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa” (surah ar-Rum 30:54)

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati” (surah ali-Imran 3:185)

“Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali” (surah al-Baqarah 2:156)

“Katakanlah, malaikat maut yang disuruh olehNya untuk mencabut nyawamu akan mematikan kamu dan kemudian hanya kepada TUHANmulah kamu dikembalikan” (surah al-Sajadah 32:11)

“Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok, dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati” (surah Luqman 31:34)

“Sesungguhnya kematian yang kamu cuba lari daripadanya itu akan menemui kamu dan kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah” (surah al-Jumu’ah 62:8)

“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya” (surah al-Munafiqun 63:11)

“Janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam” (surah ali-Imran 3:102)

“Dan wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang yang soleh” (surah Yusuf 12:101)

 

Pasar Petang & Berita Malam

Selalunya saudara, seusai solat jemaah maghrib di surau, aku bersama rakan-rakan yang lain akan ke kafe bagi menikmati juadah makan malam yang dijual di sini. Nasi lemak, nasi goreng, nasi minyak, nasi ayam, mee kari, dan laksa adalah antara menu yang ada yang menjadi pilihan aku buat mengisi perut.

Kadang-kadang ‘boring’ juga mengadap menu yang sama, lantaran itu, kekadang aku memilih untuk ke pasar petang sekitar kampus UniSZA untuk menukar selera. Aku anggap ianya sebagai pasar petang sebab, waktu klimaks pengunjung mengunjungi pasar di sini adalah pada waktu petang tika mentari sedang bersiap untuk melabuhkan tirainya. Makin dekat dengan senja, makin berduyunlah orang datang yang kebanyakannya pelajar UniSZA, UMT dan penduduk tempatan.

Konsep pasar petang di sini sama dengan pasar malam di tempat aku di Gombak. Bezanya cuma, pasar petang di sini dalam sekitar pukul 9 malam ke atas, sudah menunjukkan tanda-tanda nak tutup. Sedangkan, di tempat aku, waktu pukul 9 malam tu masih lagi meriah dengan orang menjual dan membeli. Mungkin budaya masyarakat di sini yang kurang mengalakkan keluar malam.

Walauapapun, pasar-pasar seumpama ini mempunyai kebaikan khususnya untuk memberi peluang serta ruang kepada peniaga-peniaga kecil yang kebanyakannya orang melayu sebagai sumber pendapatan dan sekaligus menjana ekonomi ummah di peringkat akar umbi. Ia juga baik untuk orang macam aku yang ingin sekali sekala menukar selera makan. Cuma, terkadang aku terfikir juga, di mana peniaga-peniaga ini semua akan bersolat tatkala azan maghrib berkumandang?

Kalau di tempat aku, saudara boleh lihat ada dalam kalangan peniaga pasar malam di sini mendirikan solat maghrib di surau berdekatan. Ada yang datang awal untuk turut serta berjemaah, dan ada yang datang seusai solat jemaah. Tak kisahlah saudara, yang penting solat mesti didirikan. Kalau di Kelantan pula, pernah aku lihat pasar malam dalam kawasan flat di Jalan Kampung Sireh, lengang seketika apabila kebanyakan peniaga berhenti menjual tatkala menjelang waktu Maghrib. Kebetulan berhadapan dengan pasar malam ini ada sebuah masjid. Sekali lihat, keadaan ini seakan di Mekah seperti apa yang pernah diceritakan oleh jemaah haji yang melihat kedai-kedai akan ditinggalkan tuannya untuk menyahut seruan azan.

Harap-harap semua peniaga pasar petang dekat Gong badak di sini terdiri daripada mereka yang menjaga solatnya. Aku juga bermohon supaya aku dan seluruh zuriat keturunanku juga adalah mereka yang perihatin dan menjaga solat. Seperti mana doa Nabi Ibrahim as;

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap melaksanakan solat, Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku” (surah Ibrahim 14:40)

Dengan solat, barulah kehidupan kita ini saudara beroleh keberkatan dengan izin Allah. Jika para peniaga hendak menunaikan solat, tetapi surau atau masjid terletak agak jauh, maka tidak salah sekiranya mereka bersolat berhampiran dengan gerai mereka. Nak lagi cantik, ajak dua atau tiga peniaga yang lain untuk solat berjemaah sekali.

Tetapi dengan syarat tempat solat mereka mestilah bersih daripada najis. Kalau ada, hamparlah sejadah atau kain sebagai alas ketika solat. Islam sebenarnya adalah agama yang mudah untuk diamalkan. Ianya sangat praktikal seandainya kita tahu tuntutannya. Jangan dipayahkan agama yang indah ini dengan ketidakfahaman kita. Kalau saudara pernah berkunjung ke luar negara, pasti saudara melihat akan ada muslim yang menjadikan sudut-sudut bangunan sebagai tempat solat. Seperti yang diceritakan pelajar yang pernah belajar di luar negara, ada kala mereka bersolat di tepi kaki lima atau di tempat parkir kenderaan ketika berada di dalam kampus.

Itu serba sikit kisah tukar selera ke pasar petang. Adapun pada hari-hari biasa saudara, kalau tiada kuliah di surau, aku akan berada di kafe untuk makan malam sambil menonton televisyen. Selalunya, yang ditonton itu adalah program berita Buletin Utama. Salah satu program TV3 yang berjaya menarik ribuan penonton tanpa mengira peringkat umur. Ternyata, masyarakat menjadikan program berita seumpama ini sebagai sumber maklumat tentang apa yang berlaku di luar sana.

Banyaklah isu-isu melibatkan ekonomi, politik, jenayah, sukan dan sebagainya yang dikhabarkan dan diulas untuk memahamkan penonton. Cara penyampaian mereka bolehlah dipuji jika mahu dibandingkan dengan program berita di stesen tv yang lain. Cuma yang agak terkilan ialah laporan beritanya yang dilihat agak berat sebelah. Kadang-kadang aku lihat media hari ini gagal memainkan peranannya sebagai penghubung dengan masyarakat. Bila sebut penghubung, maknanya mereka punyai satu tanggungjawab untuk menyampaikan apa-apa maklumat tanpa berpihak sama ada A atau B bedasarkan realiti yang berlaku.

Apa yang aku perhatikan ialah banyak isu-isu nasional yang amat memerlukan perbahasan, dimanipulasi dan diputar untuk memenuhi kepentingan sesetengah pihak. Sedangkan, masyarakat mahukan isu-isu berkenaan disampaikan dalam bentuk menjelaskan apa yang pro dan apa yang kontranya tentang isu yang dibincangkan. Namun, perkara tersebut tidak berlaku dan sebaliknya perbincangan hanya condong untuk sebelah pihak sahaja tanpa memberi peluang kepada pihak lain untuk menjawab. Seterusnya, membawa penonton untuk hanyut dengan sesuatu isu tanpa penilaian secara kritis.

Atas sebab demikianlah saudara, aku melihat kemunculan media-media alternatif seperti blog, facebook dan seangkatan dengannya dimanfaatkan sebagai reaksi masyarakat yang dahagakan maklumat dan laporan berita yang dapat mengimbangi laporan media arus perdana. Dengan itu, membolehkan sebarang isu berbangkit dapat dinilai dan dijustifikasikan. Kebebasan media yang aku faham saudara, bukanlah kebebasan melaporkan sesuka hati apa-apa laporan yang bersifat prejudis, racist dan fitnah, tetapi kebebasan untuk media berperanan sebagai orang tengah terhadap sesuatu isu. Firman Allah swt:

“Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya.” (surah al-Baqarah 2:42)

Sebelum aku akhirkan bicara, aku pernah mendengar cadangan seorang ustaz di surau tempat aku yang menggesa pihak surau terutamanya untuk turun berdakwah kepada peniaga-peniaga tepi jalan dan pasar malam untuk menjaga waktu solat ketika berniaga. Katanya:

“Kalau susah sangat nak pergi surau, kalau takut duit kena kebas, apa salahnya kalau amik wudhuk dan solat tepi gerai, ini kerja orang surau untuk bagitau.”

Kepada pengamal media pula, seiring dengan program transformasi yang dikatakan sedang giat dijalankan kerajaan, tidak salah kiranya pihak media turut menyahut langkah transformasi tersebut untuk memaknai akan kebebasan media yang menjadi teras dalam amalan negara demokrasi seperti Malaysia.

Jalan Haji Cheng Ho

Baru-baru ini saudara, aku berkesempatan untuk mendengar kuliah jumaat yang biasa disampaikan oleh Tok Guru Nik Aziz Nik Mat di tengah-tengah Bandar Kota Bharu. Seingat aku, rasanya sudah lama aku tidak mendengar tok guru mengajar yang mana tok guru banyak menyentuh soal dosa, pahala dan perkaitan antara kehidupan dunia dan akhirat berdasarkan tafsir Al-Quran.

Walaupun aku berada di Kuala Terengganu yang jaraknya kira-kira 200 km daripada Bandar Kota Bharu, namun aku gagahi juga untuk mendengar dan menceduk sedikit ilmu dan pengalaman daripada seorang tokoh gerakan Islam yang tidak asing lagi di negara ini. Jarak yang jauh saudara bukanlah penghalang, tetapi jika kita ada kesungguhan, ianya tidak mustahil untuk mendapatkannya.

Alam siber yang penuh kecanggihan kini banyak membantu. Hanya perlu berusaha menekan butang play dan mendengar dengan fokus akan kuliah yang disampaikan sudah dapat merasai seolah-olah kita berada di sana. Jika kurang faham, kita boleh pause dan rewind ke belakang untuk mendengar semula perkara yang kurang jelas. Inilah kelebihan internet. Sejauh mana pun program kuliah atau ceramah, ia tetap boleh didengar dan diikuti hanya melalui butang play. Orang kata, maklumat di hujung jari.

Kalau saudara masih ingat, tatkala kita masih di bangku sekolah dahulu, kalau mengaji depan ustaz, kita akan menunjukan jari kita atau menggunakan lidi satey untuk menunjukkan ayat-ayat Quran yang kita baca. Tanpa sedar, sebenarnya di hujung jari yang kita tunjuk semasa membaca itu pun adalah maklumat. Maklumat ini lebih penting daripada maklumat-maklumat yang ada di dunia memandangkan maklumat tersebut datangnya daripada Allah pemilik Kerajaan Langit dan Bumi. Bukan saja-saja ianya diwahyukan, tetapi sebagai panduan kepada kita yang bergelar hamba Allah.

“Taat kepada Allah, ikut Quran. Taat kepada Rasul, ikut Sunnah” ayat yang selalu ditegaskan oleh tok guru dalam ceramah dan kuliahnya.

Inilah wajah Islam. Islam ada Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi rujukan yang teragung untuk semua umat manusia. Islam bukan milik arab, bukan milik melayu. Tetapi Islam adalah milik semua bagi mereka yang mencari dan yang mahukannya. Jangan disempitkan Islam itu berdasarkan juzuk-juzuk kaum, tetapi jadikanlah Islam sebagai penghubung antara pelbagai bangsa dan kaum yang ada di dunia ini.

Sejarah telah memperlihatkan sebuah pengembaraan Laksamana Cheng Ho (1371-1435) sebanyak tujuh kali dari negara tembok besar China ke Asia Tenggara dan Asia Barat Daya. Beliau mengembara ke sana ke mari bukanlah untuk tujuan perluasan kuasa atau penjajahan, tetapi untuk melaksanakan misi perdagangan dan diplomatik dengan kerajaan-kerajaan yang ditemuinya termasuklah kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Memandangkan Cheng Ho adalah seorang muslim yang taat, beliau dikatakan mempunyai peranan dalam penyebaran dakwah Islam.

Cheng Ho juga dikatakan pernah menunaikan ibadah haji di Mekah sekitar tahun 1432-1433 ketika pelayarannya yang ke tujuh ke kota Calicut, India sebelum berangkat ke Mekah. Setelah membaca serba sedikit sejarah Cheng Ho saudara, barulah aku tahu bahawa Cheng Ho adalah seorang Islam. Sebelum ini aku hanya tahu yang beliau ialah orang cina yang menjadi wakil kerajaan Dinasti Ming dalam rombongan perdagangannya. Tetapi, rupa-rupanya, ada tokoh cina muslim yang hebat memimpin armada perdagangannya ke pelusuk dunia.

Berbalik kepada kuliah tok guru sebelum ini, beliau mencadangkan supaya salah satu jalan di bandar Kota Bharu di letak nama Haji Cheng Ho bertitik tolak daripada kejayaan penganjuran Expo Cheng Ho sebelum ini di Kelantan. Tujuannya untuk membuktikan bahawa Islam bukan sahaja terhad kepada Arab atau Melayu sahaja, tetapi turut melibatkan seorang tokoh pedagang cina yang masyhur. Ini sekaligus mampu memperlihatkan bahawa Islam tiada masalah dalam soal kepelbagaian kaum.

Memeluk agama Islam atau menyokong perjuangan Islam tidak akan merubah bangsa seseorang, bahkan Islam mengiktiraf sesuatu budaya sesebuah bangsa yang tidak bercanggah dengan prinsip ajaran Islam. Islam tidak mengajar umatnya supaya bersikap racist atau perkauman sempit, tetapi Islam mengawal fitrah manusia yang memiliki perasaan kasih dan cintanya terhadap bangsa atau keluarga.

Islam buta terhadap mana-mana kaum, tetapi celik untuk berlaku adil kepada semua. Islam menentang sikap  assabiyyah dan menyokong kesejahteraan antara kaum. Sebab itu saudara, Islam tiada masalah kalau ada cina atau india muslim dilantik menjadi MB atau TPM. Kerana dalam pemerintahan Islam, bukanlah faktor bangsa atau kaum jadi penentu dalam memilih pemimpin muslim, tetapi berdasarkan kepada dua ciri seperti mana yang dinyatakan oleh Dr Asri Zainul Abidin di dalam bukunya Mengemudi Bahtera Perubahan Minda. Beliau menulis bahawa, As-Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah berkata:

“Secara umumnya, kepimpinan memerlukan dua ciri iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Al-Quwwah iaitu kekuatan atau kemampuan berkaitan jawatan yang dipimpin sementara al-Amanah iaitu nilai amanah dalam diri”

Lantaran itu saudara, di dalam sejarah Islam sendiri pernah merakamkan akan kehebatan kepimpinan Salahuddin Al-Ayubi dalam membebaskan Masjidil al-Aqsa kali kedua. Beliau bukanlah seorang arab, tetapi seorang berbangsa Kurdish. Sungguhpun begitu, beliau amat dikagumi dan disayangi oleh rakyatnya yang arab dan bukan arab.

Sebagai akhir bicara saudara, aku ingin berkongsi akan satu ungkapan Saidina Ali Karamallhu Wajhah yang cukup jelas menggambarkan Islam sebagai landasan menghubungkan kepelbagaian bangsa dan kaum di dunia ini. Apa katanya:

“Muslim sesama muslim adalah saudara seiman, manakala muslim dengan bukan muslim adalah saudara seinsan”