Berkat Sebiji Epal

Setiap perkara yang kita nikmati hari ini adalah rezeki daripada Allah swt. Jangan kita hanya menganggap makan dan minum sahaja dikaitkan dengan rezeki Allah, malah setiap yang kita miliki dan perolehi hari ini juga adalah rezeki daripada Allah taala. Dapat keputusan yang baik, pasangan yang baik, peluang yang baik, kerja yang baik dan segala yang baik adalah nikmat dan rezeki daripada Allah taala.

Namun saudara, lumrah dalam kehidupan ini, tidak semua antara kita menerima nasib dan peluang yang baik. Ada orang sekadar mampu makan sekali sehari, ada yang gagal dalam peperiksaannya, ada juga yang lingkup perniagaannya dan bermacam lagi kisah duka dan kecewa manusia yang diruntun ujian seumpama itu. Lantaran itu saudara, kita perlu menginsafi dan menyedari bahawa, soal rezeki bukanlah soal yang ditentukan oleh kita. Tetapi, ianya adalah ketentuan daripada Allah taala.

“Katakanlah, sungguh Tuhanku melapangkan rezeki dan membatasinya bagi siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Dan apa sahaja yang kamu sumbangkan, Allah akan menggantinya dan Dialah pemberi rezeki yang terbaik”. (surah Saba’ 34:39)

Apa yang jelas di sini saudara, ternyata persoalan rezeki adalah hak Allah untuk ditentukan kepada siapa yang Allah hendak berikan. Sudah menjadi kemestian bagi kita saudara untuk redha dan syukur dengan pemberian Allah taala itu. Walaubagaimanapun, biarpun rezeki adalah ketentuan Allah, tetapi kita masih lagi diberi pilihan untuk berusaha mencarinya.

“Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi, carilah kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung”. (surah al-Jumu’ah 62:10)

Kalau dapat rezeki saudara, bersyukur dan bertawadhuklah. Kalau tidak dapat sekalipun, janganlah pula berputus asa dan terimalah dengan penuh sabar. Bagi mereka yang dikurniakan rezeki yang lebih, dia diwajibkan akan kefardhuan untuk mengeluarkan zakat. Bukan sekadar itu, dia juga disunatkan untuk bersedekah kepada yang memerlukan. Inilah wajah sebahagian daripada bentuk ekonomi Islam, yang kaya boleh untuk berharta tetapi mestilah sebahagiannya dikongsikan kepada yang miskin. Wang zakat dan sedekah kalau diurus sebaik mungkin, mampu keluarkan umat Islam daripada belenggu kemiskinan.

Di sini saudara, aku ingin berkongsi tentang satu kisah berkenaan dengan kelebihan dalam bersedekah. Pernah satu ketika, Siti Fatimah mengidam untuk makan buah epal. Sebagai seorang suami yang soleh dan penyayang, Saidina Ali berniat untuk menunaikan hasrat isterinya itu. Ketika di pasar, dengan jumlah wang yang terhad, Saidina Ali membeli sebiji buah epal untuk dibawa pulang kepada isterinya.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali didatangi oleh seorang pengemis yang sudah beberapa hari tidak makan. Oleh kerana terlalu kasihankan pengemis tersebut, maka Saidina Ali memberi separuh daripada buah epal yang dibelinya tadi. Ternyata wajah ceria terukir pada raut muka pengemis tersebut tatkala mampu menikmati makanan itu. Tidak lama kemudian, sekali lagi Saidina Ali didatangi oleh seorang pengemis lain. Kali ini, Saidina Ali berasa serba salah. Kalau diberi separuh lagi epal yang tinggal ini, maka tiada harapanlah isterinya untuk menikmatinya. Tetapi, kalau tidak diberi, bagaimana pula nasib pengemis ini nanti, sedangkan dia lebih memerlukan kerana sudah lama tidak makan.

Dengan hati yang penuh ikhlas dan suci, Saidina Ali membuat keputusan untuk memberikan sahaja buah epal yang tinggal itu memandangkan pengemis tersebut lebih memerlukan makanan. Selepas itu, Saidina Ali berjalan pulang ke rumah dan ingin memohon maaf kepada Siti Fatimah akan ketiadaan buah epal yang diidamkan isterinya itu. Sampai sahaja di rumah, Siti Fatimah menyambut kepulangannya dengan penuh ceria dan gembira. Saidina Ali berterus-terang dan menceritakan segala yang dilalui setelah membeli buah epal di pasar tadi. Bagaimanapun saudara, setelah mendengar cerita suaminya itu, tidak ada sedikit pun berubah wajah Siti Fatimah. Yang ada hanyalah wajah senyuman buat suami yang tercinta.

Apa yang berlaku saudara, Siti Fatimah menceritakan bahawa, sebelum Saidina Ali pulang, ada seorang sahabat telah datang ke rumah. Sahabat tersebut hendak memberi 10 biji buah epal kepada mereka berdua. Saidina Ali tatkala mendengarkan pengkhabaran isterinya itu, tiba-tiba dia teringat akan firman Allah yang bermaksud;

“Barangsiapa berbuat kebaikan, mendapat balasan 10 kali ganda amalnya. Dan barangsiapa berbuat kejahatan dibalas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan”. (surah al-An’am 6:160)

Demikianlah saudara, janji Allah kepada hambanya yang berbuat kebaikan dan kebajikan. Di dalam ayat lain, Allah taala juga berfirman dengan maksud;

“Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan 7 tangkai, pada setiap tangkai ada 100 biji. Allah lipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui” (surah al-Baqarah 2:261)

Akhir bicara saudara, bersamalah kita tanamkan iltizam untuk mencari peluang bersedekah di dalam kesempatan hidup ini. Mungkin ada orang bertanya, yang manakah harta kita yang sebenarnya? Maka berdasarkan kepada pemahaman kita sebagai seorang muslim, harta sebenar kita adalah harta yang kita infak dan sedekahkan melalui lebihan rezeki yang diperolehi. Inilah harta sebenar kita di daerah akhirat kelak.

Generosity is giving more than you can, and pride is taking less than you need.

Bila Namrud Gagal Berhujah

Tatkala membaca al-Quran di samping menghayati makna disebalik pembacaan itu, ada satu kisah perjalanan dakwah seorang Nabi as yang aku rasa wajar untuk dikongsikan bersama. Kisah itu berkisar tentang seruan dakwah Nabi Ibrahim as yang berhadapan dengan keengganan kaumnya untuk tunduk dan patuh menyembah Allah swt.

Ketika Nabi Ibrahim as melihat ayahnya, yang juga seorang pembuat berhala berserta kaumnya sedang tekun menyembah berhala, lalu nabi Ibrahim as datang menegur seperti mana firman Allah swt yang bermaksud;

(Ingatlah) ketika dia (Ibrahim) berkata kepada ayahnya dan kaumnya, “Patung-patung apakah ini yang kamu tekun menyembahnya?”

Mereka menjawab “Kami mendapati nenek moyang kami menyembahnya,”

Dia (Ibrahim) berkata, “Sesungguhnya kamu dan nenek moyang kamu berada dalam kesesatan yang nyata”

Mereka berkata, “Apakah engkau datang kepada kami membawa kebenaran atau engkau main-main?”

Dia (Ibrahim) menjawab, “Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan (pemilik) langit dan bumi; (Dialah) yang telah menciptakannya, dan aku termasuk orang yang dapat bersaksi atas itu,” (surah al-Anbiya’ 21:52-56)

Demikianlah saudara dialog yang berlaku antara Nabi Ibrahim as dengan kaumnya. Oleh kerana Nabi Ibrahim as masih melihat kaumnya yang enggan melaksanakan perubahan seperti mana yang diserukan, maka Nabi Ibrahim as merancang untuk melakukan sesuatu yang boleh memberikan kesedaran kepada kaumnya. Maka, suatu hari, ketika kaumnya berpergian ke suatu tempat, Nabi Ibrahim as melaksanakan apa yang dirancangnya seperti mana firman Allah swt yang bermaksud;

Maka dia (Ibrahim) menghancurkan (berhala-hala) berkeping-keping, kecuali yang terbesar (induknya); agar mereka kembali (untuk bertanya) kepadanya. (surah al-Anbiya’ 21:58)


Setelah kaumnya pulang dan kembali ke tempat ibadat, mereka terkejut dan tertanya-tanya siapakah yang berani melakukan perkara seumpama ini. Firman Allah swt yang bermaksud;

Mereka berkata, “Siapakah yang melakukan (perbuatan) ini terhadap tuhan-tuhan kami? Sungguh, dia termasuk orang yang zalim”.

Mereka (yang lain) berkata, “Kami mendengar ada seorang pemuda yang mencela (berhala-hala ini), namanya Ibrahim”.

Mereka berkata, “(Kalau demikian) bawalah dia dengan diperlihatkan kepada orang banyak agar mereka menyaksikan,” (surah al-Anbiya’ 21:59-61)

Dikhabarkan bahawa, Nabi Ibrahim as dibawa mengadap seorang raja pada waktu itu yang bernama Namrud. Ketika berhadapan dengan raja tersebut saudara, Nabi Ibrahim disoal siasat dan pada waktu itu jugalah berlaku pendebatan antara seorang Nabi dengan seorang raja yang sombong dan kufur. Firman Allah swt yang bermaksud;

Mereka bertanya, “Apakah engkau yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?

Dia (Ibrahim) menjawab, “Sebenarnya (patung) besar itu yang melakukannya, maka tanyalahkanlah kepada mereka jika mereka dapat berbicara,”

Maka mereka kembali kepada kesedaran mereka dan berkata, “Sesunguhnya kamulah yang menzalimi (diri sendiri)”.

Kemudian mereka menundukan kepala (lalu berkata), “Engkau (Ibrahim) pasti tahu bahawa (berhala-berhala) itu tidak dapat berbicara”

Dia (Ibrahim) berkata, “Mengapa kamu menyembah selain Allah sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat sedikit pun, dan tidak (pula) mendatangkan mudarat kepada kamu? (surah al-Anbiya’ 21:62-66)

Demikianlah saudara, raja Namrud ternyata tidak mampu melawan hujah-hujah Nabi Ibrahim as yang mudah difahami dan boleh diterima akal. Maka dengan kuasa yang ada, raja Namrud mengeluarkan arahan untuk melaksanakan hukuman bagi mematikan karier dakwah seorang rasul yang bernama Ibrahim as.

Mereka berkata, “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhan kamu, jika kamu benar-benar hendak berbuat” (surah al-Anbiya’ 21:68)

Kita Bakar..Kita Bakar..Kita Bakar..

Walaubagaimana pun saudara, Allah swt telah menganugerahkan mukjizat kepada Nabi Ibrahim as sebagai bukti kebenaran dakwah yang dibawa oleh rasul utusanNya. Nabi Ibrahim as terselamat daripada dibakar hidup-hidup tatkala Allah swt memerintahkan supaya api menjadi sejuk sepertimana firmanNya yang bermaksud;

Kami (Allah) berfirman, “Wahai api! Jadilah kamu dingin dan penyelamat bagi Ibrahim” (surah al-Anbiya’ 21:69)


Daripada kisah ini saudara, sudah menjadi lumrah bahawa, manusia yang sombong dan kufur memang sukar untuk menerima sesuatu perubahan bila mana perubahan tersebut bertentangan dengan norma-norma kehidupan mereka sebelum ini. Biarpun pelbagai hujah dan bukti dikemukakan, namun manusia yang sombong dan kufur akan tetap mempertahankan diri mereka walaupun salah. Mereka akan menggunakan kuasa jika ada untuk bertindak bagi menghalang dan menyekat kemaraan golongan yang dianggap sebagai pencabar mereka.

Sungguhpun begitu, bagi pejuang dan penegak kebenaran, janganlah takut dan khuatir berhadapan dengan golongan manusia seumpama ini kerana Allah swt akan tetap bersama mereka yang sanggup mempertahankan kemurnian agamaNya. Mudah-mudahan pengkhabaran dari kisah al-Quran ini mampu untuk kita fahami dan hayati sebagai pengiktibaran serta pengajaran kepada kita. InsyaAllah.

Kembara Seorang Hamba

Alhamdulillah saudara, sehingga ke saat ini, kita masih lagi bernyawa dan masih mampu untuk membaca coretan ini. Hari-hari yang telah kita lalui sebelum ini, sudah menjadi sebahagian kenangan dan pengalaman kita. Ada perkara yang kita rasa suka serta bahagia dan ada juga perkara yang membuat kita berduka serta kecewa. Begitulah seterusnya. Manusia yang masih lagi diberi kesempatan umur dan usia oleh Allah swt akan terus menjalani warna-warna hidup ini di hari-hari yang mendatang.

Tatkala kita menempuhi hidup ini saudara, sudah pasti sudah banyak ragam dan sikap manusia yang dapat kita perhatikan di sekeliling kita. Ada antara mereka yang soleh dan baik budi pekertinya dan ada juga antara mereka yang rakus dan kejam perbuatannya. Maknanya, terdapat manusia yang baik dan manusia yang jahat. Benarlah sepertimana firman Allah swt yang menyatakan;

“Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaan,” (surah asy-Syams 91:8)

Berkenaan dengan ayat ini saudara, Prof Dr Hamka di dalam kitab Tafsir Al-Azhar menyatakan;

Setelah Tuhan memberi ilham dan petunjuk, mana jalan yang salah dan mana jalan kepada takwa, terserahlah kepada manusia itu sendiri, mana akan ditempuhnya, sebab dia diberi Allah akal budi.

Saudara, dalam hidup ini, kita akan sentiasa dihidangkan dengan dua pilihan. Sama ada kita memilih perkara yang baik atau perkara yang jahat. Memilih kebaikan adalah pilihan yang diajar agama, manakala memilih kejahatan adalah pilihan yang dilarang agama. Di sinilah saudara, hati kita akan memainkan peranan. Selalunya kekotoran hati manusia akan membuka kepada berbagai kejahatan yang besar. Sedangkan, orang yang bersih hatinya adalah orang yang baik pekerti dan amalannya. Ini kerana rahsia untuk memiliki hati yang bersih (tazkiyatul nafs) telah diungkapkan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebagai berkata;

‘Mensucikan hati itu adalah dengan amalan-amalan soleh, tinggalkan perkara-perkara yang tidak baik dan apa yang tidak baik dalam diri dikeluarkan dengan menambahkan amalan baik’.


Mudahan saudara, sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar digolongkan kita dalam kalangan manusia yang memilih perkara baik dan soleh. Di samping itu juga, sentiasalah kita memperbaiki serta menambahkan amalan kebaikan selagi masih diberi ruang dan peluang. Ini kerana amalan adalah bekalan kita di dalam pengembaraan hidup sebagai hamba kepada Tuhannya. Bekalan yang terbaik adalah bekalan takwa. Firman Allah yang bermaksud;

“Segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya. Bawalah bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa”. (surah al-Baqarah 2:197)

Adalah malang saudara andai kata pengembaraan hidup yang sedang kita harungi ini tidak diketahui apa matlamatnya. Hidup tanpa matlamat umpama kapal berlayar tanpa tujuan. Ianya menyebabkan manusia tidak tahu sebab apa mereka hidup, apa yang perlu mereka cari di alam dunia ini dan ke mana pula mereka selepas ini. Inilah yang dinamakan kekosongan hidup.

Sehubungan dengan itu, di kesempatan ini aku selitkan di sini sedikit catatan Sayyid Qutub yang aku ambil dari buku Kembara Seorang Hamba. Catatan ini saudara memperlihatkan fenomena manusia yang mengalami kekosongan hidup walaupun disisi mereka penuh dengan pelbagai nikmat dan kesenangan. Namun, kekosongan jua yang menyelubungi diri mereka. Sama-samalah kita renungi dan hayati.

“Kekosongan amat pahit itu memburu umat manusia seperti momok-momok yang menakutkan. Walaupun mereka lari daripadanya, namun ia tetap berakhir dengan kekosongan yang amat pahit. Mereka tidak menemui diri kerana tidak mengetahui matlamat sebenar kewujudan mereka. Mereka juga tidak merasai kebahagiaan kerana tidak menemui sistem Illahi yang menyelaraskan harakat antara alam buana dan kehidupan manusia juga undang-undang al-Wujud.

Umat manusia hari ini bagaikan hidup dalam rumah maksiat yang amat besar. Kerakusan ini dapat dilihat di setiap siaran TV, radio dan akhbar, pertandingan ratu cantik, kabaret, kedai-kedai arak, kegilaan mereka kepada tubuh-tubuh bogel dan mungil serta aksi yang memberahikan. Juga sasaran-sasaran yang tidak sihat di dalam sastera, seni dan seluruh media massa di samping sistem riba dalam kehidupan ekonomi, yang membayangkan kegilaan kepada harta yang tiada infinitinya.


Wujud pula keruntuhan akhlak dan keruntuhan sosial yang telah mengancam setiap jiwa, rumah tangga, sistem hidup dan masyarakat insan. Sekilas pandang sahaja sudah cukup untuk membayangkan kesudahan episod malang yang bakal menimpa manusia di bawah naungan jahiliah ini.

Mereka juga sedang mengalami pereputan dan kelarutan sifat-sifat insaniah kerana terlalu penat mengejar kepuasan nafsu haiwaniah dan dorongan kebinatangan untuk bersama-sama haiwan di alamnya yang rendah. Sedangkan haiwan lebih bersih, lebih mulia dan lebih suci daripada mereka kerana mereka hidup dengan panduan fitrahnya yang tegas, tidak bergoyang dan tidak pula busuk seperti busuknya nafsu-nafsu keinginan manusia, apabila terlepas daripada ikatan dan peranan akidah dan kembali semula kepada jahiliah yang Allah telah selamatkan daripadanya. Malah Allah telah membangkitkan nikmatNya kepada kaum muslimin kerana ia telah membersihkan mereka daripada kekotoran jahiliah”.