F + A + I

Saudara, Islam adalah agama yang bersifat menyeluruh (syumul) dan komprehensif ajarannya. Ia memenuhi desakan fitrah manusia yang dahagakan petunjuk dan bimbingan.

Islam tidak seperti agama lain, Islam sesuai dan relevan untuk semua tanpa mengira zaman, tempat, usia, jantina mahupun warna kulit. Tatkala melihatkan akan ciri-ciri ini saudara, pendek kata, Islam adalah agama pembina tamadun manusia. Sebuah tamadun yang berupaya merentasi zaman dan melangkaui tembok perkauman.

Kesemuanya ini bertitik tolak daripada ajaran Islam itu sendiri yang menekankan soal ilmu dan aplikasinya. Buktinya saudara, wahyu pertama yang diterima Nabi saw adalah ayat-ayat yang berbicara tentang ilmu dan dalam masa yang sama Nabi saw juga menganjurkan umatnya mencari ilmu sebagai pembelajaran sepanjang hayat (life- long learning).

Secara prinsipnya saudara, ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu akliah (acquired knowledge). Ilmu wahyu adalah ilmu yang berkaitan hal-hal akidah, syariat dan akhlak manakala ilmu akliah berkaitan dengan ilmu sains, matematik, politik, ekonomi dan sebagainya. Oleh kerana menuntut ilmu itu fardhu (wajib) kepada setiap muslim, maka ilmu wahyu diletakkan bertaraf ilmu fardhu ain manakala ilmu akliah diklasifikasikan sebagai ilmu fardhu kifayah.

Menurut buku Dilema Melayu Islam (2008), dengan memiliki ilmu fardhu ain manusia akan menjadi baik manakala dengan ilmu fardhu kifayah manusia menjadi cerdik. Kedua-duanya sama penting kerana manusia cerdik tetapi tidak baik dia akan menipu manakala manusia baik tetapi tidak cerdik dia akan mudah ditipu. Jadi, untuk mengelak daripada menipu dan ditipu saudara, kita wajib memiliki kedua-dua ilmu ini. Persoalannya, apakah proses yang diperlukan untuk mendapatkannya?

Di sini Al-quran menjelaskan bahawa proses mendapatkan ilmu-ilmu tersebut adalah melalui proses Zikir dan Fikir (rujuk surah Ali-Imran 3:191).

Zikir merangkumi aspek membaca, memahami dan melaksanakan ayat-ayat maqruah (Al-quran & Hadith) manakala Fikir meliputi proses melihat, merenung dan berfikir tentang ayat-ayat manzurah (alam ciptaan Allah).

Oleh sebab itu, melalui proses fikir, manusia akan menjadi berpengetahuan (jadi manusia cerdik) dan  pakar tentang alam dan seterusnya dapat menguasainya sebagai khalifah muka bumi untuk mengurus dan membangunkannya. Dalam pada itu, tanggungjawab kekhalifahan itu perlu disusuli dengan proses zikir. Ini kerana, menurut Pak Natsir, kita tidak boleh membangun sambil meroboh. Maknanya, fikir manusia sebagai khalifah perlu dipimpin oleh zikirnya sebagai hamba Allah swt (jadi manusia baik). Dengan menjadi hamba Allah, manusia mampu mengaplikasikan upaya fikirnya untuk membangun bukannya membinasakan atau merobohnya.

Ketiadaan gabungan proses Fikir dan Zikir inilah menyebabkan umat Islam pada hari ini lemah daya saingnya, zalim pemimpinnya, berkrisis identiti anak mudanya, meningkat rasuah negaranya dan hanya mampu berperanan sebagai consumer bukan lagi producer. Berbicara tentang khalifah, satu lagi saudara yang aku nak kongsi adalah berkaitan dengan ‘Khalifah Circle’.

Hal ini ada juga disebut dalam buku Murabbi Cinta. Saudara, menurut formula Khalifah Circle, nak Berjaya, nak cemerlang kita perlu memenuhi dua prinsip yang utama iaitu pandangan alam yang tepat dan yang kedua, hukum pembelajaran. Pandangan alam yang tepat bermaksud kita perlu tahu apa misi dan matlamat kita diciptakan. Bukan untuk saja-saja bahkan kita juga diberi peranan untuk bebas memilih dua jalan (syurga atau neraka) berdasarkan matlamat yang digariskan. Jika kita tahu apa sebab kita diciptakan, kita akan faham dan kenal Allah sebagai tuhan dan kita sebagai hambanya.

Hukum pembelajaran bermaksud setiap sesuatu yang dilakukan (baik atau buruk) ada ganjaran dan hukumannya. Perkara baik yang diberi ganjaran akan menjadi tabiat manakala perkara buruk yang diberi hukuman adalah cara untuk mengelak daripada manjadi kebiasaan. Ada yang berpendapat, jika kita hanya pandai menghukum tanpa mendidik, maka manusia akan cari jalan untuk mengelak daripada dihukum. Sebab itu saudara, tarbiyah dan didikan sangat penting supaya manusia faham mengapa perlu buat baik dan kenapa perlu tinggalkan kemungkaran.

Kedua-dua prinsip ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada proses zikir dan fikir yang telah dibincangkan sebelum ini. Jadi saudara, apa kaitan semuanya ini dengan FAI?

Bagi akulah, proses Zikir dan Fikir ini adalah satu formula kehidupan yang diajar dalam ajaran Islam. Sebab itu aku (sesuka hatinya) menamakannya sebagai FAI iaitu Formula Ajaran Islam. Akhir bicara, dengan memahami FAI ini, maka saudara sudah setapak menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. InsyaAllah.

(FAI disini tiada kaitan dengan sesiapa, jika ada anggaplah ia sebagai satu kebetulan sahaja hehe).

1 Comment

Leave a comment