Ketika Cinta Bertasbih

tasbih cinta

“Cinta adalah kekuatan, yang mampu mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur, mengubah sedih jadi riang, mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi muhibbah, itulah cinta…”

Saudara, demikianlah antara petikan dialog dari filem Ketika Cinta Bertasbih yang sempat aku dengar. Bait puisi ini sebenarnya diambil daripada karya Maulana Jalaluddin Ar-Rumi (seorang penyair sufi dari Farsi).

Filem ini merupakan filem yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Habiburrahman El Shirazy, seorang novelis terkenal Indonesia yang juga pemegang Sarjana Al-Azhar, Universiti Cairo. Kalau tak silap aku, ini merupakan novel kedua beliau yang difilemkan selepas Ayat-Ayat Cinta. Di Indonesia, filem ini merupakan filem pertama yang mana penggambarannya dibuat di bumi Mesir sepenuhnya.

bumi mesir

Aku sebenarnya, secara jujur belum pernah tonton lagi cerita ni (termasuklah filem Ayat-Ayat Cinta). Cuma aku sekadar dikhabarkan akan kewujudannya sahaja. Jadi, tak tahu la sedap ke tak sedap jalan cerita ini. Lagipun saudara, filem ini tak masuk Malaysia lagi. Aku hanya menonton klip-klip video pra-tonton filem ini di You Tube sahaja.

cinta_allah.jpg

Sebelum ini saudara, aku telah dicadangkan oleh seseorang (Siapa?Erm,adelah orangnya) untuk mendengar lagu tema filem ini yang kini sudah berkumandang di corong-corong radio di Malaysia. Tajuknya sama dengan nama filemnya dan dinyanyikan secara berduet antara Melly Goeslow dan Amee.

Walaupun lagu ni lagu jiwa lagu cinta, tetapi kalau direnungkan saudara, ada lah juga diselitkan sedikit unsur-unsur penghayatan terhadap erti syukur. Ya, syukur terhadap anugerah cinta yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

3D-graphics Love

Anugerah cinta itu adalah untuk cinta kepada Allah, cinta terhadap Rasulullah, cinta kepada agamaNya, cinta kepada ibu bapa, keluarga, isteri dan anak-anak (kalau adelah), kepada keindahan alam dan sebagainya. Jadi konsep cinta ini terlalu luas dan tidak hanya terhad kepada cinta sesama insan yang berlainan jantina sahaja.

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ketika berbicara tentang cinta dalam buku Kisah Cinta Dalam Al-Quran ada membawakan sepotong Hadith Nabi SAW yang bermaksud:

“Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan yang boleh membawa kepada sayang kepadaMu.”

(Hadith Riwayat Tirmidzi)

Terdapat beberapa kesimpulan yang boleh dibuat melalui hadith ini saudara, antaranya:

  • Perasaan cinta adalah sesuatu yang wujud
  • Cuma keutamaannya ia perlu kearah mencintai Allah
  • Jika tumbuh perasaan cinta kepada seseorang, maka orang yang dicintai itu hendaklah juga yang menyintai Allah
  • Dia juga adalah orang yang sayang kepada semua amalan yang dikasihi Allah.

Demikianlah saudara sedikit tulisan mengenai apa yang disebut tentang cinta (walaupun aku bukan arif sangat bab cinta ni). Akhir bicara, aku sertakan lirik lagu Ketika Cinta Bertasbih yang diberikan oleh seseorang tadi.

Ketika Cinta Bertasbih

Bertuturlah cinta
Mengucap satu nama
Seindah goresan sabdamu dalam kitabku
Cinta yang bertasbih
Mengutus Hati ini
Kuserahkan hidup dan matiku padamu

Bisikkan doaku
Dalam butiran tasbih
Kupanjatkan pintaku padamu Maha Cinta
Sudah di ubun-ubun cinta mengusik resah
Tak bisa ku paksa walau hatiku menjerit

Ketika Cinta bertasbih Nadiku berdenyut merdu
Kembang kempis dadaku merangkai butir cinta
Garis tangan tergambar tak bisa aku menentang
Sujud syukur padamu atas segala cinta

Hanya Kerana Bola

7 November yang lalu, telah berlangsung perlawan akhir bola sepak piala Malaysia untuk tahun 2009. Ramai orang yang tak sabar mahu menyaksikan perlawanan tersebut antaranya termasuklah aku sendiri (walaupun hanya menonton di tv sahaja). Ye lah saudara, dah negeri kelahiran berjaya melangkah ke final, mestilah berasa sedikit teruja. Malam tu, Kelantan berhadapan dengan negeri Sembilan (negeri yang menempatkan sekolah lama aku dulu).

kafa

Walaubagaimanapun saudara, Kelantan yang ku jangka akan menang malam tu rupanya tersungkur kalah 3-1 kepada negeri Sembilan. Kalau dinilai, memang negeri Sembilan layak bergelar juara tatkala melihat permainan mereka yang kemas, tersusun dan Berjaya menguasai perlawanan dari awal hingga akhir. Tetapi, itu semua adat bertandinglah saudara, mesti ada yang menang dan mesti ada yang kalah.

FINAL PIALA MALAYSIA 2009

Pasukan Kelantan kalah tiadalah aku risau, tetapi bagaimana dengan penyokong Kelantan yang memenuhi stadium Bukit Jalil hampir 70% malam itu, bolehkah mereka menerima kekalahan ini?

Kesannya saudara, satu Malaysia media-medianya telah memaparkan beberapa kerosakan dan kecederaan yang dikatakan berpunca daripada tindakan agresif para penyokong Kelantan yang tidak berpuas hati. Harus diingatkan saudara, bukan semua penyokong yang hadir malam itu terlibat dalam aksi ala-ala samseng itu, segelintir saja.

berasap

Membakar kerusi, menghidupkan mercun , membaling objek kepada pemain merupakan sorotan-sorotan aksi percuma yang dapat dilihat. Jauh di sudut hatiku timbul perasaan malu dan sedih tatkala memikirkan apa faedah yang mereka dapat dan tak bolehkah mereka ini bersabar?

nik-aziz

Antara yang terkilan dengan insiden-insiden tersebut adalah MB Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tok guru menyatakan;

“Pemain Kelantan sudah bermain bersungguh-sungguh, bila kalah juga apa boleh buat. Masa kita menang tak timbul pula sebarang masalah, takkanlah kita nak menang selama-lamanya, matahari pun ada naik dan jatuh. “Itu bukan semangat kesukanan, sebab itu saya ada sebut bola ini jangan kita sebut main, (sebaliknya) sebut riadah. Tak betul cara itu (membakar kerusi dan mercun), pemain sudah habis ikhtiar, kalah juga apa boleh buat,”

Ya, benar apa yang dikatakan. Kita mesti terima kalau kalah dan menang. Apa yang penting, pasukan Kelantan perlu belajar dari kesilapan (terlalu mengharapkan sentuhan Indera) dan bijak mengatur serangan serta memperkemaskan banteng pertahanan seperti yang diakui jurulatih Kelantan, Sathianathan.

“Dia (Indera Putra Mahyuddin) pemain berkelas tinggi yang kami ada. Tetapi pada masa sama, saya yakin bahawa kekalahan ini akan jadi pengajaran terbaik untuk kami menghadapi cabaran musim depan. Kami akan kembali, lebih kuat dan bijak pada musim baru nanti,”

indraputra

Menyentuh berkenaan sabar ni saudara, ia merupakan salah satu sifat mahmudah yang amat ditekankan di dalam Islam. Begitu banyak kisah-kisah perjalanan hidup insan-insan yang sabar yang ada untuk kita contohi termasuklah sosok tubuh baginda Rasulullah SAW sebagai ‘Uswatun Hasanah’. Kalau setakat bersabar menerima kekalahan bola ni rasanya tak padan la kalau nak dibandingkan sabar dalam menempuhi cabaran, dugaan, mehnah dan tribulasi dalam perjuangan agama Allah SWT.

InsyaAllah jika ada masa dan kesempatan akan aku ulas berkenaan sabar ini untuk post yang akan datang. Akhir bicara, Titus Maccius Plautus pernah menyatakan “Patience is the best remedy for every trouble”.

Buat Malu Saje

Satu perkongsian saudara tatkala terpaksa mencuri masa sedikit untuk mencoret akan hal yang sedang hangat berlaku dalam negara kita. Sesuatu yang agak mengejutkan aku sebenarnya saudara, walaupun sebelum-sebelum ini aku tidak sedikit pun terkejut.

Semuanya adalah perihal Dr.Mohd Asri Zainal Abidin (Dr.Maza) yang ditangkap oleh pihak berkuasa agama. (orang agama cekup orang agama hehe..).

dr maza

Aku berasa terkejut sebab tiba-tiba Dr Maza ditangkap Jais yang dah lama tak buat kerja ini. (Apa dia? Tangkap penceramah tanpa tauliah). Kalau dulu memanglah Jais ini kerjanya memantau ustaz berceramah, bertazkirah dan berkuliah. Sebab tu dulu aku tak berapa terkejut. Tapi, bila mana kerajaan negeri dah berubah, tiba-tiba tabiat lama muncul kembali, maka aku ada sebab untuk terkejut.

50 tahun sebelum ni saudara, ramai dalam kalangan cendikiawan Islam, para dai’, para alim yang berceramah, bertazkirah malahan berkhutbah diintip pihak berkuasa agama negeri. Sampai waktu, sesudah dikenal pasti bahawa sosok tubuh si pendakwah tadi tidak ada tauliah, maka kerja-kerja menghalang, menyekat dan menangkap dijalankan dengan penuh ketaatan.

Jabatan Agama Islam Selangor

Maka yang pernah jadi mangsa seingat aku ialah bekas Mufti Selangor, Allahyarham Ustaz Ishak Baharom, Ustaz Ismail Kamus dan ramai lagi. Pernah dalam satu ceramah, dengan nada berseloroh, Ustaz Ismail Kamus menyebut, “Saya pun pernah kena tangkap, sedangkan dulu saya yang tukang bagi tauliah”.

dato ismail kamus

Sebenarnya, apa tujuan tauliah ini saudara?

Sebabnya antara lain nak mengekang ajaran salah, ajaran sesat.(betul dah caranya ini)

Tapi logikkah saudara, kita halang seseorang yang pernah jadi mufti, yang ada latar belakang pengajian agama, yang bercakap dan berhujah dengan hujah Al-Quran dan Hadith, tapi disekat dan ditangkap atas sebab jabatan agama tak pernah bagi dia tauliah.

drmaza_mahkamah

Di sini, aku bukan nak jadi taksub kepada Dr. Maza atau suka-suka nak mempertikaikan tindakan Jais, tetapi apabila ia melibatkan soal mahu memperkasakan dakwah, mahu memahamkan rakyat tentang Islam, mahu mewujudkan budaya ilmu dan amal, maka kejadian seumpama ini amatlah tidak wajar terjadi. Jika ada kesalahan atau kesilapan sekalipun, tegurlah dengan cara yang paling baik. Ajaklah berbincang dan berhujah. (Bukannya dengan cara seperti nak tangkap penjenayah).

Dalam Islam kalau nak diikutkan, semua orang Islam sudah bertauliah untuk menyampaikan ajaran Islam dalam apa-apa bentuk sekalipun. Ini berdasarkan hadith yang selalu kita dengar yang bermaksud; ‘Sampaikanlah daripada aku, walau dengan satu ayat’

Dakwah

Suruhan ini adalah suruhan Rasulullah saw kepada kita semua. Kalau kita tahu satu ayat, faham satu ayat dan beramal dengannya, maka kalau ikut nabi, baginda suruh kita sampaikan kepada orang lain.(macam mana dengan orang yang tahu, yang faham dan yang beramal dengan banyak ayat?)

Jadi, tak perlu kita halangi kerja-kerja dakwah dan orang yang mahu dengar dakwah selagi ia tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Hadith. Kalau nak memantau, ya silakan. Tapi kalau nak ambil tindakan, fikirkan dahulu.

quran panduan kita

Fikirkan dahulu bagaimana dengan mereka yang siang malam mempertikaikan ketetapan Islam, mereka yang menolak hukum Allah, mereka yang bergelumang dengan maksiat, mereka yang membelakangkan agama dan sebagainya. Bersamalah kita memelihara agama ini daripada tipu daya dunia yang sementara. Sekadar itulah saudara cetusan hatiku.